Bab 31

Romance Series 5969

Part 31

“Betul ke apa yang Faris cerita dekat abah tadi?” Abah menyoal aku. Aku sampai tak berani angkat muka nak pandang abah.

“Betul ke tidak?” Abah soal lagi setelah melihat aku yang hanya membatukan diri ni. Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba aku tahan sedaya-upaya aku rasa marah yang sedang membuak-buak dalam diri aku sekarang ni.

“Bukan semuanya betul, abah. Jangan percaya sangat dekat Faris tu.” Aku cakap dengan nada yang tertahan-tahan. Tahan marah sebenarnya. Marah dekat Faris.

“Apa dia perkara tak betul yang Faris cerita tadi. Cuba cakap dekat abah.” Abah bersuara lagi. Rasa macam nak lari aje tanpa jawab soalan abah tu. Rasa nak lari pergi jumpa Faris dan tampar dia berkali-kali. Berani sungguh dia cerita dekat abah pasal aku. Aku tak pernah buat macam tu dekat dia pun.

Aku melepaskan keluhan. Bukan perkara mudah untuk aku terangkan perkara ni dekat abah. Lebih-lebih lagi aku tahu abah orangnya macam mana. Aku sangat arif dengan pendirian abah. Dan sebab itulah aku tahu setakat mana kesusahan yang aku bakal alami ni untuk menerangkan perkara yang sebenarnya dekat abah.

“Betul ke kamu ada berkawan rapat dengan budak bernama Luthfi tu?” Abah nampaknya menggunakan pendekatan yang lain pula selepas dia tengok aku langsung tak menjawab soalan yang diajukan.

Aku angguk.

“Kamu berkawan biasa aje ke atau lebih dari biasa?” Abah soal lagi. Aku dah buntu nak jawab. Dalam tempoh yang singkat sempat aku berkira-kira sama ada aku patut berbohong pada abah atau pun tidak.

“Adik kenal dia dah lama, abah. Lagi lama dari adik kenal Faris. Sebab tu adik rapat dengan dia.” Aku memilih jalan selamat. Tapi aku cakap perkara yang benar. Aku tak tipu.

“Dah lama? Sejak bila?” Abah masih menyoal.

“Dia senior masa sekolah menengah dulu. Adik masuk study group dengan dia.” Aku jawab soalan abah.

“Takkan boleh rapat sangat dengan senior sampai macam tu. Faris cerita kamu macam rapat sangat dengan budak tu. Siap boleh pinjamkan kereta lagi dekat kamu. Lain macam baiknya tu.” Abah cakap lagi.

“Dia minta tolong adik jagakan kereta dia aje lah, abah. Dia pergi kerja luar, lama tak balik rumah.” Aku balas balik.

“Habis, yang Faris cakap kamu asyik keluar makan berdua, keluar ke sana ke sini. Betul ke?” Abah soal pasal perkara lain pula. Aku rasa aku nak bunuh Faris waktu ni juga. Kaki mengadu!

Kali ni aku angguk aje dengan soalan abah tu. Tak larat dah nak fikir nak putar belit apa lagi dekat abah. Aku tahu, abah lagi pandai dari aku. Dan aku sedar, aku tak boleh berahsia lama-lama dengan abah.

Aku pejam mata. Menunggu bidasan seterusnya dari abah. Tapi lama aku tunggu, abah masih senyap. Lalu aku angkat muka dan pandang abah. Abah tengah pandang aku dengan raut wajah yang aku tak dapat tafsirkan. Marah ke?

“Kamu dengan budak lelaki tu bukan sekadar kawan biasa.” Ayat abah tu bukan pertanyaan lagi dah tapi kesimpulan. Aku hanya diam. Dah tak berani menidakkan apa yang abah nak cakap lagi lepas ni.

Lepas tu aku dengar abah mengeluh.

“Abah kan dah selalu pesan dengan adik. Abah tak suka adik keluar dengan lelaki sesuka hati. Tak elok dipandang orang.” Abah dah mulakan nasihatnya. Aku tunduk, terpaksa mendengar. Nak buat apa lagi kan?

“Abah nak adik fokus dalam pelajaran. Abah tak nak nanti adik sibuk buat benda lain selain dari belajar, pelajaran adik jadi merosot.” Abah cakap lagi. Lepas tu abah diam seminit seolah-olah memberi masa dan ruang untuk aku fikirkan kebenaran kata-kata dia tadi tu.

“Adik tahu. Sebab tu adik tak pernah pun abaikan pelajaran. Pernah ke adik fail dalam pelajaran selama ni, bah?” Aku ambil kesempatan ke atas kesenyapan abah sebentar tadi untuk membalas kata-kata abah.

Aku rasa sedih sebab abah tak percayakan aku. Aku tak suka bila abah anggap aku lemah bila bermain cinta. Aku bukan jenis yang boleh senang-senang hanyut dalam perasaan dan tak boleh fokus untuk pelajaran. Rasanya selama ni aku masih rasional. Sedang bila aku patah hati setelah ditinggalkan Luthfi dulu pun, aku masih boleh bernafas. Lagi satu, aku tak mahu biarkan abah menangkan Faris dalam hal ni. Kalau aku terus menurut kata-kata abah, beerti Faris menang. Dan aku tak suka dia menang. Aku kena lawan!

“Abah tahu adik tak pernah abaikan pelajaran. Abah Cuma bimbang kalau adik jadi macam tu di kemudian hari.” Abah balas kata-kata aku tadi.

“Adik tahu adik takkan jadi macam tu. Abah kena percayakan adik.” Aku cakap dengan tegas. Tapi dengan nada yang sesuai tanpa mengguris hati abah.

“Bukan abah tak percayakan adik, tapi…”

“Luthfi bukan orang yang boleh dorong adik buat benda-benda tak baik, abah. Dan dia pun macam abah, selalu dorong adik belajar betul-betul.” Aku cakap lagi. Spontan memori belajar bersama Luthfi di perpustakaan sekolah menjengah minda aku. Masa tu dialah sumber inspirasi aku untuk belajar bersungguh-sungguh.

Abah mengeluh lagi. Tapi tak cakap apa-apa dekat aku. Agaknya cuba berfikir ayat apa yang sesuai untuk dilontarkan kepada aku.

“Boleh kenalkan abah dengan Luthfi tu?” Abah soal aku tiba-tiba. Aku pun senyum tiba-tiba.

“Abah dah kenal pun. Dia pernah datang rumah kita ni. Abah tak ingat ke? Dia abang sepupu Ayna.”

AKU CAKAP DEKAT LUTHFI melalui SMS yang abah nak ‘berkenalan’ dengan dia. Cuak gila dia. Tak sampai setengah minit dia dah balas mesej aku.

“Nak buat apa? Kenapa? Dia marah ke? Bila abah awak nak jumpa?” Empat soalan sekaligus dia hantar dekat aku. Sengih sorang-sorang aku baca mesej dia tu.

Sebenarnya, dalam hati aku gusar tambah gelisah bila tahu yang abah nak jumpa dengan Luthfi. Tak pernah pun aku terbayang selama ni yang aku akan kenalkan seorang lelaki dekat abah. Bila fikir betul-betul rasa malu pun ada. Kalau aku ada mak, mesti lagi senang agaknya. Tak adalah rasa segan sangat sebab mak kan perempuan macam aku juga. Tiba-tiba rasa sedih pula bila teringat dekat arwah mak aku. Apa reaksi dia agaknya bila dia tahu aku berkawan dengan lelaki? Agak-agak sama macam abah ke tidak?

Nasib aku baik sebab abah kenal dengan si Ayna kawan baik aku tu. Jadi bila aku sebut Luthfi tu abang sepupu Ayna, tak adalah abah terus reject si Luthfi tu. Sekurang-kurangnya abah nampak macam nak buat pertimbangan dulu.

Dalam masa yang sama, aku sebenarnya tak faham juga dekat part abah selalu menangkan Faris. Along pun sama macam aku. Entah apa yang abah nampak pada Faris tu sampai dia akan terima seratus peratus apa yang Faris cakap dan cerita dekat dia.

Dan aku tak sangka yang Faris tu sangat busuk hati sampai berani pergi cerita macam-macam tentang aku dengan Luthfi dekat abah. Kenapa aku tak nampak perangai dia yang macam ni dari dulu lagi. Rasanya dulu dia sangat baik orangnya. Langsung tak terlintas dalam fikiran aku ni yang Faris boleh berperangai buruk dan gila sampai macam ni sekali. Takkan sebab aku tolak dia, dia terus berubah jadi jahat?

“Kenapalah abah kita ni strict sangat?” Aku luah dekat along tentang isi hati aku yang terbuku ni. Aku tanya dia sambil-sambil aku join dia tengok filem Tom Cruise dekat dalam bilik dia.

“Sebab abah kita tu cikgu. Cikgu besar pulak tu. Biasalah tu kalau cikgu-cikgu ni strict sikit dengan anak murid.” Dia jawab sambil mata dia tak lepas dari tengok skrin laptop dia. Tengah fokus dekat adegan Tom Cruise tejun bangunanlah tu.

Aku pandang muka dia. Adakah along aku ni terlupa yang dia pun bakal jadi cikgu juga? Cara cakap dia tu macamlah dia tak terlibat langsung dalam profesion pendidikan.

“Along tak strict pun.” Aku keluarkan ayat penyata untuk test dia.

“Along belum cikgu lagi.” Dia jawab selamba.

Aku angguk.

“Ooo… kalau dah jadi cikgu nanti baru nak strict ke macam mana?” Aku tanya dia lagi.

Along sengih dengar soalan aku.

“Entahlah. Tak tahu nak strict macam mana sebenarnya.” Dia jawab.

“Along sporting kot. Sebab tu Kak Sofia suka.” Aku suka sangat bila dapat usik dia. Lagi suka sebab aku tengok dia sengih lagi lebar.

“Kalau adik dengar macam mana abah brainwash along lepas tahu along kawan dengan Kak Sofia tu, mesti adik pun sakit kepala nak fikir. Tapi tak sangka pula akhirnya abah setuju nak pinangkan Kak Sofia tu nanti. Ingatkan mati-mati tak bagi.” Along bercerita.

Aku buka mata luas-luas.

“Abah tak bagi ke mula-mula? Habis tu macam mana abah boleh tukar fikiran?” Tak sangka juga aku yang along pun ada rintangan juga dengan Kak Sofia.

Along angkat bahu.

“Berkat doa Kak Sofea kot.” Dia jawab acuh tak acuh.

“Alahai! Drama sangat ayat along tu.” Aku gelakkan dia. Along pun ikut gelak.

“Memang keluarga cinta terhalanglah kita ni agaknya.” Along komen lepas tu.

Sempat aku doa dalam hati. Minta-minta abah okey saja dengan Luthfi nanti macam abah okey dengan Kak Sofea. Amin!

Aku rasa nak ketawa sambi berguling-guling bila tengok muka Luthfi sekarang ni. Tak pernah aku tengok dia cuak sampai macam ni sekali. Patutkah aku suruh dia bawak mengucap? Haha!

“Awak free tak masa tu nanti?” Aku tanya dia.

Aku baru saja beritahu dia yang abah aku kalau boleh nak jumpa dia masa majlis bertunang along aku nanti. Abah aku pun dah secara rasminya menjemput Luthfi menyertai rombongan pengantin lelaki kitaorang nanti. Jadi aku nak lah tahu sama ada dia boleh pergi tak nanti. Manalah tahu dia kena kerja pula waktu tu nanti. Kalau tak dapat datang, senang aku cakap dekat abah. Boleh abah set tarikh lain untuk jumpa Luthfi ni.

“Nanti saya check.” Dia jawab pendek. Muka dia masih macam ayam berak kapur. Aku tahan gelak sedaya upaya aku.

Luthfi hirup teh tarik dia dari gelas dia. Lepas tu suap roti canai telur kegemaran dia ke dalam mulut. Macam biasa, aku kena teman dia makan pagi bila mood dia nak makan roti canai telur ni dah datang. Macam tak ada orang lain dah nak teman. Kenapa dia tak ajak kakak dia? Kakak dia pun ada dekat kampus aku tu aje. Bukannya jauh pun. Balik-balik tempat yang sama juga.

Tapi aku dah tahu jawapan yang aku akan dapat kalau aku tanya dia soalan tu. Aku dah pernah tanya pun dekat dia. Dia akan jawab yang dia nak makan dengan aku, bukan dengan kakak dia. Dalam otak aku tak dapat nak proses. Entah apa yang penting sangat dengan siapa dia makan. Bukannya rasa roti canai telur tu jadi tak sedap kalau dia makan dengan Miss Lynn tu. Tapi nak buat macam mana, kenalah layankan.

“Faris selalu tak datang rumah awak masa cuti semester hari tu?” Dia tanya aku lepas kunyah dan telan makanan dia.

“Datang…” Aku jawab acuh tak acuh. Tapi sambil tu pandang muka dia untuk tengok reaksi.

Dia kerut dahi.

“Selalu ke?” Dia tanya.

“Emmm… selalu lah juga.” Aku jawab.

Part ni aku tak tipu. Memang dia kerap kacau aku dekat rumah pun. Aku tak tahu macam mana dia boleh berani sangat walaupun kadang-kadang waktu dia datang tu, abah aku ada dekat rumah. Nasib baik kalau abah ada, dia tak lah melebih-lebih sangat. Cepatlah juga dia balik.

Tapi kalau aku sorang aje yang ada dekat rumah, memang puas jugalah aku nak halau dia balik. Bukan apa, aku sebenarnya takut tengok dia. Muka dia sangat menyeramkan. Seolah-olah dalam otak dia tu ada perkara tak elok yang dia nak buat dekat aku.

Mula-mula dia datang waktu along dengan abah tak ada dekat rumah, aku marah dia cukup-cukup pasal hal yang dia pergi mengadu dekat abah tentang Luthfi. Tapi aku juga yang sakit hati akhirnya sebab dia buat bodoh aje dengan maki hamun aku tu. Yang paling aku tak boleh terima, dia tetap dengan ugutan dia tu yang dia akan dapatkan aku dengan apa cara sekalipun. Part tu memang buat aku takut sangat-sangat tengok dia. Macam perogol bersiri pun ada. Masa tu memang aku dah sahkan yang dia gila.

“Abah awak tak marah ke dia datang selalu tu?” Aku mengeluh bila dengar soalan dia tu.

Bab ni aku sebenarnya serba salah nak bagitahu dia. Tapi nampak sangat yang abah aku suka menangkan Faris dalam semua hal. Entah apa yang abah nampak ada pada Faris tu pun aku tak faham. Tapi apa yang aku dengan along aku perasan, lepas abah tahu tentang aku dan Luthfi, dia semakin suka melobi Faris dekat aku. Takkan dia nak buat Faris tu calon menantu? Eiii..tak nak lah aku dekat Faris tu. Gila!

“Abah sayang sangat dekat Faris tu. Saya pun tak faham.” Aku angkat bahu. Luthfi angguk aje sambil fikir sesuatu.

“Agaknya dia nak Faris jadi menantu dia kot.” Luthfi suarakan apa yang dia tengah fikirkan. Dan apa yang dia fikir tu sama pula dengan apa yang aku baru terfikir sekejap tadi.

Aku geleng kepala laju-laju.

“Janganlah buat lawak pagi-pagi ni.” Aku tepis tekaan dia tu. Sedikit ruang dalam hati aku tak mahu dia fikir macam tu. Aku dah pilih dia, dan aku harap abah akan suka juga dekat dia. Bukan lelaki lain.

“Apa pun, awak kena bersedia dari sekarang untuk jumpa abah saya. Ingat tu!” Aku pusing balik topik perbincangan kami jauh dari nama Faris. Malas nak fikir pasal mamat tu.

Luthfi senyum tengok aku. Entah macam mana jantung aku macam nak berhenti bila tengok senyuman dia tu. Aku jadi lupa nak bernafas. Tak sangka sampai macam ni perasaan suka aku dekat dia. Tapi cepat-cepat aku tersedar balik. Malunya kalau dia perasan yang aku sampai terpesona dengan senyuman dia tu. Senyuman yang aku selalu panggil senyum kambing satu masa dahulu.

“Apa senyum-senyum? Orang cakap serius ni.” Aku cakap nak cover sebenarnya.

Tiba-tiba Luthfi duduk menongkat dagu dekat meja makan tu dan pandang aku. Segan aku sebab dia pandang muka aku betul-betul. Rasa macam boleh tembus pula pandangan dia tu.

“Tak sangka kan? We are getting serious in this relationship.” Dia cakap dekat aku.

“Kenapa menyesal ke?” Aku cakap nak menduga dia. Sambil tu tahan perasaan dan control riak muka sebab dia masih lagi pandang muka aku dekat-dekat macam tadi.

“No. Saya memang nak serious dengan awak. Sebab lepas tu, awak dah tak boleh lari lagi dari saya.” Dia cakap. Aku tersenyum pula dengar dia cakap macam tu.

“Yakin ke saya tak lari?” Aku duga dia lagi sekali.

Dia angguk.

“You like me a lot. Awak nak lari kemana lagi.” Yakin sungguh mamat ni. Entah dari mana dia dapat keyakinan yang aku suka dia sangat-sangat tu tak tahulah.

“But I like you more.” Luthfi sambung lagi ayat dia sebelum sempat aku berangan jauh-jauh.

Dan aku rasa akulah orang yang paling gembira di dunia ni pada saat ini. I think I like you most, aku cakap dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience