Bab 27

Romance Series 5969

Bab 27

“Maya!” Aku dengar ada orang laung nama aku dari jauh. Aku menoleh.

Akimi rupanya. Dia ni kawan Faris. Aku hanya kenal biasa-biasa saja dengan dia ni sebab kadang-kadang Faris ada juga kenalkan beberapa budak sekelas dia dekat aku.

“Apa dia?” Aku tanya. Kesian tiba-tiba bila tengok dia termengah-mengah berlari ke arah aku tadi. Apa yang dia nak sampai macam ni sekali kejar aku?

“Kau ada jumpa Faris?” Dia tanya. Aku dah pelik.

“Bukan korang sekelas ke? Kenapa tanya aku pulak?” Aku tanya dia balik.

Memang aku pelik pun. Aku ni langsung tak ada kelas dengan Faris. Kalau ikutkan, Akimi ni lagi selalu jumpa Faris dari aku. Sebab tu aku pelik bila soalan macam tu keluar dari mulut dia.

“Memanglah sekelas. Tapi kalau dah seminggu dia tak datang kelas, macam mana nak jumpa?” Akimi cakap dekat aku.

Part ni aku lagi terkejut beruk. Faris tak datang kelas? Kenapa? Setahu aku dia tak pernah buat perangai macam tu. Aku kenal dia sebagai orang yang sangat serius tentang pelajaan. Dia tak datang kelas seminggu ni memang sesuatu yang pelik.

“Aku lagi lama tak jumpa dia sebenarnya. Dah lebih dua minggu.” Aku cakap dekat Akimi terus-terang.

“Aik? Awek dia pun tak tahu mana dia pergi?” Akimi balas.

“Aku bukan awek dia lah!” Tiba-tiba suara aku naik. Tindakan refleks bila dengar perkataan ‘awek Faris’. Memang aku tak suka.

“Aku kawan dengan dia biasa-biasa aje.” Aku cakap dekat Akimi yang tengah buat muka seposen sebab terkejut aku tiba-tiba naik suara tadi. Aku memang nak semua orang tahu perkara yang sebenarnya.

“Lah… Kawan aje ke kau orang berdua?” Akimi tanya macam tak percaya. Aku angguk ajelah.

“Sorilah, aku ingat korang lebih dari kawan sebab nampak rapat sangat.” Dia cakap lagi sambil sengih.

“Aku dengan dia dah lama kawan. Sebab tu rapat.” Aku tambah lagi penjelasan aku dekat dia.

Tapi memang betul pun. Kalau nak diikutkan, aku dah kenal Faris dari zaman sekolah rendah lagi. Rasanya memang dah rezeki aku sebab terjumpa dia semula dekat matrikulasi dulu.

Akimi minta diri untuk pergi kelas lepas cakap dengan aku. Cakap pun tak mendatangkan apa-apa juga. Bukannya aku tahu Faris dekat mana sekarang ni. Dia tak datang kelas seminggu pun aku tak tahu. Tapi dalam hati timbul rasa risau juga. Ke mana dia pergi agaknya ye?

Aku balik bilik pukul 3 petang. Kelas aku dah habis untuk hari ni. Asalnya aku berniat nak tidur sampai masuk waktu Asar sebab malam tadi aku tidur lambat gara-gara menyiapkan satu tugasan. Tugasan tu sebenarnya dah lama dapat. Tapi sebab aku ni pelupa, baru malam tadi aku ingat yang kerja tu sepatutnya aku hantar hari ni. Jadi kelam-kabutlah aku siapkan malam tadi.

Niat aku nak tidur tu nampaknya terpaksa ditunda sekejap. Hati aku masih tak sedap bila fikir pasal Faris. Jauh di sudut hati aku bimbang kalau-kalau ada perkara buruk yang menimpa dia.

Aku memang dah lama tak hubungi dia sejak aku marah dia hari tu. Kalau terserempak pun aku buat-buat tak nampak. Aku tahu dia sedih aku buat macam tu. Aku pun tak tahu kenapa aku sampai kena buat macam tu dekat dia. Tapi kalau aku nak buat macam biasa dengan dia, dia takkan faham yang aku tak ada perasaan lebih dari kawan untuk dia.

Lepas bergaduh dengan dia hari tu pun, dah banyak kali dia datang bersemuka dengan aku. Dan dia masih lagi datang merayu dan menagih cinta dari aku. Dan dah banyak kali juga aku terangkan dekat dia, aku hanya selesa bersama dia sebagai kawan, tak lebih dari tu. Tapi dia tetap tak faham dan berdegil.

Jadi disebabkan itulah aku cuba menjauhkan diri dari dia. Aku nak dia terima keputusan aku dulu sebelum aku dekati dia balik. Tapi bila dah jadi macam sekarang ni, aku pula yang bimbang. Kenapa dia hilangkan diri? Sebab aku ke?

Tanpa aku sedar, aku capai telefon bimbit aku dari dalam poket seluar sebaik aku sampai di bilik asrama. Aku buka senarai kenalan dan cari nama Faris. Aku tarik nafas dalam-dalam sebelum cuba dail nombor telefon dia.

Rasa macam lama sangat aku tunggu talian telefon tu disambungkan. Tapi apa yang aku dengar hampa. Nombor dia tak dapat dihubungi sebab telefon dia tutup. Rasa macam dia tak nak sesiapa pun cari dia. Ataupun, mungkin bukan sebab telefon dia di tutup. Boleh jadi juga telefon dia rosak atau hilang. Tapi masalahnya, di mana dia sekarang?

Dalam hati aku berdoa, janganlah dia ditimpa sesuatu yang buruk.

__________________

“Cubalah telefon parents dia.” Luthfi bagi cadangan semasa aku cerita dekat dia pasal kehilangan Faris. Dan cadangan dia tu agak bernas juga sebab aku langsung tak terfikir nak telefon mak atau ayah Faris untuk tanya.

Kalau fikir balik, ada kemungkinan mak ayah dia tahu keadaan dia sebab takkan dia tak hubungi mak ayah dia langsung.

“Tapi kalau mak ayah dia pun tak tahu, tak ke mak ayah dia jadi risau pula nanti?” Aku soal Luthfi semula. Dan dia diam berfikir sejenak lepas aku tanya soalan tu.

“Elok bertanya. Kalau mak ayah dia pun tak tahu, dah boleh buat report polis dah sepatutnya ni.” Luthfi jawab.

Aku terdiam bila dia kaitkan polis dalam hal ni. Nampak serius sungguh. Tapi memang serius sebenarnya. Ini dah kategori orang hilang dah ni. Bukan sehari dua. Dah masuk minggu dah. Logik juga kalau lapor pada polis.

Jadi lepas fikir punya fikir sebanyak tiga belas kali, aku pun telefon mak Faris. Dan memang dia orang pun tak tahu kat mana Faris sekarang. Puas jugalah aku nak susun ayat pertanyaan dekat mak dia supaya tidak mendatangkan risau dekat orang tua tu. Nasib strategi menyusun ayat aku tu menjadi. Jadi mak dia tak la risau sebab aku tak cakap anak dia hilang pun. Aku cakap aku lama tak nampak Faris dekat kampus, jadi aku ingat dia balik kampung. Maksudnya aku tak tipu lah mak dia pun sebab memang lama aku tak nampak Faris dekat kampung.

“Jadi nak lapor polis tak ni?” Aku tanya Luthfi semula selepas aku cerita yang mak dengan ayah Faris pun tak tahu tentang Faris.

“Kita tunggu seminggu dua lagi. Sambil tu saya minta tolong orang cari dia. Kalau tak jumpa juga, kita report polis. Okey?” Aku angguk aje bila dengar cadangan Luthfi tu.

Soal dia nak mintak tolong siapa untuk cari Faris tu pun aku tak tahu. Macam mana dia nak cari agaknya ye? Apa skill yang dia ada? Sekali dengar dah macam detektif dah Luthfi ni sampai boleh tolong cari orang hilang. Tapi bila fikir semula, ada betulnya. Dia ni banyak connection. Adalah orang yang dia kenal untuk cari orang tu agaknya. Maklumlah, anak jutawan. Terlupa pula aku.

“Janganlah risau sangat. Doalah yang terbaik untuk dia.” Luthfi pujuk aku. Mesti nampak sangat yang aku risau.

“Saya takut kalau dia hilangkan diri sebab saya.”

“Dia dah besar. Dia patut boleh fikir apa yang terbaik untuk diri dia. Awak tak payah risau pun.” Luthfi pujuk lagi.

Aku pandang dia. Dia pun tengah pandang aku. Masa tu kita orang tengah makan breakfast dekat kedai mamak dekat luar kampus. Luthfi yang belanja.

Tiba-tiba aku teringat. Soalan dia tentang hubungan kami hari tu aku belum bagi dia jawapan. Dan dia pun nampaknya tidak menggesa jawapan dari aku. Mungkin sebab dia tengok emosi sedang tak stabil kot. Jadi dia takut nak tanya. Tapi aku pun sebenarnya tengah tak nak fikir tentang hal tu sebenarnya sebab otak aku memang tengah serabut fikir pasal Faris ni. Jadi aku sangat menghargai tindakan dia yang tidak menggesa aku tu.

Nampak sangat yang dia semakin matang dan dewasa. Tahap kesabaran pun dah tinggi. Dia nampak jauh berbeza dengan Luthfi yang dulu, yang pernah aku kenal. Dalam diam aku rasa sangat selesa bersama dengan Luthfi yang sekarang ni.

Saya sayang awak Luthfi. Aku cakap dari dalam hati dekat dia sambil senyum dekat dia. Dan dia balas senyuman aku seolah-olah dia dapat dengar apa yang cakapkan tadi.

__________________

Aku terkecoh-kecoh balik ke bilik. Terkejut juga aku tengahari tadi sebab tiba-tiba dapat panggilan telefon dari Ayna. Dia ajak aku keluar makan dengan dia petang ni selepas aku habis kelas.

Bukan apa aku terkejut. Sebab dia jarang sebenarnya hubungi aku selepas matrikulasi dulu. Dan disebabkan itu jugalah aku kalau boleh tak nak tolak pelawaan dia tu walaupun penat sebenarnya lepas balik kelas ni. Tapi aku fikir bukan selalu pun aku dapat keluar dengan Ayna. Dia pun kawan aku juga. Dan aku sedih bila fikir yang persahabatan kami berdua semakin jauh. Jadi sekurang-kurangnya kalau aku keluar dengan dia ni, sedikit sebanyak dapat juga rapatkan kembali hubungan kami.

Sebaik sampai dekat bilik, aku solat Asar dan tukar pakaian aku. Tak sempat nak mandi dah sebenarnya sebab Ayna dah dalam perjalanan nak ambil aku dekat asrama. Dia sekarang dah ada kereta sendiri. Tak heranlah sebab dia pun anak orang kaya.

Lepas aku siap pakai tudung, telefon aku berbunyi.

“Aku dah sampai ni. Tunggu dekat bawah tau.” Ayna cakap dekat aku dari dalam telefon.

Jadi aku pun bergegaslah turun. Aku tengok Ayna tengah tunggu aku dari dalam kereta Swift biru.

“Cepatnya!” Dia cakap lepas aku masuk dalam kereta dia.

“Aku memang dah siap dan tengah tunggu kau tadi. Cantik kereta.” Aku cakap dekat dia.

Dia sengih aje dengar aku puji kereta dia. Lepas tu dia terus bawa kereta keluar dari kawasan kampus.

Ayna bawa aku makan KFC sebab dia kata dia dah lama tak makan. Aku ikut ajelah kehendak dia sebab dia yang bawa kereta. Lagipun, dekat KFC pun ada nasi. Jadi tak ada masalah dekat perut aku yang lapar teramat ni.

Nasib baik dekat restoran KFC tak adalah penuh sangat seperti selalu. Kira aku dengan Ayna masih jumpa tempat duduk untuk makan lagilah dekat restoran tu.

“So, apa cerita kau sekarang?” Ayna mula-mula buka perbualan semasa aku dengan dia tengah makan.

“Tak ada apa-apa cerita pun. Kaulah yang kena cerita dekat aku apa yang kau buat sekarang.” Aku tanya dia semula.

“Aku ni buat apa lagi, May? Aku pun sama macam kau juga. Belajar.” Dia jawab soalan aku.

“Tapi ada perkara yang aku nak tahu ni. Kau dengan abang Luthfi… er… together balik ke?” Dia tanya aku.

Aku berhenti makan sebab nak fikir jawapan yang sesuai nak bagi dekat dia.

“Together balik tu… belum lagi kot. Berbaik tu iya.” Aku jawab soalan Ayna. Dia macam pelik dengar ayat aku. Susah difahami ke ayat aku tadi tu?

“Maksudnya?” Dia tanya aku lagi sekali.

“Err… maksudnya… hubungan setakat sekarang ni masih lagi kawan biasa aje. Belum decide nak… err… ‘together’ semula.” Aku jawab dengan lebih terang dan jelas. Dan nampak gayanya dia lebih faham dengan jawapan aku kali ni.

Memang betul pun aku dengan Luthfi masih lagi berstatus kawan biasa sebab aku masih belum lagi memberi jawapan ‘ya’ dekat Luthfi. Jadi hubungan istimewa aku dengan Luthfi kira belum valid lagilah sebenarnya kan?

“Tapi yang aku tahu, abang Luthfi masih suka dekat kau.” Dia cakap lagi.

“Dia pun cakap dekat aku macam tu.” Aku bagitahu.

“Habis? Kau tak terima dia balik ke?” Ayna pelik. Aku sengih.

“Aku main-main jual mahal.” Aku cakap sambil sengih.

“Maknanya, kau nak terima dia semula lah?” Ayna tanya. Dan aku angguk. Dia pun angguk.

Aku dengan Ayna sambung makan makanan yang masih banyak dalam pinggan. Tadi kami berdua berhenti makan sekejap sebab tak best nak cerita sambil makan.

“Habis tu, Faris macam mana?” Tiba-tiba Ayna tanya soalan lain. Aku angkat muka dan pandang Ayna. Terkejut dia boleh tanya soalan tu.

“Kenapa dengan Faris?” Aku soal dia. Rasa macam ada perkara yang aku tak tahu tapi Ayna tahu.

Ayna berhenti makan dan sedut air minuman dia. Lepas tu tarik nafas sambil pandang aku.

“Aku minta maaf sebab tak pernah bagitahu kau pasal hal ni. Tapi, aku dah lama tahu yang Faris suka dekat kau sebenarnya.” Dia mengaku. Aku terdiam.

“Sejak bila kau tahu?”

Ayna diam setengah minit.

“Sejak matrikulasi.” Dia jawab sambil tunduk bersalah, tak nak pandang mata aku.

“Dia bagitahu kau ke?” Aku tanya. Dan Ayna angguk sebagai menjawab soalan aku tu.

Serius aku terkejut pasal ni. Tak sangka Ayna sebenarnya tahu yang Faris suka dekat aku dari matrikulasi hari tu lagi. Tapi aku tak kisah sangat dia tak beritahu aku sebab aku rasa dia pun ada sebab dia sendiri untuk tak beritahu.

“Aku baru aje tahu sebenarnya.” Aku cakap.

“Dia bagitahu kau?” Ayna tanya.

Dan aku pun cerita dekat dia tentang apa yang berlaku. Daripada aku dengar cerita dari Fatiha sampailah kepada cerita dia dah lebih seminggu hilangkan diri.

“Aku tahu dia kat mana sebenarnya.” Ayna cakap sebaik aku habis bercerita. Hampir tersedak aku yang tengah minum air bila dengar dia cakap macam tu.

“Kau tahu dia kat mana? Macam mana kau tahu?” Aku tanya sungguh-sungguh.

“Dia datang cari aku.” Ayna mengaku.

Aku tambah terkejut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience