Chapter 12

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 12

"Sudah, sudah! Jangan kalut boleh tak? Tak ada apa yang akan terjadi. Malam ini kita nak raikan kejayaan kita, bukan nak risaukan kata-kata orang tua tu. Sekarang siapa nak order cepat. Sebelum aku tutup offer. Siapa lambat bayar sendiri... Bang! Nak tambah order lagi!" Hazrel cepat-cepat mengalih perhatian mereka.

Mereka mula membuat pesanan dengan pelayan kedai yang sedang mencatit. Namun masih ada yang terfikir-fikir akan kata-kata sumpahan pengemis tua tadi.

******

Sesi latihan hari ini lebih intensif daripada sebelumnya. Pak Baha nampaknya benar-benar inginkan pasukan futsal Kolej Angsana bertarung habis-habisan semasa perlawanan akhir nanti.

Usai latihan mereka berkumpul di kawasan bangku penonton di dewan. Masing-masing tercungap-cungap dengan keringat mengalir bagaikan hujan.

"Ini adalah latihan terakhir kita sebelum bertolak ke hutan rekreasi di Pahang untuk perlawanan akhir." Kata Encik Johar yang juga ada di situ.

"Kenapa jauh sangat lokasi final ni Encik Johar? Kenapa tak buat di kawasan sini?" Jojo menyuarakan rasa hati yang masih terkesan dengan kata-kata pengemis tua dulu.

"Awak ni pun satu. Penganjur yang tetapkan lokasi, bukan kita. Lagipun ada acara lain yang dibuat serentak dengan perlawanan akhir ni. Kenapa? Awak ada masalah?" Encik Johar begitu prihatin dengan pendapat Jojo.

"Tak ada masalah." Jojo malas menceritakan peristiwa yang berlaku.

Rakan-rakan yang lain turut diam. Seolah-olah cuba melupakan peristiwa yang masih menghantui fikiran mereka.

"Saya sudah aturkan pengangkutan kamu ke tapak rekreasi nanti. Kamu semua akan ke sana dengan bas yang dipandu oleh Pak Maun. Saya dan Pak Baha akan pergi dengan kereta saya. Ada yang tak setuju dengan rancangan ini?"

"Setujuuu!" serentak jawapan mereka semua.

Setelah bersurai, mereka menuju ke bilik persalinan untuk membersihkan badan sebelum pulang ke rumah masing-masing.

"Aku risaulah bila mengenangkan kata-kata pak cik tua hari tu." Khair membangkitkan isu itu lagi.

"Hish! Rimaslah aku! Balik-balik cerita pengemis tu. Macam tak ada cerita lain." Aqim mempercepatkan langkah meninggalkan Khair.

"Apa yang kau takutkan sangat? Tengok, sampai sekarang masih belum ada apa-apa yang pelik berlaku. Bermakna sumpahan tu cakap kosong aje." Hazrel cuba meyakinkan Khair.

"Sebenarnya Rel, aku setuju dengan Khair. Aku rasa macam kata-kata lelaki tu akan jadi kenyataan." Jojo menyampuk.

"Aaaargh!" Mael memprotes. Dia turut meninggalkan mereka seperti Aqim tadi.

"Kau jangan risaulah. Apa-apa yang akan berlaku adalah kerana telah ditakdirkan. Bukan kerana kata-kata lelaki tu. Dia tak ada kuasa. Tuhan lagi berkuasa." Ammar cuba menguatkan semangat rakan-rakannya.

Mereka tidak membincangkan lagi tentang perkara itu, sehingga pulang.

***

"Semua dah ada?" tanya Hazrel sambil mengira bilangan penumpang bas.

"Aku kira ada lapan orang ajelah." Aqim buat muka selamba.

Hazrel mengira lagi. Memang ada lapan orang saja.

'Mana sorang lagi?' Hazrel terfikir.

"Bro, memanglah lapan. Kau tak kira diri kau sendiri ke?" Arjun ketawa.

Aqim tersenyum sinis. Hazrel menggeleng. Dia tidak sangka dia termakan gurauan Aqim.

"Okey, Pak Maun dah boleh jalan." Hazrel bersuara sebelum duduk semula.

Hazrel mula menganalisa tentang mereka yang ada di dalam bas.

'Aqim tak habis-habis nak mengenakan aku. Selagi dia tak dapat ambil alih tempat aku sebagai ketua pasukan.'

Bas mula bergerak.

'Tapi aku rasa Syed atau Ammar lebih sesuai ganti tempat aku. Mereka lebih berkarisma. Mael dan Aqim lebih kurang, satu kepala. Nampak gaya macam kuat memberontak. Entah apa akan jadi kalau mereka yang jadi ketua pasukan.'

Hazrel hanya memerhati pepohon dan tiang lampu yang silih berganti di tepi jalan.

'Lim dan Arjun buat pasukan ni lengkap dan harmoni. Cuma Jojo agak penakut dan selalu teragak-agak. Khair selalu menyebabkan semangat orang lain jatuh sedikit dengan sikap pesimis.' Dia terus membuat analisa.

'Ah! Tak penting itu semua. Yang penting sebagai satu pasukan semuanya saling mengisi kekurangan orang lain dengan kelebihan tersendiri. Sebab itu pasukan pasukan Kolej Angsana boleh masuk final. Dengan kerjasama ini kita semua boleh menang.'

Tersenyum Hazrel dengan semangat yang berkobar-kobar dalam dadanya.

Perjalanan begitu lancar. Tiada sebarang aral yang melambatkan perjalanan setakat ini.

Hazrel berdiam diri. Dia enggan berkongsi apa yang berlaku kepada dirinya semalam. Dia tidak mahu menimbulkan rasa curiga yang mungkin akan mempengaruhi pasukan.

"Eh, korang nak dengar cerita tak?" Jojo buat gaya seperti hendak bergosip.

"Apa?" Mael yang duduk di sebelahnya nampak bosan.

"Malam tadi ada benda yang pelik berlaku."

"Pelik macam mana tu?" Lim berminat.

"Kucing buat bising kat luar rumah aku. Aku nak tidur pun susah." Rungut Jojo.

"Biasalah tu. Apa yang peliknya?" Mael tak puas hati.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah mereka akan terkena dengan sumpahan itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience