Bab 1
Bahang matahari yang hangat tengahari itu membuatkan kepalaku sedikit pening. Tambah pula aku berpuasa sunat pada hari ini. Agaknya tubuh aku ini kekurangan air. Itu pasal lembik semacam. Rasa nak pitam pun ada.
Waktu persekolahan baru sahaja tamat. Aku lantas menghayun langkah menuju ke surau sekolah memandangkan aku tidak perlu ke dewan makan hari ini. Kalau tidak letih juga aku hendak mengharung barisan panjang di dewan makan asrama semata-mata untuk mengisi perut.
Perkarangan surau lengang.Memang pada waktu begini perhatian semua pelajar berpusat di dewan makan. Aku melafazkan kalimat syukur di dalam hati. Kalau tidak, entah berapa lama aku perlu beratur di tandas surau yang sederhana besar ini untuk mengambil wuduk. Ditambah pula dengan perangai sesetengah pelajar yang suka memotong barisan. Hisy! Angin semacam aje aku.
Usai menunaikan solat Zohor, aku melangkah lesu ke asrama. Sebelum menuju ke dorm, aku singgah terlebih dahulu di kawasan ampaian. 6 helai pakaian yang aku sidai seawal sebelum subuh tadi aku angkat. Dalam pening-pening lalat aku sempat juga aku mengira supaya cukup 6 helai semuanya. Maklumlah, takut ada saja nanti yang panjang tangan mengangkat baju orang lain. Bukan boleh percaya sangat budak-budak asrama ni.
Dengan pakaian yang penuh ditangan aku melangkah longlai ke dormku yang berada di tingkat 2. Nasib baik bukan tingkat 3. Kalau tidak mahu tercabut lutut aku yang hampir longgar ni.
Sesampainya di dorm, aku terus melambakkan semua pakaianku diatas katil . Petang nantilah baru aku lipat. Rancangku di dalam hati. Aku menuju ke loker pakaian lalu mengeluarkan sepasang baju kurung yang sudah siap digosok. Niat dihati ingin mandi terlebih dahulu. Badan pun sudah melekit ni. Mandi kerbau pun jadilah. Sekejap lagi terpaksa bergegas untuk waktu prep pula.
Aku mengeluh kecil di dalam hati. Kalau diikutkan penat, hendak saja aku ponteng waktu prep petang sekejap lagi. Tapi memikirkan kemungkinan ditangkap oleh warden asrama dan digantung kebenaran outing hujung minggu nanti, cepat-cepat aku memadamkan hasrat tersebut. Ah, kalau dah mengantuk sangat nanti tidur saja dalam kelas. Ada aku kisah?
***
Kepala aku terasa seperti berdenyut-denyut sejak keluar dari kawasan asrama tadi. Manakan tidak. Aku sudah sedikit terlambat sewaktu keluar tadi. Semuanya gara-gara aku terleka sewaktu mandi tadi. Agaknya seronok sangat jumpa air tengah-tengah lembik begini.Berbaldi-baldi aku mandi tadi. Sebaik sedar yang aku hampir terlambat tadi, tergopoh-gapah aku bersiap. Siap pecut lagi dari tingkat 2 ke pintu pagar asrama. Badan lembik pun tercergas tiba-tiba.
Nasib aku kira baik juga kerana tidak ditangkap pengawas asrama. Kalau tidak kena lari padang dalam keadaan aku berpuasa ni. Fuh! Alangkah bahagianya aku ketika itu.
Sesampai di kawasan sekolah, aku terus bergegas ke blok tingkatan 4. Tetapi, untuk mengelakkan kesesakan di koridor utama yang lazim digunakan pelajar lain untuk ke blok tingkatan masing-masing, aku mengambil jalan yang biasa aku gunakan.
Jalannya agak jauh dan agak sunyi. Rata-rata pelajar tidak berani lalu di situ bersendirian kerana keadaannya yang sunyi. Tapi aku sudah empat tahun menggunakan jalan itu. Tiada pula perkara pelik-pelik yang terjadi kepadaku. Lagipun, tak kuasa aku bersesak-sesak macam ikan sardin sebegitu. Dahlah pening kepala. Nanti ada yang pitam pulak nanti.
Dalam pening-pening itu, aku cuba juga mengatur langkah. Memanglah terasa seperti terhuyung-hayang. Nasib baiklah tak ada orang disini. Kalau tidak tentu aku dituduh orang mabuk.
Namun tanggapan aku bahawa tiada orang lain yang berada disini ternyata meleset sama sekali. Entah bagaimana dengan tidak semena-mena aku terlanggar sebatang tubuh yang entah siapa pemiliknya. Habis buku-buku yang dibawanya bertabur dilantai. Aku pun turut terjelepok di lantai.
“Woi! Mabuk ke apa perempuan ni? Tak nampak orang ke?! Main langgar aje!” Marahnya.
Ha, kan betul cakap aku. Memang orang akan cakap aku mabuk punyalah. Dah memang aku tak nampak orang sebab tu aku main langgar aje. Dan bukan dia saja yang jatuh. Aku pun jatuh sama. Tak payahlah nak kecoh-kecoh. Omelku didalam hati.
“Sorrylah, awak. Tak sengaja.Saya mintak maaf.” Ujarku. Tidak mahu mencari masalah dalam keadaan aku yang lemah-longlai begini. Namun aku dapat mendengar suaraku yang kedengaran tenggelam-timbul sahaja. Entah dia dengar atau tidak ucapan maafku.
Aku cuba membantu pelajar lelaki yang tidak aku kenali itu mengutip buku-bukunya yang yang terjatuh tadi. Tapi dengan kasar tanganku ditepis. Memang tak makan saman betullah dia ni. Orang dah minta maaflah.
Dengan sedikit keupayaan yang masih berbaki dalam diriku, aku cuba untuk bangun. Namun aku seolah-olah tidak punya keupayaan lagi untuk berdiri. Lututku terasa lemah dan aku kembali terjelepuk di lantai.
“Eh, awak okey tak ni?” Tanyanya. Nada suaranya kedengaran sedikit risau.
“Okey je. Saya tak apa-apa.” Jawabku dengan suara yang tersekat-sekat.
Dan dalam serba kepayahan aku cuba untuk bangun sekali lagi. Namun kali ini sebaik aku dapat berdiri seluruh tenaga yang bersisa dalam tubuhku rasanya turun ke paras kosong. Pandanganku kabur serta-merta dan tubuhku terasa melayang-layang. Aku sempat perasan ada sepasang tangan yang sempat menangkap tubuhku sebelum segala-galanya menjadi gelap.
Share this novel