Bab 10
“Lepas exam nanti nak terus balik kampung ke?” Luthfi tanya aku. Aku dengan dia macam biasa akan menghabiskan waktu prep petang dekat perpustakaan sekolah. Ayna pun ada sekali dengan kita orang.
Dua minggu lagi, muncullah final year exam kita orang. Itu yang aku dengan Ayna makin gigih study dengan Luthfi dekat perpustakaan ni.
“Lepas exam mana boleh balik kampung lagi lah. Ada dua minggu lagi sebelum cuti sekolah.” Aku ingatkan dia. Dia ni kadang-kadang pelupa juga. Mesti dia ingat habis aje exam nanti dah start cuti. Gementar nak STPM lah tu. Haha.
“Eh yeke? Silap la… Maknanya lambat lagilah STPM saya ni…” Kan aku dah kata dia ni pelupa. Nasib baik aku ni murah
hati nak ingatkan dia tadi.
“Isy isy ish… Tarikh exam penting macam tu pun boleh lupa. Macam mana ni?” Aku perli dia.
“Macam mana tak lupa. Dalam otak penuh pasal awak aje. Tak ada ruang nak fikir pasal benda lain.” Selamba dia jawab macam tu. Ayna yang dekat sebelah aku ni dah berdehem-dehem dah. Dia ni kalau nak jiwang tolonglah tengok tempat dan keadaan. Segan aku.
“Ni yang payah jadi body guard orang yang couple ni. Macam-macam ayat aku dengar.” Ayna perli kita orang. Luthfi sengih aje kena perli.
“Alah…bukan tak biasa kan?” Luthfi jawab dia balik. Aku pula tak tahu nak jawab apa. Malu gila dengan Ayna walaupun dia tu best friend aku. Aku tengok Ayna hanya geleng kepala. Malas dah nak layan kerenah sepupu dia tu.
Aku dengan Luthfi sekarang ni dah secara rasminya ber’couple’. Lepas dia confess dekat aku masa naik cuti pertengahan tahun dulu, aku terus terima dia. Walaupun masa tu aku ambil masa jugalah untuk beritahu yang aku pun suka dia juga. Maklumlah, aku ni bukannya ada pengalaman bercintan-cintun ni. Tak reti nak luahkan perasaan yang jiwang-jiwang ni. Tapi dia pula boleh confess dekat aku dengan mudahnya. Dia ada pengalaman ke? Ni yang kena tanya ni.
Tapi setakat ni aku dengan dia tak adalah pergi dating-dating ke apa. Kitaorang ni nama aje couple. Tapi masih macam masa berkawan dulu. Cukup setakat aku dengan dia duduk lepak masa riadah petang, dengan study sama-sama pada waktu prep macam ni. Itu pun ada Ayna sekali. Dia tak ada pula ajak aku pergi tempat mana-mana berdua saja time outing. Aku pula selesa macam ni. Sebab aku fikir, kalau aku keluar dengan dia ke mana-mana, apa aku nak borak dengan dia? Takkan nak cakap wo-ai-ni ke, I love you and you love me too ke… Eiii…malulah! Tak reti nak cakap benda macam tu dengan dia. Cukuplah aku tahu yang dia suka dekat aku dan aku pun suka dekat dia. Lagipun, aku
dengan dia kan sekolah lagi. Budak sekolah mana boleh cakap benda-benda macam tu. Tu pesan along aku.
Tapi dengan Luthfi ni bukan boleh percaya juga. Kadang-kadang tu gatal juga mulut dia nak sebut ayat-ayat jiwang tu dekat aku. Aku pula tak reti nak balas macam mana. Nak cakap jiwang-jiwang balik dekat dia memang tak lah. Aku kan rock! Mana ada romantik-romantik gitu. Jadi apa yang boleh aku buat ialah senyum aje dekat dia. Senyum ajelah!
Nak buat apa lagi? Takkan nak menangis pula ye tak? Lagipun, senyum itukan sedekah…
“Nak balik terus ke cuti sekolah nanti?” Luthfi tanya aku lagi.
“Yelah… Nak pergi mana lagi?”
“Tak nak jalan-jalan dulu ke?” Tanya dia lagi.
Aku kerut kening. “Jalan-jalan ke mana?”
Dia senyum. “Mana-mana saja yang awak nak…”
Aku geleng kepala. “Mana boleh jalan-jalan dengan awak.”
Dia matikan senyuman. “Kenapa?” Bulat mata dia tanya aku.
“Awak kan ada STPM… Saya tak nak kacau awak.”
Memang betul pun. Walaupun dalam hati aku ni adalah sikit-sikit rasa nak pergi jalan-jalan dengan dia lepas dia ajak aku tadi. Tapi bila fikir balik yang dia ada peperiksaan penting, takkan aku nak kacau dia masa tu. Memanglah dia ni pandai, tapi mestilah mak dengan ayah dia tak suka kalau dia nak bazirkan masa dia macam tu aje dengan aku. Dahlah dengan aku! Kalau abah aku mesti dia tak bagi aku merayau lebi-lebih bila dekat-dekat dengan exam. Lagipun
bukan peperiksaan main-main. STPM tu! Penentu masa depan lah orang kata.
“Tak kacau pun lah… Saya tak kisah pun kalau setakat pergi jalan-jalan satu hari…” Dia cakap sungguh-sungguh dekat aku.
Betul-betul dia ajak aku keluar. Mula-mula tadi aku ingat dia main-main aje. Tapi bila fikir balik, dia ajak aku keluarlah… Keluar dengan dia? Macam mana agaknya kalau aku keluar dengan dia ye? Nak pakai baju apa? Nak cakap apa dengan dia? Nak pergi mana dengan dia? Bila fikir jawapan kepada soalan-soalan tu, aku rasa nak senyum. Macam ni rupanya perasaan kalau orang ajak kita keluar dating. Barulah aku tahu.
“Saya yang kisah… STPM ni bukan exam main-main lah tahu tak? Mummy awak mestilah nak awak study betul-betul. Saya tak nak nanti saya pula jadi sebab awak tak boleh focus kepada study awak.” Aku luahkan apa yang aku rasa dekat dia. Harap dia faham dan tak kecewa sangat sebab aku tolak ajakan dia. Aku nak dia tahu yang aku buat macam tu sebab tak nak jejaskan masa depan dia.
“Tapi…” Dia nak cakap lagi tapi berhenti. Lepas dia berfikir selama lima saat dia angkat kening dekat aku.
“Okey… jadi kita keluar lepas saya habis STPM.” Dia tukar tawaran pula.
“Tapi saya dah balik kampunglah masa tu…” Takkan aku nak tunggu dia habis STPM pula dekat sini.
“Saya datang kampung awaklah. Saya jemput awak, lepas tu bolehlah terus pergi jalan-jalan.”
“Hah?!” Aku nganga mulut. Serius ke dia ni?
“Kenapa? Tak percaya?” Soalnya, seolah-olah dapat membaca apa yang aku fikir.
“Takkan awak nak datang Kuala Lipis yang jauh gila tu?” Dia mesti bergurau saja dengan aku tadi. Mesti! Siapalah yang nak datang sejauh tu? Dahlah Kuala Lipis tu bukannya ada tempat menarik nak pergi. Pelancong pun tak teringin nak pergi.
Tapi aku lagi terkejut bila dia angguk dengar soalan aku tu. Mampuslah! Dia betul-betul nak datang rumah aku ke nanti? Rumah aku? Kalau dia jumpa dengan abah aku, apa aku nak bagitahu abah? Nak cakap yang Luthfi tu apa dengan aku? Kawan? Abang angkat? Takkan nak cakap teman lelaki pula. Eiii…! Lain macam je rasa nak sebut perkataan tu. Aku pun geleng-geleng kepala.
“Tu geleng-geleng tu kenapa? Tak nak saya datang ke?” Dia tanya aku.
“Errr… bukan tak nak. Tapi… saya nak cakap apa dekat abah saya nanti.” Aku cakap saja ayat macam tu dekat dia.
Tapi dalam hati sebenarnya memang tak nak dia datang pun. Malunya dengan abah dan along aku nanti kalau dia datang rumah.
“Cakap sajalah yang saya ni boyfriend…” Dia jawab selamba tanpa rasa bersalah. Ya ampun! Dia ni tak faham ke?
“Gila nak cakap dengan abah macam tu?” Aku marah dia. Dia kerut kening.
“Saya bagitahu aje dekat mummy saya… She doesn’t mind at all. Tak percaya tanya Ayna.” Aku ternganga lagi luas.
Dia cakap dekat mak dia pasal aku?! Aku tengok Ayna dekat sebelah aku. Dia angkat bahu.
“Dari sebelum kau datang rumah dia hari tu lagi dia dah cerita kat mak dia pasal kau. Mak dia tahu sangat yang dia syok kat kau.” Ayna tolong explain bagi pihak Luthfi.
Maknanya mak dia tahu yang Luthfi suka dekat aku masa aku pergi rumah dia hari tu? Sebab tu ke mak cik tu layan aku baik sangat hari tu? Dia tak kisah ke budak hingusan macam aku ni kawan dengan anak dia tu?
“Kenapa cerita?!” Aku marah Luthfi. Suka hati dia saja cerita pasal aku. Dahlah dekat mak dia pula tu.
“Ada rule ke yang kata tak boleh cerita?” Dia soal main-main dekat aku. Saja nak tambah geram aku lah tu. Dia
nikan memang saja tau.
“Memanglah tak ada rule macam tu. Tapi seganlah… Berbalik kepada hal tadi, abah saya tak sama macam mummy awak tu. Dia tu cikgu besar tau tak? Strict sikit bab-bab ni.” Aku cuba jelaskan dekat dia.
“Habis mummy saya tak strict lah?” Hadoi! Kenapa dia ni suka sangat putar-belitkan apa yang aku cakap.
“Bukan macam tu. Tapi, awak tak takut ke nak jumpa abah saya nanti. Kalau dia tanya awak siapa dengan saya, awak
nak jawab apa?” Aku cuba buat kesekian kalinya nak gambarkan keadaan sebenar dekat dia. Dia ni tak kenal abah aku lagi.
“Tell him the truth ajelah.” Selamba dia jawab.
“The truth apanya. Silap-silap dia kerat-kerat awak buat sup.”
“Garang sangat ke abah awak?”
“Tak adalah garang sangat. Tapi saya takut dia marah…” Aku buat muka cuak depan dia. Minta-mintalah bila dia
tengok muka aku dah sampai jadi macam ni, dia akan kesiankan aku.
Tapi dia gelak pula tengok aku. Eh, aku suruh kesianlah. Bukan suruh ketawa!
“Saya tak datanglah! Takut sangat dengan abah awak.” Dia cakap sambil buat-buat muka takut dekat aku. Nak main-
mainkan aku lagilah tu.
“Tapi, bila lagi saya akan jumpa awak kalau saya tak datang kampung awak. Tahun depan saya dah tak ada dekat sekolah ni lagi. Awak tak nak jumpa saya lagi dah ke?”
Baru aku teringat yang tahun ni ialah tahun terakhir dia dekat sekolah ni. Lepas ni dia akan sambung belajar dekat tempat lain pula. Jadi tahun depan aku takkan jumpa dia dekat sekolah ni lagilah. Tiba-tiba aku rasa sedih. Tak dapat jumpa dia lagi? Macam mana aku akan hidup tanpa jumpa dia?
Aku tengok dia dan dia masih tengok aku. Macam dia dapat baca saja apa yang tengah bermain dalam fikiran aku ni. Aku nak tanya dia, dia tak rasa sayang ke nak tinggalkan aku nanti. Tapi rasa segan pula nak tanya soalan tu depan Ayna. Takut nanti dia gelakkan aku pula.
“Kalau ada jodoh, kita akan jumpa balik.” Aku cakap juga macam tu lepas alihkan pandangan pada buku-buku dekat rak perpustakaan ni. Dalam hati tengah fikir, ada ke jodoh aku dengan dia nanti?
Dan dia seperti dengar soalan aku tu, jawab sambil senyum dekat aku. “Ada kot jodoh kita… Insha Allah.” Dan dia terus sambung buat kerja dia tanpa tengok aku lagi.
______________
AKU KENA TEMANKAN Luthfi study walaupun aku dah habis exam siang tadi. Sepatutnya, prep dah tak wajib ke atas aku sebab dah tak ada apa untuk di’study’. Petang tadi pun aku dah tak pergi prep, lebih baik berehat dekat dorm saja. Ingatkan waktu prep malam ni pun, dapatlah aku berehat dekat dorm. Tapi terpaksa pula temankan si Luthfi ni prep.
Beriya-iya dia ajak aku temankan dia masa aku jumpa dengan dia waktu riadah petang tadi. Dia masih diwajibkan datang prep sebab masih ada exam yang dia kena tempuh.
“Kenapa tak boleh ajak Ayna sekali?” Aku tanya dia yang sedang khusyuk buat nota sejarah. Saja aku nak bercakap dengan dia sebenarnya. Bosan dah duduk jadi patung depan dia dari tadi.
“Sebab saya tak nak Ayna ada sekali.” Dia jawab tanpa alihkan perhatian dia daripada buku sejarah dia.
“Kenapa tak nak Ayna ada sekali?” Aku baling soalan lain pula dekat dia. Ni ayat kedua aku cakap dekat dia sejak aku duduk temankan dia prep dekat pondok bacaan sekitar sekolah ni.
“Sebab nak duduk dengan awak je…” Dia jawab lagi tanpa pandang muka aku. Fokus sangat dekat buku sejarah dia tu.
Aku mengeluh. Tadi petang beriya-iya suruh aku temankan dia prep. Sekarang cakap pun macam nak tak nak saja dengan aku. Dia ni perlukan aku ke tak dekat sini? Ke aku ni sekadar hiasan je?
Luthfi angkat muka pandang aku bila dengar aku mengeluh. Baru tu nak tengok aku? Dari tadi dia buat aku ni macam tak ada dekat sini saja.
“Bosan ke?” Dia tanya? Boleh pula dia tanya soalan tu.
“Tak.” Aku jawab acuh tak acuh.
Dia gelak kecil. Eh, gelak pula. Aku tengah bad mood ni. Pujuklah… takkan gelak saja. Aku cakap dalam hati.
Tapi dia tak pujuk pun. Dia sambung balik buat nota sejarah dia yang panjang berjela tu. Tak makan saman betullah mamat ni. Aku mengomel dalam hati. Tapi mamat yang tak makan saman ni jugalah yang aku sayang sangat kan…
Aku berhenti merajuk. Aku tengok dia yang tengah mengayat nota dia dalam kertas A4 putih. Cantik dan kemas je
tulisan dia. Bukan macam tulisan aku. Dahlah nota dia warna-warni. Rajin! Sekali lagi bukan macam aku. Patut pun
dia boleh jadi pelajar cemerlang. Aku komen senyap-senyap dalam hati.
Aku tengok dia menulis. Pakai pen Inkjoy pula tu. Sejak bila dia pakai pen Inkjoy ni? Bukan ke dulu dia pakai pen Pilot? Aku tengok dalam pencil case dia. Semua pen dia adalah pen Inkjoy. Bermacam-macam warna dengan saiz mata
pen pula tu.
“Bila awak minat pakai pen Inkjoy ni?” Aku tanya dia. Tak boleh tahan rasa ingin tahu aku ni.
Dia angkat muka tengok aku balik. Macam pelik dengan soalan aku yang tiba-tiba tu. Aku tunjuk pen Inkjoy yang penuh dalam pencil case dia tu. Lepas tu dia senyum dekat aku.
“Awak yang minat sangat pakai Inkjoy ni. I wonder what so special about this pen.”
“Pen ni paling sesuai untuk tutup kelemahan tulisan saya yang tak cantik tu.” Aku cakap. Dia pun tahu tulisan
tangan aku macam mana.
“Lainlah awak, tulisan cantik. Pakai apa jenis pen pun tak apa.”Aku komen lagi.
“Tak kisahlah cantik ke tidak tulisan awak tu. Saya tetap sayang…” Dia cakap dan sambung balik buat nota sejarah dia.
Aku terkedu. Tak tahu nak cakap apa dengan dia dah. Dalam hati dah terbit taman bunga sebab dengar dia cakap
perkataan sayang tu dekat aku. Rasa macam ada arus elektrik pula dalam badan aku ni sebab jantung aku tiba-tiba
berdegup kencang. Apasal ni? Tadi tak macam ni pun.
“Saya suka apa yang awak suka walau benda tu kecil sekali pun. Sebab awak suka sangat pakai pen Inkjoy ni, saya pun suka jugalah.” Dia jawab juga soalan aku walaupun aku sebenarnya dah terlupa yang aku ada ajukan soalan dekat dia tadi. Dia jawab soalan tu dengan mata dia masih dekat buku sejarah dia. Nasib baik dia tak pandang aku. Kalau tak mesti dia nampak muka gelabah aku sekarang ni.
Lepas tu dia tak cakap apa-apa dah dekat aku. Dia terus fokus buat kerja dia. Aku pun tak tahu nak cakap apa dah dengan dia. Rasa bosan aku yang berlambak-lambak tadi tak tahu menghilang ke mana. Tiba-tiba aku seronok dengan hanya memandang muka dia.
Aku rasa aku tak pernah telek muka dia betul-betul. Ayna selalu kata yang sepupu dia tu handsome. Handsome part mana aku kena kaji hari ni juga.
Aku tengok mata sepet dia yang tak berapa nak sepet sangat tu. Rasa macam baru kali nilah aku pandang mata dia
betul-betul. Selama ni pandang main-main saja sebab segan. Haha. Hidung dia… bolehlah dikatakan mancung. Tapi sikit sajalah. Taklah mancung macam orang putih. Aku tengok jari dia yang tengah lincah menulis tu. Cantik gila tangan dia dengan jari-jemari dia yang panjang tu. Sekali tengok macam tangan perempuan pun ada. Silap-silap lagi cantik dari tangan aku. Waa! Tak adil!
Lama aku tengok dia dengan penuh pengamatan. Aku tak tahu dah berapa lama aku asyik pandang dia. Hilang rasa bosan aku sebab kena temankan dia tadi. Aku ingat dia tak perasan aku pandang dia sebab aku tengok dia khusyuk sangat buat kerja dia tu. Sampai bercakap pun tak mahu.
Tiba-tiba dia angkat muka dan pandang aku.
“Saya rasa muka saya berlubang lah…” Dia cakap tiba-tiba dekat aku.
“Hah?” Aku control rasa cuak sebab dia tiba-tiba saja pandang aku.
Dia senyum dekat aku.
“Dah puas tengok muka saya?” Dia tanya sambil senyum dekat aku.
Aku tunduk. Malu gila! Dia perasan rupanya aku pandang dia dari tadi. Ingatkan tak perasan sebab tekun sangat buat kerja. Waaa! Mana aku nak letak muka aku ni? Dah lah dia tengah pandang aku dan kitaorang berdua saja yang ada dekat sini. Tapi nasib baik dia berhenti pandang aku dan sambung menghadap buku dia balik. Aku pun dah tak pandang-pandang dia langsung dah. Nanti dia perasan lagi!
HARI NI HARI Sabtu. Tak ada prep dan tak ada kerja dah untuk di buat sebab exam akhir tahun dah selamat berakhir. Ada baki lagi seminggu sebelum cuti sekolah bermula. Dengar kata cikgu-cikgu nak penuhkan seminggu terakhir kita orang ni dengan briefing pasal program gerak-gempur SPM yang akan dijalankan ke atas kita orang semua pada tahun hadapan. Bagi kami semua ni bersiap-sedia dari segi mental dan fizikal lah kononnya.
Bila fikir balik, rasa nervous pula sebab tahun depan aku dah nak ambil SPM dah. Rasa macam baru saja lagi ambil peperiksaan PMR. Dahlah tahun depan mungkin akan jadi tahun terakhir aku jadi budak sekolah. Lepas tu aku akan melangkah ke alam universiti pula kalau ada rezeki. Macam manalah agaknya rasa masuk universiti ye?
Aku sekarang ni tengah sedap-sedap berguling-guling atas katil sambil menghabiskan waktu yang ada ni. Nak lepak-lepak tak ada geng sebab Ayna pergi perjumpaan ahli-ahli JAQWA dekat bilik JAQWA. Dengan orang lain aku tak reti nak borak lebih-lebih.
Lepas berangan dua tiga minit aku berangan dekat atas katil aku terlelap. Tak tahulah berapa lama aku tertidur sebenarnya. Tengah-tengah syok aku mimpi di siang hari pasal menang pertandingan karaoke, aku rasa badan aku kena goncang.
“Bangun! Cepat bangun!” Aku dengar suara Ayna sambil gosok mata aku. Apa hal dia kecoh-kecoh ni? Aku menang karaoke betul-betul ke?
“Napa…?” Aku jawab dengan suara yang mengantuk sangat tanpa buka mata pun.
“Luthfi ajak kau keluar.” Ayna bagitahu aku.
Aku buka mata luas-luas.
“Hah?!”
AKU TENGOK JAM tangan aku menunjukkan pukul dua belas tengahari. Budak-budak asrama mesti tengah berpusu-pusu untuk bersesak-sesak dekat dewan makan asrama sekarang ni. Entah macam mana pelik nasib aku hari ni, aku terpaksa ikut Luthfi pula.
Lepas balik dari mesyuarat JAQWA tadi, Ayna beriya-iya suruh aku bersiap sebab Luthfi ajak aku keluar. Puas aku cakap tak nak tapi si Ayna tu cakap Luthfi dah balik rumah dia untuk ambil kereta dan jemput aku semula dekat asrama. Dia ni tiba-tiba saja buat pelan macam ni. Dahlah rancang sorang-sorang tanpa bincang dengan aku dulu.
Ayna pun sama suka berkomplot dengan abang sepupu dia tu. Punyalah perfect rancangan dia orang tu sampaikan kad outing aku pun warden dah tandatangan. Tu semua Ayna lah yang punya kerja. Dia yang minta tandatangan dari warden.
Jadi semua prosedur aku nak keluar ni dah siap. Tinggal aku sarung baju outing sekolah saja. Lepas aku dah siap sebab kena paksa bersiap dengan Ayna, Luthfi pun sampai dengan Vios putih dia untuk jemput aku.
“Kita nak ke mana?” Aku tanya dia yang tengah memandu dekat sebelah aku ni. Rasanya setiap kali naik kereta dengan dia aku kena tanya soalan ni. Dia ni bukannya reti nak bagi tahu aku apa-apa.
“Surprise. Tak boleh bagitahu.” Dia jawab acuh tak acuh. Dia ni selalu macam ni. Ni yang rasa nak merajuk ni.
Aku pun duduk diam sambil merajuk. Ikut sajalah dia nak bawa aku ke mana.
Hari ni kali pertama aku keluar dengan lelaki selain daripada along dan abah aku. Dan kali pertama juga aku keluar berdua saja dengan Luthfi. Aku rasa macam tak percaya pula yang aku dah keluar dengan dia siang tadi.
Dia saja nak buat aku suspens kononnya nak buat surprise dekat aku. Mula-mula dengar surprise aku ingat dia dah set up meja dekat tepi pantai dan upah orang mainkan background music masa kitaorang tengah bersantap. Ala-ala drama korea sangat! Haha.
Tapi dia tak buat macam tu pun. Dia tu kan budak sekolah lagi. Mana ada keupayaan nak buat benda-benda macam tu. Dia bawa aku tengok wayang dekat East Coast Mall. Itulah kali pertama aku tengok wayang sebenarnya. Lepas tengok
wayang, dia bawa aku makan dekat Sushi King sebab aku cakap aku tak pernah makan sushi. Aku makan banyak gila sebab dia belanja. Tak sangka sedap juga benda alah yang dipanggil sushi tu. Lepas kenyang, dia ajak aku pergi
naik kuda dekat Equestrian Tanjung Lumpur. Itupun pertama kali aku tengok kuda secara live. Dah lah siap boleh naik lagi. Mula-mula aku takut jugalah sebab tak biasa dengan kuda. Tapi lepas sejam cikgu dekat Equestrian tu ajar aku tip-tip tentang menunggang kuda ni, aku dah cekap sikit naik kuda. Boleh juga lah aku kejar Luthfi
walaupun kuda yang aku naik tak lari selaju kuda yang dia naik.
Kita orang main dekat Equestrian tu sampai pukul 5 setengah petang. Lepas tu Luthfi bawa aku balik rumah dia dan suruh driver abah dia hantar kita orang dekat hostel semula. Berpeluh-peluh kitaorang masa sampai semula dekat asrama sebab naik kuda berjam-jam. Dah lah tengah-tengah panas. Tak sangka penat juga berkuda ni. Aku ingat macam naik motor je.
“Nah…” Dia cakap sambil hulur satu bungkusan hadiah dekat aku masa dalam kereta, dalam perjalanan balik ke hostel
tadi.
“Apa ni?” Aku tanya. Teringat pula hadiah yang dia bagi dekat aku dulu dan aku pulangkan semula dekat dia.
“Hadiah.” Dia masih hulur bungkusan tu dekat aku. Aku rasa macam teragak-agak nak ambil. Apa pula yang dia bagi aku kali ni?
“Ambil lah…” Dia suruh aku ambil. Rasa serba salah. Dahlah macam-macam benda dia belanja aku hari ni. Sekarang dia
bagi aku hadiah lagi. Aku langsung tak bagi dia apa-apa.
Aku sambut juga hadiah tu perlahan-lahan sebab dia desak aku ambil.
“Jangan buka selagi awak tak sampai Kuala Lipis tahu…” Dia pesan dekat aku sambil sengih. Dia memang suka bagi aku
suspens!
Sesi persekolahan untuk tahun ni habis juga akhirnya. Tahun depan aku bakal masuk ke tingkatan 5. Kena bersiap-sedia nak duduki SPM pula. Seram sejuk pula rasanya bila ingat pasal SPM.
Abah datang jemput aku pukul lima petang sebab dia bertolak dari Kuala Lipis lambat. Hari ni kan hari Jumaat, hari kerja. Kalau cuti bolehlah abah datang awal sikit. Abah datang seorang hari ni. Along aku ada kelas sampai petang dan abah tak bagi dia ponteng semata-mata untuk datang jemput aku.
Ayna dah balik lebih awal tadi. Dia balik dengan Luthfi lepas solat Jumaat tadi. Seperti biasa, driver Luthfi yang datang jemput dia orang. Luthfi tu sepatutnya tak payah balik pun tak apa sebenarnya. Dia tu tak sedar agaknya yang STPM hanya tinggal beberapa hari saja lagi.
Aku sampai Kuala Lipis agak lambat jugalah. Dah dekat pukul sepuluh malam. Sampai-sampai aku terus mandi dan terus tidur. Langsung aku terlupa pasal hadiah yang Luthfi bagi aku hari tu sebab dah penat sangat. Pada hal sebelum balik tadi aku yang paling tak sabar nak tengok isi hadiah tu. Entah apa yang dia bagi dekat aku. Jangan bom sudah lah.
Esok paginya, pagi-pagi lagi aku dah bangun. Lepas solat Subuh berjemaah dengan abah dan along, aku terus masuk bilik dan selongkar beg baju aku yang belum pun aku kemaskan sejak aku balik semalam.
Aku pandang kotak yang sederhana kecil yang berbungkus kemas dengan kertas pembalut warna unggu. Rasa berdebar pula bila nak koyakkan pembalut dia. Tapi sebab rasa ingin tahu aku ni dah tak boleh nak tahan lagi dah, aku pun buka juga hadiah tu.
Aku buka kotak selepas buka pembalut kotak tu. Aku tengok ada telefon Samsung Corby warna kuning terang. Aku ternganga time tu juga. Tepi handfon tu ada nota kecil. Aku ambil dan baca.
Saya susah nak dengar suara awak selalu kalau awak tak ada telefon sendiri. Jangan gelabah! Telefon ni murah je. Bukan handfon canggih dan mahal pun. Dan, saya pulangkan balik necklace yang awak reject dulu. Harap kali ni awak dah tak reject dia dah…Luthfi.
Aku korek-korek dalam kotak telefon tu. Jumpalah rantai silver berloketkan bintang yang dia pernah bagi aku dulu dekat bawah handfon tu. Aku on kan telefon. Ada SMS masuk.
“Mesej pertama yang awak dapat adalah dari saya. Harapnya saya boleh jadi orang pertama yang awak akan call…” Aku senyum tengok nama dia dekat nama penghantar SMS tu. Dia memang suka buat aku terkejut!
Share this novel