Chapter 14

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 14

Kalau teruk macam mana? Atau mungkin kalau sumpahan ini akan berkekalan sampai bila-bila? Tapi benarkah sumpahan ini betul-betul wujud?' Hazrel buntu.

'Yang pastinya aku dapat rasa apa yang berlaku ini akan menjejas permainan pasukan esok.' Hazrel bersandar malas, cuba melelapkan mata. Apa yang berlaku benar-benar menyesakkan otak.

***

Hazrel tersedar di dalam sebuah hutan. Kedengaran bunyi unggas riuh di sekeliling. Bau daun hutan segar seperti selepas hujan. Suasana begitu nyaman dan menyegarkan.

Dia tidak tahu arah yang hendak dituju. Hanya mengikut langkah kaki yang tiada tujuan. Matanya mencari petanda berupa denai atau sungai yang akan membawanya kepada kawasan penempatan berdekatan.

Dari kejauhan matanya menangkap sesuatu. Seperti kelibat seseorang, mungkin seorang wanita. Kemudian kelibat itu hilang. Dia berjalan ke arah manusia yang dia lihat dengan sekilas pandang tadi. Langkah dipercepatkan, sebagaimana degup jantungnya dalam keadaan yang tidak menyenangkan itu.

Semakin lama dia semakin hampir ke kawasan itu, tetapi masih tiada kelibat wanita yang dicari. Puas dia mencari di segenap arah. Masih belum ternampak sesiapa. Hazrel putus asa. Dia berhenti sambil mengumpul nafas yang sedang tercungap-cungap.

'Siapa perempuan tu? Kenapa aku rasa macam aku kenal dia? Wajahnya tak berapa jelas, tapi aku rasa macam pernah nampak dia. Tapi siapa?' Hazrel terasa gundah. Perasaannya semakin tidak menyenangkan.

Hazrel ingin berpatah balik. Apabila dia berpaling ke belakang dia terlihat wanita tadi tercegat di sebelahnya. Dia hanya dapat melihat wajah itu beberapa saat, tetapi wajah itu amat dia kenal, walaupun dia belum pasti siapa.

***

Hazrel terkejut semasa bas sedang menyusuri jalan raya yang bengkang-bengkok. Rakan-rakan lain juga ramai yang terlena. Hanya ada beberapa orang yang asyik memandang keluar bas yang sedang bergerak.

Mimpi itu begitu pelik. Sebelum ini dia belum pernah bermimpi seperti itu. Apatah lagi melihat wajah wanita yang muncul tadi.

Mindanya mula mengaitkan dengan lelaki pengemis tua itu lagi.

'Kenapa aku rasa tak sedap hati? Aku cuba menafikan yang semua ini ada kaitan dengan pengemis tua itu, tapi semakin lama semakin jelas kaitannya. Dan aku dapat rasakan ini semua ada kaitan dengan mama. Siapa lelaki yang berbual dengan mama semalam? Aku semakin risau memikirkan rancangan mama menukar nama dalam saham syarikat papa. Tapi takkan mama tergamak buat sesuatu terhadap suaminya sendiri. Terhadap papa. Atau mungkin ada sesuatu yang masih belum aku ketahui lagi. Kalau betul, apa dia?' Hazrel melayan apa yang terlintas di fikiran.

Dia dikejutkan dengan bahu yang ditepuk.

"Hoi kapten! Apasal jauh termenung?" Arjun mengusiknya dari belakang.

"Ish! Kau ni Arjun, buat aku terkejut. Nasib baik tak gugur jantung aku."

"Itu pun nak terkejut. Tak macho ah! Eh, lama lagi ke perjalanan kita?"

"Entah. Kau tanya aku buat apa? Tanyalah Pak Maun." Hazrel bersandar malas.

Buat seketika dia lupa apa yang sedang difikirkan tadi.

Sudah beberapa jam perjalanan bas Kolej Angsana menuju tapak rekreasi di hutan Pahang. Matahari sudah mula meninggi. Perjalanan ini dijangka akan berakhir petang nanti. Mereka dapat berehat malam itu kerana perlawanan akan berlangsung esok pagi.

Hazrel tidak melepaskan peluang untuk berehat. Banyak masa dihabiskan dengan tidur di dalam bas. Namun rasa mengantuk hilang apabila bas berhenti dengan tiba-tiba di kawasan tanah tinggi dengan hutan tebal di sekeliling.

'Apa hal pulak ni?' Hazrel mula risau.

Pak Maun turun. Tidak lama kemudian dia naik semula ke dalam bas.

"Tayar pancit. Tayar spare dah guna tadi. Dah tak ada lagi."

"Kenapa Pak Maun tak bawa tayar lebih? Lecehlah macam ni!" Aqim merungut.

Pak Maun tidak mengendahkan kata-kata Aqim. Dia terus turun dan menelefon seseorang. Setelah berbual, dia naik semula.

"Aku nak buang air sekejap. Korang semua tunggu sini. Kejap lagi ada yang datang tolong." Katanya sebelum beredar.

"Menyusahkan betul! Dah tahu nak jalan jauh, buatlah persiapan. Tak pasal-pasal terkandas kat tempat macam ni. Bengang betul aku." Aqim membebel.

"Cuba kau bawa bertenang. Jangan banyak merungut dalam keadaan macam ni. Sabar." Ammar cuba menasihat Aqim.

"Kau cakap senanglah. Kalau sampai malam belum settle macam mana? Esok kita ada game. Sempat?" Aqim terus merungut.

"Sebab tu kena sabar. Kalau kau buat bising, orang lain pun kena tempiasnya." Syed menambah.

"Masa stres macam ni mana boleh duduk diam. Makin stress kau tahu. Biar aku hiburkan semua dengan lagu rock otai... when the smoke is going dooooown!" Mael bangun dan bermain gitar halimunan dengan sound effect sekali.

"Wooohoooo!" Teriak Arjun dengan gaya tangan ala rockers.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah keadaan ini akan mempengaruhi permainan mereka nanti?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience