Bab 33

Romance Series 5969

Bab 33

Aku ingat aku balik kampung kali ni sorang-sorang saja. Tak sangka pula bila aku naik aje bas, aku nampak muka Faris dah ada siang-siang dekat dalam bas tu. Dia ni balik kampung juga ke? Buat apa? Takkan balik sebab nak datang majlis bertunang along aku juga?

Tapi memang betul rupanya dia balik sebab along aku bertunang. Abah yang jemput dia untuk ikut rombongan kami sekali ke rumah Kak Sofea untuk majlis pertunangan tu nanti. Entah buat apa abah jemput dia. Kalau ikut hati aku tak payah jemput pun tak apa. Buat menyemak aje. Bukan saudara pun dia tu.

Aku salam abah sebaik sahaja aku sampai dekat rumah. Dekat stesen bas tadi, along yang datang jemput aku.

“Bila Luthfi nak sampai rumah kita?” Abah soal aku.

“Petang-petang sikit kot. Tapi sebelum maghriblah.” Aku jawab biasa-biasa untuk cover menggelabah aku.

Abah memang jemput Luthfi sekali untuk ikut rombongan keluarga kami ke majlis pertunangan along. Lagi pun abah dah cakap yang dia nak kenal betul-betul dengan Luthfi tu sebab aku dah berkawan rapat dengan dia. Tu pasallah yang aku menggelabah semacam aje ni.

Abah angguk dengar jawapan aku. Jadi sebelum abah bertanya dengan lebih lanjut, aku cepat-cepat lari masuk ke dalma bilik aku.

Bila aku masuk bilik, aku tengok ada banyak dulang hantaran dekat dinding sebelah pintu dalam bilik aku. Tak sempat aku bertanya along dah muncul dekat depan pintu bilik aku sambil sengih macam kerang busuk.

“Tumpang bilik tau.”Dia cakap dekat aku.

“Kenapa nak kena tumpang pula?” Aku cakap sambil letak beg baju aku dekat atas katil.

“Bilik along semak. Nanti tak cantik pula hantaran ni kalau duduk dalam bilik along lama-lama.”Dia jawab sambil sengih lagi.

Semak? Aku tahu dah. Bilik lelaki mana pernah kemas. Tapi bilik abah tu okey pula aku tengok. Tak jadi kapal pecah pun.

“Kenapa tak letak dalam bilik tetamu dekat depan tu?” Aku soal. Kan bilik tu kosong. Dah memang kemas dah pun. Jadi tak jadi masalah pun kalau letak barang-barang along ni dekat situ.

“Bilik tu nanti kan Luthfi nak tumpang tidur. Takkan nak letak barang banyak-banyak dekat situ pula?” Along cakap. Aku tepuk dahi. Ya tak ya juga. Lepas tu aku senyum dekat along.

“Okey. Tumpang aje lah. Adik caj sewa untuk semalaman aje okey?” Aku cakap dekat along.

“Huh! Berkira!” Dia cakap dan berlalu pergi. Dia biasa dah dengan aku yang suka bergurau untuk minta duit dari dia ni.

Akhirnya pada jam 6:10 petang aku nampak Vios putih Luthfi masuk ke perkarangan rumah aku ni. Abah yang sedang berehat di laman rumah sambil baca buku pun angkat muka untuk melihat siapa yang datang.

Aku capai tudung dan keluar untuk sambut dia. Aku nampak dia keluar dari kereta dengan wajah tampan dia tu. Rasa dia sangat kacak pula tiba-tiba. Bukan sebab apa. Aku sebenarnya dah lama juga tak jumpa dia. Dah berminggu-minggu dah, maklumlah dia sibuk kerja. Jadi rindu jugalah sedikit dekat dia. Sebab tu tiba-tiba rasa dia handsome. Kalau tak muka dia sama aje dengan Pak Mat tukang kebun dekat sekolah aku dulu.

Abah dah pelawa dia masuk ke dalam rumah dulu. Lepas tu aku ke dapur untuk buat air sebab abah suruh. Dari dapur aku dengar abah dengan Luthfi macam berbual-bual mesra. Aku tarik nafas lega sebab Luthfi nampak macam pandai bawa diri dia dekat depan abah aku tu. Ada chance aku dengan dia nampaknya!

Bila aku angkat minuman dengan kuih ke ruang tamu, aku sempat curi pandang ke arah dia. Dia senyum pula tengok aku. Berani sungguh dia senyum dekat aku time macam ni. Dahlah depan abah aku pula tu. Tak takut ke cik abang?

