Chapter 2

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 2

Misai dan janggutnya sudah lama tidak dicukur dan nampak begitu menjijikkan.

Lelaki itu menadah tangan meminta sedekah.

Razali rasa tertekan untuk melayan klien di telefon. Pengemis itu pula menadah tangan di depannya dengan bau hamis yang amat memualkan.

Sekiranya bukan kerana panggilan telefon itu, tentu dia akan mencapai dompet dan menghulurkan sekeping not hijau atau beberapa keping not biru. Tetapi dia terlalu obses melayan klien di telefon.

Akibatnya dia menghalau lelaki itu dengan isyarat tangan. Dia melihat lelaki itu kumat-kamit berkata sesuatu, tetapi dia tidak dapat dengar dengan jelas. Dia hanya dapat mengagak kata-kata yang mungkin dilafazkan.

"Aku sumpah kau!"

Minda Razali mula membuat deduksi walaupun dia masih cuba menyangkal.

'Mustahil ini semua disebabkan oleh lelaki pengemis tua itu.'

Baby, my sweet baby
You're the one

Tangan Razali bergendang dengan kuat dan kencang.

'Ah! Ini semua adalah sekadar kebetulan. Mustahil semuanya disebabkan lelaki tua tadi.'

Jalan begitu gelap tanpa cahaya lampu jalan. Ditambah pula dengan jalan yang tidak rata dan cerun berbukit.

Baby, my sweet baby
You're the one

Adakala lagu yang berkumandang itu menjengkelkan Razali. Lagu dengan lirik sama yang diulang-ulang dan diselang seli dengan rap oleh Pitbull. Jika bukan kerana rentak dengan alunan bass dan akustik yang mengancam, tentu dia sudah menukar lagu lain.

Tetapi kali ini dia sudah mula bosan. Terus dia menekan butang NEXT untuk menukar lagu lain.Hanya seketika dia mengalih pandangan untuk mencari butang biru itu dalam keadaan malam gelita dengan hanya simbahan cahaya lampu depan.Jalan gelap dan berbukit menyebabkan dia tidak sedar sebuah lori begitu hampir di depannya. Lori yang cuba memotong sebuah kereta kancil yang dibawa begitu berhati-hati oleh pemandunya.

Razali memulas stereng. Nasibnya tidak sebaik semasa dia mengelak kucing tadi. Kali ini dia terbabas di kawasan semak tepi jalan sebelum menuju tepat ke arah pohon beringin sebesar pemeluk.

Baby, my sweet baby
You're the one

Razali tidak bergendang lagi.

Kepalanya terhentak di stereng dengan cecair merah likat mengalir dalam pekat malam yang hanya diterangi oleh cahaya lampu kereta yang masih menyala.


******

Papan tanda kegiatan ko-korikulum Kolej Angsana diserbu pelajar hari ini.

"Apa kecoh-kecoh ni?" tanya Arjun, tanya pelajar India yang bertubuh agak gempal.

"Kolej nak tubuhkan pasukan futsal." Jawab Syed, pelajar yang berada di depannya.

"Futsal?" Lim garu kepala yang tak gatal.

Ketika itu beberapa orang pelajar tiba di situ.

"Ada berita baru?" tanya Hazrel.

"Wah, ada tryout futsal. Aku nak join." Ammar teruja.

"Alah, kalau tubuhkan pun sia-sia je. Kolej ni bukan pernah menang apa-apa pertandingan pun. Buat penat." Rungut Khair.

"Kau ni Khair, tak habis-habis dengan sikap pesimis kau tu. Cuma positif sikit. Jangan tersangkut di takuk lama." Tegur Hazrel.

"Aku beritahu perkara yang benar. Dah berapa banyak pertandingan kolej sertai, tapi satu habuk pun tak ada yang menang. Bola sepak, bola jaring, ping pong, badminton, semua bungkus. Suku akhir pun tak pernah menang. Kuiz, debat, reka cipta, satu piala pun tak ada. Hadiah saguhati pun tarak!" Berjela penerangan Khair.

"Hish, aku tak nak pergilah. Kalau terpilih susah nanti. Mana nak bagi komitmen belajar, futsal lagi." Jojo mengubah topik.

"Komitmen konon. Cakaplah yang sebenarnya kau takut kan?" Usik Aqim.

"Takut? Takut apa?" Jojo cuba membela diri.

"Kau takut ada budak yang main kasar. Silap haribulan kau jadi mangsa. Betul tak?"

"Mana ada. Aku tak takutlah."

Dengan selamba Jojo menulis namanya di atas kertas yang tertampal di papan tanda.

"Wah, tak boleh jadi. Jojo dah join. Aku pun nak jugalah." Hazrel menulis namanya pula.

"Sia-sia aje korang masuk. Buat penat, bukannya menang pun." Khair tega dengan sikapnya.

Aqim menonyoh kertas dengan dua nama.

"Kau tulis nama siapa Qim?" tanya Hazrel.

"Nama aku dengan nama Khair."

"Kau tulis nama aku apasal?" Khair bengang.

"Aku saja nak kenakan kau. Kau terlampau negatif sangat. Semua tak kena, Semua tak elok. Aku cabar kau. Kalau kau masuk team futsal ni, aku yakin kau akan nampak sesuatu yang positif. Bukan benda negatif seperti dari pandangan mata kau tu."

Khair terdiam. "Okey, aku join. Tapi aku pasti sangkaan kau tu salah. Dan aku betul."

"Kita tengok saja nanti." Selamba jawapan Aqim.

Ammar menggeleng sebelum menenyeh namanya juga. "Apalah korang ni, asyik nak bertekak aje. Nabi dengan isterinya Siti Aishah pun beriadah tau. Sukan bagus untuk kesihatan."

"Amboi, bukan main mat surau kita ni bercerita pasal nabi dan isteri. Yang dia tu, isteri pun belum ada lagi. Usahkan isteri, makwe pun tak ada." Usik Mael, mat rock kolej.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah pertandingan kali ini akan Berjaya mereka menangi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience