Bab 22
Aku baru selesai menunaikan solat Maghrib dan baca satu surah Yaasin bila tiba-tiba aku rasa lapar. Baru aku teringat yang aku tak beli apa-apa makanan untuk makan malam. Nak ajak Fatiha keluar makan, dia pula tak ada sebab dia ada kelas ganti malam ni. Faris pun sibuk malam ni sebab dia ada kerja nak kena buat. Dia sendiri yang bagitahu aku siang tadi.
Jadi nak tak nak, aku terpaksalah keluar beli makanan seorang diri.
Aku sarung sweater dan pakai tudung ala kadar saja sebab aku hanya nak turun beli makanan dekat café. Terasa nak beli burger saja untuk makan malam ni. Malas nak makan yang berat-berat.
Aku order burger ayam dekat abang yang jual burger dekat café tu. Aku kena tunggu lama sikit sebab ramai juga orang yang tengah tunggu burger dia orang siap. Itulah, siapa suruh aku datang lambat sangat. Jadi aku pun main-main dengan handphone aku.
Lepas seminit aku belek-belek handphone di tangan aku tu, baru aku teringat sesuatu. Aku buka inbox SMS aku. Memanglah mesej yang aku cari tu tak ada sebab akku dah padam sebaik saja aku baca mesej tu tadi. Tapi aku masih ingat isi kandungannya. Agak-agaknya Luthfi tunggu aku betul-betul ke tadi?
Aku cuba buang fikiran aku ke tempat lain. Aku kan dah berazam tak nak fikir pasal dia lagi. Jadi buat apa aku ingat dekat dia? Tapi sekuat mana aku cuba untuk tak nak fikir pasal dia, seperti biasa lagi kuat aku teringatkan dia. Aku pun dah tak tahu nak buat apa dengan otak aku ni dah. Kena hilangkan seluruh ingatan kot.
Lepas burger yang aku order siap, aku rasa berat untuk terus balik ke bilik. Hati aku terus mendesak aku untuk pergi ke parking lot dekat blok akademik. Bila fikir balik, buat apa aku nak pergi sana. Takkan dia tunggu aku lagi sekarang ni. Hari dah pun malam. Takkan dia tak reti-reti lagi nak balik.
Tapi walau apa pun aku bagi alasan dekat hati aku, kaki aku melangkah juga ke arah parking lot. Aku rasa aku pun dah tak boleh kawal badan aku lagi.
Bila sampai dekat tempat yang aku tuju, aku rasa jantung aku bagai nak terjatuh dekat situ juga. Puas aku gosok mata aku dua tiga kali tapi aku masih nampak Vios putih dia dekat tempat yang sama aku nampak dia siang tadi. Jadi aku memang tak salah tengok. Kereta dia memang ada lagi. Tapi bila aku pandang sekeliling, aku tak nampak pun dia ada di mana-mana.
Spontan kaki aku melangkah menghampiri kereta dia tu. Dah tak banyak kereta dah sekarang ni sebab hari dah malam.
Jadi kalau dia ada berdekatan mesti aku dah nampak dia dah. Aku berhenti melangkah bila aku betul-betul dekat dengan kereta dia. Dan aku dah pasti yang dia memang tak ada dekat sini pun. Mana dia pergi sedangkan kereta dia ada dekat sini?
Lama aku berdiri dekat kereta dia.
Tak tahu perasaan apa yang datang pada aku sekarang ni sebab aku tak rasa nak berganjak dari tempat aku berdiri sekarang ni. Aku rasa aku nak terus berdiri dekat sini sampai aku dapat tengok Luthfi walaupun sekejap. Kenapa aku boleh jadi macam ni? Bukankah aku dah cuba buang semua perasaan aku dekat dia? Tapi kenapa masih tak boleh walaupun dah puas aku cuba?
Dan aku memang sedar yang aku memang masih benci pada lelaki yang pernah tinggalkan aku pada saat aku memang dah betul-betul sayang dekat dia ni. Tapi hati aku ni, walau sakit macam mana pun aku rasa sebab luka yang dia pernah beri pada aku tetap rindukan dia. Kenapa aku boleh jadi lemah macam ni?
“Cari saya?” Suara yang aku tak pernah lupa tu tegur aku dari belakang. Aku pusing cepat-cepat. Nasib baik burger yang aku tengah pegang ni tak jatuh sebab terkejut tadi.
Luthfi tengah berdiri sambil pandang aku. Dia senyum sikit je, tak lebar macam selalu. Aku perasan yang lengan kemeja yang dia pakai dilipat sampai siku. Dia pakai selipar biasa je, tak pakai kasut pun walaupun dia pakai seluar slack. Akhir sekali baru aku terpandangkan kopiah putih yang dia pegang dekat tangan kanan. Dia pergi solat tadi kot.
“Sorrylah, saya ke surau kejap tadi.” Dia bagitahu aku bagaikan dia tahu apa yang bermain dalam fikiran aku.
Aku angguk sambil tunduk, tak nak pandang dia sebab aku tak tahu nak cakap apa dengan dia. Rasa janggal sangat-sangat. Tiba-tiba aku rasa menyesal sebab datang sini tadi. Kan bagus kalau aku terus balik ke bilik aku aje tadi. Yang aku gatal sangat nak pergi tengok dia ni ada ke tak lagi tadi buat apa.
“Dah makan?” Dia tanya aku dengan nada yang dia selalu guna waktu dia telefon aku dulu-dulu.
Aku tak jawab mahupun pandang dia. Sesiapa tolonglah culik aku sekarang sebab aku nak lenyap cepat-cepat daripada dia.
“Makan burger aje ke? Kenyang ke?” Dia tanya lagi lepas aku dia setengah minit dan sebab dia tengok bungkusan burger dekat tangan aku.
Aku angkat muka aku memandang dia setelah aku dapat cari kekuatan yang aku sendiri pun tak tahu datang dari mana. Aku teringat balik pertemuan semula aku dengan dia dekat mall tempoh hari. Teringat apa yang aku pernah kata dekat dia masa aku tengah marah. Entah kenapa hari ni aku tak rasa semarah itu.
“Cukuplah. Saya bukan kuat makan pun.” Aku jawab juga soalan dia walaupun mula-mula tadi aku cuba keraskan hati sebenarnya.
Aku tengok dia senyum sebab aku akhirnya nak juga bercakap dengan dia.
“Tak adalah, kalau rasa nak makan apa-apa, saya boleh bawak awak makan dekat luar kampus ni.”
“No thanks.” Aku balas cepat-cepat sebelum sempat dia sambung ayat dia yang lain pula dengan nada tegas. Aku nampak yang dia terkesima dengan ketegasan aku tadi.
Aku sememangnya nak keraskan hati aku dengan dia. Aku tak nak dia ingat aku ni masih budak perempuan mentah yang masih tergila-gilakan dia macam dulu. Aku nak dia tahu yang aku bukan mudah untuk dia main-mainkan. Bukan macam dia yang boleh sambung dan putuskan hubungan bila-bila yang dia nak.
“Macam mana awak boleh buat bersahaja aje dengan saya? Lepas apa yang jadi dulu? Awak tak ada rasa apa-apa ke?” Aku soal dia sesinis yang aku boleh buat.
“Mungkin awak dah lupa apa yang jadi kot. Sebab biasanya pun kalau kita bergaduh awak akan buat-buat lupa. Tapi saya tak boleh lupa, Luthfi. Saya tak boleh lupa macam mana saya jadi macam orang gila telefon awak lepas awak tinggalkan saya. Saya masih boleh ingat lagi berapa ratus SMS saya hantar untuk minta maaf dari awak. Tapi saya rasa awak tak tahu itu semua, kan?”Aku diam sekejap lepas cakap panjang lebar dekat dia. Aku nak tengok reaksi dia sebenarnya.
Tapi dia diam selepas dengar semua tu. Dia nampak macam terkedu.
“Saya bukan budak kecil yang boleh awak main-mainkan, Luthfi. Saya ada perasaan dan hak saya sendiri. Semua orang pun ada hak masing-masing. Dan sepatutnya awak yang lebih matang dari saya dalam hal ni.” Saja aku bagi nasihat percuma dekat dia. Aku nak dia sedar yang semua yang jadi antara kami ni salah dia. Kalau dia tak cemburu buta dekat Faris, kita orang masih lagi bersama.
“Tapi sampai sekarang awak masih dengan that guy. Saya nampak awak dengan dia siang tadi kan? Macam mana saya nak percaya yang awak dengan Faris tu tak ada apa-apa?” Luthfi balas kata-kata aku selepas lama dia mendiamkan diri.
“Awak patut yakin dengan saya. Kalau betul awak sayangkan saya, awak patut yakin dengan saya. Bukan kongkong hidup saya!” Aku naikkan nada suara aku sebab aku geram yang dia masih bangkitkan isu aku dengan Faris lagi. Nasib baik tak ada orang dekat sini. Kalau tak buat malu aje aku buat drama swasta dekat tengah-tengah parking lot ni.
“Saya balik dulu.” Aku cakap dan menghayun langkah untuk pulang ke asrama. Aku rasa dah cukuplah aku berdepan dengan dia sekarang ni. Dah tak ada apa yang boleh kita orang cakapkan lagi.
“Tunggu dulu, Maya.” Luthfi kejar aku dan berdiri di hadapan aku, menghalang jalan aku.
“Saya buang awak pun selama ni. Saya mengaku saya keras hati, tapi awak masih dekat sini.” Dia cakap dan tunjuk dada dia.
Aku mengeluh dalam hati. Aku tak tahu nak cakap apa dah. Hati aku memang sedikit bertunas bila dia cakap macam tu. Aku pun masih simpan dia di dalam satu sudut dalam hati aku.
“Saya tak nak hubungan seperti budak-budak yang main dengan api. Saya tak nak kecewa lagi, Luthfi.” Jujur dan ikhlas aku cakap dekat dia.
“Saya takkan kecewakan awak.” Bersungguh-sungguh dia cakap. Macam terdesak nak aku kembali pada dia. Tapi kenapa baru sekarang? Kenapa tak dari dulu lagi dia cari aku dan minta aku kembali pada dia. Kenapa dia mesti biarkan aku berendam air mata hari-hari dulu semata-mata kerana dia?
“No, Luthfi. Awak meragui saya. Kita tak boleh bina hubungan kalau terus macam tu. It’s over between us. Awak sendiri yang cakap macam tu dulu kan?” Aku ambil masa juga nak cakap ayat tu dekat dia sebelum aku sambung berjalan balik ke asrama. Aku tahu dia tengah tengok aku pergi, jadi aku tak menoleh sekali pun ke arah dia. Nasib baik dia dah tak halang aku lagi dah.
Sebaik aku sampai dekat bilik, aku makan burger yang aku beli tu laju-laju sampai tersedak. Biasanya burger ni sedap. Tapi disebabkan Luthfi, malam ni aku tak dapat merasa kesedapan burger tu. Aku setakat makan untuk isi perut sajalah nampaknya.
__________________
Aku memang sibuk tahap gaban sepanjang minggu ni. Rasanya setiap subjek yang aku belajar, lecturer buat test. Kalau tak buat test pun, ada kuiz. Faris pun aku tak nampak batang hidung dia kebelakangan ni. Dia cakap dekat aku (melalui SMS saja sebab aku tak jumpa dia pun) yang dia banyak mini projek yang kena disiapkan. Maklumlah, budak engineering.
Nasib baik juga hari ni dah hari Jumaat. Bolehlah aku rehat esok dan lusa. Fatiha pun nak balik kampung sebab mak dia suruh balik. Nampak gayanya aku tinggal sorang-sorang lah hujung minggu ni.
Aku baru sampai dekat bilik dengan makanan tengahari yang aku bungkus dari café. Malas nak makan dekat café seorang diri sebab rasa janggal bila tak ada geng. Kalau makan sendiri dekat bilik tak adalah rasa janggal.
Aku tanggal tudung dan salin baju. Lepas tu aku korek telefon Samsung Corby aku dari dalam beg. Dari pagi tadi aku dah silence kan telefon tu dan campak dalam beg. Dan seperti yang aku duga, aku ada lima SMS dari Luthfi.
Luthfi dah banyak kali mesej aku selepas pertemuan kita orang dekat parking lot pada minggu lepas. Aku rasa dalam sehari boleh kata lebih sepuluh SMS yang dia akan hantar. Dan dalam seminggu ni, dia tak pernah miss satu hari pun untuk hantar SMS dekat aku. Macam dah tak ada kerja lain sangat dah. Dan sememangnya aku tak balas pun SMS dia tu sebab dia bukannya tanya apa-apa dekat aku pun dalam mesej-mesej dia tu.
Memanglah mula-mula dulu, dia akan SMS aku tanya aku dah makan ke belum, aku tengah buat apa, aku makan apa dan perbagai lagi soalan harian yang aku malas nak layan. Dan disebabkan aku tak balas satu pun pertanyaan dia tu, dia tukar style SMS dia.
Sekarang ni dia hanya bagitahu apa yang dia tengah buat dan apa yang dia tengah fikir. Macamlah aku nak sangat tahu.
“Awak, saya breakfast nasi lemak dekat airport ni.” Aku baca mesej pertama yang dia hantar.
“Coffee dia pun sedap. Nanti saya bungkus bagi awak rasa. Awak kan suka coffee.” Dia hantar SMS tu lima minit lepas SMS yang pertama tadi.
Tak semena-mena, aku senyum nipis. Tak sangka dia ingat lagi yang aku ni memang hantu dengan kopi. Kesukaan nombor satu aku tu.
“Sakit perutlah! Saya otw ke toilet. Haha..” Aku gelak baca SMS ketiga dia. Benda mengarut tu pun dia nak bagitahu aku. Amendelah mamat ni.
“Banyak kerja lah hari ni. Nasib baik sempat SMS awak.”Aku senyum lagi.
Dan akhirnya aku buka SMS terakhir yang aku terima setakat hari ni dari dia.
“I miss u…” Lama aku pandang enam huruf tu dengan perasaan yang bercampur-baur.
Aku mengeluh sambil imbas balik kenangan kitaorang masa sekolah-sekolah dulu. Aku rasa aku dengan dia paling happy pada masa tu sebab aku dengan dia tak perlu berjauhan dan dia tak payah nak cemburu dekat sesiapa pun sebab aku memang tak ada kawan lelaki sangat selain dia. Kalau ada pun hanya budak-budak kelas aku yang poyo-poyo tu.
Aku sedar aku sebenarnya tak dapat tahan diri aku daripada baca semua SMS yang dia hantar dekat aku hari-hari. Kadang-kadang aku sampai tertunggu-tunggu mesej dia tu. Dan setiap kali aku baca mesej dari dia aku akan rasa sangat gembira. Ianya seolah-olah beberapa bulan yang lalu tak pernah berlaku langsung dalam hidup aku.
Dan sebenarnya setiap kali dia hantar mesej-mesej tu, aku hampir-hambir membalasnya. Kadang-kadang aku dah taip pun apa yang aku nak balas sebelum aku tahan diri aku dari tekan butang ‘reply’. Dan jujur aku akui yang aku tak pasti selama mana aku boleh keraskan hati aku ni dengan Luthfi.
Bila fikir balik, perlu ke aku buat semua ni dekat dia? Dia kata dia masih ada perasaan dekat aku dan aku pun begitu juga dekat dia. Jadi sebenarnya memang boleh sangat kalau aku nak berbaik semula dengan dia. Tak seronok sebenarnya jauhkan diri dari dia. Tapi, lepas dia putuskan hubungan dengan aku hari tu, aku dah jadi serik. Aku tak boleh yakin yang hubungan aku dengan dia akan berada pada hala tuju macam yang aku harapkan. Aku tak nak dikecewakan.
Telefon aku berbunyi dan menyedarkan aku daripada angan-angan mat jenin aku yang dah melangit-langit tu. Aku jawab telefon tanpa tengok nama pemanggil sebab aku tengah blur lepas teringatkan Luthfi tadi.
“Helo?” Aku cakap.
Senyap.
“Helo…?” Aku cakap lagi sebab tak ada orang balas pun panggilan aku tadi. Lepas tu aku tengok nama pemanggil dekat skrin. Rasa nak terlepas telefon dari genggaman. Kenapa aku pergi jawab call dia?!
“Saya tak sangka awak akan jawab.” Aku dengar suara Luthfi lepas letak balik telefon dekat telinga. Aku dah gelabah. Aku nak cakap apa dengan dia ni?
“Saya plan nak miss call awak je. Tak sangka pulak awak angkat. Rindu saya ke?” Dia cakap dengan nada mengusik.
“Nak apa?” Aku abaikan saja kata-kata dia tadi.
“Tak ada apa pun sebenarnya. Saja call. Oklah. Bye.” Dia cakap dan letak telefon.
Hah?!
Lima minit aku pandang telefon tu. Tak ada apa-apa pun? Buat apa telefon kalau dah macam tu. Buat bazir kredit saja. Kalau dah banyak sangat kredit kenapa tak share aje dengan siapa-siapa yang tak cukup kredit macam aku ni?
Share this novel