Chapter 1

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 1
PROLOG

Razali menukar gear Honda Prelude dan terus memecut laju di tengah jalan lengang dinihari itu.Lagu Back In Time versi remix oleh rapper Pitbull berdentum melalui pembesar suara Sony, bersama jemari Razali yang turut bergendang.

Baby, my sweet baby
You're the one

Irama akustik dan hentakan bass memang menjadi kegemaran Razali. Apatah lagi buat peneman ketika memandu dalam keadaan begitu lewat.Razali memang sudah biasa memandu lewat begini. Cuma hari ini lebih lewat daripada biasa.

Razali bermula sebagai jurujual sambilan. Kelebihannya adalah kefasihan berkata-kata dan sifat mudah mesra dengan orang yang baru dia kenal. Kerana itu dia pantas mendaki tangga kerjaya dalam bidang pemasaran. Kini dia sudah memiliki perniagaan sendiri di samping mengadakan kursus motivasi buat mereka yang bercita-cita ingin berjaya sepertinya.

Namun sebagai manusia, Razali tidak lepas daripada membuat kesilapan. Kejayaan yang dia kecapi menyebabkan dia tidak lagi memiliki masa senggang yang banyak seperti dulu. Dengan keadaan terkejar-kejar, dia sering terlepas pandang perkara yang dianggap kecil dalam hidup. Seperti yang berlaku siang tadi.

Baby, my sweet baby
You're the one

Jemari Razali terus bergendang di stereng. Dia cuba mengikis perasaan cuak yang bersarang. Hari ini lain daripada yang biasa.

'Mula-mula dompet aku hilang. Lepas tu handphone terjatuh dalam parit.' Razali mengimbau peristiwa yang berlaku.

'Ah! Mustahil ini satu kebetulan. Kalau bukan kerana...'

Sepantas kilat Razali memulas stereng. Seekor kucing tiba-tiba melintas di jalan raya dan berhenti. Memang selalu terjadi begitu apabila haiwan itu tergamam dengan silau cahaya lampu hingga kaku tak bergerak. Akibatnya ia akan menjadi mangsa digilis kenderaan dan bangkainya dibiarkan mereput di tepi jalan. Lebih mengerikan lagi apabila ia terus digilis dan digilis lagi hingga rata seperti jalan aspalth dengan hanya tompokan darah dan daging yang hancur berkecai.

Kali ini kucing itu terselamat.

"Memang belum ajal kau lagi wahai kucing oi!" ujar Razali.

Perasaan cuak datang lagi. Mata kucing hitam itu bersinar dengan cahaya hijau kekuningan apabila disuluh lampu depan kereta.

Baby, my sweet baby
You're the one

Jemari digendang lagi untuk menghilangkan rasa risau.Perlahan-lahan mindanya mengimbau satu persatu peristiwa yang berlaku.

'Nyaris aku kemalangan disebabkan kucing tadi. Kalau aku langgar dia pun tak ada hal, tapi ini kucing hitam.' Mindanya jadi berserabut memikirkan apa yang berlaku dengan segala pantang-larang tentang nasib malang.

Ketika itu dia teringat artikel yang dibaca tentang kepercayaan orang Barat. Tentang ladam kuda, daun clover dengan empat kelopak dan ekor arnab yang boleh mendatangkan nasib baik.Berlawanan pula dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan nasib malang, termasuk kucing hitam.

'Ah! Itu semua perkara karut-marut. Tak boleh percaya.' Razali cuba memperbetulkan apa yang terlintas di hati.

Baby, my sweet baby
You're the one

Tangannya bergendang lagi.

'Sebelum kucing hitam, tayar aku pancit tengah-tengah malam buta.'

Razali memikirkan kejadian yang berlaku sebelum dia nyaris tergilis kucing hitam. Bajunya menjadi saksi kejadian yang berlaku. Kemeja semasa pertemuan terakhir dengan klien tadi masih dipakai dengan tanda-tanda hitam akibat terpaksa menukar tayar seorang diri tadi.

'Memang susah nak hilang tanda ni. Alamatnya jadi kain buruklah. Ini baju John Master kesayangan aku.' Keluh Razali.

Dalam diam dia mempercayai tuah yang dibawa oleh baju itu kerana telah banyak berjasa. Banyak jualan telah dihasilkan dengan baju itu.

Tapi kini tuah itu nampaknya sudah hilang sekiranya baju ini tidak boleh digunakan lagi.

Baby, my sweet baby
You're the one

Gendangan tangan Razali semakin lesu dan tidak mengikut rentak lagu.

'Sebelum tayar aku pancit, handphone aku jatuh dalam parit. Nasib baik semua contact aku simpan dalam simcard. Harap-harap kedai tu dapat kesan balik semua data yang ada. Kalau tak, naya aku dibuatnya.' Keluh Razali dalam diam.

'Mustahil semuanya berlaku pada hari yang sama. Semuanya bermula dengan dompet aku yang hilang. Habis kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit dan duit aku lesap. Nasib baik aku sempat makan dulu di warung tadi. Kalau tak, kebulur menunggu di balai polis untuk buat laporan. Kalau ikut hati aku, baik aku batalkan temu janji dengan klien pagi esok sampai semua selesai. Tapi ini klien penting.'

Baby, my sweet baby
You're the one

Tangan Razali berhenti bergendang.Peristiwa di warung tadi mula singgah di benak.

Seorang tua dengan rambut putih menggerbang dan kusut masai menghampirinya ketika makan. Razali sedang berbual di telefon. Seorang klien berpotensi diperkenalkan oleh seorang bekas pelanggannya.

"Ya, esok saya free." Suara Razali sambil memerhati lelaki dengan wajah yang comot.

…bersambung

Bab akan datang:
Apakah kesilapan yang telah dilakukannya? Apakah kejadian itu semua mempunyai kaitan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience