Chapter 26

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 26

Ini menunya. Cik nak order apa?" Lancar kata-kata gadis yang berpakaian uniform pelayan di situ dan memakai topi.

"Apa yang special di sini?"tanya Mastura sambil mengalih pandangan kepada gadis itu.

Kata-katanya hilang buat seketika. Begitu juga gadis itu. Mereka melihat wajah masing-masing dengan takjub.

"Rupa awak..." Mastura terkedu.

"Kita... macam kembar." Gadis itu juga terkejut.

"Mastura."

"Zanariah."

Mereka saling berkenalan.

"Saya tak boleh berbual panjang." Zanariah membuat alasan.

"Saya faham. Bila kita boleh jumpa lagi?"

"Esok off day saya. Kita jumpa di sini. Masa yang sama."

Maka bermula persahabatan dua orang gadis dengan raut wajah yang serupa.

***

Beberapa bulan kemudian

"Zana, aku ada benda nak berbincang dengan kau." Mastura nampak tidak bersemangat.

"Ada apa hal?" tanya Zanariah sambil memerhati kuku yang baru didandan di salon.

"Kita kena hentikan semua ni." Mastura nampak serius.

"Maksud kau?" Zanariah risau memikirkan apa yang ingin disampaikan sahabatnya.

"Kita kena hentikan drama kita. Kita dah tak boleh bertukar identiti lagi."

Riak wajah Zanariah berubah. "Dulu kau juga yang beia-ia nak tukar dengan aku, walaupun untuk beberapa jam dalam sehari. Kita gembira dengan pertukaran ini. Kau bebas. Aku dapat merasa hidup mewah. Kenapa sekarang nak hentikan?"

"Ada perkara yang kita tak boleh kongsi dalam hidup ini."

Zanariah berkerut dahi dengan kenyataan yang dibuat Mastura. "Maksud kau?"

"Aku akan berkahwin tak lama lagi. Kita tak boleh langgar batas-batas agama ini."

Zanariah buat muka sentap. Rancangan Mastura akan membantutkan rancangan yang begitu selesa dan berjaya selama ini. Dia tidak menjawab dan terpaksa akur dalam diam.

***

"Tahniah Mas. Akhirnya kau ke jinjang pelamin juga ya."

"Terima kasih Zana."

"Apa rancangan kau lepas berbulan madu nanti?"

"Apalah soalan kau ni. Tentulah nak menimang cahaya mata."

"Aku rasa baik jangan awal sangat beranak Mas. Bila sudah beranak, rumahtangga tak sama macam dulu." Zanariah cuba mengubah pendirian sahabatnya.

"Kau silap. Anaklah yang akan menyerikan rumahtangga. Kalau tidak, hidup akan terasa sunyi berdua. Walaupun nampak aman dan sepi daripada keadaan kelam-kabut."

Zanariah terdiam. Sukar untuk dia mengubah pendirian Mastura.

***

Setahun kemudian.

"Kenapa kau nampak sugul?"tanya Zanariah.

"Tak ada apa-apa." Jawab Mastura.

"Kau jangan nak cuba berselindung dari aku. Dah lama kita berkawan. Aku tahu kau ada masalah. Aku cuba teka? Kau terasa penat sebab kena jaga anak sulung kau."

"Hei, salah tekaan kau. Walaupun aku selalu tak cukup tidur dan hidup aku tak sama macam dulu, aku bahagia dengan kehadiran Hazrel. Dialah peneman aku masa Shahril pergi kerja."

Zanariah tertawa sinis. "Kalau bukan, apa sebabnya?"

Mastura mengeluh panjang. "Shahril terpaksa outstation ke luar negara."

"Alah, berpisah dengan laki sekejap pun tak boleh."Ejek Zanariah.

"Sekejap kau kata? Setahun. Mungkin dua tahun. Dia hanya boleh balik lepas beberapa bulan untuk jenguk aku." Rungut Mastura.

"Ya ke?" Zanariah menunjukkan sisi prihatin. Walhal apa yang bermain di fikirannya sedikitpun tidak dijangka oleh Mastura.

***

"Kau tinggal di sini?" tanya Mastura setelah mereka tiba di rumah kecil itu.

"Inilah tempat aku dibesarkan bersama nenek aku dulu. Selepas dia meninggal."

"Tentu banyak nostalgia tempat ini bagi kau." Mastura melihat sekeliling.

"Itu sudah tentu. Eh, jom masuk." Pelawa Zanariah.

"Kau belum ceritakan tentang kisah silam kau. Aku nak dengar." Mastura menyisip air kopi setelah dihidangkan oleh Zanariah.

"Selepas aku dewasa, aku mula rasakan tekanan hidup. Aku hanya mampu melihat orang di sekeliling aku hidup mewah dengan apa yang keluarga mereka miliki. Sedangkan aku sebatang kara. Ada yang ingin menolong, tetapi dengan maksud tersirat. Semuanya ingin mengambil kesempatan. Hinggalah aku bertemu dengan kau."

Mastura beria-ia mendengar kisah Zanariah.

"Selepas aku rasa hidup senang dengan bertukar identiti, aku buat keputusan. Aku tak sanggup hidup susah lagi. Aku akan gunakan kesempatan ini sebaik mungkin."

Mastura senyum mendengar luahan penuh emosi Zanariah.

"Kau jangan risau. Aku akan bantu kau selagi aku mampu. Kau inginkan wang, aku boleh bantu. Kaulah satu-satunya sahabat dalam hidup aku. Yang lain semuanya ayah aku tak izinkan, sebab kita berkawan tanpa dia sedar apa-apa." Pengakuan jujur Mastura.

"Aku bukan inginkan wang ringgit atau kemewahan semata-mata Mas."

Mastura hairan. Langsung dia tidak menjangka kata-kata sahabatnya itu.

"Kalau bukan itu semua, apa yang kau mahu?"

"Aku mahukan kehidupan kau. Hanya dengan cara itu aku dapat menjamin masa depan aku. Wang ringgit boleh habis. Harta mungkin akan menjadi milik orang lain. Tapi dengan menjadi diri kau, aku akan senang hingga ke akhir hayat aku."

…bersambung

Bab akan datang:
Apakah yang difikirkan Zanariah untuk masa depannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience