Bab 6

Romance Series 5969

Bab 6

“Awak! Add math saya B…” Bangga gila aku waktu tunjuk slip keputusan peperiksaan pertengahan tahun aku dekat dia. Mestilah bangga sebab tak sangka boleh dapat sampai banyak tu. Aku ingat dapat cangkul aje.

“Aiyy… B aje? Nape bukan A?”Dia cakap lepas tengok slip aku tu. Macam tak puas hati saja. Wei..kira okey la dapat B dengan otak udang aku ni tahu tak?

“Saya ingat dapat lagi teruk daripada ni tau tak. Kira okey la ni.” Aku bela diri.

“Kenapa lagi teruk pulak? Penat saya buat tuisyen kat awak, takkan tak ada self-confidence nak jawab soalan add math ni lagi.” Dia dah start membebel dah. Satu lagi perkara yang aku dah tahu pasal dia sejak aku berkawan dengan lebih rapat dengan Luthfi ni, dia ni kuat membebel juga rupanya. Kalah arwah opah aku.

“Memang tak confident pun masa jawab ni sebenarnya.” Aku cakap selamba.

“Macam mana tak confident pulak?” Dia soal.

“Sebab awak tak ada depan saya masa saya jawab exam hari tu.” Aku jawab sambil buat muka tak bersalah.

Dia gelak bila dengar jawapan aku. Aku melawak ke?

“Saya tak tahu pula yang saya ni sumber keyakinan awak dalam pelajaran. Kalau saya tahu, mesti saya dah mintak dengan cikgu untuk ambil exam dalam kelas awak hari tu.” Dia jawab sambil lempar senyum kambing yang comel dia tu.

Haha! Sekarang aku dah tak menyampah dengan senyum kambing dia tu. Dah hilang dah rasa menyampah tu. Mungkin sebab suka tengok lesung pipit dia yang dalam tu. Manis je tengok. Aku yang tak ada lesung pipit ni sangatlah cemburu.

“Perasan!” Aku marah dia main-main. Dia senyum juga sebab tahu aku marah main-main.

“Mana Ayna?” Tanya dia sebab memang dah lama kami berdua tunggu Ayna dekat perpustakaan ni. Janji nak belajar Fizik sama-sama hari ni. Tapi dia tak datang pun lagi ni.

“Entah. Tadi kata nak pergi kelas dulu, nak ambik buku.” Aku jawab soalan dia tanpa tengok muka dia.

Sambil tunggu Ayna, aku dengan dia belek-beleklah dulu buku apa yang patut. Takkan nak duduk saja pula. Nanti orang kata aku buang masa pula.

“Nak hadiah tak?” Luthfi soal aku tiba-tiba.

“Hah..? Hadiah apa?” Aku tanya dia balik sebab tiba-tiba dia cakap pasal hadiah. Dia mimpi hadiah ke tadi?

“Hadiah sebab dapat B..”

Aku tarik muka masam.

“Macam perli je. Biasanya kalau dapat A baru orang bagi hadiah. Mana ada orang bagi hadiah sebab dapat B.”

Dia senyum tengok muka masam aku.

“Sapa kata tak ada? Adalah..orang bagi sebagai peransang supaya lain kali boleh dapat A pulak.” Dia balas balik kata-kata aku tadi.

Aku diam saja. Sambung tengok balik peta minda pasal daya dalam buku rujukan fizik tingkatan empat ni.

“Nak tak?” Dia soal lagi sambil ketuk meja dekat depan buku yang aku tengah baca ni.

“Nak apa?” Aku tanya balik. Blur!

“Hadiah tadilah..”

Aku sengih dekat dia.

“Tu senyum tu tanda nak ke tak nak?” Dia tanya.

“Mana ada orang tak nak hadiah.” Aku jawab.

“Okey..” Dia senyum dan kembali baca buku dia yang tebal nak mampus tu.

Lepas sepuluh minit, Ayna pun datang. Aku dengan Luthfi baru saja decide nak mula belajar dulu tanpa dia.

“Ingat tak nak datang dah tadi.” Aku cakap dekat Ayna.

“Sorrylah..sakit perut. Emergency kena pergi toilet.” Dia bisik dekat aku. Malulah tu nak cakap kuat-kuat, takut kena perli dengan Luthfi nanti. Luthfi tu kan suka kenakan orang.

“Shall we begin?” Luthfi tanya kitaorang berdua.

“Okey.”Ayna tolong jawab bagi pihak kami berdua,

“TUNTUT HADIAH DEKAT bilik JAQWA hari Khamis ni. Pukul 5.30 petang… Kalau lambat hadiah cancel…” Aku baca stick note yang dilipat kecil-kecil tu dalam hati. Stick note tu Ayna yang bagi dekat aku, dia kata Luthfi pass dekat dia untuk diberi pada aku.

“Bila pulak kau jadi posmen dia?” Aku tanya Ayna. Dia ni kan…kebelakangan ni, rajin sangat buat benda-benda yang Luthfi suruh. Kadang-kadang belikan ais krim untuk aku dengan duit Luthfi. Dia cakap, Luthfi suruh beli ais krim untuk aku dan juga Ayna. Kira dia belanjalah ais krim tu. Aku pula, makan ais krim tu tanpa was-was. Ais krim mahal tu… Baskin Robin… Rugi kalau tolak. Nak beli sendiri mana mampu.

“Bukan jadi posmen.. Tolong je. Tak larat dengar dia bebel selagi aku tak nak tolong dia.” Ayna jawab sambil keluarkan buku teks sejarah dari dalam beg.

Waktu rehat dah nak habis. Tapi ramai lagi kawan sekelas aku yang tak ada dekat tempat duduk masing-masing. Tak puas rehat lagi kot. Lepas ni waktu sejarah. Biasanya cikgu sejarah tu masuk kelas awal. Nanti kalau budak-budak ni masuk lambat, confirm satu kelas kena marah dengan cikgu sejarah kita orang yang macam dinosaur T-rex tu.

“Dia tu memang kuat membebel ke?” Aku tanya Ayna. Serius aku tak sangka yang dia tu kuat membebel. Patutlah boleh masuk pertandingan syarahan sampai wakil sekolah.

“A’ah..” Ayna jawab pendek. Mata dia tetap pada buku sejarah. Ayna ni memang suka baca dulu tentang subjek tu sebelum cikgu mengajar. Dah memang habit dia.

Aku pun dengki tengok dia rajin sangat macam tu. Jadi, secara tak langsung aku pun keluarkanlah buku teks sejarah aku dan baca macam yang Ayna tengah buat tu juga.

Nilah untungnya dapat kawan macam Ayna ni. Kalau dia rajin, aku pun ikut rajin. Tapi kalau time malas, kami sama-sama malas. Yang tu patutnya tak boleh nak cakap untunglah… kan?

DENGAN BAJU RIADAH ni juga aku lari ke bilik gerakan JAQWA. Aku tengok jam dekat tangan, baru pukul 5:25 petang. Aku ada baki lima minit lagi sebelum hadiah aku kena cancel dengan Luthfi.

Disebabkan aku lari dengan laju, akhirnya aku sempat juga sampai dekat depan bilik JAQWA sebelum pukul 5 setengah. Fuh… selamat hadiah aku…

“Saya lambat tak?” Aku tanya Luthfi yang memang tengah tunggu aku dekat depan bilik JAQWA tu. Dia pun pakai baju sukan juga. Memanglah… sekarang kan waktu riadah. Kalau ponteng riadah nanti kena denda.

“Almost…” Dia jawab sambil senyum kambing tengok aku yang tercungap-cungap sebab lari laju sangat.

“Nasib baik sempat.” Aku sengih dekat dia.

“Nampak macam desperate sangat nak hadiah ni… sampai lari marathon nampak…” Dia perli aku.

“Memang nak pun…”Aku mengaku dengan jujur dan ikhlas.

“Nah…” Dia hulur satu beg kertas bertutup yang dia memang pegang dari tadi.

Aku sambut beg tu dari tangan dia. Sebaik dapat, aku pun nak bukalah beg tu sebab nampak misteri saja. Tapi sebelum aku sempat buka, Luthfi dah halang aku.

“Janganlah buka depan saya…! Buka dekat hostel nanti.”

Walaupun aku sangat-sangatlah curios, tapi aku kena tahan diri aku daripada buka hadiah ni dulu. Nanti kalau tak ikut cakap dia, takut kena sita pula hadiah aku ni.

“Yelah…”

Lepas tu aku pun bergerak balik ke asrama. Luthfi pun bergerak balik ke asrama lelaki. Sampai dekat pintu pagar asrama perempuan, aku nampak Ayna dah tercegat dekat situ.

Waktu riadah habis pukul 5.45 petang. Jadi sebab sekarang belum sampai waktu, pintu pagar masih tertutuplah. Dia ni pula tunggu masa riadah habis je untuk masuk balik hostel. Nak dapat mandi awallah tu. Kalau lambat-lambat nanti bilik mandi penuh.

“Tak nak makan dulu ke?” aku tanya Ayna.

“Nak…tapi nak mandi dulu.”

Aku pun tunggulah sekali dekat depan pintu pagar asrama tu dengan Ayna.

TERKEBIL-KEBIL MATA aku tengok apa yang ada dekat depan mata aku ni. Ayna yang dekat depan aku ni lagilah sampai ternganga mulut dia.

Walaupun dorm aku dah gelap sebab dah sampai time tutup lampu dekat hostel ni, tapi aku masih boleh nampaklah benda alah ni.

Lepas habis waktu prep malam tadi, aku bergegas balik ke dorm dengan Ayna sampai tak pergi supper pun. Sampai je dekat dorm terus tukar baju tidur dan pergi ambil wuduk untuk sesi mengaji malam ramai-ramai.

Aku cakap dekat Ayna yang aku nak buka hadiah Luthfi tu selepas light off dekat asrama ni, bagi orang tak perasan sangat. Tak naklah kecoh-kecoh masa buka hadiah tu takut nanti gempar satu hostel yang Luthfi bagi aku hadiah.

Rasa macam lambat gila tunggu pukul 12 malam untuk tunggu waktu tutup lampu. Sebaik saja dorm aku gelap, aku dengan Ayna terus pergi dekat belakang loker Ayna dengan beg kertas yang Luthfi bagi dekat aku siang tadi. Dekat loker Ayna ni privacy sikit sebab lokasi dia dah dekat hujung dorm dah. Kira ada loker dengan katil dia saja dekat sini. Orang lain confirm tak datang dekat sini punyalah.

Aku macam tak percaya dengan isi kandungan beg kertas tu tadi. Bayangkanlah, aku buka je beg kertas tu, ada satu kotak dekat dalam tu. Kalau korang tengok kotak tu, rasanya korang sendiri pun boleh agak isi kandungan kotak tu sebab kotak macam tu biasanya orang akan letak rantai atau gelang.

Rasa macam menggigil tangan aku bila buka kotak tu tadi. Aku harap jugalah yang kotak ni sekadar kotak saja, kot-kot si Luthfi ni letak gula-gula je ke dalam kotak ni.

Tapi sebaik saja aku buka kotak tu, aku nampak seutas ratai silver siap dengan loket bentuk bintang.

Sebab aku ni perempuan, tipulah kalau aku cakap yang aku tak tertarik langsung dengan rantai ni. Perempuan kalau nampak barang kemas mesti tertawan punyalah. Tambah pula, loket bentuk bintang tu memang cantik dan cute je aku tengok. Tapi sebaik aku fikir tentang harga benda alah ni terus aku gelabah.

“Dia mimpi ke hadiahkan aku rantai ni?” Aku tanya Ayna yang tengah adore habis rantai tu.

“Entahlah, May… tapi serius cantik rantai ni.” Dia jawab. Macam tak nak layan soalan aku tadi je.

“Aku tak tanya rantai ni cantik ke tak lah…”

“Okey sori… sori… Kau tanya apa tadi? Dia mimpi ke tak? Tentulah tak. Takkanlah dia tersalah bagi benda alah ni dekat kau.” Ayna jawab betul-betul soalan aku tadi.

Maknanya dia betul-betul nak bagi rantai ni dekat akulah? Tapi kenapa bagi benda-benda macam ni? Aku ni kan kawan dia je. Bagilah coklat ke, pen ke… bolehlah aku terima. Hadiah macam ni special sangat untuk bagi dekat aku.