“Jemput minum, Luthfi.” Abah pelawa dia minum.

“Nah.” Abah hulur satu beg kertas dekat aku.

“Apa dia ni, bah?”Aku tanya sambil sambut beg tu dari tangan abah.

“Luthfi bagi kek lapis Sarawak ni. Dia beli dari Sarawak katanya. Ada dua buku ni. Bolehlah along bagi satu dekat bakal tunang dia esok.” Abah cakap lagi.

Aku angguk dan bawa masuk kek yang Luthfi bagi tu. Dalam hati aku puji dia berbakul-bakul. Tak sangka pandai juga dia bawa ole-ole. Tak adalah datang tangan kosong macam yang Faris selalu buat.

Masa aku tengah simpan kek dekat dapur, along datang cuit aku dari belakang. Terkejut aku!

“Boleh tahan mamat tu. Muka Korea pun ada. Kutip dekat mana?”Along cakap sambil sengih. Ni perli ke puji?

“Mana ada kutip. Kenal dekat sekolah dulu dah.” Aku cerita. Aik? Bukan aku dah pernah cerita ke dulu? Mesti kes lupa ni. Itulah makan semut banyak-banyak lagi.

“Kalau along jadi abah, yang ni lagi layak jadi calon menantu.” Along menambah. Aku senyum dengar dia cakap macam tu. Dalam hati aku pun harap benda yang sama.

“Maya!” Ak dengar abah tiba-tiba laung nama aku dari ruang tamu. Cepat-cepat aku jawab.

“Ada apa, bah?” Aku bertanya.

“Luthfi dah nak balik ni.” Abah bagitahu. Aku tarik muka pelik.

“Balik mana?” Aku tanya.

“Dia tidur hotel dekat bandar malam ni. Esok pagi dia datang semula rumah kita.” Abah cerita. Aku angguk.

Aku hantar Luthfi ke kereta. Abah dah masuk untuk mandi sebab tak lama lagi dia nak ke masjid untuk solat maghrib berjemaah.

“Kenapa tak tidur sini?” Aku tanya Luthfi. Tak tahu kenapa aku mesti rasa kecewa sebab dia tak tidur rumah aku. Tak selesa ke rumah aku ni? Risau juga aku sebab aku tahu yang aku ni bukan orang kaya macam dia. Rumah pun tak sebesar rumah dia. Entah-entah dia tak biasa tidur dekat rumah kecil macam ni kot.

“Tak manislah kalau saya tidur dekat sini. Kalau saya ni perempuan tak apalah. Tapi saya ni kawan lelaki. Kawasan kampung ni sensitif. Jirang-jirang suka pandang apa yang kita buat. Jadi kenalah jaga nama baik keluarga awak ni.” Dia cakap. Aku angguk tanda faham.

Ada benarnya apa yang dia cakap tu. Aku pun tak terfikir sampai macam tu sekali. Bagus juga dia ni sebab fikir macam tu. Mesti boleh naik saham dia dekat depan abah aku tu nanti.

“See you tomorrow morning.” Dia cakap sambil senyum dekat aku. Lepas tu dia naik kereta dan keluar dari kawasan rumah aku. Aku hanya hantar dia pergi dengan pandangan mata.

ALHAMDULILLAH MAJLIS PERTUNANGAN ALONG aku hari tu berjalan lancar. Cantik gila bakal kakak ipar aku pada hari pertunangan dia orang hari tu. Sedikit sebanyak aku pun terbayang-bayang juga bila waktu aku kena bertunang dengan Luthfi nanti. Aku rasa dia pun sama sebab dia asyik curi pandang ke arah aku pada hari tu.

Disebabkan dalam keluarga kami ni aku seorang saja yang perempuan, jadi akulah yang jadi wakil keluarga aku untuk sarungkan cincin pertunangan ke jari Kak Sofea. Bangga gila aku sebab banyak gambar aku yang orang ambil. Tak sia-sia aku melawa pada hari tersebut. Dahlah baju aku sedondon pula dengan Luthfi walaupun kami tak berjanji. Ada jodoh kot, InsyaAllah.

Aku juga perasan yang muka Faris keruh aje pada majlis tu sebab dia tengok Luthfi pun ada sekali. Dahlah dia tak pakai sedondon dengan aku. Aku rasa dia tak tahu menahu pun yang abah jemput Luthfi tu sekali untuk pergi majlis bertunang along aku. Nampak sangat dia terkejut bila nampak Luthfi sampai dekat rumah aku pada pagi hari bertunang tu. Tapi aku buat-buat tak nampak aje semua tu.

Respon abah terhadap Luthfi pula nampak macam memberangsangkan sebab aku tengok abah dengan Luthfi okey aje. Siap boleh berbual-bual lagi. Pandai pula dia curi markah bonus dari abah aku tu. Bijak, bijak!

Lepas aku jumpa Luthfi masa along bertunang tu, aku langsung tak jumpa dia pun selama dua minggu selepas tu. Dia pun hanya sempat hantar mesej aje dekat aku untuk beritahu yang dia agak sibuk kebelekangan ni. Aku pun terima dengan rela hati sebab aku dah biasa dah kena tinggal dengan dia macam ni.

Hari tu hari Khamis dan kebetulan aku baru habis kelas petang waktu aku terserempak dengan Miss Lynn. Miss Lynn pun nampaknya memang tengah cari aku juga gayanya.

“Free tak lepas ni?” Dia tanya aku.

“Err… free kot. Kenapa Miss Lynn?” Aku tanya dia macam gagap-gagap sikit sebab terkejut dia tiba-tiba tegur aku.

“Jom keluar makan dengan saya. Saya belanja.” Miss Lynn cakap dekat aku.

Aku ternganga dekat situ juga.

Rasa tak pernah lagi aku keluar dengan Miss Lynn selama aku kenal dia ni. Aku tahulah dia ni kakak Luthfi dan dia pun dah sedia maklum yang aku dengan Luthfi kembali bersama. Tapi selama ni dia hanya datang borak-borak dengan aku untuk tanya khabar macam biasa aje. Setakat beramah mesra sebab aku ni kawan adik dia. Tapi tak pernah lagi dia ajak aku keluar makan ke apa ke.

“Bo… boleh. Tapi tunggu saya solat Asar sekejap, boleh tak?” Aku cakap dekat dia.

“Okey. No hal. Tapi saya period. Tak solat. Saya tunggu dekat kereta ajelah, ye? Tahukan saya park dekat mana?” Dia cakap dekat aku. Aku angguk sebagai jawapan kepada soalan dia.

Lepas Miss Lynn berlalu, aku bergegas pergi solat Asar dekat surau staff dekat bangunan akademik. Takut nanti lama pula Miss Lynn menunggu. Nasib baik petang-petang macam ni dah tak ada staff dah yang nak solat dekat surau ni. Tak adalah segan sangat.

Lepas solat, aku baca doa lebih kurang. Lepas tu cepat-cepat aku lari ke parking lot. Aku nampak Miss Lynn dah tunggu aku dalam kereta dia sambil touch up lipstick dia.

“Sorry, Miss Lynn. Lambat tak saya?” Aku soal sebaik sahaja aku masuk dalam kereta dia.

Miss Lynn senyum simpul.

“Taklah. I baru sudah betulkan make up.” Dia jawab ringkas lepas tu terus memandu kereta.

Aku pun diam aje duduk dekat sebelah dia. Tak tahu nak borak apa sebenarnya.

“Awak dengan Luthfi. You guys are really serious, right?” Dia tanya aku tiba-tiba.

“Hah?” Aku termangu-mangu sebab tak berapa jelas dengan soalan yang dia tanya secara tiba-tiba tu.

“Korang punya hubunganlah. You guys in serious relationship, right?” Miss Lynn tanya semula.

“Err… rasanya macam tu lah.” Aku jawab. Tak tahu pula aku kalau-kalau Luthfi fikir lain. Tapi dipihak aku, aku rasa aku dah cukup serius dah.

“Good. Maknanya kalau ada rezeki, you’ll be my sister in-law. Sukanya!” Dia excited pula tiba-tiba. Aku senyum. Comel pula aku tengok Miss Lynn ni. Senang sangat excited. Suka aku tengok.

“Kenapa Miss Lynn suka sangat ni?” Aku berbasa-basi cuba nak borang-borak dengan dia. Manalah tahu kot-kot nanti aku betul-betul jadi sister in-law dia.

“Because I like you. You are different, Maya. Saya rasa awak perempuan yang unik. Dan Luthfi nampak sangat happy bila dengan awak. Itu yang paling penting.” Dia jawab.

“Unik? Unik yang macam mana tu?” Aku pun tak tahu yang aku ni unik. Ahahah!

“Well, ada ramai perempuan cantik dekat luar sana. Tapi awak seorang saja perempuan cantik yang tak tahu diri dia cantik.” Dia jawab. Aku rasa nak tergelak pula dengan jawapan tu.

“Saya biasa-biasa ajelah, Miss Lynn. Miss Lynn lagi cantik.” Aku cakap dengan ikhlas. Aku ni kalau nak banding dengan dia rasa macam langit dengan bumi. Tak terbanding pula rasanya. Macam mana dia boleh cakap yang aku ni cantik. Nanti terlebih perasan pula aku ni.

“See? You are so modest. But believe me, dear. You are gorgeous without even trying. Sebab tu awak ni unik.” Melangit-langit pula aku kena puji. Aku senyum simpul ajelah.

“Kalau macam tu, thanks lah. Tapi saya tetap rasa yang Miss Lynn lagi cantik.” Aku cakap sambil gelak. Dia pun gelak.

“Tapi sebenarnya kita nak ke mana ni?” Aku baru teringat yang aku dengan Miss Lynn ni sepatutnya keluar makan. Tapi kereta Miss Lynn ni tak juga berhenti. Jadi aku pun tak tahu ke mana dia nak bawa aku sebenarnya.

“Dah nak sampai pun. Tapi lupa pula. Kita makan dengan my mom sekali tau? Dia yang nak sangat jumpa awak.” Miss Lynn cakap sambil parking kereta. Aku telan air liur. Alamak! Jumpa mak Luthfi lagi aku jawabnya.

“Hai, Maya. Lama tak jumpa kan?” Mak Luthfi yang dah tunggu dekat meja makan tu bangun dan hulur tangan dekat aku. Aku sambut salam dia dan cium tangan dia.

Memang lama pun aku tak jumpa dengan Puan Sri ni. Dah bertahun pun. Akhir sekali aku jumpa pun masa aku sekolah dulu. Masa aku budak-budak hingusan lagi.

“Betullah cakap Lynn. Dia makin cantik dari kali last mummy jumpa dia.” Mak Luthfi cakap dekat Miss Lynn pasal aku. Rasa merona merah muka aku yang tak putih sangat ni. Malu pula.

“Mana ada, mak cik. Saya biasa-biasa aje. Cuma dulu muka budak. Sekarang dah tak budak.” Aku tepis pujian tu. Hairan aku kenapa dua beranak ni asyik nak puji aku berbakul-bakul ni. Nanti bangga diri, siapa nak jawab?

“Mak cik dah lama nak jumpa dengan Maya. Tapi susah betul nak dapat peluang.”Mak Luthfi cakap lagi. Aku rasa berdebar tak tentu pasal.

“Err… kenapa mak cik nak jumpa saya?” Aku tanya. Manalah tahu dia nak warning aku sebab aku ada buat salah dekat anak dia ke apa ke. Risau juga aku.

“Eh, saja nak jumpa tak boleh ke? Lagipun, Maya dengan Luthfi tengah berkawan macam ni, mana tahu nanti Maya jadi menantu mak cik ke satu hari nanti.” Mak Luthfi cakap sambil tersenyum manis.

Lagi aku blushing sekarang ni. Tak sangka mak cik ni tak kisah aku berkawan dengan Luthfi. Aku ingat aku dah nak kena marah dah tadi.

“Eh, takkanlah tak boleh.” Aku cakap sambil gelak sebab nak cover malu aku. Mak Luthfi dengan Miss Lynn pun ikut gelak.

“Tapi, Maya ni biasa-biasa aje. Tak berada sangat, tak cantik sangat. Belajar pun biasa-biasa aje.” Aku merendah diri. Siapalah aku kalau nak banding dengan keluarga mereka. Dahlah Tan Sri. Keturunan Syed pula tu.

“Mak cik tak pandang semua tu, Maya. Yang penting Luthfi sukakan Maya. Mak cik hanya nak tengok anak mak cik bahagia. Itu saja.” Mak Luthfi jawab. Aku balas dengan senyuman untuk jawapan dia tu. Memang aku pun harap yang aku dapat bahagiakan Luthfi sebagaimana dia membahagiakan aku. Itu saja. Aku tak pernah pandang pun harta kekayaan dia.

“Makanlah, Maya.” Miss Lynn pelawa aku makan lepas makanan siap dihidangkan.

“Nanti bila daddy tak sibuk dia pun nak kenal-kenal dengan Maya juga.” Miss Lynn cakap dekat aku. Mak Luthfi pun angguk mengiyakan kata-kata Miss Lynn tu.

Aku senyum untuk lindung perasaan gementar yang bertunas dalam hati aku. Ayah dia pula nak jumpa aku sekarang ni. Nervousnya! Nasib baik aku tak sampai tercekik sebab terkejut. Kalau tak jatuh saham aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience