Chapter 27

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 27

Mastura mula curiga dengan tujuan Zanariah membawanya ke rumah terpencil ini. Wanita itu bukan sekadar ingin menunjukkan tempat dia dibesarkan, tetapi dia mungkin ada rancangan gelap.

Kepala Mastura mula terasa berpusing.

"Sebab itulah aku campurkan dadah dalam minuman kau. Supaya aku dapat pastikan tiada siapa yang akan menghalang rancangan aku ini. Selamat beradu Mas. Selamat beradu buat selama-lamanya."

Fikiran Mastura mula melayang dengan mata yang dirasakan terlalu berat. Dia cuba melawan tetapi gagal. Akhirnya dia membiarkan dirinya hanyut dalam lena.

Lena buat selama-lamanya.


******

KES 2 :
KISAH SILAM MAWAR

Mawar hanya memerhatikan tetamu yang berkunjung ke rumah. Masing-masing sedang asyik melayan adik kembarnya, Murni. Murni dilahirkan beberapa minit selepas dirinya.

'Kenapa semua layan Murni? Kenapa mereka tak layan aku? Adakah disebabkan muka aku tak comel seperti dia?' Hati Mawar yang masih rawit berbicara.

Perasaan itu sering membuatkan dia jauh hati dan tidak bersemangat untuk bergaul. Perwatakan Murni yang ceria dan ligat membuatkan perhatian lebih tertumpu kepadanya berbanding Mawar.

Akibatnya dia akan memencilkan diri, jauh dari orang ramai. Perasaan itu sering membuat dia keliru.

'Semua orang sayang Murni. Tak ada sesiapa yang sayangkan aku. Semua bencikan aku. Semua orang jahat.' Mawar membuat deduksi dengan pemikiran yang masih mentah.

***

"Pak Hamid, kenapa letak racun rumput bersepah-sepah. Bahaya!" Marah Suraya, ibu Mawar dan Murni.

"Saya minta maaf puan. Saya alihkan segera."

"Pak Hamid tahu apa akibat kalau racun ni termasuk dalam barang makanan bukan? Orang boleh mati Pak Hamid. Kita semua sedang sibuk dengan persiapan hari jadi anak-anak saya hari ini. Pak Hamid jangan rosakkan majlis ini." Suraya terus berleter.

"Saya faham puan. Saya minta maaf sekali lagi." Dengan segera lelaki itu berlalu sebelum terpaksa mendengar sambungan ceramah percuma majikannya.

Mawar hanya memerhati dan mendengar perbualan ibunya dan tukang kebun dengan khusyuk.

***

Mawar mengurung diri di dalam bilik. Sudah beberapa kali ibu dan ayahnya masuk dan memujuknya keluar tapi dia enggan.

Segalanya sudah dirancang dalam akalnya yang kelihatan cetek pada pandangan manusia.

Sebelum majlis bermula dia sudah mencampurkan racun rumput ke dalam minuman. Kemudian dia bersembunyi di dalam bilik dengan alasan merajuk.

Suasana riuh majlis tiba-tiba bertukar menjadi sunyi sepi. Mawar keluar untuk melihat. Mayat bergelimpangan di merata ruang tamu. Darah mengalir keluar dari mulut semua orang. Termasuk ayah, ibu dan Murni.

Dia berlari semula ke dalam bilik dan berbaring, menunggu ketibaan polis ke rumah mewah itu.

'Aku tak payah cemburu dengan Murni lagi. Dia sudah tak ada. Aku tak payah rasa cemburu lagi bila semua orang layan Murni. Sekarang semua sudah tak ada lagi.'

Renungan Mawar kosong, sekosong jiwanya yang masih mentah tetapi sudah mampu mengatur rancangan gelap sebegitu.

***

Sudah bertahun-tahun Mawar menghabiskan masa di rumah asuhan anak-anak yatim. Kini dia sudah dewasa dan harta peninggalan keluarga sudah diwariskan kepadanya.

Mawar memerhati rumah yang telah lama ditinggalkan. Dia melewati segenap ruang rumah itu dengan memori yang hanya memeritkan. Perasaan cemburu melihat Murni dilayan dengan mesra dan penuh tumpuan amat menyakitkan dada. Perasaan itu menyebabkan rasa benci kepada Murni dan semua orang.

'Aku tak akan biarkan masa silam merosakkan hidup aku lagi. Aku akan bina hidup baru dengan kekayaan yang aku ada sekarang. Aku akan jadi lebih cantik daripada Murni. Biar semua lelaki akan tertarik dengan aku. Aku akan kahwini mereka semua dan kikis setiap sen harta mereka.' Rancangan gelap menguasai minda Mawar yang sudah rosak semenjak dia meracun semua yang hadir di majlis hari jadinya.

'Aku akan gunakan segala kekuasaan yang ada untuk laksanakan rancangan aku. Walau ilmu hitam sekalipun. Aku tak sanggup rasa cemburu lagi. Kali ini biar aku yang dicemburui. Sesiapa yang cuba menghalang akan aku hapuskan dari muka bumi ini.'

Senyuman sinis terukir di bibirnya dengan hati yang sudah dilanda kesesatan.

***

Mata Mak Esah sudah berkaca setelah dia selesai bercerita.

"Mawar telah laksanakan segala rancangan jahatnya. Hingga dia sanggup mengamal ilmu hitam untuk kekal muda remaja. Walaupun usianya sudah lebih seratus tahun. Hasil perkahwinannya, dia dikurnia seorang anak bernama Aishah. Anaknya terpaksa melihat dengan mata kepalanya sendiri segala perbuatan ibunya. Namun dia tidak berdaya menghalang."

Mak Esah mula mengesat air mata dengan hujung lengan baju yang lusuh.

"Aishah? Bermakna… Mak Esah adalah anak Mawar? Dan Ibu Mariani adalah Mawar?" Lim membuat deduksi sendiri.

Mak Esah mengangguk lesu.

Rakan bertiga saling berpandangan.

Mak Esah melihat artikel yang berselerak di atas meja.

…bersambung

Bab akan datang:
Apakah yang terjadi dengan Mawar akhirnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience