Chapter 18

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 18

"Habis macam mana sekarang ni?" Jojo panik.

Hazrel memandang skrin telefon. Masih tiada line di kawasan itu.

"Kita tak ada pilihan lain. Baik kita tunggu dalam rumah ni. Daripada sesat." Jawab Hazrel selamba.

"Dalam rumah ni? Kau gila?" Aqim protes walaupun dia sedar itulah satu-satunya pilihan yang mereka ada.

"Hmm... nampaknya kalau tak ada yang cari kita, terpaksalah kita bermalam di sini... dalam rumah yang tak ada letrik ni." Keluh Jojo.

"Aku tak kisah, perkara kecil aje. Lainlah dengan Rel, anak Dato' yang dah biasa tinggal dalam rumah banglo mewah tiga tingkat." Perli Aqim.

Hazrel masih mampu mengekalkan perasaan tenang.

"Rumah macam ni kecil, tak selesa, tak ada aircond, kotor dan ji..." Kata-kata Aqim dipintas oleh Hazrel.

"Tak payahlah kau nak perli aku. Jangan buat andaian sebab kau tak tahu apa-apa tentang hidup aku!" Hazrel sentap.

"Kenapa dengan hidup kau?" Jojo cuba mencungkil.

Hazrel melepaskan keluhan panjang.

"Zahirnya orang nampak aku hidup mewah. Tapi hakikatnya aku menderita dalam diam. Aku beruntung kerana masih ada mak dan ayah, tapi aku tak dapat rasa kasih sayang mereka sepenuhnya."

"Apa yang kau merepek ni?" Aqim tidak faham.

"Nama aje aku ada mak, tapi macam ada yang tak kena dengan dia. Aku tak rasa macam dia mak aku. Susah aku nak terangkan."

"Tak baik kau ada perasaan macam tu dengan mak kau." Celah Jojo.

"Aku tahu. Sebab tu aku ingin sangat cari punca sebenar hubungan kami bukan macam anak beranak. Tapi sampai sekarang aku buntu."

"Pelik juga ya? Kau tak pernah jumpa pakar psikologi." Aqim mula membuka ruang dalam hatinya setelah mendengar tentang kehidupan sebenar Hazrel. Yang selama ini amat dicemburui kerana kelebihan yang dia lihat.

"Kalau jumpa pun apa yang dia boleh buat? Aku dapat rasakan ada rahsia yang masih belum aku ketahui. Kalau ia terbongkar, baru aku tahu apa yang sebenarnya berlaku."

"Wah, ini dah macam cerita penyiasatan." Komen Jojo.

"Aku nak berehatlah. Penat juga menapak dalam semak hutan macam ni." Aqim bersandar selesa di kerusi sofa yang sudah lama ditinggalkan.

"Aku pun." Jojo memejamkan mata.

"Tak apa. Biar aku berjaga. Manalah tahu kalau ada orang datang ke tempat ini.". Hazrel menawarkan diri.

Sinar matahari masih kelihatan melalui bilah-bilah kaca tingkap Naco yang sudah berhabuk. Rasa hangat dalam rumah kecil itu bercampur baur dengan bau hapak dan kulat kerana lama bertutup.

Entah mengapa mata Hazrel turut mengantuk, walaupun telah banyak masa dihabiskan dengan tidur dalam bas.

Lena datang menyapa dengan sebuah mimpi.

KES 2 :
BANGLO ANTIK PUTIH

Kawasan yang dilalui oleh Syed dan gengnya tidak rata. Mereka mendaki dan menuruni cerun kawasan berbukit itu sebelum tiba di banglo usang yang tersergam. Pagar besi berwarna putih yang merintangi laluan ke banglo itu sudah mula berkarat di sana sini.

"Kau rasa ada orang tinggal di sini?" tanya Arjun.

"Entah. Nak tahu kenalah ketuk pintu." Syed buat selamba.

"Hei Syed! Jangan berani sangatlah. Kita tak tahu apa ada dalam rumah tu." Lim protes.

Namun sudah terlambat. Syed sudahpun menarik selak pintu pagar dan membukanya.

Kreeeeeek!

Bunyi pagar yang sudah lama tidak disapu gris di bahagian penyambung memecah kesunyian.

Belum sempat Syed mengetuk, pintu depan sudahpun dibuka. Lim dan Arjun bersembunyi di belakang Syed.

Wajah seorang perempuan tua tercongok dari pintu yang dikuak sedikit. Rambutnya kusut masai dan beruban. Mukanya berkedut seribu dengan gigi yang sudah rongak. Persis nenek kebayan atau ahli sihir jahat dalam kisah dongengan.

"Apa kau nak?" Suara kasar perempuan tua itu seperti berbisik.

"Kami nak tumpang tanya. Ada nampak tak lelaki yang lalu di kawasan ini? Kami panggil dia Pak Maun."

"Pergi! Pergi dari sini! Jangan datang balik." Perempuan tua itu mengibas-ngibaskan tangan dengan gaya seperti sedang menghalau lalat.

Syed dan yang lain sudah mula melangkah pergi apabila mereka terdengar suara di balik pintu.

"Siapa yang datang tu Mak Esah? Jemputlah mereka masuk." Suara wanita yang merdu kedengaran.

"Hish!... Tengok apa dah jadi. Sekarang semuanya dah terlambat." Rungut perempuan tua itu sambil menjegil ke arah mereka bertiga.

Pintu dikuak luas dan mereka melangkah masuk.

Keadaan di luar rumah sedikitpun tidak menggambarkan keadaan di dalam. Hiasan antik menghiasi hampir keseluruhan ruang dalaman rumah. Permaidani yang sudah nampak uzur tetapi bersih dan masih cantik. Perabot kayu jati dengan kusyen yang masih dipelihara dengan elok. Di dinding tergantung gambar seorang wanita jelita bersanggul tinggi memakai kebaya ketat.

…bersambung

Bab akan datang:
Siapakah perempuan tua dan yang jelita itu? Adakah mereka sudah lama menetap di situ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience