Chapter 34

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 34

"Jaga diri awak. Ada rezeki kita jumpa lagi." Ammar semakin terasa sukar meninggalkan Nirmala.

Nirmala hanya mengangguk. Kali ini dia melihat wajah Ammar. Renungan mata beberapa saat itu sudah cukup untuk Ammar simpan sebagai khazanah dalam kotak mindanya. Buat peneman ketika rindu terhadap Nirmala mula menyapa.

"Assalamualaikum," Ammar senyum sebelum meninggalkan Nirmala.

"Waalaikumsalam." Jawab Nirmala.

Semasa mereka mengekori Pak Murad keluar dari hutan, Khair merapati Ammar. "Kau dengan Nirmala...?"

Ammar senyum lebar. Dia faham apa yang ingin ditanya oleh Khair, walaupun soalannya tergantung.

Mael pula memberi isyarat mata, ingin kepastian.

"Sibuklah korang berdua ni. Kalau ada pun apa salahnya kan?" Ammar rimas.

"Tapi kau sedar tak? Kau bercinta dengan orang yang selayaknya kau panggil nenek atau moyang."

"Sebab itu orang kata cinta itu buta kan?" Ammar berseloroh.

Mael ketawa kecil. Khair geleng.

Hampir sejam mereka menapak keluar hutan, akhirnya mereka tiba di tempat bas terkandas. Pak Maun sedang menunggu di situ. Kereta Encik Johar ada. Dia dan Pak Baha sedang bersama Pak Maun.

Encik Johar adalah yang pertama sekali ternampak mereka.

"Kamu bertiga okey?" tanya Encik Johar.

"Alhamdulillah. Kami tak apa-apa. Pak Murad tolong tunjukkan jalan balik ke sini." Jawab Ammar.

Pak Murad bersalaman dengan Encik Johar dan yang lain.

"Yang lain belum balik?" tanya Khair.

"Syed, Lim dan Arjun ada dalam bas. Tertidur kepenatan. Kamu semua pun alami benda pelik macam mereka?" tanya Encik Johar.

"Benda pelik?" Mael syak.

"Kata Syed dia jumpa banglo dalam hutan. Ada perempuan cantik tinggal dengan perempuan tua. Penghuni rumah tu amalkan ilmu hitam." Pak Baha ketawa sinis.

"Pak Baha tak percaya?" Tanya Ammar.

"Saya syak mereka kena main dengan orang bunian. Mana ada banglo dalam hutan macam ni. Pak Murad ada jumpa banglo kat sini?" Pak Baha tetap dengan pendiriannya.

Pak Murad hanya menggeleng tanpa jawapan.Ammar, Mael dan Khair saling berpandangan.

"Tengok, Pak Murad sendiri tak pernah jumpa."

"Saya memang tak pernah jumpa. Tapi saya pernah dengar kisah tentang banglo orang kaya zaman British dulu. Selama ini saya ingatkan cerita tu buah mulut orang aje. Tapi kalau budak-budak tu jumpa, tak mustahil ia wujud." Pak Murad membela.

"Sebenarnya budak-budak ni pun baru lepas alami sesuatu. Mereka berjasa menyelamatkan seorang budak perempuan."Kata-kata Pak Murad menyebabkan Pak Baha terkedu.

"Hutan ini menyimpan seribu satu misteri. Hanya yang tertentu saja yang berjaya membongkar rahsianya.... Saya minta diri dulu." Pak Murad mula bersalaman dengan mereka sebelum beredar. Pak Baha masih tergamam selepas mendengar penerangan lelaki itu tadi.

"Hazrel dengan geng dia mana?" tanya Ammar.

"Hazrel dan Jojo dah balik dengan ayah Hazrel, lepas beri keterangan kepada polis. Aqim masuk hospital. Kaki dia patah. Hazrel dah telefon saya. Dia pun kena macam kamu semua. Cuma cerita dia lagi pelik."

Mereka bertiga khusyuk mendengar.

"Dia beritahu saya dia dah tahu identiti ibu dia yang sebenar. Selama ni manusia yang dia anggap ibu kandung dia adalah seorang penyamar."

Ammar mengeluh. Apa yang mereka alami benar-benar pelik. Pengalaman ganjil seperti melangkah ke alam Twilight Zone. Kejadian-kejadian ini bukan mimpi, sebaliknya pengembaraan ke alam mistik berpunca daripada satu kejadian. Sumpahan lelaki pengemis tua.

"Kau rasa ini semua betul-betul sumpahan pengemis tua tu?" Khair serba salah.

Mael dan Ammar tidak menjawab.

Ammar akhirnya bersuara, "Aku berpegang pada kata-kata Pak Murad tadi. Zahirnya nampak seperti akibat sumpahan lelaki pengemis. Tapi sebenarnya ini semua takdir yang kita terpaksa lalui. Kenapa? Aku pun tak tahu. Tapi aku yakin semuanya ada maksud yang tersirat. Sesuatu yang sukar kita faham dengan logik akal."

"Aku setuju. Kalau bukan kerana kita tersesat dalam hutan, kita tak akan dapat rungkai misteri yang tersimpan di sini. Sekarang kita dah dapat pecahkan sumpahan pondok puaka. Hazrel tahu apa sebenarnya yang berlaku pada ibu dia. Syed dengan yang lain jumpa banglo dalam hutan ni." Khair berkongsi buah fikirannya.

Mael hanya mampu mengangguk setuju. Ammar segera menghampiri Encik Johar.

"Apa kita nak buat sekarang Encik Johar?" tanya Ammar.

"Pak Maun baru lepas selesaikan masalah tayar pancit lepas ada mekanik datang tadi. Lepas ni kamu semua balik naik bas ikut Pak Maun. Kita singgah makan dulu."

"Eh, terlupa nak tanya. Apa yang terjadi pada Pak Maun ya?" tanya Jojo.

Pak Maun ketawa. "Aku tersesat. Puas aku cari jalan tak jumpa. Lama-lama aku sampai juga ke sini, tapi semua orang dah tak ada. Cuma aku tak ada jumpa benda-benda pelik macam korang semua."

…bersambung

Bab akan datang:
Dapatkah mereka semua tiba ditempat yang ingin dituju?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience