Chapter 20

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 20

"Macam mana ni? Aku dah tak larat berjalan." Keluh Syed.

"Aku pun. Tak sanggup aku nak berjalan balik macam ni." Arjun pula bersuara.

"Tak payah susah-susah. Berehat dulu di bilik. Lagipun hari sudah semakin gelap. Esok pun boleh. Ibu percaya mereka semua tak akan tinggalkan kamu. Mereka pasti akan datang cari."

Syed termakan dengan cadangan Ibu Mariani. Dia setuju.

"Kalau ada apa-apa, boleh minta Mak Esah tolong." Pelawa Ibu Mariani lagi.

Mereka bertiga terus naik ke atas.

"Aaah!..." Arjun menggeliat sambil bersandar di katil. "Sedap betul masakan tadi. Sampai aku tak henti-henti menambah."

"Kau memang. Pasal makan nombor satu." Perli Lim.

"Habis kita macam mana ni? Nak balik ke bas bila?" Syed buntu.

"Aku rasa baik kita berehat dulu. Ikut macam Ibu Mariani cakap. Esok pun boleh." Arjun memegang perut yang sudah kembung.

"Ibu Mariani tu… seksi betul kan?" Syed meluahkan rasa.

"Memang... aku macam segan nak panggil dia ibu. Kakak bolehlah." Celah Arjun.

"Apa rahsia dia ya?"Lim ingin tahu.

"Mungkin dia makan jamu. Atau produk kosmetik D'Herbs. Terlajaaaak laris." Syed melawak.

Mereka bertiga berderai dengan tawa.

Perut yang kenyang dan suasana yang selesa menyebabkan mata mula mengantuk. Dalam masa beberapa minit mereka bertiga sudah terlena.

KES 3 :
PONDOK DI PINGGIR HUTAN

"Menyesal aku ikut cadangan Hazrel. Duduk dalam bas lagi bagus." Rungut Khair.

"Sudah, tak payah nak fikir lagi. Benda dah jadi." Bidas Mael.

"Entah-entah semua dah berkumpul dalam bas. Pak Maun pun dah jalan. Habis kita kena tinggal kat sini. Silap haribulan polis datang cari kita tapi tak jumpa. Kita pun disahkan sebagai hilang macam penerbangan MH370. Hilang macam tu saja. Ada yang kata kita kena sorok dengan..."

"Woi Khair! Kau ni kalau bercakap memang tak boleh berhenti ya? Mencecer macam murai tercabut ekor. Lepas tu cakap benda bukan bukan pulak tu. Kalau jadi kenyataan nanti macam mana?" Mael bengang.

"Sudah, sudah. Kita kena fikir jalan penyelesaian sekarang ni. Macam mana kita nak duduk dalam hutan dalam keadaan tak ada peralatan yang cukup. Khemah tak ada. Api pun tak ada. Parang pun tak ada." Keluh Ammar.

Dia melihat jam. Lagi beberapa minit masuk waktu maghrib.

"Matilah kita macam ni." Khair mula cemas.

"Kau boleh positif sikit tak? Kau ni buat orang lain lemah semangatlah. Lebih baik kau tutup mulut kau sebelum aku tutup dengan batu ni." Ugut Mael.

Dengan tiba-tiba kawasan itu mula diseliputi asap putih. Pada mulanya hanya sedikit. Kemudian semakin banyak dan tebal. Mereka bertiga duduk rapat-rapat supaya tidak terpisah.

Hampir beberapa minit hanya kelihatan kabut tebal meliputi mereka. Kemudian ia mula menghilang dan keadaan hutan berubah. Kawasan berpokok kini menjadi lapang. Dari kejauhan kelihatan sebuah pondok.

"Aku pasti tadi tak ada pondok ni kan?" Khair cuak.

"Memang tak ada. Kau tengok keadaan sekeliling. Dah lain."

"Aku nak tengok siapa ada dalam pondok tu." Mael angkat punggung.

Ammar tidak membantah. Begitu juga Khair.

Tok! Tok! Tok!

Mael mengetuk pintu pondok yang bersaiz hanya beberapa meter persegi.

Pintu dikuak. Seorang gadis berdiri di muka pintu. Dia mengenakan pakaian gaun tidur labuh berwarna putih polos. Rambutnya lurus dan panjang hingga ke pinggang.

Bulu roma Khair meremang. Dia bersembunyi di belakang Mael.

"Tumpang tanya. Di sini ada rumah tumpangan?" Soalan Mael menyebabkan Ammar berkerut dahi.

'Apa punya soalanlah... kau ingat ini bandar?' Getus hati Ammar.

Gadis itu menggeleng.

"Awak tahu jalan keluar dari kawasan ini? Kami tersesat." tanya Mael lagi.

Gadis itu menggeleng lagi.

"Boleh kami tumpang berehat di sini? Dah jauh kami berjalan. Kami letih, lapar dan haus." Selamba rayuan Mael.

Gadis itu memandang mereka bertiga. Kemudian pintu dikuak luas. Mereka masuk.

Keadaan pondok itu begitu ringkas. Tiada perabot atau perhiasan. Hanya sebuah almari kayu, meja makan dan beberapa buah kerusi. Ada sebuah bilik kecil. Dapur dan ruang depan bercantum.

"Awak tinggal sorang di sini?" tanya Mael.

Lama baru gadis itu menjawab. "Mak dan ayah ke bandar. Esok baru balik."

Kemudian dia ke dapur dan kembali bersama air kosong dan ubi rebus.

Kerana kelaparan, mereka membaham ubi rebus tanpa kuah pencicah dengan lahap sekali.

Ammar sempat mengamati raut wajah gadis itu. Rupanya agak menyeramkan, tetapi di wajah itu ada riak duka yang cuba disembunyikan.

"Di sini ada letrik?" tanya Khair.

Gadis itu geleng.

"Air? Tandas?"

"Belakang ada perigi. Tandas pun." Ringkas jawapannya.

Kerana keletihan mereka berehat di lantai ruang tamu.

…bersambung

Bab akan datang:
Siapa pula gadis yang menyeramkan itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience