Chapter 19

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 19

Hampir keseluruhan kontor tubuhnya jelas kelihatan menerusi ekspresi si pelukis.

Syed terpegun melihat wanita itu, seolah-olah dia sudah jatuh cinta.

"Anak-anak semua dari mana?" Suara perempuan dari tangga. Rupanya serupa dengan lukisan potret di dinding.

"Kami terkandas. Tayar bas pancit. Kami cari drebar bas yang hilang. Dia kata nak buang air sekejap, tapi sampai berjam-jam kami tunggu. Dia tak balik-balik."

Perempuan jelita itu tersenyum simpul dengan lirik mata yang amat menggoda. "Oh begitu. Tak mengapa. Anak-anak berehat dulu, nanti boleh sambung cari semula."

"Kawan-kawan kami ada di bas."Kata Syed.

"Tak mengapa, biarkan mereka."

"Kalau kami telefon boleh? Beritahu mereka kami ada di sini." Syed meminta izin.

Wanita itu ketawa kecil. "Di sini tiada servis telefon."

Syed tidak percaya. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan melihat skrin. Sememangnya tiada signal walaupun satu bar.

"Jangan risau. Kamu semua berehat dulu, nanti boleh panggil rakan-rakan yang lain. Tentu penat berjalan ke sini kan?" Suara wanita itu begitu menggoda.

"Puan ni siapa?" tanya Syed. Hanya dia yang berani bersuara. Arjun dan Lim hilang kata-kata.

"Nama saya Mariani. Kamu semua boleh panggil ibu Mariani." Dia mengamati susuk tubuh Syed sebagaimana Syed juga terpegun dengan penampilannya yang begitu menarik.

Ibu Mariani mengenakan baju kebaya ketat berwarna merah hati dan kain batik jawa dengan jahitan kipas bersama belahan hingga ke lutut. Wajahnya jauh lebih muda daripada wanita seusianya. Seolah-olah dia tidak dimakan zaman. Kalau di Barat, penampilan seperti itu tentu sudah disertakan dengan berpuluh-puluh pembedahan plastik dan kosmetik. Juga bergelen-gelen suntikan botox untuk mengembalikan wajah yang muda remaja.

"Mak Esah, apa tercegat lagi. Pergi siapkan makanan." Arah Ibu Mariani kepada perempuan tua yang sudah mula bongkok.

Arjun dan Lim sempat melihat wanita tua itu menjegil mata ke arah mereka, menambahkan rasa seram yang sudah lama bertamu.

"Itu potret ibu?" tanya Syed.

"Ya. Kamu suka?"

Syed mengangguk. Namun dia terasa cuak. Lukisan itu nampaknya adalah lukisan lama, bukan seperti lukisan yang baru dihasilkan.

"Mari ibu tunjukkan kamu tempat yang ada di dalam rumah."

Mereka mendaki tangga menuju ke tingkat atas. Syed tidak mampu menepis perasaan apabila melihat Ibu Mariani menapak di anak tangga. Gerakan pinggulnya di balik kain batik kipas ketat itu begitu menggamit naluri jantannya yang masih muda remaja.

Apabila dia tersedar, lekas-lekas dia menundukkan pandangan.

"Ini kamar tidur kamu bertiga." Wanita itu menunjuk ke arah bilik di tingkat atas.

Ruang bilik itu begitu luas dengan katil tersusun di tepi tingkap. Cahaya menembusi langsir polos dan memberikan suasana yang sungguh sureal.

Kemudian mereka menapak di koridor yang panjang. Lampu hiasan antik menghiasi dindingnya.

"Ini bilik air dan tandas. Di depannya bilik bacaan."

Perasaan takut Lim hilang apabila melihat bilik bacaan. Dengan segera dia menuju ke rak buku dengan naskhah-naskhah lama yang tersusun kemas. Seolah-olah dia sudah memasuki zon selesa.

"Wah! Banyaknya bahan bacaan." Lim mula asyik dengan buku yang dibelek.

Arjun dan Syed masih ada di luar bersama Ibu Mariani.

"Itu bilik apa?" tanya Arjun sambil menuding ke arah bilik hujung yang bertutup rapat.

"Oh, itu bilik stor." selamba jawapan Ibu Mariani.

Lim sudah kembali bersama mereka.

"Ibu tidur di mana?" tanya Syed. Sesekali matanya menjeling nakal tubuh wanita itu.

"Di tingkat atas. Ada loteng." Jawabnya.

"Wah, hebatnya. Macam penthouse." Lim teruja.

Syed dapat rasakan keresahan apabila berdiri hampir Ibu Mariani. Seolah-olah dia mengalami gelodak hormon yang sukar dikawal.

Mereka dikejutkan denga suara Mak Esah di tangga. "Puan, hidangan sudah siap."

"Jom kita turun makan." Pelawa Ibu Mariani.

Meja makan yang panjang itu terhidang dengan pelbagai jenis juadah. Makanan laut, makanan Barat dan masakan tradisional tersusun di atas hamparan putih. Hidangan yang selayaknya untuk ramai tetamu disediakan untuk mereka bertiga.

"Makan, makan puas-puas. Sampai kenyang." Senyuman Ibu Mariani sebagai tuan rumah yang begitu mesra.

'Cepatnya Mak Esah masak.' Puji Arjun yang memang sudah tidak mampu menahan seleranya yang terbuka begitu luas.

Namun pujian itu hanya dibalas dengan renungan tajam Mak Esah. Arjun terus tunduk dan diam.

Mereka makan dengan begitu lahap sekali. Adakala mereka teringatkan rakan-rakan yang ditinggalkan dalam bas dan Pak Maun yang masih belum mereka temui. Namun keenakan masakan membuatkan mereka asyik dan khayal melayan nafsu makan.

Ibu Mariani hanya memandang mereka dengan jelingan penuh makna.

Syed berkira-kira ingin kembali ke tempat bas terkandas. Tetapi hidangan yang mereka makan begitu menyelerakan hingga di tidak mampu berjalan lagi. Begitu juga dengan Lim dan Arjun.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah mereka meneruskan perjalanan juga atau berehat di situ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience