Chapter 8

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 8

Hazrel hanya mendengar dengan rasa mual. Entah kenapa perbualan ibu dan ayahnya begitu menjengkelkan.

"Bila you nak bahagikan saham syarikat pada I dan Hazrel?" Suara wanita itu lagi.

'Apa kena dengan mama ni? Macam buang tebiat. Papa kan masih sihat walafiat lagi.' Bentak hati Hazrel melihat telatah ibunya.

"Kenapa you terburu-buru sangat?" Dato' Shahril juga seakan memprotes seperti anaknya.

"Bukan apa, I takut you berubah fikiran. Itu saja." Jawab Datin Mastura.

"Jangan risau. Memang I tengah uruskan sekarang."

"Boleh cepatkan sikit darling?"

Hazrel menahan perasaan dengan perubahan sikap ibunya akhir-akhir ini. Perubahan itu semakin ketara.

'Apa kena dengan mama? Selama ini pun aku dapat rasakan ada yang tak kena dengan sikap mama sebagai seorang ibu. Tapi aku masih mencari-cari sebabnya.' Hazrel melayan perasaan.

"Abang tengah sibuk dengan projek baru sekarang ni."

"Tolonglah darling. Selesaikan dulu perkara ni, walau macam mana sibuk pun you." Datin Mastura mengusap bahu suaminya.

Hazrel hanya menjeling telatah ibunya. Ayahnya seperti terkesan dengan usapan itu. Seolah-olah ada kuasa ajaib yang mampu mempengaruhi keputusannya.

"Baiklah, esok abang pastikan peguam siapkan semua dokumen." Jawab ayah Hazrel.

"Kenapa mama sibuk sangat dengan hal saham? Papa kan masih kuat lagi untuk uruskan syarikat. Apa dah kena dengan mama?" Hazrel akhirnya melepaskan apa yang terbuku di dada.

Datin Mastura menjegilkan mata ke arah anaknya. Dengan tiba-tiba suaranya berubah menjadi mesra dan manis. "Hazrel stres dengan pelajaran di kolej ya? Pergilah berehat ya."

"Bagaimana dengan kejohanan futsal?"tanya Dato' Shahril mengubah topik.

"Kami dah masuk semifinal. Tak lama lagi perlawanan. Setiap petang kami berlatih. Esok mungkin balik lewat sikit sebab coach nak buat latihan intensif." Jawab Hazrel.

Datin Mastura hanya mendengar perbualan mereka berdua dengan muka yang mencuka.

"Baguslah. Macam mana? Boleh menang?" Berseri wajah Dato' Shahril dengan perbualan tentang futsal.

"Insya-Allah. Kalau masa game nanti kami boleh ikut semua nasihat coach, cerah harapan nak menang."

"Very good." Puji Dato' Shahril.

Usai makan, Datin Mastura ke bilik Hazrel.

"Rel, mama nak cakap sekejap." Serius suaranya.

"Ada apa ma?" jawab Hazrel tidak bersemangat.

"Kenapa kamu cakap macam tu dengan mama masa di meja makan tadi?" Ada nada tidak setuju dalam kata-katanya.

"Yalah. Mama sibuk bincang pasal saham masa makan. Macam tak kena masanya." Protes Hazrel.

"Yang kamu sibuk masuk campur kenapa?"

"Rel cuma cakap aje. Itu pun salah."

"Kamu dengar sini. Jangan campur urusan papa dan mama. Kalau tak setuju diam sudahlah."

"Apa-apalah." Jawab Hazrel, masih memprotes dalam hati.

'Aku memang tak pernah rasakan kasih sayang seorang ibu yang sejati sejak dari kecil.

Seolah-olah mama adalah ibu tiri aku, walaupun dia yang melahirkan aku. Kenapa mama tak seperti ibu orang lain? Dia tak pernah manjakan aku macam mak orang lain. Macam ada sesuatu yang menghalang hubungan kami berdua. Dan akhir-akhir ini perbezaan itu semakin ketara. Kenapa semua ini berlaku?'

Hazrel bersandar malas di katil. Dia buntu dengan masalah itu. Akhirnya dia membiarkan mata terpejam apabila rasa mengantuk sudah mula menguasai.

******

Petang itu adalah sesi latihan terakhir pasukan futsal Kolej Angsana sebelum pertandingan separuh akhir.

"Hari ini kita telah selesai buat persediaan secara fikizal untuk bertarung dalam semi final. Tapi persiapan belum tamat lagi. Kamu semua perlu rehatkan minda dan pastikan sedia untuk bertarung secara mental. Saya sudah ajar segala yang termampu. Tentang formasi, komunikasi di gelanggang, dan strategi untuk memboboskan gawang musuh. Semua itu tak ada nilainya kalau kamu tak dapat praktikkan semasa perlawanan nanti." Amanat terakhir Pak Baha.

"Lepas ini kamu semua balik dan dapatkan rehat secara fizikal dan mental. Itu penting sebelum perlawanan esok. Ada apa-apa soalan?... Kalau tak ada, boleh bersurai. Selamat berjaya."

Pak Baha meninggalkan mereka dan beredar.

"Jom kita keluar minum sebelum balik." Ajak Hazrel.

"Kau tak dengar coach kata apa tadi? Dia suruh balik rehat." Aqim bantah. Mungkin sekadar menunjukkan sikap memberontak kepada ketua pasukan mereka.

"Tak apalah. Kalau macam tu, kita balik ajelah." Hazrel hilang mood.

"Sekejap. Siapa kata kami tak setuju?" Arjun menyampuk.

"Yalah. Aku pun nak lepak. Nak rehatkan badan dan otak sebelum game esok." Syed setuju.

Begitu juga dengan yang lain.

"Kalau macam tu, jom kita pergi." Hazrel angkat kaki.

"Kau tak nak ikut Qim?" Pelawa Jojo.

"Pergilah. Aku malas." Aqim termalu.

"Jangan macam tu Qim. Kita satu pasukan. Kalau semua nak keluar, biar semua ada. Baru satu hati, macam kata coach." Pujuk Ammar.

…bersambung

Bab akan datang:
Mengapa Datin Mastura seakan memaksa suaminya menyiapkan dokumen itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience