Chapter 33

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 33

Truut!

Telefon Syed berbunyi. Mereka saling berpandangan.

"Helo Syed. Kamu di mana? Saya dan Pak Baha ada di bas sekarang ni. Mana semua orang? Yang ada hanya Pak Maun sorang… helo."

Syed hilang kata-kata mendengar suara Encik Johar di talian. Telefon kembali berfungsi secara misteri.

"Helo."

******

KES 3:
KEMBALI

Mak Mah menghidangkan air kepada ketiga-tiga pemuda yang duduk di pangkin bersama suaminya, Pak Murad. Nirmala turut membantu dengan menatang sepinggan ubi rebus dan sambal ikan bilis.

"Memang dah lama kami dengar kisah pondok berpuaka tu. Sebelum kawasan kampung ni diteroka lagi. Ramai yang lalu di kawasan tu pada waktu maghrib nampak kabus tebal tiba-tiba keluar. Lepas tu mereka nampak ada pondok tiba-tiba muncul. Ada juga yang ternampak perempuan berambut panjang dengan jubah putih labuh. Semua ingat itu makhluk halus. Mungkin roh yang tak tenang, jin atau orang bunian. Tak ada yang berani ke kawasan tu lagi bila dah tahu." Panjang lebar penerangan lelaki separuh abad itu.

"Mak cik tak sangka rupa-rupanya yang tinggal kat pondok tu manusia. Cantik pulak tu." Pujian Mak Mah menyebabkan Nirmala tersipu-sipu.

"Untung kamu, tak tua-tua. Entah-entah umur mak cik jauh lagi muda lagi. Mungkin berpuluh tahun lepas kamu lahir, baru mak cik lahir." Mak Mah berceloteh.

"Macam mana kamu bertiga boleh tersesat ke dalam hutan ni?" tanya Pak Murad.

"Panjang ceritanya. Nak dipendekkan, bas kami terkandas. Tayar pancit kali kedua dalam perjalanan. Drebar bas buang air, tapi tak balik-balik. Kami berpecah. Itu yang kumpulan kami terserempak dengan pondok Nirmala."

"Semuanya berlaku macam satu kebetulan kan? Tapi pak cik rasa ini semua takdir yang tersurat." Pak Murad buat andaian.

"Tapi pak cik, sebelum kami bertolak dah macam-macam perkara buruk kami lalui. Kami syak puncanya sebab terkena sumpahan seorang pengemis tua."

"Haish! Jangan nak mengarut. Mana ada benda-benda sumpahan yang dibawa oleh manusia atau benda. Semua tak akan berlaku kalau tak diizinkan Tuhan."

"Saya tak fahamlah pak cik." Khair ingin penjelasan.

"Memang zahirnya kita nampak semua benda atas dunia ni boleh bawa mudarat atau manfaat. Tapi semuanya tak berlaku kalau bukan dengan kuasa Tuhan. Contohnya, tongkat Nabi Musa dibuat daripada kayu. Tapi dengan kuasa Tuhan, kayu bertukar jadi ular. Makanan zahirnya mengenyangkan. Tapi ada juga yang makan banyak tapi tak kenyang-kenyang. Air laut bermanfaat kepada Nabi Musa semasa dia menyeberang dengan pengikutnya sebab laut terbelah dua. Tapi air laut yang sama juga telah menenggelamkan Firaun."

Ammar mengangguk dengan penerangan Pak Murad. Sememangnya kisah Nabi Musa memang biasa dia dengar. Mael masih cuba menghadam maksud yang tersirat.

"Apa rancangan kamu semua lepas ini?" tanya Pak Murad.

"Kami nak balik ke bas semula. Tentang Nirmala, saya tak pasti." Ammar menjeling melihat gadis dengan rambut panjang mengurai.

"Nanti pak cik tolong tunjukkan jalan keluar ke sana. Bimbang kamu semua sesat nanti. Tentang Nirmala kamu jangan risau. Buat masa ni biar dia tinggal dengan kami." Kata Pak Murad.

"Kalau Nirmala sudi, tinggal terus dengan kami pun tak apa. Mak Mah memang dah lama tak ada anak lagi, semenjak anak kami meninggal akibat penyakit ganjil. Mak Mah memang teringin ada anak perempuan macam Nirmala."

Nirmala hanya tersipu-sipu mendengar kata-kata Mak Mah.

"Macam mana Nirmala? Tak apa kamu tinggal dengan kami? Cuma... kami ni bukan orang berada. Apa yang kami makan, itulah yang kamu makan. Apa yang kami ada, itulah yang kami kongsi." Pak Murad merendah diri.

"Insya-Allah Pak Murad, Mak Mah. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan." Jawab Nirmala.

"Tak payah panggil Mak Mah. Panggil mak saja pun boleh." Mak Mah menyentuh lembut tangan Nirmala.

Nirmala tersenyum manis. Ammar yang melihat terus cair sejenak.

"Eh, makanlah... Ammar, jangan ditenung lama-lama wajah anak dara orang." Usik Pak Murad.

Ammar tersipu-sipu. Nirmala merah pipi dibuatnya. Yang lain hanya mengetawakan Ammar yang terkantoi.

***

"Kalau dah sedia, jom kita bergerak." Kata Pak Murad. Dia memakai t-shirt hitam bersama kemeja lusuh yang tidak dikancing. Sehelai kain melilit kepalanya. Di tangan tersemat parang bersama sarung yang tergantung di sisi pinggang.

Ammar menghampiri Nirmala.

"Saya pergi dulu." Kata Ammar. Berat hatinya ingin meninggalkan gadis itu.

"Baik-baik jalan. Saya ucapkan terima kasih kepada awak dan kawan-kawan sebab selamatkan saya. Kalau tak, mungkin saya masih terperangkap dalam pondok. Entah sampai bila pun saya tak tahu." Nirmala tunduk.

Mahu rasanya Ammar menyentuh dagu gadis itu agar dia mendongak. Supaya dapat dia melihat mata gadis pingitan yang pemalu itu.

…bersambung

Bab akan datang:
Apakah yang berlaku seterusnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience