Bab 17

Romance Series 5969

Bab 17

Hari Isnin tiba. Bermakna aku kena duduk sorang-sorang dekat rumah. Abah kena pergi kerja, along pula kena pergi kelas dekat maktab dia tu. Nasib aku lah yang menganggur tak ada kerja ni kena duduk dan jaga rumah.

Tapi aku dah biasa dah pun. Sejak aku habis matrikulasi hari tu lagi aku kena jadi bibik dalam rumah ni. Lepas semua orang keluar, aku kena kemas rumah, cuci baju, jemur baju dan macam-macam kerja rumah yang lain. Masak pun kerja aku sekarang ni. Ehem, ehem… aku dah pandai memasak tau sejak jadi suri rumah ni.

Puas jugalah aku cari resepi dalam macam-macam blog masakan. Dari resepi tak menjadi, sampailah kena puji. Nasib baik abah makan juga walaupun kadang-kadang tak sedap pun aku masak. Tapi, abah tetap nak bagi semangat supaya anak perempuan dia ni boleh jadi perempuan melayu terakhir yang sejati. Haha!

Along aku aje yang banyak songeh. Aku masak aje, macam-macam benda yang kurang. Bukannya dia tu tahu masak sangat pun. Dia tu saja nak kritik orang saja.

Tapi lepas sebulan, abah kata makanan yang aku masak semuanya dah boleh dimakan. Kira dah sedap lah tu. Senang hati aku dengar pujian abah. Along aje yang konon tak nak puji aku tapi makan bertambah juga. Poyo!

Sambil-sambil aku menganggur, aku pergi juga kelas memandu. Manalah tahu nanti abah nak bagi hadiah Ferrari ke dekat aku. Boleh aku bawa kereta sendiri. Yang tukang ambil aku dekat rumah dan hantar aku ke kelas memandu ialah sahabat aku si Faris yang dah ada lesen sejak habis SPM hari tu lagi. Abah tak ada pilihan sebab dia kena kerja dan along masih belajar. Cuma kalau kelas memandu aku pada hujung minggu saja abah yang akan hantar dan jemput aku.

Tapi abah tak kisah sangat aku rapat dengan Faris tu. Dia macam percaya dekat Faris tu dan Faris tu pun sangat hormat dekat abah aku. Walau bagaimanapun abah selalu juga ingatkan aku agar jaga diri baik-baik takut ada apa-apa yang terjadi.

Aku dah siap jemur pakaian semua orang dan baru nak mula cari resepi dekat internet bila Faris telefon aku. Aku pun jawablah.

“Buat apa?”Dia tanya aku dekat hujung talian.

“Nak masak.”

“Masak apa hari ni?” Dia pun tahu aku kena masak hari-hari sekarang ni.

“Entah. Baru nak cari resepi. Rasa-rasa apa yang sedap?” Aku tanya pendapat dia sebab kadang-kadang idea dia ni bernas juga untuk diguna pakai.

Dia diam di hujung talian. Aku tahu dia tengah fikirkan sesuatu.

“Apa yang ada dalam peti ais kau?” Dia tanya aku.

Aku pun bagitahu lah bahan-bahan yang ada. Siap selongkar peti ais lagi untuk bagitahu dia secara detail.

“Masak ajelah asam pedas. Barang-barang pun perfect.” Dia buat keputusan.

“Okey, nanti aku cari resepi dia.” Aku cakap.

“Tak payah. Nanti aku smskan resepi aku.” Kata dia.

“Sedap ke resepi kau?”

“Turun temurun tradisi keluarga.” Jawab dia dengan penuh rasa bangga. Aku gelak aje dengar dia membangga diri macam tu.

Tapi aku pun tahu sebenarnya dia memang pandai masak sebab dia selalu tolong emak dia masak. Bagus budak nama Faris ni. Kalau sesiapa jadi bini dia memang untung. Tapi dia gelak kuat-kuat bila aku cakap macam tu dekat dia.

“Nak apa telefon aku ni?” Aku tanya dia. Manalah tahu dia ni ada hal penting ke nak cakap dekat aku.

“Nak ajak isi borang universiti sama-sama, nak tak?” Betul juga. Keputusan peperiksaan matrikulasi dah keluar dari minggu lepas lagi tapi aku masih tak isi mana-mana borang universiti lagi.

“Bila?” Aku tanya.

“Esok. Aku datang ambik kau dekat rumah lepas tu kita pergi lepak dekat cyber café.”

“Esok aku kena pergi test JPJ lah. Lupa lah tu.” Buat penat aje aku bagi reminder dekat dia selama ni.

“Lepas test JPJ kita pergilah.”

“Okey. Nanti aku cakap dekat abah aku.”

Aku dengan dia borak dalam dua minit lagi lepas tu aku suruh dia letak sebab kalau tak, sampai bila pun aku tak jadi nak memasak. Bila aku letak aje telefon, aku terpandangkan muka Luthfi dekat wallpaper. Sampai sekarang aku masih tak tukar wallpaper tu. Kalau dulu, dia yang selalu telefon untuk kacau-kacau masa lapang aku. Tapi sekarang keadaan dah jauh berbeza. Dia tak boleh teman aku berborak lagi sekarang ni. Dia langsung tak sudi dah agaknya.

“LULUS TAK?” Faris tanya aku lepas nampak aku keluar dari pejabat sekolah memandu aku.

“Rasa-rasa?” Saja aku nak baggi dia suspens sikit.

“Macam tak lulus aje.” Dia cakap dengan nada sinis yang dibuat-buat.

“Tolong sikit yer. Aku dah pro bawak kereta sekarang tau.”

“Yelah tu. Tengok-tengok baru seratus meter dah mati enjin kereta tu.”

Aku tengok dia tak puas hati. Kalau ikut aku, aku cubit-cubit satu badan dia. Biar sampai lebam-lebam. Tapi dia gelak aje bila aku tengok dia macam tu.

“Aku lulus lah!” Aku buat-buat macam marah dekat dia. Tapi dia pun tahu aku marah bukan betul-betul sebab dia terus gelak tengok aku.

“Jomlah pergi isi borang.” Dia ajak aku lepas ketawa dia dah reda sikit. Terlupa pula aku yang kami berdua plan nak isi borang universiti secara online dekat cyber café.

Jadi tanpa membuang masa, aku terus ikut si Faris ni. Nasib kita orang baik sebab tak ramai orang dekat cyber café. Tak payahlah bersesak-sesak. Boleh lah kami berdua isi borang dengan aman.

Banyak juga aku bincang dengan dia tentang pilihan universiti yang ada dan sesuai dengan kelayakan keputusan peperiksaan matrikulasi kita orang. Hakikatnya, Faris lebih banyak pilihan sebab keputusan dia jauh lebih baik dari aku. Tapi balik-balik dia cakap, dia nak masuk sama universiti dengan aku. Aku pun tak paham. Kalau ada tempat yang lebih baik, kenapa dia tak nak pergi saja. Kenapalah dia nak susah-susah ikut aku masuk universiti yang biasa-biasa saja?

Bila aku tanya dia soalan tentang perkara tu, dia tak ambil serius.

“Saja…” Macam tu saja yang dia jawab. Balik-balik aku yang geram nak tumbuk dia. Haha!

“Takkan kau nak follow aku sampai sudah? Kalau dekat tempat yang aku apply tu tak ada course yang kau minat macam mana?” Aku cuba juga buat dia nampak keadaan sebenar dan perbezaan yang terjadi antara aku dengan dia.

“Aku apply ajelah course yang aku rasa-rasa minat.”

“Macam senang je kau cakap ye?” Naik geram aku dengan mamat yang nama Faris ni.

“Memang senang je cik Maya oi! Kau aje yang penat fikir benda-benda yang susah.” Aku pulak yang dia salahkan. Dia ni tak paham ke? Ini masa depan kaulah Faris!

“Aku tak nak kau pikir complicated sangat boleh tak? Yang aku tahu sekarang, aku nak apply semua universiti yang sama macam kau apply. Dan tak ada siapa-siap yang boleh halang aku. Full stop.” Dia degil juga. Lantak kaulah, Faris. Akhirnya kau mengalah dan malas dah layan mamat tu.

Lepas lebih dua jam mengisi borang untuk beberapa universiti, aku pun nak ajak dia balik. Hari pun dah petang. Abah aku tak lama lagi mesti nak balik rumah dah sebab waktu kerja dia dah nak habis. Along aku mesti dah sedia terpacak dekat rumah dah sekarang ni sebab dia kata kelas dia habis awal hari ni.

“Tak nak pergi rumah aku dulu ke? Mama aku dah lama tanya aku kenapa lama kau tak datang rumah.” Tanya Faris kepada aku.

Betul juga tu. Aku dengan Faris dah jadi rapat sangat kebelakangan ni. Banyak masa aku habiskan dengan dia. Dan memang aku selalu pun pergi ke rumah dia waktu tak ada orang dekat rumah aku. Tapi aku pergi dengan izin abahlah. Mama Faris pun suka aku datang ke rumah dia sebab Faris tak ada adik beradik perempuan. Jadi mama Faris pun excited sangat kalau aku ada. Dia dah layan aku macam anak dia pula.

Kadang-kadang aku pergi belajar memasak dengan mama Faris tu. Kadang-kadang belajar menyulam sebab mama dia ni pandai menyulam. Tapi aku sekadar belajar ajelah menyulam tu. Tangan kayu aku tak tak mampu nak hasilkan hasil seni yang cantik-cantik macam yang mama Faris buat.

Aku pun suka sangat duduk dengan mama si Faris tu sebab mak cik tu sangatlah baik dan peramah. Perangai budak-budak pun ada pada mak cik tu. Jadi tak rasa kekok pun.

“Tak boleh lah hari ni. Dah lewat dah. Nanti abah aku cakap apa pula sampai petang aku tak balik-balik.” Aku tolak ajakan dia dengan cara baik.

“Abah kau takkan marahlah kalau dia tahu aku bawa kau pergi rumah aku.” Dia pujuk aku lagi.

“Hari lainlah…”Aku tolak lagi. Dan akhirnya dia faham.

Waktu dia hantar aku sampai ke rumah, abah aku dah sampai pun dekat rumah. Tapi masih baru sampai lah. Satu perkara yang aku cukup suka tentang Faris ni, dia mesti akan pergi berbual-bual dengan abah aku kalau tahu abah aku ada dekat rumah. Borak pasal apa, aku tak tahu sebab aku tak pernah ambil tahu. Tapi yang pasti, abah memang suka melayan si Faris tu. Sebab tu dia boleh percaya si Faris untuk bawak aku kemana-mana yang aku perlu pergi.

Disebabkan aku tak duduk rumah pun hari ni, jadi aku tak masak pun untuk abah dengan along. Tapi abah dah beli siap-siap makan malam untuk kitaorang bertiga. Jadi, dapatlah aku rehat daripada masak-memasak pada hari ini. Lega sikit rasanya.

Lepas makan malam, aku masuk dalam bilik untuk berguling-guling di atas katil sambil baca novel. Along pula dah pergi berkurung dalam bilik dia untuk buat assignment dia. Tinggallah abah seorang diri tengok tv dekat ruang tamu.

Aku baru habis baca bab pertama sewaktu telefon aku tiba-tiba berbunyi. Aku pun bangun dan capai telefon yang terletak dekat atas meja tulis dalam bilik aku.

Rasa macam tak percaya bila aku tengok nama pemanggil yang terpapar dekat skrin telefon aku tu. Lama aku tenung telefon tu, manalah tahu aku salah tengok ke. Tapi betul-betul aku tak silap. Rasa macam dah lama gila Ayna tak telefon aku. Dah berbulan-bulan. Sejak dari hari graduasi hari tu dia tak pernah telefon pun. Dan sekarang dia telefon aku? Tak percaya sungguh.

“Helo?” Aku jawab juga dalam keadaan aku tak berapa percaya ni pun.

“Hai May…” Aku dengar suara dia. Rasa lama gila tak dengar suara dia panggil nama aku.

“Hai… sihat?” Aku cuba berbasa-basi dengan dia.

Tapi dia gelak dengar soalan aku tu. Soalan aku kelakar ke?

“Aku sihat… Dah tak ada benda lain nak tanya ke?” Dia soal aku.

“Err… takkan aku nak tanya kau hidup dengan baik ke tidak. Macam skema aje ayat tu.” Lagipun aku memang tak tahu tentang kondisi dia sekarang, logiklah aku tanya macam tu. Ye tak puan-puan?

Aku dengar dia gelak di hujung talian. Rasa macam dah lama tak dengar Ayna ketawa. Kalau dulu hari-hari aku dengan dia ketawa sampai berguling.

“May… aku rindu sangat dekat kau. Aku harap kita boleh kawan macam biasa. Macam dulu-dulu.” Tiba-tiba aku dengar dia bercakap dengan nada yang serius.

“Aku pun, Ayna. Aku harap tak ada apa-apa yang berubah antara kita. Aku pun teringin nak jadi kawan kau lagi.” Aku cakap balik dekat dia.

Diam-diam aku senyum sebab aku dah dapat kawan baik aku semula. Lagipun, aku dengan Ayna tak pernah bergaduh. Hubungan aku dengan dia renggang pun sebab Ayna diam menyepikan diri dan langsung tak hubungi aku selama berbulan-bulan lamanya. Jadi, takkanlah hanya dengan sebab tu aku nak benci dia dan nak putuskan persahabatan kita orang yang dah bertahun-tahun terjalin tu.

Dan aku rasa pun, Ayna tengah senyum dan tengah tarik nafas lega dekat sebelah sana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience