Chapter 30

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 30

Namun jauh di lubuk hatinya ada rasa sayu mengenangkan nasib yang menimpa ibu yang tidak pernah dia kenal semenjak kecil.

"Mastura terlalu naif kerana sanggup mengikut segala nasihat aku semasa Shahril ke luar negara. Konon-konon dia menjalani pembedahan kosmetik selepas melahirkan kau. Dia langsung tidak menduga tentang rancangan yang aku atur selama ini. Untuk menghapuskannya dan mengambil alih identitinya." Zanariah terus menghembus asap yang berkepul-kepul keluar.

"Di sinilah aku kuburkan Mastura bersama semua rahsia tentang diri aku yang sebenar. Kau tentu terfikir bagaimana aku tahu semuanya tentang kehadiran kau di sini. Aku sembunyikan kotak suis letrik di tempat rahsia bersama kamera CCTV. Aku pantau gerak geri kau sehinggalah Bo dan Sagat tiba di sini."

"Tapi di mana kau tanam mak aku?"

Soalan Hazrel diikuti tawa Zanariah yang menjengkelkan.

"Jangan risau. Kau akan tahu sebentar lagi."

"Kau nak bunuh aku juga sebagaimana kau bunuh mama? Lepas tu apa? Kau nak bunuh bapak aku juga untuk bolot harta dia?" Sindir Hazrel.

Zanariah ketawa lagi.

"Kau memang budak yang bijak. Memang telah lama aku rancang semua ini. Dan akhir-akhir ini aku telah jumpa masa yang sesuai. Setelah aku gunakan ilmu penunduk ke atas ayah kau. Syarikat yang dia bina selama ini sudah sampai ke tahap kejayaan yang aku inginkan. Cuma yang masih aku belum faham, bagaimana kau tahu tentang tempat ini?"

"Kau jangan ingat kau boleh lepas begitu saja. Roh mama masih berkeliaran di sini, menanti masa untuk membalas dendam. Kau akan terima akibatnya!"

"Roh mak kau?... Ha ha ha... aku tahu kau dah terdesak, tapi sampai sanggup reka cerita macam itu? Ha ha…."Zanariah melayan perasaan geli hati mendengar kata-kata Hazrel.

"Bo, kau hantar budak ni ke belakang, dekat perigi. Lepas itu kau ikut Sagat bawa budak berdua ni. Bunuh di tempat lain." Arah Zanariah.

Bo akur. Dia menarik Hazrel yang terikat tangannya ke tepi perigi. Kemudian Bo mengikat kaki Hazrel supaya dia tidak boleh lari ke mana-mana. Setelah itu dia beredar bersama Sagat dan rakan-rakan Hazrel.

"Kalau kau nak tahu, di sinilah aku kuburkan mak kau." Zanariah berdiri di sisi Hazrel.

"Kau memang kejam! Tergamak kau campak kawan baik kau ke dalam perigi ini tanpa upacara pengkebumian. Kau memang manusia tak berhati perut. Kau lebih layak dilahirkan sebagai binatang!" Hazrel berang.

Zanariah mengeluarkan pistol. Dia mengacunya ke arah Hazrel. "Masa berbual sudah tamat. Sekarang aku nak kau terjun ke dalam perigi. Kalau kau ingkar, aku akan tanam peluru ini ke dalam otak kau sebelum aku sendiri yang akan hantar kau ke dalam kubur bersama mak kau. Dengan tangan aku sendiri. Sekarang terjun!"

Dalam diam Hazrel berharap akan tiba pertolongan untuk menyelamatkannya.

Dengan tidak semena-semena angin berhembus lembut dan dingin. Muncul bayangan wanita yang dilihat oleh Hazrel di dalam hutan dan dalam mimpinya. "Mama?"

Zanariah tergamam. Kata-kata Hazrel rupa-rupanya bukan direka. Bayangan Mastura benar-benar wujud. Dia cuba menekan picu pistol tetapi tidak berdaya. Ikhtiar akhirnya adalah menolak sendiri Hazrel ke dalam perigi.

"Kau ingat kau boleh gagalkan rancangan aku Mastura? Aku sudah hampir berjaya. Tak ada sesiapa yang boleh menghalang aku. Biar Tuhan sekalipun!" Zanariah cuba mengentalkan semangatnya.

Zanariah benar-benar berusaha untuk menolak Hazrel tetapi gagal. Malangnya dia tersilap langkah dan dia sendiri yang tercebur ke dalam perigi.

"Tolong! To.... Tolong!" suara Zanariah dari dalam perigi yang gelap gelita, cuba mencari tempat berpaut.

Namun usahanya sia-sia. Akhirnya tiada lagi kedengaran suaranya atau bunyi kocakan air. Hanya bunyi cengkerik yang nyaring di sekeliling.

Hazrel hanya mampu melihat bayangan cahaya yang menyerupai ibunya semasa riwayatnya ditamatkan oleh Zanariah.

"Mama," suara lirih Hazrel dalam syahdu.

Namun tiada jawapan atau reaksi daripada bayangan itu. Kemudian ia menghilang, meninggalkan Hazrel dalam gelap pekat malam dengan suram cahara rembulan.

"Selamat tinggal mama. Semoga roh mama dicucuri rahmat di sana." Hazrel membiarkan air matanya tumpah dalam keadaan kaki dan tangan terikat.

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi siren di kawasan itu bersama cahaya terang yang berkelip-kelip.

"Hazrel," suara lelaki yang amat dia kenal.

"Papa! Macam mana papa tahu Hazrel ada kat sini?"

"Panjang ceritanya. Papa memang dah lama tahu. Tapi bila bersama Zanariah, papa macam kena pukau. Hari ini papa terdengar masa dia berbual dengan konco-konco dia. Terus papa telefon polis. Nasib baik papa ada pasang alat pengesan dalam kereta."

"Kawan-kawan saya ada dengan orang Zanariah!" Hazrel panik.

"Jangan risau. Mereka selamat. Orang-orang dia dah kena tangkap. Mana perempuan jahanam tu?"

…bersambung

Bab akan datang:
Kemana Zanariah pergi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience