Bab 4
Aku mempercepatkan langkah. Jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. Memang banyak lagi masa sebelum waktu Asar tiba. Tapi aku rasa nak mandi dulu sebelum pergi ke surau untuk solat Asar nanti. Dah melekit dah badan aku ni akibat berjalan seharian dekat bandar Kuantan tu.
Hari ni hari Sabtu dan kami semua boleh keluar outing. Jadi nilah kesempatan untuk aku refill segala sabun, baik sabun mandi ke sabun basuh, segala biskut dalam loker, segala bedak dan semua benda lagilah memandangkan kuantiti masing-masing dah semakin menyusut. Banyak jugalah yang aku borong dekat Mydin tadi. Maklumlah, dekat situ barang semua ada, murah pula tu. Kalau nak pergi Giant pun murah juga, tapi Giant tu tersangatlah jauh dari bandar Kuantan ni. Naik teksi mahunya kena caj berbelas-belas ringgit. Mana boleh macam tu, aku bukannya kaya sangat.
Balik dari bandar Kuantan tadi pun naik bas saja. Kalau naik bas, faham-faham ajelah. Takkanlah driver bas tu nak hantar kita sampai ke pintu gerbang asrama. Ingat kita sorang aje ke yang naik bas?
Nak tak nak, kenalah turun dekat bus stop yang paling dekat dengan sekolah. Tapi paling dekat pun jauh jugalah. Dah basah baju batik asrama yang aku pakai ni sebab banyak sangat berpeluh. Tambah-tambah pula bawa barang yang banyak nak mampus ni. Dah senget sebelah aku berjalan ni.
Lagi satu, aku ni bukan setakat bawa barang aku aje. Ni ada satu lagi plastik yang kena bagi dekat seorang budak ni. Siapa lagi kalau bukan mamat yang suka sangat senyum kambing tu.
Lepas dia tahu yang aku ni kawan baik dengan Ayna, lagi rajin dia bertegur-sapa dengan aku kalau kami terserempak dekat sekolah. Dahlah setiap kali dia tegur aku mesti dia paksa aku belanja dia. Macam desperate sangat nak aku belanja dia. Kata anak Tan Sri. Banyak duit macam tu pun kebulur ke sampai nak kena orang lain belanja.
Ni ada lagi satu hal pasal dia. Entah apa dia fikir, dia boleh offer pula dekat Ayna untuk ajar kitaorang add math sekali seminggu dekat library pada waktu prep. Ayna pula, tak tanya-tanya aku dulu terus saja setuju dengan offer dia tu. Kalau Ayna seorang tak apalah, tapi kenapa heret aku sekali? Huwaa!
Tapi sekurang-kurangnya, lepas belajar dengan dia, prestasi aku dalam subjek add math bertambahlah sikit. Sikit aje tau, tak banyak. Tak adalah sampai dapat perfect score macam budak cina dalam kelas aku tu. Yang tu memang otak genius terlampau.
Aku kena berterima kasih dekat dia sebab sudi ajar kami yang tak berapa pandai ni (sebenarnya memang tak pandai tapi tak nak mengaku). Tapi ingatkan dia ikhlaslah nak
jadi cikgu tak bergaji. Memang dia tu dasar mengada-ngada juga rupanya. Lepas tu dia asyik mengendeng dekat aku minta aku belanja.
“Saya dah banyak tolong awak ni, takkan sekali pun tak boleh belanja?” Macam tu lah ayat dia dekat aku.
“Tolong tak ikhlas rupanya. Harapkan balasan!” Aku jawab balik dekat dia macam tu.
“Bukan harapkan balasan, tapi nak awak tunaikan janji.” Balik-balik dia cakap yang aku yang janji nak belanja dia. Bila dan dekat planet mana aku buat janji tu pun aku tak tahu.
Sebab dah tak tahan dengar dia asyik tuntut ‘belanja’ tu dari aku, hari ni aku janji dengan dia untuk belikan sesuatu untuk dia. Harap lepas ni dia boleh senyap.
Dia janji dengan aku nak tunggu dekat bilik gerakan JAQWA sebab dia memang nak lepak dekat situ lepas Zohor untuk siapkan kerja sekolah dia. Jadi aku pun teruslah ke bilik JAQWA sebelum balik asrama.
Dia bukak pintu bilik JAQWA tu lepas tiga kali aku ketuk pintu tu. Ingatkan tak ada orang, nasib baik aku tak balik lagi. Buka pintu pula dengan muka yang mamai. Aik? Study ke tidur ni?
“Nah snack plate.” Aku cakap sambil hulur plastik KFC dekat dia.
Dia sambut sambil senyum dengan muka mamai dia tu. Buruk betul nampaknya dengan rambut serabai macam tu.
“Ni ikhlas ke tidak?” Dia tanya dengan suara serak. Sah dia baru bangun tidur! Teruk betul. Dahlah tidur dalam bilik persatuan. Suka hati dia buat bilik tidur. Entah-entah kat dalam tu dah siap dengan tilam untuk dia landing sekali. Mentang-mentanglah dia presiden.
“Ikhlas ke tak ikhlas, saya dah beli. So ambik ajelah.” Aku balas. Ada rasa tak ikhlas sikit sebenarnya sebab kena paksa belanja dia ni. Tapi sikit sajalah. Walaupun begitu, takkan aku nak cakap direct macam tu dekat dia.
“Satu ni aje ke? Banyak lagi plastik lain tu.” Dia cakap sambil tengok banyak-banyak beg plastik dekat tangan aku ni.
“Yang lain ni saya punyalah! Satu tu cukuplah. Bersyukurlah sikit dengan apa yang ada.” Nak lebih-lebih pulak.Aku dah bagi pun kira bagus tau. Tapi tetap tak aci sebab
aku seorang saja yang kena belanja dia. Dengan Ayna dia tak mintak belanja pun.
“Yelah. Terima kasihlah ye sebab sudi belanja saya.” Dia kata dekat aku.
“Sama-sama.” Aku cakap lepas tu berlalu pergi dari situ. Rasa macam nak tarik muka menyampah dekat depan dia tadi tapi takut dia kata aku ni teruk pula. Nanti dia tahulah yang aku ni belanja dia tak berapa nak ikhlas.
Geram tu tetap geram. Tapi imej sebagai budak baik ni tetap kena jaga!
_______
“Nah mee Maggie yang kau kirim. Balance duit kau ada seringgit. Kejap lagi aku bagi dekat kau.” Aku cakap sambil hulur beg plastik Mydin dekat Ayna yang tengah syok berbaring atas katil dia sambil baca novel. Ewah-ewah sedapnya baring. Aku yang penat ni rasa dengki pula.
Aku baru saja sampai dekat dorm. Barang-barang lain yang sangat banyak aku bawa tadi, aku dah lambak dekat atas katil aku. Lepas Asar nantilah aku kemas semuanya.
“Terima kasih, May. Kaulah penyelamat aku. Kalau tak ada benda ni alamat mati kebulurlah aku.”
“Aku ajak kau outing sekali dengan aku tadi tak nak. Tau kirim je.” Marahku.
“Alahai, May. Janganlah marah. Hari ni kau tolong aku. Nanti esok-esok aku pulak yang tolong kau.” Kata Ayna sambil buat muka comel depan aku. Dah mula dah minah ni.
“Dah, dah! Jangan nak mengada-ngada dengan aku. Geli tengok muka gedik macam tu.” Aku marah dia lagi. Sebenarnya, bukan marah betul pun. Buat apa nak marah Ayna ni. Diakan kawan baik aku.
“Muka comel macam ni kau kata muka gedik. Betullah kau ni tak ada mata.” Dia geleng kepala.
Aku pun buat-buat muka nak muntah. Dia ketawa tengok aku buat muka macam tu. Lepas tu dia sambung baring dan baca novel dia balik. Aku pun bersiap-siap nak pergi mandi.
“Hah! Terlupa pulak nak tanya. Kau beli apa untuk Luthfi tadi?” Ayna bangun balik dari katil dia dan tanya aku. Tapi nada suara dia macam berbisik lah sebab dalam dorm ni ada seorang senior tingkatan 5. Kalau tanya kuat-kuat nanti takut dia dengar. Nanti tak pasal jadi buah mulut budak-budak asrama ni pula.
Aku tak jadi pergi mandi. Kena jawab soalan Ayna ni dulu la jawabnya. Dia ni bukan boleh kalau kita abaikan soalan dia macam tu saja. Nanti makin berganda soalan dia.
Letih pula nak kena jawab.
“Tak ada apa-apa sangatlah. Bagi dua ketul ayam je.” Aku jawab juga soalan dia.
“KFC ke?”
“Takkan lah aku nak bagi dia ayam pasar malam. Nanti jatuh pula standard dia.” Yelah. Nama pun anak Tan Sri. Mesti dia dah biasa makan makanan yang standard-standard. Takkan nak beli ayam goreng seringgit seketul yang jual dekat gerai tepi jalan tu. Tercemar duli dia nanti.
“Dia bukan kisah sangatlah makanan yang macam mana. Nasi kawah dewan makan pun dia boleh telan. Takkan ayam pasar malam dia kena pantang.” Aik? Macam back-up aje bunyinye.
“Lepas tu, ayam tu kau bagi terus dekat dialah tadi?” Soalan seterusnya dari Ayna.
“A’ah. Hantar dekat bilik JAQWA.”
“Mana kau tahu dia ada dekat bilik JAQWA?” Soalan lagi.
“Dahlah cik Ayna oi. Aku nak mandi ni. Kejap lagi Asar pulak. Lambat ke surau nanti.” Dapat pun aku lari. Nasib baik dia tak tanya banyak-banyak.
Tapi apa sangatlah dia nak tanya pun. Tak ada benda menarik pun yang aku boleh cerita dekat dia.
__________________
Aku tengok jam ditangan. Ada baki lagi sepuluh minit sebelum azan maghrib berkumandang.
“Dah siap?” Soal Ayna. Aku baru siap pakai telekung. Tengah betul-betulkan mana yang patut.
“Dah. Jom pegi surau.” Kataku selepas berpuas hati membelek muka sendiri depan cermin tadi. Macam bajet-bajet lawa je.
Surau sekolah ni taklah jauh sangat dari asrama. Tapi tak adalah dekat mana pun. Boleh katakan tempat dia tengah-tengah antara kawasan sekolah dan asrama. Jadi
senanglah orang nak pergi surau pada bila-bila masa pun, tak kisah pada waktu sekolah atau selepas habis waktu sekolah. Tapi amaran keras kalau nak jadikan surau sebagai tempat lepak atau memonteng, yang tu dosa besarlah. Kena rotan dengan cikgu disiplinlah jawabnya.
Sesampainya aku dengan Ayna dekat surau, pelajar lain dah ramai. Yang ramai ni kebanyakannya budak-budak tingkatan satu dan dualah. Senior-senior biasanya otai, suka
datang lambat-lambat.
Biasalah duduk asrama. Perkara yang skema-skema terutama bab kemas-mengemas seperti kemas stor, bilik rehat asrama, datang surau awal, kemaskan surau, semuanya junior yang kena buat. Nak kerah pelajar-pelajar besar buat semua tu, haramlah jawabnya. Perkara begini memang dah macam jadi tradisi dekat sekolah ni.
Masa aku jadi junior dulu pun aku kena buat semua perkara tu. Sekarang dah tak buat dah sebab dah serah segala tanggungjawab tu kepada junior yang sekarang ni. Aku kan dah ala-ala senior juga walaupun ada lagi yang lebih senior daripada aku.
Aku dengan Ayna duduk dekat saf terus sebaik sahaja masuk ke dalam surau. Ramai juga orang yang duduk dekat tepi dinding, dekat dengan rak Al-Quran. Masing-masing ada yang mengaji Al-Quran, baca Al-Matsurat dan berzanji.
Yang duduk dekat saf ni boleh ikut alunan zikir munajat melalui kaset yang memang dipasang kuat-kuat dalam surau ni sementara masuk waktu solat.
Tapi tak kurang juga yang duduk menyembang. Dahlah tak mengaji, tak berzikir, lepas tu duduk mengumpat dalam surau. Aku cukup tak berkenan geng-geng yang suka buat bising macam dia orang ni. Rasanya dah banyak kali ustaz cakap dalam kuliyah maghrib, barangsiapa yang bercakap hal-hal keduniaan dalam rumah Allah, gugurlah pahala amalannya selama 40 tahun. Dia orang tak dengar ke?
Aku ni umur belum masuk cukup 40. Kalau dah kena tolak semuanya nanti, apa sajalah yang tinggal dalam buku amalan aku. Jadi tak payahlah nak bercakap perkara-perkara yang tak berfaedah dalam surau ni. Lagi baik kalau berzikir. Bila lagi nak tambah pahala, kan?
Lepas berkumandangnya azan maghrib, aku dengan Ayna solat sunat sebelum maghrib. Amalan sunat ni elok kalau buat. Buat tampal apa yang kurang dalam amalan wajib.
Lepas habis sembahyang sunat, kami pun tunggulah sampai iqamah dilaungkan tanda solat berjemaah dah nak mula. Waktu imam angkat takbiratul ihram saja aku terfikir sesuatu. Macam kenal aje suara pak imam ni.
Budak kelas aku ke? Takkan kot. Setakat yang aku kenal, budak-budak lelaki kelas aku semua tak ada kualiti jadi imam solat jemaah. Imam tidur dalam kelas bolehlah.
Tapi kan, aku rasa macam seronok je solat belakang imam ni. Dengar bacaan solat dia, dari Al-Fatihah sampai surah pilihan, rasa macam sejuk je hati aku. Hilang tension satu hari ni. Dengan suara lunak merdunya, tajwid dengan makhraj huruf pun dibaca dengan tertib. Memang complete setlah dia ni jadi imam.
Aku fokus dekat solat sampailah selesai bagi salam. Tapi masih lagi tertanya-tanya siapa yang jadi imam ni. Peliklah aku ni. Dah dekat empat tahun aku duduk sekolah ni dan solat dekat surau ni. Tapi inilah pertama kali aku berminat nak ambil tahu pasal imam surau ni. Selama ni aku mana ambil peduli sangat benda-benda ni.
“Tau tak siapa imam ni?” Ayna dekat sebelah aku ni berbisik dekat aku. Soalan dia ni macamlah dia dapat baca fikiran aku.
“Entah.” Aku jawab pendek. Memang aku tak tahu pun. Ayna ni tahu ke?
“Tak dapat cam ke?” Bersungguh-sungguh dia tanya.
Aku pula buat muka blur.
“Luthfilah ni!” Dia bisik lagi dekat aku.
Patutlah macam kenal je suara ni. Dia ke? Sedap juga suara dia. Sempat juga aku puji dia senyap-senyap. Biasa rasa macam nak kutuk je.
Tapi dalam diam-diam aku dapat rasa ada sesuatu yang menarik dalam diri Luthfi ni yang aku masih tak nampak.
Share this novel