Part 8
Pukul 8 pagi lagi, aku dah naik bas dari Terminal Kuala Lipis untuk balik ke Kuantan balik. Hari ni hari terakhir cuti sekolah, jadi kena balik asrama dah. Esok dah mula sekolah.
Memang pada kebiasaannya, aku naik bas saja untuk balik kampung, ataupun balik semula ke sekolah. Tak kuasa abah aku nak datang Kuantan tu untuk jemput dan hantar aku dekat sekolah. Ingat Kuala Lipis dengan Kuantan tu dekat ke? Dekat empat jam kalau naik kereta tau. Kalau naik bas lagilah teruk, sampai enam jam. Kuala Lumpur lagi dekat rasanya sebab kalau naik kereta dengan abah aku, 2 jam setengah dah sampai.
Lepas lebih kurang enam jam duduk dalam bas sampai sakit pinggang, akhirnya aku sampai juga dekat bandar Kuantan. Aku tengok jam dah dekat pukul dua masa aku sampai. Jadi aku pun solat Zohor dulu dekat Terminal Makmur ni. Lepas solat, aku keluar dari terminal dan jalan kaki pergi Megamall. Nasib baik aku tak bawa banyak barang.
Aku ni kalau balik kampung memang tak bawa balik banyak barang pun. Lecehlah nak angkut beg banyak-banyak waktu naik bas. Kalau aku naik bas ekspress tahan lagi. Tapi kalau naik bas sambung-sambung, mahu kejang aku pegang segala mak nenek beg aku…
Kalau naik kereta, tak jauh mana pun Megamall ni. Tapi sebab aku jalan kaki rasa macam jauh gila. Kalau naik teksi, mesti kena caj lebih lapan ringgit. Mahal betul naik teksi. Jadi daripada aku membazir duit aku lapan ringgit, baiklah aku exercise dengan jalan kaki tengah tengahari yang panas gila ni.
Lepas lima belas minit jalan kaki, akhirnya sampai juga dekat Megamall ni. Lega rasa lepas dapat duduk dalam air-cond. Dahlah tengah berpeluh-peluh macam atlet marathon. Lepas lima minit duduk dekat bangku yang ada dekat sekitar Megamall tu, aku terfikir nak beli barang sikit untuk bawa balik ke asrama nanti.
Dekat Megamall ni ada Cold Storage. Memanglah mahal sikit, tapi daripada aku nak jalan kaki pergi Mydin, alamat tercabutlah lutut aku ni. Nanti tak pasal-pasal pengsan lagi macam hari tu. Dahlah Luthfi tak ada nak sambut aku pengsan macam hari tu. Haha! Boleh pula aku terfikir pasal dia.
Dah teringat dekat dia ni, mulalah aku tak sedap hati balik. Entah kenapa aku risau sangat kalau si Luthfi tu merajuk sebab aku tipu dia hari tu. Tak pasal-pasal cuti seminggu aku tu, terpaksa aku habiskan dengan risau pasal dia. Tak enjoy langsung! Tapi yang aku ni risau tak menentu pun apasal eh?
Baru saja aku nak masuk Cold Storage, aku terfikir untuk ronda-ronda Megamall ni dulu. Nanti kalau dah shopping barang-barang dekat Cold Storage, susah pula nak merayau. Baik pergi merayau dulu. Selamba je aku ronda Megamall ni sorang-sorang. Dahlah dekat sini banyak budak gothic.
Aku naik tingkat atas sekali tapi turun balik ke satu tingkat kat bawahnya sebab dekat atas sekali bukannya ada apa-apa. Yang ada pun panggung wayang, bowling dan sekufu-sekufu dia. Tak ada kerja aku pergi situ sorang-sorang. Tak seronok! Lainlah kalau ada Ayna. Boleh juga aku layan Karoke Jamban dekat situ dengan dia.
Lepas satu tingkat, satu tingkat aku jelajah. Lama dah tak pergi Megamall ni sampai banyak kedai baru dah buka pun aku tak tahu. Sampai balik dekat Ground Floor, aku ternampak kedai buku Popular. Aku pun singgah dekat situ untuk tengok buku-buku baru dengan senarai diskaun yang ada dekat situ. Nanti bila banyak duit boleh aku beli novel baharu. Haha! Bilalah agaknya baru aku ni ada duit. Selalu duit aku cukup-cukup makan je.
Aku keluar balik dari Popular bila dah bosan tengok barang-barang dekat situ. Window shoppinglah katakan, tengok sajalah. Belinya tidak. Ingat nak makan dulu dekat KFC. Jadi aku pun masuk KFC. Lepas beratur dan beli makanan, aku naik ke tingkat atas. Dekat situ tak ramai sangat orang biasanya. Meja pun lagi banyak.
Aku pun duduk dekat satu meja yang agak jauh daripada orang lain. Dapatlah privacy sikit konon-kononnya.
Aku baru saja nak suap ayam goreng spicy dalam mulut bila aku ternampak seseorang yang aku kenal dekat McD yang terletak betul-betul berhadapan dengan KFC ni. Aku tinjau betul-betul untuk pastikan apa yang aku nampak ni betul. Sah! Memang Luthfi yang aku nampak tengah makan dekat McD tu. Tak sangka boleh jumpa dia eh…
Tapi kan, dia bukan makan seorang. Betiga pun bukan. Macam tak percaya aku tengok dia tengah makan berdua dengan seorang perempuan yang nampak tua sikit dari dia, tapi taklah tua banyak sangat pun. Perempuan tu pula, memang cun habis. Rambut dia lurus dan panjang sampai ke pinggang. Badan pun langsing dan tinggi macam model. Kulit pun cerah. Pakai pun macam artis gitu. Kesimpulannya, perempuan tu memang cantiklah!
Ayam goreng KFC yang aku paling suka ni tiba-tiba jadi tak best. Rasa macam berat je aku nak suap makanan ni dalam mulut. Apasal aku jadi macam ni? Mana pergi selera aku yang berkobar-kobar tadi.
Aku nak alihkan pandangan aku daripada terus pandang Luthfi. Tak tahu kenapa aku rasa senak perut bila tengok dia dengan perempuan tu. Nak period ke aku ni? Tapi semakin aku cuba tak pandang dia, makin gatal pula mata aku ni nak tengok dia.
Aku asyik tengok dia berbual-bual mesra dengan perempuan tu sambil suap ayam ke dalam mulut tanpa ada perasaan pun. Kenapalah aku jadi macam ni tiba-tiba? Tengah-tengah aku asyik tengok dia, baru aku perasan yang dia pun tengah tengok aku. Alamak! Dia dah nampak akulah!
Senak perut aku tadi terus bertukar jadi kecut perut bila tengok dia bangun dan datang ke arah aku. Nasib baik aku dah telan makanan aku, kalau tidak mesti aku nampak buruk sebab tercengang dengan mulut penuh.
“BUAT APA KAT sini?” Tanya Luthfi lepas dia datang dekat aku.
“Makanlah. Buat apa lagi?” Takkan aku tengah bersilat pula dekat KFC ni.
“Itu saya tahulah… Tapi kenapa tak balik hostel lagi?” Dia tanya lagi.
“Awak pun tak balik lagi… Kenapa nak sibuk suruh saya balik?” Aku jawab dengan nada suara yang macam marah. Aku marah dia ke? Kenapa aku nak marah dia pula? Hari tu bukan aku yang risau sebab dia merajuk dengan aku…
“Sorang je ke?” Dia tanya lepas lama mendiamkan diri. Dia masih lagi berdiri dekat depan meja makan aku. Tak sudi pun duduk sekali dengan aku.
“Takkan berdua pula… Awak ada nampak orang lain lagi ke dekat sini?” Aku perli dia.
“Manalah tahu kalau ada boyfriend yang tolong hantar sampai sini…” Cara dia cakap tu macam dia tengah perli aku saja.
“Naik bas je… Tak ada orang yang hantar pun…” Aku jawab sambil sambung makan. Tak tengok dia dah pun. Rasa macam sakit hati sikit dengan dia.
“Nanti balik hostel naik apa?”
“Naik feri…” Aku jawab acuh tak acuh. Dia kerut kening dengar jawapan aku.
“Baslah… nak naik apa lagi.” Ingat aku ni banyak duit nak naik teksi? Dahlah duit aku dah terlabur sikit dekat KFC ni…
“Mana barang?” Dia tanya lagi. Tak habis lagi soal siasat dia ni rupanya.
“Barang apa?” Aku tanya balik macam manusia tak ada akal.
“Barang awaklah… beg-beg semua mana?”
“Ini…” Aku jawab sambil muncungkan mulut dekat beg galas aku dekat kerusi sebelah.
“Tu je?”
Aku angguk je sambil sedut air Pepsi pula. Dia diam sekejap, macam tengah fikir sesuatu.
“Tunggu sini kejap eh…” Dia pesan dekat aku lepas tu dia pergi balik dekat awek dia tadi. Awek ke? Aku agak sajalah istilah awek tu.
Aku pula terus bangun nak basuh tangan walaupun ayam aku ada lagi dekat dalam pinggan tu. Sayang nak tinggalkan macam tu je… Tapi aku rasa dah tak larat nak makan, bukan sebab kenyang, tapi sebab sakit hati. Eh, kejap! Kenapa aku sakit hati pula ni?
Lepas basuh tangan, aku terus angkat beg aku dan lari cepat-cepat keluar dari KFC sebelum dia nampak aku. Entah kenapa aku perlu lari dari dia. Bukannya aku ada buat salah dengan dia pun. Tapi aku rasa tak seronok bila tengok muka dia hari ni. Tak macam selalu. Biasanya aku ni excitedlah juga kalau jumpa dia.
Excited? Biar betul aku ni?
Aku lari sampai masuk dalam Popular balik. Lepas tu aku sembunyi dekat belakang rak novel sambil buat-buat belek novel yang ada dekat situ. Tak lama lepas tu
aku nampak Luthfi masuk Popular juga. Awek dia tadi tunggu dekat luar. Aku tengok Luthfi macam tengah cari aku, jadi aku menyorok dekat tempat lain pula.
Aku pergi dekat rak ensiklopedia sebab rak-rak dekat situ semua tinggi-tinggi. Harap-harap dia tak nampaklah kalau aku sembunyi dekat sini. Nasib baik dekat area ni tak ramai orang. Kalau tak mesti orang pelik tengok aku yang terhendap-hendap ni.
Lepas lima minit aku terjenguk-jenguk dekat sebalik rak-rak buku tu, barulah aku rasa selamat. Dia tak jumpa aku dah kot. Lama dah rasanya aku sembunyi ni. Takkan dia masih nak cari aku lagi. Aku fikir sorang-sorang.
“Buat apa dekat sini?” Tiba-tiba ada orang deka belakang aku bertanya. Terkejut gila aku. Dari mana mamat ni datang? Bukan ke aku dah sembunyi dari dia tadi?
“Saya suruh tunggu dekat KFC tadi, kenapa tak tunggu?” Dia cakap dekat aku. Macam bengang saja bunyinya.
Aku diam. Tak jawab pun pertanyaan dia tadi.
“Jom.” Dia tarik tangan aku. Nak bawa aku pergi ke mana pula ni?
“Pergi mana?” Aku tarik balik tangan aku, tak nak ikut dia.
“Jom ajelah…” Dia tarik semula tangan aku. Kali ni lebih kuat dia genggam pergelangan tangan aku.
“Sakitlah!”Aku marah dia. Tapi dia buat tak peduli saja dan terus arik aku keluar dari Popular.
Aku terpaksa ikut dia sebab tak nak orang ramai yang ada dekat sini pandang pelik dekat kami berdua yang macam main heret-heret ni.
Dia bawa aku ke tempat letak kereta. Aku tengok awek Luthfi yang cun-melecun tadi dah tunggu dekat tepi sebuah kereta Toyota Vios putih. Kereta dia lah tu kot.
Sampai saja dekat kereta tu, Luthfi buka pintu belakang. “Masuk.” Suka hati dia saja nak arah-arahkan aku.
“Kenapa kena masuk pulak?” Aku tanya dia dengan nada suara yang agak tinggi. Biar dia tahu yang aku tengah marah. Dahlah tarik tangan aku kuat-kuat tadi. Lepas tu boleh pula paksa aku masuk dalam kereta dia. Macam nak culik aku je. Dia tengah culik aku ke ni?
“Masuk ajelah…” Dia paksa aku lagi.
“Isy!” Aku memberontak depan dia tapi masuk jugalah kereta dia tu. Nanti kalau kalau terus tak nak masuk, silap-silap dia yang tolong sumbatkan aku ke dalam kereta dia tu nanti.
Lepas aku masuk, barulah Luhfi dan aweknya masuk ke dalam kereta tu. Luthfi terus pandu keluar dari tempat letak kereta.
“Sayang, jangan lupa drop I dekat ECM. I nak shopping lagi ni.”
Tak tahulah kenapa aku rasa sebal bila dengar perempuan yang dekat depan aku ni panggil Luthfi sayang. Aku jealous ke? Tapi kenapa pula aku nak jealous.
“Iyalah… orang ingat lah…” Luthfi jawab. Nada dia tak ada macam marah-marah pun. Taklah macam masa cakap dengan aku tadi. Kenapa dengan aku dia tak boleh cakap elok-elok, tapi dengan perempuan ni boleh pulak? Tiba-tiba aku rasa nak menangis.
Lepas dialog pendek tu, kami bertiga masing-masing mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Luthfi berhenti dekat depan East Coast Mall, dan awek dia turun dekat situ. Tapi sebelum dia turun, sempat dia cium pipi Luthfi.
Berbulu biji mata aku tengok. Aku tolong istighfar bagi pihak Luthfi dalam hati. Dia tak rasa apa-apa ke? Kata Presiden JAQWA. Macam ni ke ketua JAQWA punya perangai? Ayna mesti tak tahu ni.
Lepas awek dia yang meletup tu pergi, dia pandang aku yang duduk dekat tempat duduk belakang. Baru ingat aku ada sekali dalam kereta ni kot. Aku buat-buat tak nak pandang dia.
“Tak nak duduk depan?” Dia tanya aku. Kali ni nada dia lembut dah. Tak kasar macam tadi. Tiba-tiba rasa marah dengan menyampah aku tadi hilang sedikit demi sedikit. Rasa cair jer hati aku ni…
Eh! Tak boleh! Mana boleh mengalah cepat-cepat dengan dia ni. Merajuk lama sikit! Aku bisik dekat diri sendiri dalam hati.
“Kalau tak nak tak apa…” Dia cakap lepas seminit aku diamkan diri, tak jawab soalan dia tadi. Lepas tu dia terus pandu kereta ke tempat yang aku tak tahu.
Aku tak pasti ke mana dia bawa aku. Aku memang tak tahu pun. Aku nak tanya, dia nak bawa aku ke mana? Tapi soalan tu tak terkeluar dari mulut aku sebab aku tengah merajuk dengan dia. Jadi tak nak cakap apa-apa dengan dia.
Lepas lima belas minit perjalanan, kami tiba dekat satu kawasan perumahan. Sekali tengok saja dah tahu yang kawasan perumahan ni hanya orang-orang kaya yang duduk. Sebab semua rumah dekat sini besar-besar dan gempak-gempak belaka. Rumah yang paling kecil pun, dua tiga kali lebih besar dari rumah aku agaknya.
“Awak nak bawa saya pergi mana ni?” Aku tanya lepas dah tak tahan simpan soalan tu dalam hati. Aku dah tersangat-sangat curios dah ni. Merajuk ke tak merajuk, aku kena tanya juga.
“Rumah saya…” Selamba dia jawab. Suka hati dia saja bawa aku pergi rumah dia.
“Nak buat apa dekat rumah awak?” Aku dah mula gelabah. Aku nak buat apa dekat rumah dia nanti. Aku bukan kenal mak dengan ayah dia pun. Nanti apa pula orang tua dia fikir bila dia bawa aku balik rumah. Macam aku ni ada skandal dengan anak diaorang saja.
“Saya nak balik hostel lah… Bukan nak pergi rumah awak…!” Aku cakap dengan nada suara yang tersangatlah cuak. Memang tengah cuak pun.
“Saya pun nak balik hostel nanti. Kita balik sama-samalah… Mummy saya hantarkan nanti…” Dia cakap macamlah mummy dia tu mummy aku juga. Senang-senang saja nak suruh mak dia hantar aku balik asrama sekali. Nanti kalau budak-budak sekolah tu tahu… Errghhh!!! Aku tak dapat nak fikir. Aku rasa semput tiba-tiba ni.
Tolong bagi bantuan pernafasan dekat aku cepat!
Aku baru nak marah dia sebab memandai-mandai heret aku ke rumah dia. Kan senang kalau aku naik bas tadi. Lagi pun, aku tak sempat nak beli semua barang-barang keperluan aku lagi tadi. Ni semua dia punya pasallah! Tapi, sebelum sempat aku buka mulut nak marah, kami dah sampai dekat depan pintu pagar rumah dia.
Rumah dia kan, punyalah besar sampai ternganga aku tengok. Nasib baik Luhfi tak nampak aku nganga. Dari luar kalau aku kira, rumah dia ni ada tiga tingkat. Dahlah besar gila, halaman pun besar gila. Agaknya rumah aku dekat Kuala Lipis tu sebesar bilik air rumah dia je kot. Mesti dia ni banyak adik-beradik sebab kalau tak buat apa ayah dia buat rumah besar-besar.
“Jom masuk.” Luthfi cakap dekat aku lepas dia parking kereta depan rumah dia.
Aku macam teragak-agak. Rasa macam badan aku keras semacam. Nak buat apa ni? Perlu ke aku masuk rumah dia ni? Aku nak cakap apa dengan mak ayah dia?
“Jomlah…” Dia dah buka pintu kereta untuk aku sebab aku masih tak turun-turun dari kereta. Aku cuak sangat sekarang ni. Rasa jantung aku berdegup laju gila.
Aku turun juga dengan perasaan yang tak tenteram ni. Rasa macam nak maki-hamun Luthfi ni sebab suka hati dia saja bawa aku pergi rumah dia ni tanpa tanya persetujuan aku dulu. Kalau dia tanya aku tadi, memang aku cakap tak nak pergi. Gila ke apa? Aku ni bukan siapa-siapa pun nak pergi rumah dia. Kenapa tak bawa awek dia yang cun-melecun tu pergi rumah dia? Kenapa bawa aku seorang je?
Luthfi tarik aku masuk rumah dia. Dia ni kan, kenapa asyik heret aku je hari ni? Kalau nak pergi, pergi sorang-sorang tak boleh ke? Kenapa kena heret aku?
Masa aku melangkah masuk rumah dia, aku rasa nak pengsan bila nampak mak dia datang dekat kita orang. Memanglah mak dia senyum dekat aku. Tapi aku rasa segan sangat dengan mak dia. Mak dia ni dahlah Puan Sri… Tengok gaya pun macam Datin Rosmah Mansur je. Nampak sangat yang mak cik ni orang kaya.
Aku salam dan cium tangan mak Luthfi lepas balas senyuman dia tadi. Aku tak tahu nak cakap apa. Nak tanya khabar pun tak berani. Rasa macam nak cakap dengan kerabat diraja je.
“Ni Maya…” Luthfi bagitahu mak dia. Mak dia angguk dan senyum dekat aku. Aku pun senyum balik dekat mak dia. Yelah, takkan nak menangis pula kan?
“Jemputlah duduk, Maya…” Aku pun buat macam yang Puan Sri ni suruh. Dengan patuh aku duduk atas sofa empuk dekat ruang tamu rumah Luthfi ni. Sofa dia punyalah lembut dan empuk, sampai aku duduk pun rasa tenggelam. Sofa negara mana dia import ni?
Puan Sri pun duduk sekali dekat depan aku. Aku rasa cemas sangat. Puan Sri nak borak-borak dengan aku sekali ke? Luthfi pula dah hilang entah ke mana. Dahlah suka-suki heret aku ke rumah dia lepas tu tinggalkan aku sorang-sorang dengan mak dia ni.
“Janganlah malu dengan mak cik, Maya. Anggap mak cik ni macam mak Maya je… Jangan segan-segan sangatlah.” Puan Sri cakap dengan aku. Agaknya dia perasan aku yang tengah nervous tahap gaban ni kot.
Aku senyum saja dekat mak Luthfi ni. Agaknya dah berapa kali aku senyum dekat mak cik ni sejak aku masuk rumah ni tadi ye? Mesti mak cik ni ingat aku ni tak reti bercakap sebab asyik senyum je.
“Macam mana boleh jumpa dengan Luthfi ni?” Mak Luthfi cuba nak berbual dengan aku. Peramah sungguh mak cik ni. Taklah sombong macam sesetengah orang kaya yang lain.
“Jumpa dekat Megamall masa tengah makan tadi…” Aku jawab. Suara punyalah aku control semanis yang boleh. Kalau boleh naklah mak cik ni tengok aku ni sebagai budak yang beradab.
“Balik dari Kuala Lipis tadi naik apa?” Mak Luthfi tanya lagi.
“Naik bas aje…” Lima saat lepas aku jawab soalan tu baru aku perasan sesuatu. Mana mak cik ni tahu aku duduk dekat Kuala Lipis? Siapa yang murah hati sangat pergi cerita kisah hidup aku dekat Puan Sri ni…?
Aku baru nak tanya soalan tu dekat mak Luthfi ni. Tapi tiba-tiba loceng rumah Luthfi berbunyi lah pula. Tak sempat aku buka mulut tadi.
“Hah…sampai dah Ayna agaknya.” Mak Luthfi cakap lepas tu bangun pergi buka pintu rumah.
Ayna? Macam mana minah tu boleh ada dekat sini pula? Macam-macam soalan aku rasa nak tanya sekarang ni. Misteri sungguh rasanya.
“Ayna dah lambat ke ni Mak Long?” Tiba-tiba aku dengar suara Ayna dekat depan muka pintu. Aku salah dengar ke ni? Takkan Ayna kawan aku tu boleh ada dekat rumah Luthfi ni?
“Taklah… Luthfi pun tak siap lagi tu…” Puan Sri jawab. Aku tengok dekat muka pintu, Ayna yang aku kenal tu tengah bersalam dengan mak Luthfi. Nampak macam diaorang tu mesra semacam saja. Macam dah kenal lama.
“Ayna?” Terkeluar juga pertanyaan aku tu. Ayna baru perasan yang aku pun ada sekali dekat ruang tamu tu. Pelik dia tengok aku.
“Macam mana kau boleh ada dekat sini?” Ayna soal aku.
“Luthfi yang bawak tadi…” Mak Luthfi tolong jawab.
Aku tengok Ayna, Ayna pun tengok aku. Tiba-tiba Luthfi pun muncul dari arah tangga, baru turun dari tingkat atas. Turun-turun je, terus tengok aku lepas tu sengih. Senyum kambing tu lagi!
Aku dah confuse ni… Sesiapa boleh tak tolong terangkan dekat aku apa yang dah jadi ni?
Share this novel