Bab 11
Aku dengan abah sampai ke sekolah pukul tepat pukul sembilan pagi. Hari ni adalah hari keputusan SPM aku diumumkan. Aku pergi dengan abah saja ke Kuantan sebab along aku ada kelas. Sebab majlis penyerahan keputusan ni bermula pukul sembilan pagi, aku dengan abah bertolak dari Kuala Lipis sebelum subuh pagi tadi lagi. Punyalah semangat nak ambil result SPM!
Dalam ramai-ramai kawan aku yang datang, aku tercari-cari kelibat kawan baik aku si Ayna. Dari jauh aku dah boleh nampak yang dia tengah lambai-lambai dekat aku. Aku pun lambai balik dekat dia.
Lepas kena bertapa dekat dewan sekolah tu selama satu jam lebih, aku pun selesai mengutip result aku. Dan seperti yang aku jangka aku bukanlah tergolong dalam kategori pelajar yang straight A. Tapi tidaklah juga keputusan aku terlalu teruk. Sekurang-kurangnya, 8 daripada sepuluh mata pelajaran yang aku ambil aku dapat A. Walaupun bukan semuanya A+ tapi kira okeylah!
Keputusan Ayna pula sangatlah baik sebab semua subjek dia dapat A. Kira antara best student sekolah jugalah dia ni. Aku ucap tahniah banyak-banyak dekat dia. Bangga aku ada kawan yang terrer macam dia.
Sebelum aku balik, Ayna sempat bagi sekotak coklat dekat aku. Dia pesan yang tu cik abang aku yang bagi. Aku gelak dengar dia sebut perkataan cik abang tu. Bila pula aku berabangkan si Luthfi tu, aku pun tak tahu. Tak naklah aku panggil dia abang. Macam tak kena pula bunyinya.
Tak sangka pula walaupun dah lebih setahun aku tak dapat jumpa dengan dia, tapi dia masih ambil berat pasal aku. Kadang-kadang dalam seminggu setiap hari dia akan telefon aku. Aku pula tak berapa kaya nak beli top up banyak-banyak jadi aku SMS saja dia. Kalau dia nak cakap dengan aku, dialah yang kena call. Diakan kaya. Haha! Jahatnya aku.
Kalau mengikut apa yang diberitahu kepada aku, dia sekarang ada dekat Melaka, tengah training untuk jadi pilot.
Memang jadi pilot tu impian dia. Walaupun dia sebenarnya boleh ambil jurusan yang susah-susah dekat universiti sebab keputusan STPM dia sangat bagus, tapi dah dia nak juga jadi pilot, maka terpaksalah mak dengan ayah dia turutkan kemahuan dia. Lagipun family dia banyak duit, tak ada masalah kalau setakat nak belajar dekat sekolah penerbangan yang mahal gila dekat Melaka tu. Lainlah kalau aku yang nak masuk. Agaknya abah aku kena jual dua atau tiga bidang tanah kot.
Soal aku nak sambung pengajian aku ke mana, aku dah bincang dengan abah aku dan dah pun buat keputusan. Aku merancang nak sambung ke peringkat matrikulasi saja. Rasa malas pula nak sambung diploma sebab rasa macam lama sangat pula nanti kalau nak ambil degree. Jadi masuk matriks adalah pilihan terpantas. Abah pun tak halang aku masuk matriks walaupun dia lagi suka kalau aku masuk maktab macam along aku.
Aku sampai Kuala Lipis semula dah dekat pukul 5 petang. Sebelum balik rumah, abah singgah dulu dekat bandar untuk beli mee hailam untuk makan malam kami bertiga. Kalau tak beli nanti jawapnya tak makan lah kami malam ni.
Sebaik sampai dekat rumah, aku terus pergi check handfone aku sebab aku pergi Kuantan tadi tak bawa handfone. Ada dua miss call dengan tiga SMS. Tanpa aku tengok pun, aku dah boleh agak siapa yang buat miss call tu. Siapa lagi yang nak telefon aku kalau bukan abang sepupu Ayna tu. Dua SMS yang aku dapat tu pun daripada dia. Cuma satu tu saja SMS iklan daripada Hotlink. Aku buka mesej pertama.
“Macam mana dengan result?” Aku senyum tengok ayat empat patah perkataan tu.
Aku buka mesej satu lagi. “Kenapa saya call tak dapat? Tak balas pun mesej tadi. Ni mesti tak bawa telefon sekali. Nak kena marah ni…!” Aku senyum lagi lebar. Aku terus dail nombor telefon dia. Lepas tiga kali nada dering dia pun angkat telefon.
“Dah balik?” Dia tanya aku dulu selepas jawab salam aku.
“Dah…” Aku jawab pendek.
“Macam mana result? Okey tak?” Dia tanya lagi.
Aku bagitahu dia keputusan SPM aku. Walaupun aku tak dapat straight A tapi aku tak rasa kecewa pun. Sebab aku dah tahu setakat itu sajalah kemampuan aku.
“Confirm ke nak sambung dekat matriks?” Dia tanya lagi.
“Dah confirm. Abah pun bagi lampu hijau.”
“Minta-minta dapat matriks Melaka. Saya nak jumpa awak. Rindu…”
Aku gelak bile dengar dia cakap perkataan rindu tu. Datang dah hari dia nak mengada-ngada dengan aku tu.
“Kalau ada rezeki kita akan jumpa juga.”
“Sorry sebab lama tak call awak. Busy sikit dengan training.” Dia cakap selepas diam dua saat.
Memang dah lama pun dia tak telefon aku. Dah dekat dua minggu rasanya. Kadang-kadang sunyi juga bila aku tak ada
sesiapa untuk di ajak berbual. Tapi aku tahu aku tak boleh nak ganggu dia kerap sangat sebab dia dah ada komitmen
yang lain sekarang ni.
“Tak apa. Saya faham.” Aku jawab jujur.
“Tak rindu ke?” Dia tanya aku lagi.
“Tak.” Aku jawab main-main.
“Awak memang selalu tak pernah rindu saya. Balik-balik saya sorang je yang rindu awak, tahu tak.” Dia dah buat-
buat merajuk. Ni nak aku pujuklah ni.
“Tak malu betul orang lelaki yang kuat merajuk ni…” aku usik dia balik. Dia ketawa kecil di hujung talian. Cukup untuk buat aku senyum sorang-sorang bila bayangkan muka dia yang tengah ketawa tu.
Aku berbual dia dalam sepuluh minit. Tak boleh lama-lama sangat sebab dia ada banyak kerja yang kena buat. Kena faham sitiuasi dia yang tengah belajar. Lainlah aku, penganggur tegar! Sampai tak ada kerja langsung nak buat.
Malam tu sebelum tidur, dia sempat SMS aku untuk cakap selamat malam.
_________________
Aku jeling jam di tangan sambil naik tangga blok Kolej Kediaman Intan. Dah pukul 4.45 petang. Rasa malas pula nak turun untuk riadah petang ni. Dah lah baru balik. Jumpa katil pun belum. Mana boleh macam ni. Rehat adalah perkara wajib bagi aku. Kalau tak boleh migrain nanti.
Sedar tak sedar dah lebih sebulan aku menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi di sebuah kolej yang terletak di Kedah. Dahlah jauh gila dari rumah aku. Nasib baik abah tetap izinkan aku untuk ke sini hari tu. Takut juga kalau abah menghalang sebab kolej aku ni terletak dekat Kuala Nerang, Kedah yang hanya kurang sejam sahaja dari sempadan Malaysia. Kalau nak kahwin lari senang gila lah macam ni. Hihi…
Sambil-sambil melanjutkan pelajaran, dapat juga aku meluaskan pengalaman ke negeri orang. Selama ini aku belum
pernah merasa menjejakkan kaki ke negeri lain. Baru aku tahu seronok juga kenal negeri orang. Paling seronok ialah belajar loghat utara yang menjadi percakapan majoriti masyarakat dan pelajar-pelajar di sini.
Aku buka pintu bilik yang aku kongsi bersama dengan Ayna sejak hari pertama aku menjejakkan kaki ke kolej ini. Ayna nampaknya sudah pulang tapi tidak kelihatan dalam bilik. Pergi mandi agaknya. Aku pun rasa badan aku pun dah melekit. Jadi sebaik sahaja aku meletakkan beg ke atas katil dan membuka tudung, aku segera mencapai tuala dan ke bilik air untuk mandi.
Selesai aku mandi, Ayna sudah ada dalam bilik sambil baca novel. Memang itulah hobi dia sejak dari sekolah lagi. Ayna ni sampai dah ada beratus-ratus koleksi novel dekat rumah dia. Betapalah dia ni minat sangat baca novel. Kadang-kadang sampai boleh menangis sambil baca novel.
“Lambat kau balik?” Ayna menegur aku.
“Ha’ah.. Kena hantar tutorial petang tadi juga. Aku kena siapkan dekat library dulu tadi.”
Ayna sekadar mengangguk. Lepas tu dia sambung balik baca novel dia.
Aku capai telefon bimbit atas katil. Ada satu missed call masa aku pergi mandi tadi. Aku senyum bila tengok nama Luthfi pada senarai missed call tu. Aku telefon dia balik. Tapi dia pula yang tak jawab. Aku cuba telefon dia tiga kali. Tapi setiap kali tu dia tak angkat. Sibuk kut. Nanti kalau dia nak cakap dengan aku dia telefon lah aku balik.
Aku pun solat Asar. Lepas tu aku baring atas katil. Niat di hati nak tidur sekejap. Rasa penat gila hari ni. Dahlah malam nanti ada kuiz pula. Aku ni satu apa pun tak study lagi. Lantak akulah nak jawab apa nanti.
Aku ingatkan nak tidur sekejap saja. Tapi bila aku sedar, azan maghrib tengah berkumandang. Ayna dekat katil sebelah pun tengah tidur juga. Aku kejutkan dia sebab memang tak elok tidur waktu maghrib. Dengan terpisat-pisat aku pergi tandas untuk ambil wudhuk. Aku solat maghrib dalam bilik saja sebab aku teringat yang aku tak study satu habuk pun untuk kuiz matematik malam ni. Jadi kalau aku ke surau memang aku akan meraban dan mengarut masa jawab kuiz tu nanti. Kurang pahala aku hari ni. Cukup setakat kirim salam dekat surau melalui Ayna yang tetap rajin ke surau walaupun baru bangun tidur. Bagus betul minah tu.
Tepat jam lapan malam, aku bergegas ke blok akademik. Ayna yang tak ada apa-apa agenda malam ni agaknya hanya akan menyiapkan tutorial di bilik. Syoknya dapat duduk dekat bilik. Kenapalah aku dengan Ayna berlainan kuliah? Sebab aku dengan dia dah lain kelas dan kuliah, aku dah jarang-jarang dapat duduk borak-borak sambil mengumpat dengan dia. Kalau aku jumpa dia pun petang selepas tamat semua kelas pada pukul 4.30 petang. Itupun kadang-kadang ada pensyarah yang rajin buat kelas tambahan pada waktu malam. Jadi malam pun tak dapat nak berehat sangat.
Baru aku tahu kenapa orang cakap matrikulasi ni susah. Sebenarnya tak susah mana kalau manusia-manusia yang rajin masuk ke sini. Tapi yang jadi susah kalau spesies macam aku ni yang masuk. Pelajaran peringkat matrikulasi lebih kurang sama dengan STPM tapi yang menjadikannya susah, semuanya diajar dalam masa yang singkat. Bayangkanlah baru sebulan aku masuk belajar, tapi aku dah kena belajar sampai bab 5. Pensyarah-pensyarah mengajar macam F1 lajunya. Tak sempat faham yang belajar hari ni, esoknya dah masuk tajuk lain. Kadang-kadang naik fed-up aku dibuatnya. Tapi nak buat macam mana. Nak ke tak nak, aku tetap kena harung setahun tempoh pengajian matrikulasi ni. Barulah boleh terus buat degree.
Habis jawab kuiz dekat blok akademik, aku singgah dekat kafe sebelum balik ke bilik aku. Petang tadi aku dengan Ayna tak makan apa-apa. Jadi kita orang dah lapar sangat dah ni. Jadi aku orderlah nasi goreng kampung bungkus untuk aku dengan Ayna. Tapi nasib aku tak berapa baik sebab ramai gila orang dekat kafe masa aku datang. Nampak gayanya aku kena tunggu lebih masa sikitlah. Tunggu pun tunggulah sebab aku dah lapar sangat dan aku tak nak makan maggie saja malam ni.
Aku tunggu nasi goreng aku dekat kerusi yang jauh sikit dari orang ramai. Malas nak bersesak-sesak dengan ramai-ramai orang. Lemas rasanya. Dah lah lemas jawab kuiz tadi tak habis lagi.
“Excuse me…” Ada orang tegur aku dari belakang. Terkejut gila aku. Nasib baik aku tak melatah. Kalau tak buat malu je.
“Maya? Maya Asyikin?” Aku tengok budak lelaki yang tegur aku tu. Siap boleh sebut nama penuh aku lagi. Dia kenal aku ke? Rasanya dia ni bukan budak kuliah aku. Budak kelas aku lagilah bukan. Siapa pulak yang pergi murah hati pergi kenalkan nama aku dekat budak ni?
“Kita kenal ke?” Aku soal dia balik.
“Betul ke Maya ni?” Dia soal aku balik dengan nada yang macam terkejut dan kurang percaya. Tak percaya ke aku ni
Maya. Nak tengok IC aku ke?
Aku angguk dekat mamat ni. Dan dia ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kenapa pula ni? Tak percaya lagi ke?
“Kau tak cam aku ke Maya?” Dia soal sambil pandang tepat ke muka aku. Aku dah kerut kening. Kenapa pula aku kena cam dia? Aku kenal dia ke?
“Aku Faris lah… Faris anak Pak Ucu Hamdan.” Dia memperkenalkan diri. Aku kerut kening lagi. Macam pernah dengar nama Pak Ucu Hamdan tu. Kat mana ye? Puas juga aku fikir sampai aku teringat sesuatu.
“Pak Ucu Hamdan yang duduk dekat Cheneras Jaya tu ke?” Aku tanya dia semula untuk kompomkan bahawa teori aku tak salah.
Dia angguk sambil ketawa lagi. Seronok benar nampaknya dia ni. Mestilah seronok. Aku pun seronok sebab dia ni dulu pernah sekolah rendah dengan aku. Abah pun kenal dengan Pak Ucu Hamdan tu sebab kata abah arwah mak aku kawan dengan isteri Pak Ucu Hamdan ni. Tapi dia pindah sekolah waktu kami Darjah 4. Lepas tu aku tak jumpa dia langsung walaupun dia masih duduk dekat Kuala Lipis. Langsung daripada tu aku pun dah ingat-ingat lupa pasal dia ni.
Tak sangka sungguh aku boleh jumpa orang kampung aku dekat Kuala Nerang ni.
“Boleh pulak kita ni jumpa dekat sini, kan?” Dia cakap balik ayat yang aku dah cakap dalam hati tadi.
“Macam mana kau boleh sesat sampai kat sini. Kolej lain punyalah banyak, kenapa kat sini juga yang kau masuk.” Aku soal dia sambil ketawa. Rasa macam karma pulak boleh jumpa dengan dia ni. Kawan lama pulak tu.
“Tanya balik soalan tu dekat diri sendiri. Aku pun nak tanya benda yang sama dekat kau.” Dia balas soalan aku.
“Legalah aku nanti. Adalah geng aku naik bas nak balik kampung raya nanti.” Dia cakap pula.
“Puasa pun belum, dah fikir nak balik raya. Amende lah…” Aku kutuk dia. Tapi dia senyum saja.
Sambil borak-borak dengan dia ni sempat juga aku tilik muka si Faris ni. Rasa macam dah lain gila muka dia ni kalau aku bandingkan dengan zaman budak-budak dia dulu. Haruslah lain kan, itu namanya dia dah besar. Takkan nak baby faced sepanjang masa.
“Terer jugalah kau ni sebab dapat cam aku walaupun dah lama tak jumpa.” Aku cakap dekat dia.
“Mestilah terer. Bukan macam kau cepat lupa orang sebab suka makan semut.”
“Weh… ingat aku ni tenggiling ke nak makan semut.”
Dia ketawa lagi. Banyak betul dia ketawa malam ni. Tu lah… siapa suruh terjumpa dengan aku. Banyak juga yang aku borakkan dengan dia. Maklumlah, dah lama tak jumpa. Aku borak sampailah nasi goreng aku dah siap. Lepas tu aku terus minta diri sebab aku nak balik makan. Dah lapar gila dah ni!
“Err… tak nak bagi nombor telefon ke?” Dia tanya sebelum aku sempat berlalu balik ke kolej kediaman.
Aku pun bagi ajelah dekat dia. Lagipun, dia kawan aku kan?
Share this novel