Bab 20
Aku tak senang duduk. Angin sejuk dari air-cond dalam restoran yang aku sedang duduk ni masih belum dapat menyejukkan hati dan darah aku yang tengah panas ni. Aku tak suka dengan keadaan sekarang, keadaan di mana aku terpaksa juga duduk berhadapan dengan dia. Aku tak suka bila aku terpaksa pandang muka dia dan dia pun masih tak alihkan pandangan dia dari muka aku.
Bodoh betul! Macam mana aku boleh terserempak dengan dia dekat sini? Apa yang dia buat dekat sini? Kenapa aku boleh tak perasan yang dia ada dekat sini? Macam-macam benda aku rasa nak salahkan diri aku sekarang ni.
Mana taknya. Aku memang dah janji dengan Fatiha, roommate aku untuk keluar jalan-jalan dengan dia. Dari aku masuk mendaftar dekat kampus ni dulu, aku mana pernah keluar pergi jalan-jalan. Jadi kebetulan hujung minggu ni aku dengan Fatiha sama-sama free, kita orang pun keluarlah jalan-jalan sambil beli barang-barang keperluan.
Lagipun, aku memang dah lama sangat tak jumpa shopping mall. Dekat Kuala Nerang dulu mana ada tempat-tempat macam ni. Kalau ada pun dekat Alor Setar. Dan aku tak berapa rajin untuk naik bas dan bersesak-sesak dalam bas untuk ke Alor Setar kalau tak ada benda yang penting yang perlu aku cari.
Lepas balik Kuala Lipis, lagilah aku kempunan nak tengok shopping mall. Pasaraya yang paling besar pun setakat pasaraya TF aje. Jadi memang aku dengan Fatiha seronok sungguhlah bila dapat bersuka-ria macam ni.
Aku tengah seronok tengok Fatiha belek-belek blouse dekat satu butik ni bila aku sedar telefon bimbit aku berbunyi. Dan aku macam tak percaya dekat nombor yang tertera dekat skrin telefon tu. Sampai aku reject panggilan tu. Tapi tak sampai lima saat telefon aku berbunyi dengan nombor yang sama terpapar. Dan gambar Luthfi yang aku jadikan caller picture untuk nombor telefon dia pun tertera sekali.
“Hai.” Aku dengar suara dia sebaik aku jawab telefon. Aku jawab juga telefon tu sebab aku rasa sayang nak cancel panggilan dia buat kali kedua.
“Awak pakai lagi nombor ni rupanya.” Dia cakap lagi lepas aku tak respon apa-apa lepas dua minit. Mata aku masih tengah tengok Fatiha dekat dalam kedai baju tapi hati dan fikiran aku dah hilang jauh entah ke mana.
“Saya ingat awak dah tukar nombor.” Dia terus-terusan bercakap walaupun aku mendiamkan diri, hanya menjadi pendengar kepada setiap tutur kata dia.
“Tak sangka betul saya ada dekat belakang awak sekarang kan?” Dia cakap lagi. Dengan pantas aku menoleh. Memang dia tak sampai dua meter pun dekat belakang aku sambil pegang telefon.
Aku tengok dia tersenyum. Spontan aku teringat bahawa dulu pernah menyampah bila dia selalu senyum kambing dekat aku macam tu. Dan lama-kelamaan rasa menyampah tu bertukar menjadi satu perasaan indah lain bila tengok dia tersenyum walaupun bukan dekat aku. Tapi aku tak tahu mengapa bila aku tengok senyuman dia sekarang, air mata aku jatuh mengalir dengan tiba-tiba.
Aku berpaling sambil seka air mata aku. Cepat-cepat aku lari dari tempat aku berdiri. Aku tinggalkan saja Fatiha tu. Nanti aku boleh call dia semula. Aku tak nak jumpa dia. Kenapa dia muncul. Tapi belum pun cukup sepuluh langkah, lengan aku ditarik dan badan aku terpusing menghadap dia. Dalam lima saat tu, mata kami bertentang. Rasa macam dalam adegan flashback dalam filem Twilight pula bila segala kenangan yang berlaku selama tiga tahun lepas berlegar-legar dekat mata kepala aku.
“Kenapa lari?” Dia soal. Aku tak endahkan soalan dia tu. Aku cuba tarik lengan aku dari pengangan dia. Tapi makin kuat aku tarik, makin kemas dia pegang. Kenapa dia ni? Dulu dia tak seberani ni pegang-pegang aku. Memang berlapik tapi tetap tak elok kalau dia pegang-pegang aku.
“Lepaslah!” Perkataan pertama aku untuk dia selepas beberapa bulan dia tinggalkan aku.
“Maya! Kenapa ni?” Fatiha baru keluar dari kedai baju dan tengah cari aku. Dan sebab aku tak dapat lari jauh mana pun dari Luthfi ni tadi, dengan mudah saja Fatiha dah boleh jumpa aku dengan Luthfi.
“Nothing.” Aku jawab dan buat-buat selamba. Luthfi pun dah lepaskan pegangan dia dekat lengan aku.
“Kawan awak ke?” Luthfi soal aku. Aku sekadar angguk acuh tak acuh.
“Saya dengan dia dah nak balik. Minta diri.” Aku cakap dekat dia tanpa tengok muka dia.
“Wait.” Dia tahan aku.
“I’m Luthfi. Kawan Maya masa sekolah. You are…?” Luthfi cakap dengan Fatiha tiba-tiba.
“Fatiha. Roommate dia.” Fatiha jawab.
“Err.. Kalau saya ajak korang pergi makan-makan ke, nak tak? Saya belanja. Lama dah tak jumpa dengan Maya ni. Kebetulan jumpa, naklah borak-borak. Do you mind?” Dia masih cakap dengan Fatiha tanpa hiraukan aku.
“Saya okey je…” Fatiha jawab dengan senang hati.
Dan entah macam mana aku boleh terjerumus ke dalam restoran makanan western ni tanpa kerelaan aku. Dan aku terpaksa berhadapan dengan Syed Muhammad Luthfi Syed Zulkifli ni pula.
__________________
“KENAPA korang berdua ni senyap aje?” Fatiha tegur kami berdua yang dari tadi tak bercakap-cakap langsung pun. Mesti dia pelik. Kata tadi kawan lama, kenapa pulak macam perang dingin aje keadaannya?
“Lapar. Kena makan dulu baru boleh cakap.” Luthfi tolong jawab soalan Fatiha tu sebab aku tak ada idea langsung nak kelentong.
“Makanan lambat lagi baru sampai kot. Macam ramai orang dekat sini hari ni.” Fatiha cakap sambil pandang sekeliling restoran. Memang agak ramai pun. Dan mungkin juga betul kata Fatiha, makanan kitaorang mungkin akan lambat sikit sampai. Bermakna aku terpaksa lebih lama duduk menghadap mamat ni.
“Weh, aku nak gi toilet kejap. Dari tadi dah aku tahan sebenarnya.” Fatiha bisik dekat aku. Aku cuak. Habis takkan aku tinggal berdua aje dengan Luthfi dekat meja ni. Tapi takkan aku tak nak bagi Fatiha pergi tandas pula.
Aku angguk juga kepala dekat Fatiha walaupun tak rela. Banyak sungguh perkara yang rela aku buat hari ni, terpaksa aku buat!
Bila aku alih muka ke arah dia, aku tengok dia tengah pandang aku.
“Buat apa dekat sini?” Soalan pertama aku dekat dia. Rasa rimas sebab dari tadi duduk tak bercakap. Kalau dia malas nak tanya aku, biar aku yang tanya dulu.
“Jalan-jalanlah.” Pendek dia jawab.
“Tak… maksud saya, awak bukan duduk dekat Melaka ke? Macam mana boleh ada dekat area ni?”
“Training dekat Melaka dah habis. Sekarang saya dekat airport.” Dia jawab.
Aku angguk dalam hati. Dah habis rupanya. Aku tak tahu pun. Macam mana nak tahu, dia bukannya siapa-siapa pun dengan aku. Buat apa dia nak bagi tahu hal hidup dia dekat stranger macam aku.
“Kak Lynn ada bagitahu saya yang dia jumpa awak.” Dia cakap dekat aku tiba-tiba.
Memanglah. Aku pun dah agak yang Miss Lynn akan cerita pasal aku dekat Luthfi. Lagipun dia yang macam beriya-iya sangat support hubungan aku dengan Luthfi. Walaupun sebenarnya, aku dengan Luthfi bukannya ada apa-apa dah pun. Kita orang berdua dah full stop. Dah tak boleh nak buat apa dah.
“So?” Aku jawab acuh tak acuh. Tak pandang pun dia.
Aku dengar dia mengeluh. Dan dia tak cakap apa-apa pun lepas tu. Aku tertoleh-toleh mencari kelibat Fatiha. Lama betul dia pergi tandas sampai sekarang pun tak balik-balik lagi. Makanan pun masih tak sampai. Kalau dah sampai, boleh juga aku makan dan lagi cepat aku boleh pergi dari sini.
“Lepas ni nak pergi mana?” Luthfi tanya aku.
“Baliklah. Nak pergi mana lagi?” Aku tanya dengan nada menyampah. Tak tahu kenapa aku buat nada macam tu.
“Tak nak jalan-jalan dengan saya dulu?” Dia tanya tanpa mengendahkan cara aku respond soalan dia tadi. Dia buat macam tak dengar aje.
Aku pandang muka dia. Riak muka dia macam biasa saja. Siap senyum lagi dekat aku.
Tiba-tiba aku rasa marah sangat dekat dia. Dia anggap aku ni apa agaknya. Dia tak ingat ke apa yang jadi dekat aku dengan dia beberapa bulan lepas? Dia tak ingat ke apa yang dia cakap dekat aku masa tu? Boleh dia berlagak biasa dengan aku macam ni seolah-olah tak pernah berlaku apa-apa antara kita orang.
Aku ingat lagi bila setiap kali kita orang bergaduh, aku cuba mengalah sebab aku tahu ego dia tinggi. Berkali-kali aku telefon untuk pujuk dia bila dia marah atau merajuk. Tapi dia tak pernah hargai langsung usaha aku tu. Aku minta maaf berkali-kali dalam mesej tapi dia tak pernah reply. Lepas beberapa minggu, dia akan telefon aku dan cakap macam kita orang tak pernah bergaduh langsung.
Dan sekarang dia tengah buat perkara yang sama macam dulu juga.
“Awak ni hilang ingatan ke apa?” Aku tanya dia.
Dia nampak terkejut bila aku tanya dia dengan nada marah macam tu. Aku perasan riak muka dia berubah sedikit.
“Macam mana awak boleh fikir yang saya boleh ada hati nak jalan-jalan dengan awak?”Aku tanya lagi.
“Awak ingat kita macam dulu lagi ke? Awak sedar tak yang kita dah tak ada apa-apa hubungan dah sekarang ni? Awak ingat awak boleh buat macam dulu lagi ke? Ignore saya, tinggalkan saya for a few weeks. Lepas tu jumpa saya, buat-buat macam biasa. Dan saya akan play along dengan lakonan tu. No, Luthfi. We’re not even friends now!”
Aku perasan ada beberapa pasang mata dekat dalam restoran yang pandang ke arah aku dengan Luthfi sebab aku dah naikkan suara dekat dia tadi. Dan jelas dia nampak terkejut bila aku tiba-tiba naik marah dekat dia.
Aku terus bangun dari kerusi dan nak cari Fatiha untuk ajak dia balik terus. Tak teringin aku nak makan dengan lelaki ni. Lantak dialah nak buat apa dengan makanan yang dia dah order banyak-banyak tu. Lagipun dia yang nak sangat bayar tadi. Tapi dia sempat tarik tangan aku dan halang aku daripada bangun.
“Paling tidak pun makanlah dulu dengan saya.” Dia cakap dengan nada lembut, memujuk.
Aku tak tahu aku dapat kekuatan dari mana untuk lemparkan pandangan yang cukup sinis dekat wajah yang aku pernah suka sangat-sangat tu.
“No, thanks! Kau makanlah sorang-sorang.” Aku tarik tangan aku sekuat hati sampai terlepas dari genggaman dia.
Aku jalan laju-laju untuk tinggalkan dia. Aku call Fatiha sambil mata melilau mencari kelibat dia. Dan aku nampak dia tengah turun elevator tingkat dua. Aku terus lari kejar dia.
“Jom balik!” Aku ajak dia cepat-cepat sebelum Luthfi sempat kejar aku dan heret aku ke restoran tu semula.
“Tapi kawan kau tadi…” Fatiha memang jelas nampak pelik dengan aku.
“Tak apa, abaikan dia. Kalau kau lapar aku boleh belanja kau. Tapi dekat tempat lain.” Aku terus tarik tangan Fatiha keluar dari mall tu.
Nasib baik Fatiha ikut aje cakap aku sebab dia tengok aku dah kelam-kabut dan serabut tahap gaban. Aku dengan Fatiha balik dengan teksi je. Dan sebaik aje teksi yang aku naik tu bergerak, aku nampak kelibat Luthfi tengah cari kita orang dekat luar mall. Dan bila dia nampak aku, dah terlambat untuk dia kejar aku sebab teksi dah berlalu pergi.
__________________
“MAYA, KAU okey ke tidak ni?” Fatiha dah naik risau bila tengok aku tak bercakap langsung sejak sampai dekat bilik asrama tadi.
“Okey.” Aku jawab sepatah.
“Sorrylah aku belanja kau makan biasa-biasa aje tadi. Tak dapat kau nak makan western tu.” Aku baru teringat yang disebabkan aku Fatiha tak dapat makan dengan proper tadi.
“Alahai, makanan juga tu. Aku tak memilih lah.” Fatiha jawab. Aku senyum tak ada makna dekat dia sebab aku memang tak ada mood nak senyum pun. Hati aku tengah kacau-bilau ni.
Aku sebenarnya tak sangka boleh terjumpa dia hari ni. Sebenarnya aku memang dah tahu, yang suatu hari nanti sama ada aku nak atau tidak, aku memang terpaksa berhadapan dengan Luthfi juga. Lagipun kakak dia ada dekat kampus ni. Dan kakak dia tu tak habis-habis cakap pasal Luthfi dekat aku setiap kali dia jumpa aku. Kalau fikir logik pun, takkanlah selama tiga tahun setengah aku bakal berada dekat kampus ni, aku takkan jumpa langsung dengan Luthfi tu. Aku tahu memang aku akan ‘ter’jumpa juga dengan dia.
Tapi bukan sekarang. Aku tak nak jumpa dia lagi sekarang. Aku masih belum bersedia nak jumpa dengan dia. Aku masih tak nak bersemuka dengan dia buat masa sekarang.
Hakikatnya, aku masih belum dapat lupakan dia. Hati aku dah terlanjur suka sangat-sangat dekat dia. Dalam beberapa bulan ni aku hanya tipu diri aku dan semua orang dengan mengatakan aku okey. Aku tipu Faris dengan cakap dekat dia yang aku dah lupa dengan apa yang terjadi pada hari graduasi aku dekat matriks hari tu.
Tapi aku sebenarnya aku masih belum lupa. Susah sangat nak lupa. Rasa macam terngiang-ngiang lagi suara dia bila dia cakap hubungan kami putus. Hati aku masih terasa sakit bila aku teringat yang dia pergi tinggalkan aku macam tu aje lepas putuskan hubungan dengan aku. Aku masih tak boleh lupa berapa banyak aku menangis dan betapa susahnya hati aku tunggu call dia selama berhari-hari. Aku masih boleh rasa kecewa bila dia langsung tak call aku setelah sekian lama aku tunggu khabar berita dari dia.
Aku sedar yang aku masih belum mampu buang perasaan aku dekat dia. Jadi sebab itu aku tak mahu jumpa dia. Aku nak lupakan dia.
Tapi setelah aku jumpa dia tadi, hati aku jadi tak keruan. Aku nampak senyuman dia. Aku ingat renungan mata dia pada aku tadi. Dan aku tak boleh nafikan yang aku memang masih sayang dia.
Share this novel