Bab 30
Rasanya inilah pertama kali aku balik kampung sewaktu cuti semester tanpa Faris. Selalunya abah memang akan suruh aku balik dengan dia. Tapi sebab hubungan aku dengan Faris sekarang ni sangat teruk, aku buat keputusan untuk balik sendiri aje.
Puas juga aku nak yakinkan abah yang aku ni boleh jaga diri aku sendiri masa dalam perjalanan balik ke kampung tu. Aku faham perasaan abah yang bimbangkan aku. Lebih-lebih lagi aku ni perempuan. Tapi nak buat macam mana lagi kalau aku memang langsung dah tak boleh pandang pun muka Faris tu. Meluat rasanya.
Banyak kali juga Faris datang ajak aku balik dengan dia macam biasa. Dia kata dia dah belikan tiket bas untuk aku. Tapi aku tolak ajakan dia tu mentah-mentah. Aku minta tolong Luthfi beli tiket bas lain untuk aku. Nasib baik mamat tu sudi tolong aku. Kalau tak susah juga aku nak keluar pergi beli tiket bas.
Aku bangun awal pagi sebab tiket bas aku Luthfi beli untuk bas yang gerak pagi. Cepat sikit sampai katanya. Aku ikut ajelah. Lagipun dia sendiri yang dah berjanji dengan aku untuk tolong hantar aku ke stesen bas. Jimat duit teksi aku! Haha!
Barang aku banyak jugalah sebenarnya. Adalah dalam 3 beg besar. Nasib baik Luthfi ada. Boleh suruh dia tolong angkat nanti. Banyak sungguh agenda jahat nak membuli dia dekat dalam otak aku ni. Tapi nasib baik ada tiga beg aje. Puas juga aku sumbat barang-barang ni semua ke dalam 3 beg aje. Nasib baik muat. Yang tak muat aku dah sedekah aje dekat kawan-kawan aku yang berminat dengan barang-barang aku tu. Kalau nak bawa balik pun memang dah tak cukup tempat aku nak letak.
Seperti hari tu juga, Luthfi geleng kepala tengok aku heret tiga beg saiz gergasi. Mesti dia nak cakap barang aku beranak-pinak lagi. Lantaklah!
“Baru satu semester dah banyak barang semula macam ni?” Dia cakap dekat aku. Aku sengih ajelah. Nak cakap apa lagi.
Dia tolong letak beg aku ke dalam kereta dia. Dua beg aje muat dalam bonet kereta. Yang satu lagi letak dekat tempat duduk belakang. Nampak tak betapa besarnya beg aku itu?
“Faris balik bila?” Luthfi tanya lepas aku naik kereta dia dan dia dah mula memandu menuju ke stesen bas.
“Rasanya tiket dia lusa. Esok dia ada paper lagi.” Aku jawab selepas berfikir sejenak.
Luthfi pandang aku sekilas.
“Mana awak dengan tahu jadual exam dia semua sekali ni?” Dia tanya aku. Adakah aku baru dengar nada cemburu di situ?
“Kawan sekelas dia cakap dia orang ada exam sampai esok. Jadi mestilah termasuk dia sekali kan?” Aku jawab. Memang betul pun. Nasib baik aku kenal dengan Intan, kawan sekelas Faris. Jadi aku tanyalah dia. Nak suruh aku pergi tanya Faris memang tak lah. Aku kan konon-kononnya musuh ketat dia sekarang ni.
Luthfi angguk dengan penjelasan aku tu.
“Jealous ke?” Aku saja nak duga dia.
“Of course!” Dia cakap. Tapi bibir dia tersenyum nipis. Aku pun ikut tersenyum lepas tengok dia senyum macam tu. Teringat pula waktu dulu-dulu. Kalau cemburu mesti sampai merajuk-rajuk panjang. Sekarang nampaknya dia dah tak macam tu dah. Luthfi pernah cakap dekat aku yang kalau boleh dia tak nak merajuk dengan aku dah. Sebab dia takut nanti aku terus tinggalkan dia sebab malas nak pujuk dia. Tahupun yang aku ni tak reti pujuk orang merajuk.
Aku sampai dekat stesen bas sejam lebih awal dari masa bas bertolak. Memang aku nak sampai awal pun kalau boleh. Manalah tahu kalau dalam perjalanan tadi terjadi apa-apa. Tak pasal-pasal aku boleh tertinggal bas. Aku sampai awal tak apa. Jangan bas yang sampai awal.
Luthfi ajak aku makan pagi dulu dekat gerai makanan yang ada dekat sekitar stesen bas memandangkan aku belum lagi bersarapan. Sebetulnya, aku memang lapar pun. Tapi aku segan nak cakap dekat dia. Dahlah setiap kali aku keluar makan dengan Luthfi ni, dia yang akan bayarkan makanan kitaorang. Aku sebenarnya boleh aje bayar dengan duit aku. Aku teringin sebenarnya nak belanja dia ni tapi Luthfi tak bagi. Kadang-kadang sampai berkelahi sebab dia tak nak aku bayar. Sungguh tak adil mamat ini. Tahulah aku ni tak banyak duit macam dia. Sampai tak laku duit aku nak belanja dia makan. Sedih!
Luthfi seperti biasa akan makan roti canai telur. Minat sungguh dia dengan roti canai telur. Agaknya favorite food dia kot. Kalau betul, memang down to earth sungguh lah dia ni. Anak Tan Sri mana lagi yang suka makan dekat gerai biasa-biasa macam ni? Dahlah makan roti canai telur lagi.
“Kenapa tak makan? Awak berangan apa ni?” Dia tegur aku lepas tengok aku tak makan makanan aku. Cepat-cepat aku makan. Takkan nak cakap yang aku tengah berangan pasal dia. Jatuh saham aku yang tak berapa nak banyak ni!
AKU TURUN DARI BAS dan terus nampak abah. Abah nampaknya memang dah lama tunggu aku sampai dekat Stesen Bas Kuala Lipis ni kot. Aku senyum dekat abah dari jauh. Rasa rindu membuak-buak dekat abah. Terus aku berjalan menghampiri abah.
“Lama dah abah tunggu?” Aku salam dan cium tangan abah sambil bertanya.
“Baru je.” Abah jawab pendek. Dalam hati terdetik satu perasaan yang kurang enak bila dengar respon abah macam tu. Ada sesuatu yang tak kena ke, atau aku yang berimaginasi?”
Abah tolong angkat beg aku ke kereta. Aku pula ikut aje abah ke kereta. Along tak ikut sekali sebab dia ada kerja lain, abah yang beritahu.
“Kenapa tak balik dengan Faris?” Abah tanya aku lepas sepuluh minit kita orang dekat dalam kereta. Aku telan air liur.
“Dia habis exam lambat. Malas nak tunggu.” Aku jawab soalan abah. Cuba cover perasaan cuak sambil itu.
“Lambat sangat ke dia habis? Tak boleh tunggu sehari dua pun?” Abah soal lagi. Aku bertambah cuak.
“Err… tak boleh dah tangguh nak balik. Adik dah rindu sangat dah dekat abah.” Aku jawab soalan abah dengan nada ceria dan gembira. Minta-minta abah berhentilah tanya pasal Faris.
Rasanya plan aku tu berjaya sebab abah sengih bila dengar aku cakap aku rindu dekat dia.
“Tak sangka ada juga orang yang rindu dekat abah ni.” Abah cakap sambil senyum. Aku tarik nafas lega.
“Mestilah! Abah tak tahu ke selama ni?” Aku tanya abah. Dah berani sikit dah nak bergurau-senda dengan abah.
Abah gelak dengar aku tanya macam tu. Lagilah aku bertambah lega.
“Tapi lain kali, balik lah dengan Faris. Abah risau adik balik sorang macam ni. Kalau apa-apa jadi macam mana?” Abah sebut semula nama Faris. Hilang lega aku.
Dalam hati aku dah berkecamuk. Kalau abah tahu aku bergaduh dengan Faris, mesti dia marah. Abah dahlah suka aku berkawan dengan Faris tu. Tapi berkawan ada batasanlah. Rasa macam biarlah aku terus berahsia aje dengan abah pasal Faris. Lagi selamat. Tambah pula, abah tak ada kaitan pun dengan apa yang terjadi dekat aku dengan Faris. Jadi tak ada masalah pun kalau tak cerita dekat abah.
“ALONG, BILA NAK BAWAK Kak Sofia jumpa adik?” Aku tanya Along aku yang tengah makan Cocopie sambil tengok movie dekat laptop dia. Tak ada kerja lah tu. Sebab tu rilek semacam.
Along sengih aje dengar soalan aku tu. Mata dia masih dekat laptop. Amboi! Khusyuk sungguh.
“Along!” Aku jerit sambil cucuk pinggang dia dengan jari. Terkejut along aku ni.
“Sakitlah!” Dia cakap sambil pause movie yang dia tengah tengok tu.
“Tulah, siapa suruh tak layan orang tadi.” Aku cakap. Lepas tu aku duduk atas kerusi dekat meja study dia. Along aku tu dah duduk terbongkang atas katil dia sambil sengih tengok aku macam kerang busuk.
“Nak jumpa siapa?” Dia tanya dengan suara gedik.
“Kak Sofia.” Aku jawab. Tengok reaksi muka dia. Alahai, tersipu-sipu malunya! Lawak pula aku tengok dia macam ni.
Lama along aku ni hanyut dalam angan-angan. Mesti teringat dekat Kak Sofia. Dalam hati aku cuba meneka apa yang sedang along aku ni bayangkan agaknya ye?
“Kenapa nak jumpa?” Aku angkat kening dekat dia bila dengar soalan tu. Aik? Tak boleh ke aku jumpa? Apa along ingat aku nak buat apa-apa dekat buah hati dia tu ke? Amboi!
“Nak cubit.” Aku menyakat. Saja nak tengok reaksi dia. Dan memang seperti yang aku dah bayangkan pun. Bulat mata dia pandang aku bila dengar aku nak cubit buah hati dia.
“Berani nak cubit dia?!” Along pura-pura marah.
Aku gelak kuat-kuat tengok dia marah aku macam tu sambil geleng kepala. Tak sangka aku dapat tengok along aku yang macho ni berperangai macam ni.
“Tak nak pun…” Aku cakap lepas ketawa aku reda.
Aku tengok along pun tengah sengih dekat aku. Malulah tu bila buat berperangai macam tu depan aku. Selama ni control macho sangat depan aku.
“Nak jumpa ke?” Dia tanya aku.
“Mestilah nak. Kata bakal kakak ipar. Kenalah bakal adik ipar ni interview dulu.” Aku cakap mengada-ngada.
“Eleh! Besar sangat ke kuasa adik ipar ni sampai nak interview bagai?” Along cubit pipi aku.
“Sakitlah!” Aku cakap sambil sapu pipi aku yang baru kena cubit ni. Pergh! Pedih jugalah rasanya.
“Tahu pun!”
“Kalau along cubit Kak Sofia macam ni, confirm dia reject along. Sakit tau tak?”Giliran aku pula yang tarik cuping telinga dia.
Lepas tu sebelum sempat along nak balas apa-apa dekat aku, aku dah cabut lari dah. Sambil ketawa kuat-kuat dekat dia. Mesti dia bengang dapat adik macam aku. Tapi aku dengan along aku memang macam tu. Suka menyakat antara satu sama lain. Along pun memang dah selalu main kasar dekat aku. Biasalah lelaki. Aku dah tak heran pun kalau setakat kena cubit sampai lebam biru sekali pun.
Tapi yang penting, aku nak kacau along aku tu sampai dia bawa aku jumpa Kak Sofia. Kalau tak, memang tak sah aku balik cuti semester kali ni.
Pagi hari Sabtu. Aku bangun awal pagi dan tolong abah siapkan sarapan. Abah mesti dah terbiasa nak siapkan sarapan bila aku tak ada dekat rumah. Sampaikan dia terlupa yang dia boleh cuti dari jadi tukang buat sarapan sekejap sementara aku tengah ada dekat rumah ni.
Kerja aku dengan abah dah separuh jalan dah siap, baru along aku masuk dapur nak tolong. Ceh! Mentang-mentanglah anak perempuan abah dah balik rumah, anak lelaki ni boleh curi tulang pula. Ni boleh suruh abah potong gaji ni!
Lazimnya begitulah. Kitaorang sekeluarga akan bergotong-royong siapkan makanan untuk makan sekeluarga. Lagipun bukan banyak kerja sangat pun. Keluarga aku ni kan ada tiga orang aje. Apa hal sangatlah kalau nak siapkan makanan untuk tiga orang.
Abah pun selalu cakap yang aku dengan along tak payah pun tolong dia dekat dapur. Dia sendiri pun boleh buat. Tapi nampak macam anak tak guna sangatlah aku dengan along kalau biarkan abah buat kerja dapur seorang diri. Tambah pula aku ni anak perempuan. Lagilah patut buat kerja dapur.
Lepas semua kerja siap, aku dengan along bawa semua makanan ke meja makan. Maka duduklah kami sekeluarga bersama-sama menikmati sarapan pagi tersebut. Hihi.
“Faris tak balik lagi ke?” Abah tanya aku tiba-tiba.
Aku sampai tak jadi suap makanan dalam mulut dengar soalan abah tu. Dah mula dah topik pasal Faris lagi.
“Dah balik sepatutnya.” Aku jawab jujur. Memang sepatutnya dia dah balik sebab aku pun dah seminggu dekat rumah. Paper dia yang terakhir sepatutnya dah selesai sehari selepas aku balik. Lainlah kalau dia pergi merewang ke tempat lain dulu sebelum nak balik rumah dia. Aku mana tahu. Nak agak pun tak boleh sebab perangai dia kan dah lain macam sikit kebelakangan ni.
Kalau dulu memang aku boleh cakap yang aku betul-betul pasti yang dia takkan pergi mana-mana dah selepas habis exam. Memang dia akan balik rumah punyalah. Tapi sekarang aku dah boleh cakap macam tu sebab aku dah tak kenal dia lagi.
“Tak ada pula dia datang ke rumah kita ni ye? Selalunya bila balik cepat je datang borak-borak dengan abah.” Abah bersuara lagi.
Aku tunduk pandang makanan aje. Tak tahu kenapa aku takut nak pandang abah tiba-tiba. Kenapa aku mesti takut kalau abah tahu yang aku bergaduh besar dengan Faris?
Aku rasa mungkin sebab kalau aku ceritakan pasala pergaduhan aku dengan Faris, pasti nama Luthfi akan dikaitkan sekali. Itulah yang aku takutkan. Aku takut abah marah kalau tahu aku berkawan dengan Luthfi. Abahkan selalu pesan dekat aku supaya selalu jaga diri dekat tempat orang terutama dengan lelaki. Sebab Luthfi tu lelakilah aku takut. Aku tahu abah memang tegas sikit bab-bab berkawan dengan lelaki ni. Tapi, bila fikir semula, Faris tu pun lelaki. Kenapa abah tak kisah pun?
“Dia sibuk kot.” Along bersuara tiba-tiba.
Aku angkat muka pandang along. Aku tengok along tengah pandang aku. Dari pandangan along tu pun aku dah tahu yang dia perasan aku tak nak cakap pasal Faris depan abah. Sebab tu dia tolong jawabkan.
Aku rasa kejap lagi mesti along akan datang soal siasat aku tentang apa sebenarnya yang terjadi. Dalam hati aku rasa lega sebenarnya sebab aku boleh cerita dekat along tentang apa-apa sahaja. Along aku sentiasa boleh bagi sokongan dan pertolongan dekat setiap masalah yang aku pernah alami. Mungkin kali ni pun dia boleh tolong aku, walaupun aku sendiri pun tak pasti pertolongan macam mana yang aku perlukan.
“Sibuk buat apalah agaknya budak tu? Adik tak cuba telefon dia ke?” Abah soal aku pula tanpa sempat aku bersedia.
Aku terkejut dengan soalan mengejut abah tu sampai tersedak air milo yang aku tengah minum. Cepat-cepat aku letak gelas atas meja dan tepuk dada aku. Abah pun dah tolong tepuk belakang aku.
“Lain kali minum perlahan-lahan. Bukan ada pertandingan siapa minum paling cepat pun.” Abah cakap dekat aku. Aku angguk aje dengan cakap abah tu. Bukannya aku boleh bercakap pun sambil batuk-batuk macam ni.
“Adalah orang sebut nama dia tu abah.” Along aku menyampuk tiba-tiba.
Aku pandang along. Tengok dia kenyit mata dekat aku. Sempat juga dia main-mainkan aku saat aku tengah tersedak macam ni. Jaga kau, along!
“Farislah tu yang menyebut. Siapa lagi.” Tiba-tiba abah sebut nama Faris lagi.
Aku rasa macam nak menyorok bawah meja makan ni. Abah, kita jangan cakap pasal Faris boleh tak? Kalaulah aku boleh cakap macam tu dekat abah.
“Apa dah jadi sebenarnya? Lain macam aje along tengok?” Along tanya aku masa aku tengah asyik tengok drama Korea dekat laptop aku di meja dalam bilik aku.
Terkejut juga aku sebab muka dia tiba-tiba tersembul dekat pintu bilik aku. Tahulah aku tak kunci pintu tu, tapi bagi lah salam atau ketuk pintu dulu sebelum main redah aje bilik aku. Ni ada yang kena ketuk kepala juga sekejap lagi ni.
“Sorry, terkejut ke? Ehem… boleh masuk tak?” Along aku nampak serba-salah pula tengok aku terkejut beruk yang teramat sangat tadi tu.
“Masuk jelah. Bukan kena bayar cukai pintu pun.” Aku cakap lepas rasa terkejut aku reda. Tak jadi marah dekat dia dah sebab tengok muka serba-salah yang sangat kesian tu.
Along masuk dan duduk dekat katil aku. Aku pun pause drama yang aku tengah tengok tu. Lepas tu aku duduk menghadap dia.
“Tanya apa tadi?” Aku tanya along balik. Walaupun rasanya aku clear je dengan soalan tu. Tapi saja nak mulakan semula.
“Pasal Faris. Ada yang tak kena ke? Lain macam aje waktu breakfast tadi.” Along tanya.
Memang sah dia perasan ada yang tak kena dengan reaksi aku. Dalam hati sempat aku puji along aku ni. Dia ni memang senang memahami apa yang ada dalam jiwa orang lain. Sebab tu aku sayang abang aku yang seorang ni.
“Lain macam yang macam mana?” Aku main tarik tali sikit dengan dia.
“Macam tak suka cakap pasal Faris. Kenapa? Bukan dia kawan baik dengan adik ke?” Along tanya aku betul-betul. Boleh rasa keseriusan dalam soalan tu.
Along tarik nafas dalam-dalam. Memang aku nak cerita dekat along pun. Dan aku tahu aku boleh cerita dekat dia. Along lain dengan abah. Hihi. Rasa macam anak nakal pula sebab main rahsia-rahsia dengan abah.
“Adik gaduh dengan Faris.” Aku cakap.
“Sebab?” Along tanya.
“Sebab adik reject dia lepas dia cakap dia suka dekat adik.” Agak-agak along faham tak ayat aku ni?
“Dah agak dah dia suka dekat adik. Sebab tu selalu sangat datang menyibuk dekat rumah kita ni.” Along mengeluarkan komen. Terkejut juga aku dengar komen dia yang macam tu. Lain macam aje bunyinya tu. Ada apa-apa ke? Lagi satu, dia kata dia dah agak dah yang Faris tu suka dekat aku? Macam mana along boleh main agak-agak ni?
“Pelik je bunyi ayat tu.” Aku cakap apa yang terbuku di hati.
Along sengih macam kerang busuk.
“Along tak suka sangat Faris tu. Tak tahu kenapa abah suka sangat dekat budak tu.” Along memberitahu.
Aku dah agak dah ada yang tak kena berdasarkan nada percakapan dia tadi. Dia tak suka Faris rupanya. Tak sangka sungguh. Ingatkan dia suka.
“Kenapa tak suka?” Aku soal.
Pelik juga kenapa along tak suka Faris. Dahlah budak pandai. Rupa pun adalah sikit-sikit. Keluarga pun orang baik-baik. Kenapa tak suka pula?
“Selalu sangat datang lepak rumah kita ni. Tahulah dia kawan dengan adik. Tapi adik ni perempuan. Tak elok kalau dia selalu sangat datang.” Along cakap.
Abah pun pernah cakap benda yang sama dekat aku. Tapi abah tak adalah sampai tak suka dekat Faris. Dia Cuma cakap tak manis kalau aku dengan Faris selalu sangat lepak berdua dekat rumah ni. Tak elok pada mata orang lain. Orang lain bukannya tahu apa sebenarnya yang berlaku, tahu mengata keburukan orang saja.
“Tak tahu pula along tak suka dia.” Aku cakap sambil sengih dekat along. Along senyum balik dekat aku.
“Adik tak tanya pun.” Dia angkat bahu. Ceh!
Lepas tu aku dengan along diam seminit.
“Kenapa reject dia?”Along tanya tiba-tiba.
Aku pandang along. Dalam hati tertanya-tanya sama ada boleh atau tidak aku sebut nama Luthfi dekat along. Agak-agak along cakap apa nanti ye?
“Adik anggap dia kawan aje. Tak lebih dari tu.” Aku buat keputusan untuk tak sebut nama Luthfi dulu. Kena ada mukaddimah. Mana boleh main sebut je.
“Lepas tu apa jadi? Dia tak boleh terima?” Along soal lagi.
“Memanglah tak boleh terima. Kalau dia boleh terima senang-senang, tak adalah adik gaduh dengan dia.” Aku terangkan dekat dia.
“Lepas tu? Dia minta maaf tak? Ke main paksa-paksa?” Banyak pula soalan along aku ni.
Aku termenung di dalam hati. Kalau aku cerita satu per satu apa yang dah jadi sebenarnya, rasanya along dah boleh terbitkan cerekarama dah. Memang kisah aku ni pun macam cerekarama dah. Jadi ikut aje plotnya. Tak payah susah-susah fikir dah.
“Dia paksalah. Kan dia tak nak terima keputusan adik reject dia.” Kalau aku cerita pasal Faris memberontak dan cuba buat aku cemburu dengan bersekedudukan dengan perempuan lain, mesti along dah beritighfar seratus kali dah.
Aku tengok along menggeleng kepala. Mesti dia tak sangka sampai macam tu jadinya. Aku ni lagilah tak sangka. Aku ingat Faris tu akan jadi kawan aku selama-lamanya. Kalau aku cerita betul-betul dekat along mesti lagi laju along menggeleng.
“So, adik plan nak tukar fikiran tak? Kot-kot lah nak try dulu ke dengan dia. Manalah tahu nanti boleh suka lebih dari kawan. Abah pun dah suka terlebih dekat dia.” Along bagi cadangan. Aku pandang muka along dengan penuh asa tidak percaya.
“No way! Tak naklah dekat dia!” Aku cakap terang-terang dekat along.
“Kenapa? Dah ada boyfriend lain ke?” Along soal sambil angkat kening sebelah dekat aku.
Aku sengih macam kerang busuk dekat dia. Bab Luthfi dah masuk pun akhirnya. Along nganga mulut tengok aku sengih. Hehe!
“Tu sengih-sengih tu adalah tu!” Along jerit.
“Along ingat along sorang je ke ada buah hati?” Tak tahu aku dapat keberanian macam mana sampai boleh cakap macam tu dekat along. Tapi lepas tu tiba-tiba aku rasa muka aku panas. Malunya!
Along dah gelak tengok muka aku yang merah padam ni. Itulah! Siapa suruh berani sangat tadi. Kan diri sendiri yang dah termalu. Apalah nasib!
“Abah tahu tak?” Along tanya. Aku geleng.
“Along hari tu, masa abah tahu pasal Kak Sofia, puas juga kena ceramah dengan abah.” Along cerita.
“Ceramah? Kenapa pula?”
“Yelah. Along dengan dia kan sama-sama masih belajar lagi. Abah bimbang kalau-kalau kitaorang asyik sangat sampai terlupa pelajaran. Dia takut along abaikan pelajaran along dan bimbang along buat Kak Sofia tu lupa tanggungjawab dia untuk belajar.”
“Memang ceramah dari guru besar sungguh tu.” Aku cakap. Along pun angguk. Aku tahu sebenanrnya, along bukan orang yang macam tu. Dia serius dalam pelajaran dia. Dan aku rasa pun Kak Sofia bukan macam orang yang abaikan pelajaran, walaupun aku belum pernah jumpa Kak Sofia. Instinct aku je.
“Memang pun.” Along komen.
Dalam hati timbul rasa bimbang pula. Bagaimana agaknya reaksi abah kalau dapat tahu pasal aku dengan Luthfi? Agak-agak abah marah tak?
“Maya!” Aku dengar abah melaung nama aku dari ruang tamu. Terkejut aku dari lamunan dan angan-angan.
“Ye, abah!” Aku jawab balik. Cepat-cepat aku keluar bilik dan pergi ke ruang tamu. Along pun ikut aku.
Tapi sebelum sempat aku masuk ke ruang tamu, along dah tarik tangan aku. Tak bagi aku melangkah ke ruang tamu.
“Pergi pakai tudung. Along nampak Faris dekat depan.” Aku terkejut sangat bila dengar along cakap macam tu.
Tanpa sempat berfikir, aku terus lari ke dalam bilik dan capai tudung yang paling senang aku ambil. Lepas tu terus sarung ke kepala. Kemudian, cepat-cepat aku lari semula ke ruang tamu.
Sah! Aku nampak Faris, abah dengan along aku tengah duduk berbual-bual dekat ruang tamu. Aku tengok Faris angkat muka dan senyum dekat aku sebaik sahaja dia perasan yang aku dah masuk ruang tamu ni. Aku tak ada jiwa nak balas senyuman dia tu. Jadi aku pandang muka along yang turut ada di situ.
Muka along pun muka tak ada jiwa. Sama macam aku agaknya, menyampah tengok Faris dekat rumah aku. Aku tak pernah sangka yang aku akan menyampah bila tengok muka Faris. Lebih-lebih lagi bila dia di rumah aku. Kalau dulu, aku suka dia datang lepak-lepak dengan aku dan hilangkan kebosanan. Rasa macam jauh benar zaman tu dah berlalu.
“Pergilah buat air. Abah nak borak-borak dengan Faris ni dulu.” Abah mengarah aku.
Aku akur dengan suruhan abah tu. Tak tahu dalam hati aku timbul satu perasaan kurang enak. Bagaimana kalau Faris cakap sesuatu dekat abah? Tapi apa yang dia boleh cakap? Berani ke dia nak cakap macam-macam dekat abah? Kalau dia berani, aku pun boleh cerita macam-macam dekat mak ayah dia.
Aku melangkah ke dapur dengan perasaan gusar. Rasa macam biru dah muka aku ni sebab cuak yang teramat sangat! Waa! Sesiapa tolonglah kidnap aku!
Share this novel