“Tapi benda ni mahallah…”

“Biarlah. Best apa orang bagi hadiah mahal. Susah-susah boleh gadai. Lagipun, dia kan banyak duit.” Selamba je Ayna cakap macam tu. Macamlah Luthfi tu abang dia.

“Mana ada best… Tak seronok pun dapat hadiah macam ni tau.” Aku cakap pula. Dia macam terkejut dengar aku cakap macam tu.

“Tak best? Aku rasa kaulah orang pertama yang tak seronok dapat barang kemas.”

Tipulah kalau cakap tak seronok langsung tengok benda mahal macam ni depan mata. Tapi aku ni waras lagi dan masih sedar aku ni bukan siapa-siapa dengan Luthfi tu sampai layak dapat barang mahal-mahal daripada dia. Takkanlah dia murah hati bagi benda-benda macam ni dekat semua kawan-kawan dia. Lagipun, aku tak nak orang kata yang aku ambil kesempatan atas kekayaan dia untuk berkawan dengan dia. Persahabatan aku ikhlas tau, tak ada kaitan dengan harta benda pun. Perghh! Macam jiwang je ayat aku tu…

“Aku rasa nak bagi balik rantai ni dekat dialah.” Aku cakap keputusan aku dekat Ayna. Memang aku tak layak dan takut untuk dapat hadiah gempak macam ni.

“Janganlah wei… Nanti kecik hati dia.”

“Nanti aku bagitahulah sebab apa aku tak boleh terima rantai ni…” Sungguh-sungguh aku cakap dekat Ayna. Memang aku dah nekad pun. Dan tak ada siapa pun boleh halang aku…

Aku tunggu dia dekat kantin pada waktu rehat dengan Ayna sebab rasa kekok pula kalau tunggu dia seorang diri. Mulanya Ayna tak nak ikut, tapi aku tarik juga dia.

Nampak saja muka dia dekat kantin aku terus lambai dia, panggil dia datang dekat kitaorang. Dia pula nampak saja aku panggil dia, terus dia datang dekat aku dengan Ayna.

“Kenapa?”

“Nak cakap sikit boleh? Tapi tak boleh cakap dekat sini sebab ramai orang.” Aku bagitahu dia.

Dia diam dan berfikir sejenak lepas tu dia suruh aku tunggu dia dekat perpustakaan. Waktu rehat macam ni, perpustakaan tak ramai orang jadi bolehlah aku cakap apa yang aku nak cakap dekat dia tu dengan aman sentosa.

Aku ikut saja cadangan dia. Lepas dia pergi beratur pergi beli makanan dekat kaunter kantin, aku heret Ayna pergi perpustakaan dengan aku. Kesian Ayna asyik kena heret dengan aku aje hari ni.

Tapi bila fikir balik, rantai yang Luthfi bagi semalam tu, aku kena pulangkan hari ni juga sebab petang ni aku nak berangkat balik kampung dah. Cuti sekolah pertengahan tahun dah nak mula, jadi semua orang mestilah nak balik rumah masing-masing.

Lepas sepuluh minit aku tunggu dekat perpustakaan, Luthfi pun muncul. Laju gila mamat ni makan. Dia ni kunyah makanan dia ke tidak? Ayna pula dah pergi tandas sebelum Luthfi sampai tadi. Jadi sekarang ni hanya tinggal aku dengan Luthfi sajalah.

Aku ajak dia duduk dekat meja yang jauh sikit dari orang. Sambil tu sempat juga aku sambar satu ensiklopedia yang aku tak tahu tajuk apa. Buat-buat macam nak bacalah. Nanti kena marah dengan librarian pula kalau setakat nak duduk berbual dalam perpustakaan.

“Awak… kalau saya cakap awak jangan kecik hati ye…” Aku cakap elok-elok dekat dia sambil pandang muka dia yang tanpa ekspresi tu. Macam tengah frust je muka dia tu. Dah lah kejap lagi aku nak bagi dia frust, janganlah frust dulu wei…

“Hadiah yang awak bagi semalam, cantik sangat… Saya memang suka…”Aku susun perkataan manis-manis dulu buat mukaddimah dia. Luthfi masih diam sambil pandang tepat muka aku. Tengah tunggu ayat seterusnya dari aku.

“Tapi saya rasa tak layak la terima hadiah mahal-mahal sangat macam tu. Rasanya tu bukan silver biasa, kan? Jadi harga dia mesti mahal.” Aku cakap sambil letak balik beg kertas yang dia bagi dekat aku semalam dekat depan dia. Mesti dia terasa sebab hari tu aku yang beriya-iya nak hadiah. Dah bagi, reject pula. Tapi aku memang tak sangka dia nak bagi hadiah mahal macam ni.

“Kenapa tak layak pulak?” Soalan pertama dari dia. Dia tak ambil pun beg kertas tu lagi. Dia tengok aje beg tu.

“Biasanya hadiah special macam tu awak patut bagi pada someone yang special juga… contohnya macam girlfriend ke… Takkan awak nak bagi saya. Kitakan kawan je…”

“You are my girlfriend.” Dia jawab dengan muka selamba badak. Aku terkejut gila dengar ayat dia tu.

“Hah?” Aku kerut kening dekat dia. Dia anggap aku girlfriend ke?

“You are my ‘girl’ ‘friend’… doesn’t mean you are my lover.” Dia betulkan ayat dia balik lepas tengok aku yang terkejut beruk tahap cipan tadi.

“Okey… whateverlah… Tapi saya tetap tak boleh terima barang-barang mahal macam tu sebagai hadiah. Lagipun bukan special occasion sangat pun kan. Hadiah sebab pass exam je… ” Aku tegaskan balik keputusan aku dekat dia.

Walaupun perlahan, aku masih boleh dengar yang dia mengeluh. Frust sangat ke dia kalau aku pulangkan rantai tu balik?

“Jadi barang yang macam mana awak boleh terima sebagai hadiah?” Soalan kedua pulak.

“Err… entahlah… Bagi ajelah pen ke, penanda buku ke, buku nota ke… Emmm… tapi kalau nak bagi pen, bagi pen Inkjoy je. Saya tak pakai pen lain selain pen tu.” Baik aku bagitahu siap-siap. Buatnya dia bagi pen dakwat cair yang mahal-mahal tu, lagi membazir. Aku bukan pakai pen macam tu pun.

“Inkjoy? Kenapa yang tu je?” Dia kerutkan muka. Pelik sebab apa satu jenis pen je aku pakai.

“Sebab kalau pakai pen lain, tulisan saya jadi hodoh. Mesti Inkjoy juga dengan mata yang extra fine punya.” Siap dengan saiz mata pen aku bagitahu dia. Manalah tahu dia betul-betul nak belikan pen dekat aku.

“Fine…” dia jawab perlahan sambil ambil beg kertas yang aku letak depan dia tadi. Dia nampak tak bersemangat macam biasa. Rasanya inilah kali pertama aku tengok dia tak ada mood sampai macam ni. Kecik hati dengan aku ke?

“Awak marah saya ke?”

“Tak…” Dia jawab pendek. Tapi masih senyum dekat aku. Jadi aku tak boleh agak yang dia marah ke tidak.

“Balik pukul berapa nanti?” Dia tanya aku soalan seterusnya. Macam dah tak nak cakap pasal bab hadiah ni lagi dah. Sebab tu tukar tajuk perbualan.

“Bas saya pukul dua setengah. Jadi sebelum tu saya dah keluar asrama lah kot.”

“Awalnya… Macam tak sempat jumpa saya sebelum balik nanti. Rasanya pukul dua setengah, saya baru sampai sekolah balik.” Memanglah tak sempat sebab hari ni hari Jumaat. Dia kena pergi sembahyang Jumaat dulu dekat masjid negeri. Pelajar lelaki hanya dibenarkan balik selepas habis solat Jumaat.

“Lepas cuti ni jumpa balik lah… Bukannya saya nak pindah sekolah pun…”

Dia senyum aje dengar aku cakap macam tu. Kali ni senyuman dia tu dah lebar sikit. Betullah yang dia tak marah kot…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience