Chapter 29

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 29

Ammar buntu. Namun perasaannya kuat mengatakan Mael telah buat kesilapan besar yang akan menghancurkan hidupnya. Dengan terperangkap di dalam dunia yang misteri ini.

Kata-kata Khair menyebabkan dia rasa terdesak sebelum tiba masa yang tiada patah balik lagi.

Nirmala mula membaca mantera seperti yang diajar oleh Juanita.

Garis cahaya berbentuk bintang mula menyinar di bawah tapak kaki mereka berdua. Angin mula bertiup dan bertukar menjadi angin pusar di sekeliling mereka. Kesan angin itu juga dapat dirasakan oleh Ammar dan Khair.

"Ammar, macam mana ni?"

Kata-kata desakan Khair menyebabkan Ammar beremosi. Dengan sekelip mata satu idea singgah di kepalanya.

Dia meluru masuk ke dalam lingkaran angin pusar yang terang benderang dengan cahaya kuning di tanah. Dengan sekuat hati dia menolak Mael keluar.

"Ammar, apa yang kau buat ni?" Mael tergamam.

"Aku tak boleh biarkan kau musnahkan hidup kau."

"Tapi kau yang menjadi galang gantinya." Mael mula terasa bersalah.

"Tak apa. Aku lakukan demi untuk menyelamatkan orang lain. Ini adalah pengorbanan yang terpaksa aku buat."

Mael cuba masuk ke dalam lingkaran semula, tetapi angin sudah semakin kuat dan dia terasa seperti ditolak keluar oleh pusaran angin.

"Ammar!" Mael hilang ikhtiar. Dia hanya mampu melihat Nirmala dan Ammar di dalam lingkaran.

Angin menjadi bertambah kuat seperti ribut.

"Ada sesuatu yang tak kena. Dulu tak macam ni." Nirmala rasa pelik.

Mael dan Khair terpaksa berpaut pada sebuah sebatang pokok kayu berhampiran. Mereka terasa melayang dek angin yang terlalu kencang. Sinaran cahaya kuning itu begitu menyilaukan hingga mereka terpaksa memicingkan mata.

Ammar dan Nirmala sudah tidak jejak ke bumi . Mereka terapung beberapa kaki dari paras tanah.

Keadaan angin ribut dan cahaya yang menyilaukan berterusan hingga hampir lebih satu minit. Akhirnya angin semakin reda dan cahaya semakin malap.

Perlahan-lahan Ammar membuka mata. Dia melihat Nirmala yang terbaring lesu. Tiada lagi rantai batu hijau di leher gadis itu.

Dengan rasa sayu Ammar mencapai bahagian lehernya. Dia tahu kini dia sudah menjadi mangsa sumpahan pondok di pinggir hutan.

'Tak apalah. Sekurang-kurangnya Mael dan Nirmala bebas dari cengkaman tempat ini. Semoga pemgorbanan aku ini tidak sia-sia.' Ammar cuba menepis rasa sesal yang sesekali bertandang. Mungkin ini takdir yang terpaksa ditelan walaupun pahit.

Ammar terasa pelik. Puas dia meraba ke bahagian leher, tetapi tiada kalung dengan batu hijau di situ.

"Rantai tak ada di leher awak atau saya," Kata-kata Nirmala memberi kepastian kepada apa yang sedang Ammar fikirkan.

Ketika itu mereka mula lihat keadaan sekeliling. Semuanya telah berubah. Tiada lagi lingkaran batu. Begitu juga pondok kecil. Yang ada hanyalah kawasan lapang di pinggir kampung. Mael dan Khair terpegun berhampiran sebatang pokok, sebelum mereka meluru ke arah Ammar dan Nirmala. Kelihatan seorang pekebun dan isterinya sedang memerhatikan mereka.

"Sumpahan dah berakhir." Kata Nirmala.

"Bagaimana?" Khair garu kepala yang tidak gatal.

"Pengorbanan... mungkin itu jawapannya." Ammar buat deduksi.

"Pengorbanan kau untuk selamatkan aku." Mael mula faham.

"Bermakna tempat ini telah kembali seperti sedia kala. Dan Nirmala sudah bebas." Ammar tersenyum.

Sukar untuk Ammar gambarkan perasaannya. Dia sudah mula tertarik dengan gadis itu semenjak kali pertama melihat wajahnya. Dan kini perasaan itu semakin berbunga apabila melihat Nirmala bebas.

"Anak-anak semua selamat?" tanya pak cik pekebun yang menghampiri mereka. Riak wajahnya masih menggambarkan keadaan terpinga-pinga.

Mael dan Khair kemudiannya melayan pak cik itu dan isterinya berbual tentang kejadian yang baru berlaku.

"Awak nak ke mana lepas ini?" tanya Ammar.

"Tak tahu. Mungkin tinggal di kampung ni. Saya sudah lama terperangkap dalam masa. Saya dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ini." Sayu nada Nirmala.

"Saya akan datang ke sini lagi nanti untuk jenguk awak. Kalau ada masalah, awak hubungi saya. Nanti saya beri nombor telefon." Ammar begitu bersungguh-sungguh mengambil tahu tentang Nirmala.

"Terima kasih. Kalau bukan kerana awak, saya masih terperangkap dalam dunia penjara masa. Saya tak akan lupakan awak dan segala yang telah awak lakukan." Nirmala tertunduk malu.

Ammar sukar melepaskan pandangan untuk menatap wajah Nirmala. Wajah polos seorang gadis pingitan yang indah. Bersih seindah namanya, Nirmala.

"Wo! Kau macam herolah bro!" Khair memaut bahu Ammar dengan tiba-tiba, mematikan babak romantik dia dan Nirmala.

"Macam?" Mael tak setuju.

"Apasal pulak?" Khair tak faham.

"Ammar bukan macam hero. Dia memang herolah bro!"

Ketiga rakan itu berpelukan denga tawa yang lantang. Nirmala hanya tersipu-sipu melihat telatah mereka.

KES 1:
IDENTITI SEBENAR

Hazrel menggetap bibir mendengar kisah Zanariah dengan rasa geram.


…bersambung

Bab akan datang:
Apa yang berlaku dengan Zanariah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience