Chapter 9

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 9

Aqim terdiam. Akhirnya dia bersuara. "Okey, aku join."

Mereka melepak di warung cendol tidak jauh dari kawasan kolej.

"Kau rasa apa peluang kita untuk menang esok?" Jojo nampak gusar.

"Peluang sentiasa ada. Yang penting usaha kita. Kalau ada rezeki menanglah." Jawab Ammar.

"Tapi bila aku dengar coach cerita tentang pasukan yang kita akan lawan esok, aku rasa macam tak sedap hatilah. Masa suku akhir tu aku rasa nasib kita baik. Kali ini aku tak berapa yakin." Khair dengan sikapnya seperti biasa.

Mael menunjuk isyarat tangan seperti ingin menjentik. "Khair, kau nampak ni? Lupa apa yang aku cakap dulu?" Ugutnya.

Khair buat tak nampak.

"Tak penting itu semua. Yang penting kita main sebagai satu pasukan yang mantap. Satu hati dan lawan habis-habisan." Syed menyampuk.

"Hazrel, kenapa diam aje? Kau yang beria ajak kami keluar, tiba-tiba kau yang senyap." Arjun perasan perubahan sikap kapten mereka.

Hazrel cepat-cepat ubah mood ceria. "Eh, mana ada. Perasaan kau aje."

"Cakap ajelah. Kitakan satu pasukan sekarang ni. Mungkin kami boleh tolong." Kata Arjun lagi.

Aqim buat muka tak berminat.

Hazrel diam sebentar sebelum bersuara, "Aku ada masalah keluarga kat rumah."

"Masalah apa?" tanya Lim.

"Entahlah. Mak aku macam buang tebiat. Aku risau kalau ada apa-apa yang tak baik akan berlaku pada ayah aku."

"Pelik. Mak kau buang tebiat, tapi kau risau pasal ayah kau?" komen Lim.

"Kalau rasa tertekan, lepaskan aje jawatan ketua pasukan pada orang lain. Senang je." Sindir Aqim.

"Kau nak sangat jadi kapten? Okey, esok lepas game aku beritahu Pak Baha. Puas hati?" Hazrel sentap dengan keadaan emosi yang tak stabil.

"Kau ni tak habis-habis buat perangailah Aqim. Bukan nak tolong kawan." Tegur Syed.

Sejurus itu handphone di koceknya berbunyi. "Alamak! Mak Datin ni lagi. Malas betul aku nak melayan." Rungutnya.

Arjun ketawa. "Kau jawab ajelah. Kalau dah ada sugar mommy, kami boleh tumpang senang."

Rakan-rakan lain ketawa, termasuk Hazrel.

"Kau ni ada je idea nak kenakan aku kan?" Syed termalu.

Dalam riuh bergurau, mereka tidak sedar seseorang sedang menghampiri mereka. Melihat kelibat insan itu, mereka semua terdiam. Seolah-olah suara mereka lenyap buat seketika.

"Anak-anak, boleh tolong pak cik?" Lelaki itu menadah tangan yang sudah kurus kering dengan kuku panjang dan terselit daki dan tanah. Amat memualkan.

Masing-masing tergamam melihat lelaki berambut putih menggerbang dan kusut masai. Janggut dan misainya lama tidak dicukur dan nampak kotor dengan debu dan makanan yang sudah berhari-hari terselit di situ. Mukanya comot dengan gigi berkarah.

Aqim menutup mulut menahan muntah.

Tanpa berlengah Ammar mencapai dompet dan menghulurkan wang kertas seringgit kepada lelaki itu. Pengemis itu menunggu kalau-kalau ada yang ingin menghulurkan duit lagi. Kemudian dia berlalu, "Terima kasih."

Cara berjalannya yang perlahan dan tidak berkasut dengan kaki kotor amat menjengkelkan. Mereka masih terdiam selepas lelaki itu pergi. Tergamam.

"Fuh! Nasib baik kau bagi duit tadi Ammar." Lim lega.

"Aku tak sampai hati tengok dia." Jawab Ammar.

"Tak sampai hati atau sebab kau takut terkena sumpahan macam Lim beritahu hari tu." Sampuk Mael.

"Betul juga kan? Agaknya kalau kita tak bagi apa-apa tadi mesti dah terkena badi dia." Jojo kecut perut.

"Esok nak game pulak tu. Mesti ada apa-apa yang terjadi. Entah-entah ada yang patah kaki. Atau kita kena belasah 10-0. Atau..." Khair membebel.

"Khair, nampak ni?" Mael buat isyarat ingin menjentik.

Terus Khair diam.

"Lain kali kita jangan bagi apa-apa. Aku takut dia asyik cari kita kalau berkumpul macam ni. Naik kepala dia nanti." Hazrel beri pendapat.

"Eh, kita kena rehat lebih sikit malam ni. Jom balik!" Aqim angkat kaki.

Rakan-rakan lain turut serta.

*******

Hazrel cemas. Masa tinggal hanya beberapa minit saja lagi sebelum permainan tamat. Pasukan Kolej Tristan memang bukan lawan yang calang-calang. Kemampuan Kolej Angsana bertahan dengan seri satu sama memang di luar jangkaan.

Permainan kali ini menampilkan Hazrel, Aqim, Ammar dan Mael. Arjun kekal sebagai penjaga gol. Bola dari pasukan lawan bolos apabila Mael berjaya menggelecek bola dari penyerang pasukan lawan. Dia cuba menghantar bola kepada Aqim untuk membuat serangan, malangnya bola bolos kepada pasukan lawan.

Hazrel mula putus asa apabila masa tinggal beberapa seminit lebih. Mael berjaya mencilok bola dan menghantar kepada Hazrel. Hazrel sedar halangan oleh pihak lawan dan ingin mengajukan bola kepada Aqim sekali lagi, tetapi bola berjaya dipintas.

Pasukan lawan membuat kesilapan kerana bola berjaya dipintas semula oleh Mael.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah mereka akan memenangi perlawanan ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience