Bab 26

Romance Series 5969

Bab 26

“Aku betul-betul tak sangka. Sebab korang berdua memang selalu bersama. Balik kampung sama-sama. Makan pun selalu sama-sama. Jadi aku ingatkan memang betul lah korang berdua ni bercinta.” Terngiang-ngiang ayat yang Fatiha cakap dekat aku semalam.

Nasib baik juga dia ada hasrat nak tanya aku semalam pasal hal ni. Kalau tak sampai sudahlah aku tak tahu apa-apa. Macam orang duduk dalam gelap tunggu cahaya.

Apa sebenarnya yang si Faris tu fikir sampai dia boleh berani beritahu satu kampus ni yang aku ni girlfriend dia. Pulak tu, tanpa cakap atau tanya atau confess apa-apa pun dekat aku. Rasa geram sangat dekat dia sampai aku pergi kelas pun rasa nak hentak-hentak kaki ke tanah.

Aku masuk kuliah dan dengar semua butir perkataan yang pensyarah cakap seolah-olah aku boleh makan perkataan-perkataan tu. Muka pensyarah tu pun aku pandang bagai nak telan. Sudahnya, tak ada siapa yang berani nak bercakap atau nak pandang aku sebab tengok aku bad mood macam gini.

“Kau kenapa Maya? Tak pernah bad mood macam ni. Period ke?” Alif budak satu kuliah tegur aku.

Aku pandang dia dan dia terus minta maaf. Mesti dia pun dah takut tengok muka marah aku yang aku sendiri pun tak berani tengok dekat cermin. Mesti huduh! Tapi peduli apa aku!

Misi aku hari ni ialah nak cari Faris dan rebus budak tu. Apa nak jadi jadilah! Yang dia pergi buat statement tak ada otak tu siapa suruh.

Aku keluar masuk kelas dari pagi sampai tengahari. Tapi langsung tak jumpa dengan Faris. Budak tu kan, time aku cari, dia mesti susah untuk ditemui. Kalau aku tak cari, ada aje muka dia tersembul dimana-mana. Nasib baik masa makan tengahari aku dah sejuk sikit. Jadi dapatlah aku makan dengan berselera. Nak marah orang kena ada tenaga. Jadi aku makan bersungguh-sungguh.

Akhirnya lepas waktu rehat tengahari misi pencarian jejak kasih aku pun berakhir. Aku nampak dia baru keluar dari computer lab dekat bangunan akademik bersama rakan-rakan seperjuangan dia yang aku tak berapa kenal sangat. Dari jauh aku laung nama dia. Takut dia lari.

Dia nampak aku dan sengih sambil berjalan pergi dekat aku. Kawan-kawan dia yang lain tadi semua dah pergi tempat lain. Rasa menyirap pula darah aku tiba-tiba bila tengok dia sengih tak ada rasa bersalah macam tu.

“Can we talk? Aku ada benda yang aku nak confront dengan kau.” Aku tengok dia berhenti sengih bila dengar nada suara aku yang memang jelas ada bunyi marah.

Dia angguk. Aku pun berjalan pergi ke arah bangunan workshop. Dia ikut aku dari belakang.

“Nak pergi mana ni?” Dia tanya.

“Ikut ajelah.” Aku jawab pendek.

Aku bawa dia sampai ke belakang bangunan workshop. Kat situ tak ada orang. Dan nak cakap apa-apa pun senang sebab confirm tak ada orang dengar. Dalam workshop ni penuh dengan mesin yang berbunyi bising jadi kalau nak mengumpat memang disitulah tempat yang paling sesuai.

“Okey. Cakaplah apa dia.” Faris dulu yang mula-mula bersuara. Mesti dia tak sangka yang aku akan tanya dia tentang perkara ni.

“Aku dengar kau bagitahu semua orang dekat kampus ni yang aku ni awek kau. Betul ke?” Aku soal dia. Nada suara memanglah rendah. Tapi aku rasa dia pun perasan yang aku tengah tahan diri aku daripada menjerit kuat-kuat dan maki hamun dia.

Faris berhenti dari pandang muka aku. Dia toleh ke tempat lain. Mulut dia macam terkunci. Hah! Jawablah. Aku tanya elok-elok dah ni.

“Mana kau dengar?” Dia tanya. Suara perlahan sangat.

“Dari mana aku dengar tu tak penting. Aku nak tahu, betul ke?” Kali kedua dah aku tanya soalan tu. Jangan buat aku tanya untuk kali ketiga.

“Betul.” Tapi kali ni Faris jawab tanpa teragak-agak.

Aku pejam mata dan tarik nafas dalam-dalam. Lepas tu buka mata balik dan tengok dia.

“Kenapa buat macam tu?” Aku masih lagi cuba sabar dan tanya dia dengan nada yang biasa.

“Alaaa Maya. What’s the big deal? Biarlah orang nak fikir apa pun yang penting kita berdua tahu perkara sebenar.” Dia jawab macam tu tanpa rasa berdosa.

“Masalahnya aku tak suka. Kau tahu tak?”

“Kenapa tak suka?” Boleh dia tanya aku soalan tu. Rasa macam nak lempang aje muka mamat ni walaupun dia ni kawan baik aku.

“Sekarang ni aku nak tahu kenapa kau buat macam tu!” Suara aku dah naik sikit. Tu lah. Siapa suruh tak menjawab soalan. Kan cikgu dah marah!

“Serius kau nak tahu kenapa?” Faris pandang aku tepat.

“Ya!”

Aku pandang muka dia. Dia pun pandang tepat mata aku. Tiba-tiba aku rasa menyesal tanya soalan tu sebab aku rasa macam aku dah agak apa yang dia nak jawab.

“Sebab aku memang betul-betul suka kau.” Faris jawab tanpa sempat aku halang dia dari mengeluarkan ayat tu.

“Aku declare macam tu supaya tak ada orang lain boleh kacau kau sebab kau aku punya. Itulah sebabnya.” Dia sambung lagi ayat dia.

“Aku suka dekat kau, Maya. Dari mula-mula kita berjumpa balik dekat matriks hari tu lagi.” Faris terus bercakap sedangkan aku terus terdiam tak tahu nak balas apa dekat dia.

Aku rasa nak telefon Luthfi sekarang juga! Sambil tu sempat juga aku fikir, kenapa tiba-tiba teingat dekat Luthfi ni?

__________________

Hujung minggu datang dengan cepat sekali. Begitu pantas masa berlalu. Sedar tak sedar dah pun sampai hujung minggu. Aku lah yang lega sebab tak payah pergi kelas. Tapi bila teringat dekat assignment yang menggunung terus tak jadi lega.

Aku bangun awal pada pagi Sabtu. Niat nak basuh kain yang aku dah kumpul selama seminggu. Mesin basuh dalam bilik laundry asrama mesti tak ada orang guna waktu ni sebab semua orang masih belum bangun.

Rasa macam teruk sungguh diri ini bila tak basuh baju selama seminggu. Nampak macam budak pemalas aje. Tapi nak buat macam mana sebab semester ni jadual aku agak padat berbanding dengan semester lepas. Rasa macam tak terkejar nak buat semua benda.

Tambah lagi minggu ni aku diserabutkan oleh hal si Faris. Sampai hari ini aku masih berperang dengan dia. Bila teringat pasal Faris ni aku mengeluh. Kenapa aku tak perasan langsung sebelum ni? Aku langsung tak perasan yang dia sukakan aku.

Aku salahkan Faris sebab dia tak pernah bagitahu aku langsung tentang perasaan dia. Tapi bila fikir balik, kalau dia bagitahu pun, aku nak jawab apa dekat dia? Takkan aku nak cakap aku pun suka dia.

Sumpah aku hanya pandang dia hanya sebagai seorang kawan. Dan aku benci bila kita orang bergaduh macam ni. Rasa macam patah sebelah kaki sebab biasanya hidup aku sentiasa ada dia. Tapi itu tak bermakna aku suka dekat dia. Itu aku pasti sebab aku tahu pada siapa hati dan perasaan aku terletak.

Sepanjang minggu ni selepas aku confront dia hari tu, Faris asyik kejar aku ke mana aku pergi. Dan buatkan aku lagi serabut nak fikir pasal masalah dia.

“Aku diam bila tahu kau hak Luthfi masa aku kenal kau dulu. Tapi sekarang kau bukan dengan siapa-siapa lagi. Jadi aku berhak untuk suka dekat kau.” Faris cakap dekat aku masa dia jumpa aku dekat perpustakaan.

“Tapi itu tak bermakna kau boleh declare sesuka hati kau yang aku ni girlfriend kau. Kau ingat aku ni apa? Kau cakap dekat semua orang tapi kau tak cakap apa-apa dengan aku. Tu memang tak patut.” Aku balas dekat dia.

“Aku ingat kau pun suka aku lepas kau dengan Luthfi putus dulu.” Perlahan dia cakap dekat aku.

“Aku memang suka kau. Tapi sebagai kawan.” Aku sambung ayat kedua tu cepat-cepat lepas tengok dia macam berharap.

“Ni semua sebab kau dah berbaik balik dengan Luthfi tu kan? Kalau tak kau dah suka dekat aku dah.” Dia cakap dengan nada tak puas hati.

“Dia dah lepaskan kau sekali. Aku takkan biarkan dia ambil kau balik!” Faris cakap keras dan pergi tinggalkan aku di sebalik rak-rak buku dekat perpustakaan tu.

Aku rasa aku dah tak kenal Faris pada waktu tu. Faris yang aku kenal tak pernah cakap keras macam tu. Bila aku ingat semula, memang aku perasan yang perangai Faris akan mula berubah kalau isu tentang Luthfi timbul. Masa tu dia pernah cakap dekat aku yang dia tak suka Luthfi sebab Luthfi pernah buat aku sedih. Jadi aku ingat dia sebagai kawan hanya nak back up aku dan cuba melindungi aku daripada dikecewakan Luthfi lagi.

Memang lepas aku berbaik dengan Luthfi semula aku jarang cerita tentang Luthfi depan Faris sebab aku tahu dia tak suka. Tapi tak sangka pula sebab dia tak suka tu adalah kerana dia sukakan aku.

Memori aku melayang pula pada saat Luthfi hantar aku dengan Faris ke stesen bas semasa kitaorang nak balik kampung penghujung semester lepas. Kenapa masa tu Faris macam elok aje dengan Luthfi? Walaupun aku sangat-sangat yakin sebelum tu yang Faris akan marah kalau tahu aku jumpa Luthfi.

Tiba-tiba aku rasa penat nak fikir tentang semua perkara ni. Rasa macam nak cerita kat seseorang tapi masalahnya aku tak ada tempat untuk mencurahkan kisah aku yang sadis ni. Aku tak nak kongsi dengan Fatiha sebab aku rasa perkara ni peribadi. Lagipun aku dengan dia bukannya dah kenal lama sangat pun jadi aku rasa agak kekok untuk kongsi tentang perkara ni dengan dia.

Aku teringatkan Ayna. Kalau dia ada, boleh juga aku cerita dekat dia. Tapi sekarang ni dia dah lain sikit. Nak ke dia dengar cerita tak matang aku ni? Kalau dia tak nak dengar, aku nak cerita dekat siapa lagi?

Sambil-sambil aku berangan, akhirnya siap juga aku cuci baju-baju aku yang bertimbun tu. Aku sidai pakaian dekat ampaian dengan perasaan kosong. Rasa macam tak ada mood nak buat apa-apa pun. Lepas tu, aku balik bilik aku dan sambung berbaring atas katil.

Aku cuba nak tidur balik. Tapi malang otak aku ni tengah serabut. Jadi nak tidur pun susah. Sudahnya aku baring memandang siling selama setengah jam sampailah aku sedar ada SMS masuk.

“Minat nak tengok wayang?” Luthfi hantar mesej tu tepat pukul 9 pagi.

“Nak belanja ke?” Aku balas tanpa fikir panjang.

“Nak lah juga kalau orang tu minat.” Luthfi balas.

“Cerita apa?” Aku tanya semula.

“Ikut minat orang tu lah.” Dia hantar.

“Pukul berapa?” Aku tanya lagi.

“Saya sampai hostel awak satu jam dari sekarang. Boleh?” Luthfi pula yang bertanya.

“Okey.” Aku balas pendek dan bangun dari katil.

Aku tukar baju dan bersiap ala kadar seperti selalu. Memang jenis aku yang malas nak nak berfashionista sangat kalau nak keluar. Sekadar dah tutup aurat dengan sempurna dan kemas pada pandangan mata cukuplah. Lepas selesai bersiap, aku duduk bertapa atas katil untuk tunggu Luthfi sampai.

Sementara tu, aku fikir sama ada nak cerita dekat Luthfi tak tentang perkara yang telah terjadi dekat aku minggu ni hari tu. Tertanya-tanya juga kalau aku cerita, nak ke dia dengar? Tambah pula status aku dengan Luthfi sekarang ni masih lagi kabur. Aku pun tak tahu dia anggap aku ni apa dengan dia sebenarnya. Tapi yang pasti, kami masih kawan.

Luthfi sampai lambat dua puluh minit. Beriya dia mintak maaf. Katanya jalan sesak. Aku tak marah langsung pun sebenarnya. Tak ada mood pun nak marah dia. Lagipun dia dah minta maaf sebaik saja dia nampak muka aku keluar dari asrama. Nak marah buat apa?

“Awak nampak lain macamlah hari ni.” Dia tegur aku masa kitaorang tengah duduk makan ais krim McFlurry dekat McDonald.

Cerita yang kita orang nak tengok kat panggung wayang tu mula pukul 11.50 pagi. Jadi sementara menunggu nak masuk panggung, Luthfi ajak aku lepak-lepak dulu dekat McDonald.

“Lain yang macam mana?” Tertanya-tanya juga aku, nampak sangat ke aku tengah tak ada mood?

“Awak diam terlebih hari ni. Ada problem ke?” Dia tanya dengan wajah yang penuh keikhlasan. Terharu juga sebenarnya sebab dia berjaya baca gerak geri dan perasaan aku walaupun aku tak cakap.

“Tak ada.” Tiba-tiba perasaan malas nak cerita datang. Asalnya aku nak cakap aje dekat dia. Tapi bila fikir nanti aku kena explain panjang lebar dekat dia, buat aku jadi malas. Tak ada mood!

“Tipulah.” Dia cakap sambil suap ais krim ke mulut dia.

“Kalau tak nak kongsi tak apalah. Tapi kalau nanti bertambah stress jangan salahkan saya pulak. Dah offer nak berkongsi masalah ni.” Dia sambung cakap lagi.

Aku fikir balik dua minit sebelum tarik nafas dalam-dalam dan buat keputusan untuk bercerita dekat dia. Tapi dengan ayat yang mudah dan ringkas dan tak perlu aku hurai panjang-panjang. Cukup untuk dia dapat gambaran kepada ceritera aku tu aje.

“So awak marahlah dekat Faris?” Dia tanya selepas aku cakap segala-gala yang aku nak cakap.

“Taklah. Saya puji dia lepas tu.” Aku cakap sambil buat muka. Dia gelak tengok aku buat macam tu. Tiba-tiba mood aku datang lepas tengok dia gelak tu. Seronok tengok dia senyum.

“That’s why people said, lelaki dengan perempuan susah jadi kawan baik.” Dia komen.

“Kenapa?”

“Sebab akan datang perasaan lain selain friendship. Natural law of attraction.” Dia tambah lagi.

Aku suap ais krim ke mulut. Tiba-tiba macam nak tanya dia sesuatu.

“Sebab tu ke dulu awak marah sangat kalau saya berkawan dengan lelaki lain?”

Dia diam sambil pandang aku. Seolah-olah tengah berfikir tentang jawapan kepada soalan aku tu.

“Yes.” Akhirnya dia jawab juga selepas diam setengah minit.

“I feel insecure.” Dia tambah lagi.

Ais krim yang aku tengah makan ni spontan rasa pelik. Janggal pula rasanya bila bercakap tentang hubungan lama kami. Agak lama juga kami berdua sama-sama mendiamkan diri lepas tu. Masing-masing layan fikiran masing-masing.

“Sebab tu dulu saya cakap, kepercayaan paling penting.” Aku keluarkan ayat tu tanpa tengok muka dia. Tapi aku tahu dia macam terkesima.

Jauh di sudut hati aku nak bagitahu dia. Kalau dia percayakan aku dulu, aku takkan khianati kepercayaan yang dia berikan. Sebab aku sayang sangat dekat dia. Aku tak pernah bayangkan masa depan aku tanpa dia. Tapi sekarang aku kena belajar terima kenyataan yang masa depan aku mungkin bukan berakhir dengan dia. Mungkin dengan orang yang aku tak kenal langsung pun. Itu semua adalah ketetapan Allah yang aku harus terima kalau terjadi suatu hari nanti.

“Sebenarnya…” Luthfi macam nak cakap sesuatu. Tapi dia teragak-agak.

“Saya pun ingat awak memang dengan Faris selama ni. Tambah pula lepas kita putus, dia yang ada dekat dengan awak. Jadi saya rasa awak pun mesti tak ada masalah untuk terima dia.” Dia cakap lambat-lambat. Tanpa tengok muka aku. Takut kot.

Aku pula terus tunggu ayat seterusnya dari dia.

“I didn’t see the clear line between you two. Mungkin awak saja yang insist Faris tu hanya kawan dengan awak. Tapi apa yang saya nampak, Faris tak pernah anggap awak kawan dia. Dia anggap awak lebih dari tu.”

Luthfi pun fikir macam tu rupanya.

“Tapi dah telanjur awak bagitahu yang awak dengan dia sebenarnya tak ada apa-apa, saya nak tanya ni. Agak-agak saya ni masih diterima tak?” Dia tanya soalan mengejut.

Aku terkedu. Seluruh badan macam lemah longlai tiba-tiba. Rasa sesak nafas sebab jantung aku tiba-tiba mengepam darah dengan lajunya. Dia nak lagi dekat aku rupanya. Kenapa selama ni dia tak cakap? Habis, apa aku nak jawab ni? Nak ke tak nak? Aku ragu-ragu.

“It’s okay kalau awak nak fikir dulu.” Dia cakap lepas tengok aku macam teragak-agak nak jawab.

“Saya faham. Bukan senang nak mulakan semula hubungan kita. Awak mesti fikir macam-macam kan?”

“Kenapa sekarang baru tanya soalan tu?” Aku tak tahu kenapa aku pergi tanya macam tu dekat dia.

“Sebab saya ingat awak dah ada orang lain. Jadi apa lagi saya boleh buat? At least, I still can remain as friend dengan awak.” Dia jawab tanpa berfikir panjang. Macam seolah-olah dia memang dah ada jawapan kepada soalan tersebut.

Lama kami berpandangan. Macam cuba membaca apa yang ada di benak masing-masing. Aku memang suka dia. Dan nampak gayanya dia masih suka aku. Jadi patut ke aku dan dia cuba bina balik apa yang pernah runtuh selama ni?

“Maya? Abang? Korang buat apa dekat sini?” Aku toleh bila dengar suara yang bertanya tu. Ayna baru datang dengan dulang makanan McDonald sambil tengah pandang aku dan Luthfi dengan pandangan yang susah untuk aku tafsirkan.

__________________

Aku perasan mood Luthfi berubah lepas kami terserempak dengan Ayna dekat restoran McDonald tadi. Masa tengok wayang tadi pun Luthfi macam tak selesa sebab Ayna pun ikut tengok cerita yang sama dengan kami. Cuma dia tak dapat tempat duduk sebelah aku atau Luthfilah. Tapi kitaorang masih boleh nampak tempat duduk Ayna dan Ayna pun nampak aku dengan Luthfi duduk dekat mana.

Bila aku tanyakan dekat Luthfi kenapa dia macam restless macam tu, dia cuba senyum dan jawab tak ada apa-apa. Tapi nampak sangat senyum dia tu senyum yang dibuat-buat.

Aku bertambah pelik. Luthfi dengan Ayna bergaduh ke? Nampak macam tak baik aje hubngan diaorang. Kalau betul bergaduh, sebab apa pula? Setahu aku dia orang berdua ni rapat. Macam adik-beradik.

Lama-lama aku pula yang jadi takut nak bertanya. Agaknya ada sesuatu yang berlaku antara mereka yang Luthfi tak nak aku tahu kot. Jadi aku rasa tak payahlah aku menyibuk nak tahu hal dia orang. Tapi kan, sungguh aku rasa tak seronok tengok Luthfi dengan Ayna tak baik macam selalu.

Lepas tengok wayang, Luthfi ajak aku pegi makan tengahari. Tadi dekat McDonald, kitaorang hanya makan ais krim aje. Nama pun nak buang masa sementara menunggu boleh masuk panggung.

“Tak ajak Ayna sekali ke?” Aku tanya sebab dia hanya cakap dekat aku pasal makan tu sedangkan Ayna ada sekali dekat-dekat dengan kita orang.

“Ayna tak suka makan dekat kedai yang kita nak makan ni nanti.”Luthfi bagi alasan. Sambil tu dia jeling dekat Ayna yang macam serba salah aje tengok kita orang.

“Tak apalah May. Aku dah nak balik dah sekejap lagi ni.” Ayna cakap dekat aku lepas Luthfi cakap macam tu tadi.

Lepas minta diri, Ayna terus balik. Lepas tu aku dah tak nampak dia dah.

Aku dengan Luthfi makan diam-diam aje. Aku takut nak tegur dia sebab aku takut dia tengah bad mood. Nanti dia marah pula. Lagipun, aku tak tahu nak ajak dia borak tentang apa untuk pulihkan semula dia punya mood tadi tu.

“Kenapa senyap? Tak sedap ke makanan tu?” Luthfi tegur aku tengah aku syok berangan fikir pasal dia tu.

“Eh, tak adalah. Sedap aje.” Aku cepat-cepat jawab. Lepas tu aku suap makanan cepat-cepat sampai tersedak.

Luthfi segera hulurkan air dekat aku. Aku sambut air dari tangan dia dan terus minum.

Aku tengok Luthfi gelak kecil.

“Awak tengah fikir apa tadi sampai boleh terkejut sampai macam ni sekali?” Dia tanya aku sambil ketawa.

Aku lap mulut aku sambil geleng kepala. Takkan nak cakap aku tengah fikir pasal dia. Tapi rasa lega jugalah sebab aku tengok dia dah senyum. Tak adalah buat muka ketat aje macam tadi. Dah okeylah tu agaknya.

Lepas makan, dia hantar aku balik asrama. Mulanya dia nak ajak aku jalan-jalan lagi. Tapi aku menolak dengan alasan aku banyak assignment nak kena buat. Tapi memang betul pun aku banyak kerja. Jadi bukan alasan tipu-tipu tau. Lagipun, stress pasal Faris dah hilang dalam panggung wayang tadi. Aku memang kena berterima kasih dekat Luthfi ni sebab bantu aku hilangkan stress.

“Nak tanya boleh?” Dia cakap semasa dalam perjalanan nak pulang ke asrama. Masa tu kereta Vios dia dah pun sampai dekat pintu pagar utama kampus.

“Apa dia?”

“Soalan saya yang masih tak ada jawapan tadi tu, agak-agak bila boleh dapat jawapan?” Dia tanya dengan suara yang perlahan. Rasa gugup pula dengar suara dia macam tu.

Kereta dia dah membelok ke simpang yang menuju ke kawasan asrama siswi.

Aku teringat soalan yang dia tanya dekat aku semasa kami dekat McDonald tadi. Aku senyum dalam hati sebab malu nak senyum terang-terangan. Lama aku diam untuk fikir jawapannya.

“Tengoklah dulu.” Aku jawab macam tu aje soalan dia tu. Itupun selepas kereta dia berhenti dekat depan blok asrama aku.

Aku ucap terima kasih dan turun dari kereta dia. Lepas tu aku tengok kereta dia berlalu pergi. Dalam hati rasa menyesal pula sebab tak cakap ‘Ya’ tadi. Tapi aku nak jual mahal sikit sebenarnya. Bagi dia rasa! Haha. Dalam hati, Allah saja yang tahu banyak mana bunga-bungaan yang dah berkembang mekar. Rasa bahagia sangat secara tiba-tba.

Aku baru nak berjalan naik tangga nak balik bilik aku. Tapi entah macam mana aku terpandang pula dekat seraut wajah yang dari jauh memerhatikan aku. Dia berdiri tak jauh dari blok bangunan asrama aku. Jadi aku masih boleh tengok muka dia dengan jelas.

Aku rasa aku tak dapat halau perasaan simpati bila tengok muka dia yang nampak jelas sedihnya. Aku minta maaf Faris!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience