Chapter 11

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 11

"Okey, terima kasih Encik Johar." Suara Hazrel diikuti riuh suara rakan-rakan lain turut mengucapkan terima kasih.

"Saya pun nak balik. Kamu semua muda-muda lagi bolehlah berjaga sampai lewat malam." Pak Baha juga turut bangun.

"Alah, alasan Pak Baha je sebenarnya. Orang rumah dah tunggu kan?" Usik Syed.

"Pandailah kamu. Tak ada maknanya." Jawab Pak Baha sebelum beredar. Riuh ketawa mereka yang masih melepak di warung.

Setelah tinggal hanya mereka sahaja, Aqim bersuara. "Aku rasa Hazrel banyak tak ikut arahan Pak Baha. Kalau tak, mesti kita boleh skor banyak gol lagi."

Hazrel hanya berdiam diri.

"Alah, janji kita menang." Sampuk Jojo. Dia memang sudah masak dengan sikap cemburu Aqim.

"Memanglah. Kalau pasukan masa final nanti lagi hebat macam mana? Kita tak boleh ambil mudah perkara ini." Protes Aqim.

Rakan-rakan lain hanya saling berpandangan. Mereka malas melayan sikap Aqim yang kuat merungut.

"Aku nak cadangkan pada Encik Johar. Lepas pertandingan ni kita tukar ketua pasukan baru. Aku rasa Aqim lagi sesuai." Hazrel jawab dengan selamba.

"Aku setuju," jawab Aqim tanpa mengendahkan perasaan Hazrel.

"Tak baik kau cakap macam tu Aqim. Aku rasa Hazrel dah jalankan tanggungjawab dengan baik sebagai ketua pasukan. Kalau teruskan pun aku tak kisah." Ammar menyampuk.

Belum sempat Aqim menjawab, kelihatan seorang lelaki tua menghampiri mereka. Lelaki itu berpakaian comot dan kotor dengan lubang di sana-sini. Rambutnya menggerbang dengan rupa yang tidak terurus. Begitu juga dengan misai dan jambang yang telah lama tidak dicukur. Bau hamis memenuhi ruang udara di meja mereka makan. Lelaki yang sama mengunjungi meja mereka tempoh hari.

"Pui! Busuknya bau!" Aqim menutup hidung.

"Hei, tak baiklah kau cakap macam tu." Tegur Ammar.

Lelaki itu merayu dengan nada yang sayu, "Anak-anak, boleh bagi pak cik makan sikit? Pak cik lapar."

Ammar sudah mencapai roti yang masih belum disentuh apabila Mael menahan tangannya.

"Tak payah. Jangan dilayan. Kita menggalakkan orang macam ni berkeliaran di kawasan kita. Malu kalau pelancong yang datang ke sini tengok." Kata Mael.

Ammar menggeleng. "Bukan pilihan dia jadi macam ini. Kita yang mampu kenalah tolong."

"Betul kata Mael. Kita tak boleh layan sangat orang macam ni. Memalukan negara kita saja." Hazrel menyampuk sedangkan lelaki tua itu mendengar setiap patah kata-kata mereka.

"Hei. Dah lupa apa kau beritahu hari tu? Pasal sumpahan?" Lim cuba mengawal suara supaya lelaki pengemis itu tidak dengar apa yang dia kata.

"Tak ada makna percaya pada benda-benda macam ini." Ammar yang ingin menghulurkan makanan tadi terus terbantut. Dia tidak mengendahkan lelaki tua yang ada di situ.

Mereka terus menyambung perbualan dan berpura-pura tidak mengendahkan lelaki itu. Dengan harapan dia akan berlalu setelah melihat mereka tidak mempedulikannya.

"Sayang," lelaki itu bersuara dengan tidak disangka-sangka.

"Tuhan beri kamu semua kudrat dan kemampuan, tapi kamu sia-siakan." Kata-kata lelaki itu menyebabkan mereka semua berhenti berbual.

"Kamu semua ni sama macam buah yang nampak sedap dan segar dari luar, tapi dalamnya busuk dan berulat. Jijik dan memalukan. Orang macam aku kau pandang hina, tapi sebenarnya perbuatan kau lagi hina."

Mereka semua mendengar dengan teliti, seolah-olah bisu dengan kata-kata orang tua misteri itu. Mereka yang ada di warung juga berpaling melihat.

"Disebabkan apa yang kau buat hari ini, aku sumpah! Aku sumpah kau semua! Tunggulah akibat perbuatan kau semua hari ini. Tunggulah!"

Hazrel dapat rasakan kengiluan dengan kata-kata lelaki itu. Amaran yang bukan hanya kata-kata kosong, tetapi dengan makna yang tersirat.

Lelaki itu berlalu dengan jalan terhincut-kincut dan lemah.

"Bagus. Berambus juga dia akhirnya. Dahlah rupa tak senonoh. Bau busuk sampai nak termuntah aku dibuatnya." Kutuk Aqim.

"Aku dapat rasakan kita tak sepatutnya buat macam tu." Celah Syed.

"Be-be-betul kata Syed. Aku rasa tak sedap hatilah." Tambah Jojo.

Ammar turut mengeluh kesal. "Mula-mula aku memang nak bagi dia makan. Tapi bila Lim cakap macam tu, aku mula takut kalau niat aku dah lari. Aku takut kalau aku bagi semata-mata sebab takut terkena sumpahan. Patutnya aku bagi aje tadi. Menyesal aku."

"Macam mana ni? Kita dah terkena sumpahan orang tua tu. Habislah kita! Kalau jadi macam filem Final Destination macam mana? Alamak..." Khair yang selama ini banyak berdiam diri mula bersuara.

"Kita terpaksa menanggung akibat perbuatan kita." Keluh Jojo.

"Ah! Tak ada maknanya. Lelaki macam tu bukan boleh buat apa-apapun." Mael meneguk teh tarik yang masih bersisa.

"Aku risaulah." Jojo mula kalut.

"Baik kita panggil lelaki tu balik. Kita minta maaf. Kita belanja dia makan dan minum." Khair juga nampak resah.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah lelaki itu benar-benar memaksudkan sumpahannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience