Chapter 6

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 6

Pak Baha memotong pendek penerangan berjela-jela pelajar itu.

"Itulah masalah kamu semua. Kamu bermain dengan tujuan dan matlamat masing-masing. Tak ada kesatuan untuk mengejar matlamat yang sama."

Encik Johar berdiri tegak mendengar penerangan Pak Baha yang begitu memberangsangkan.

"Kamu sepatutnya bermain seperti semut. Ada kerjasama. Seperti askar. Berjuang habis-habisan. Sebagai angin di dalam bola. Menahan keadaan bola supaya bulat. Satu matlamat."

Masing-masing tercengang mendengar kata-kata jurulatih mereka.

"Selagi kamu belum mencapai matlamat ini, jangan harap kamu dapat bermain sebagai satu pasukan. Jauh sekali untuk menang."

Satu demi satu wajah-wajah itu diteliti oleh Pak Baha.

"Sebagai individu, kamu adalah insan yang berbeza. Berlainan perwatakan, berlainan minat, berlainan kecenderungan, berlainan matlamat dalam hidup. Tetapi dalam perlawanan, kamu adalah satu pasukan. Satu jersi, satu uniform. Kamu serupa semuanya, seperti semut. Kamu hanya ada satu matlamat. Untuk mengarahkan bola supaya masuk ke gawang pasukan lawan. Untuk mendengar jeritan gol oleh penyokong kamu yang sedang menonton. Untuk menembusi pertahanan lawan walau dengan apa cara sekalipun."

Sunyi sepi bilik persalinan. Hanya kedengaran kata-kata Pak Baha yang membakar semangat mereka.

"Semasa bermain ketepikan matlamat perseorangan kamu. Kamu semua adalah satu. Seperti anggota dalam tubuh badan manusia. Bukan semua boleh jadi kepala. Bukan semua boleh jadi tangan. Bukan semua boleh jadi kaki. Tapi kombinasi semua anggota akan menjadi satu. Menjadi seorang manusia."

Encik Johar tersenyum bangga dengan kata-kata jurulatihnya yang begitu berkarisma.

"Hanya dengan cara ini kita akan berjaya, biar apa kelemahan kita sekalipun. Biar apa kekurangan kita sekalipun, dengan cara ini kita boleh! Dengan cara ini kita apa?"

"Kita boleh." Jawapan kurang bersemangat pasukan.

"Dengan cara ini kita apa?" Suara Pak Baha makin lantang.

"Kita boleh!"

"Kita apa?"

"Kita boleh!" Suara mereka bertambah kuat.Bergema bilik persalinan dengan suara lantang mereka.

Sebelum Perlawanan

Jojo menarik nafas dalam-dalam, kemudian dilepaskan. Dia buat berulang kali.

"Apa kena dengan kau Jojo?" Aqim tak selesa.

"Aku... gemuruh." Jojo kelam-kabut.

"Rileks ah. Ini sekadar permainan aje. Bukan ada apa pun." Syed cuba menenangkan.

"Memang permainan. Tapi aku risau kalau pasukan lawan tu kaki buli. Kalau dia sengaja nak patahkan kaki aku macam mana?"

"Kau ni pun satu Jojo. Risau sangat benda-benda remeh macam tu. Aku rasa kau ni salah lahirlah. Dulu mak kau nak anak perempuan agaknya." Usik Mael.

"Pantang datuk nenek aku orang bergurau macam tu! Aku mungkin penakut, tapi jangan kau ingat aku tak tercabar dengan kata-kata kau." Dengan serta-merta Jojo nampak bersemangat dan bersedia masuk gelanggang.

"Nampak tak? Senang aje kan?" Mael berbisik dengan Syed.

"Memang terror kau ni. Dan tahu suis mana kau nak tekan ya?" Syed ketawa sinis.

Pak Baha menghampiri mereka. "Okey, ini perlawanan pertama kamu. Buat yang terbaik. Kalau atau menang bukan masalahnya. Yang saya mahu kamu bekerjasama sebagai satu pasukan. Satu matlamat. Ketepikan matlamat peribadi kamu. Boleh?"

"Boleh coach!" Jerit mereka semua.

***

Selepas Perlawanan

Hazrel terasa seperti bermimpi. Wisel penamat telah ditiup oleh pengadil menandakan permainan telah tamat. Dia hanya mampu melihat ahli pasukannya melonjak gembira. Dia meneliti lagi dan lagi keputusan permainan. Dia memastikan nama pasukan mereka di atas nombor tiga, bukan nombor dua. Keputusan permainan itu amat mengejutkan.

Dia masih terawang-awang ketika Syed dan beberapa pemain lagi memeluknya.

"Kita menang! Kita menang!" Jerit Syed.

"Hazrel, kenapa dengan kau?" Lim terasa pelik.

"Aku... aku tak percaya kita menang."

"Percayalah sekarang. Kita menang!" Sampuk Arjun.

"Wooohooo! Kita menang wei..." Mael bangga.

"Aku terpaksa akui Qim. Memang betul cakap kau. Aku dapat rasakan tenaga positif mengalir dalam tubuh badan aku sekarang ni." Khair teruja.

Aqim buat muka berlagak.

"Ha ha.. poyo kau ni!" Mael mencelah sambil menepuk bahu Aqim.

"Tapi aku tetap rasakan Hazrel tak jalankan tugas sebagai kapten dengan baik." Komen Aqim.

"Tak jalankan tugas dengan baik? Wei! Kita menang! Itu dah cukup bagus." Syed membela.

Hazrel hanya diam. Dia sedar Aqim tidak akan berpuas hati selagi dia tidak lepaskan gelaran ketua pasukan.

Encik Johar dan Pak Baha turut mendapatkan mereka.

"Tahniah Pak Baha! Tahniah semua! Ini petanda baik. Saya dapat rasakan nasib Kolej Angsana sedang bertukar dengan tertubuhnya pasukan futsal ini." Encik Johar bersuara bangga.

"Saya terpaksa buat pengakuan jujur pada kamu semua. Sebenarnya saya tak sangka langsung kita akan menang. Tapi nampaknya telahan saya meleset." Pak Baha turut nampak bangga.

"Apa lagi Encik Johar, kita celebrate lepas ni." Arjun mengambil peluang.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah ini petanda yang baik untuk pasukan futsal Kolej Angsana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience