Chapter 23

Horror & Thriller Completed 6555

Bab 23

Dia memakai blaus dan skirt kotak-kotak. Budak perempuan itu tercegat melihat Arjun.

Tubuh Arjun menggigil dengan lutut yang terasa lemah. Seluruh bulu roma di badan sudah merinding. Sepantas kilat dia berlari masuk dan mengunci pintu bilik. Dia berbaring dengan peluh dingin memercik di dahi dan badannya. Nafasnya tercungap-cungap.

"Syed... Lim..." Suaranya hampir tersekat di kerongkong.

"Syed! Lim!" Suaranya bertambah nyaring.

"Apa? Membingitlah kau ni." Syed bertukar posisi.

Lim menguap dan menggosok mata.

"Aku nampak hantu!"

"Hah?" Syed bangun.

Mereka duduk di katil Arjun.

"Masa aku nak balik ke bilik, aku terdengar suara dan bunyi tapak kaki di tangga. Lepas tu aku nampak bayangan budak perempuan." Arjun masih menggigil di katil.

"Biar betul kau ni." Syed enggan percaya.

"Betul. Aku tak tipu."

"Jangan-jangan itu hantu budak perempuan yang mati kat rumah ni." Lim menyampuk.

"Kau kata budak perempuan tu yang terselamat. Macam mana boleh ada hantu dia pulak?" Syed keliru.

"Ada dua orang budak perempuan dalam rumah ni. Kembar kalau aku tak silap."

"Sudahlah. Kita sambung esok. Aku dah mengantuk ni." Syed merebahkan tubuh.

Tidak lama kemudian, Syed pula dikunjungi sebuah mimpi yang pelik.

***

Syed bangkit kerana terdesak untuk ke tandas. Dia memulas tombol pintu dan menjengah keluar. Koridor disinari cahaya suram lampu antik di dinding. Dia mengatur langkah menuju ke tandas.

Dia terkejut melihat seorang gadis memerhatinya di depan pintu bilik membaca. Mereka tercegat melihat satu sama lain. Kemudian gadis itu membuka pintu bilik bacaan dan masuk.

Syed turut masuk ke dalam bilik. Gadis itu menekan sebuah buku paling hujung berwarna biru di rak paling atas. Sebuah pintu rahsia terbuka di dinding dan dia berlari turun.

***

Syed tersentak. Mimpi pendek itu penuh dengan makna tersirat. Dia segera mengejutkan Arjun dan Lim.

"Apa masalah pulak ni?" Lim merungut.

"Jom ikut aku. Aku dah tahu rahsia tentang rumah ni."

"Macam mana kau tahu?" Arjun menggosok mata.

"Aku mimpi."

"Mimpi?"

"Ada perempuan beritahu aku dalam mimpi."

"Siapa dia?"

"Entah. Eh, jangan banyak tanyalah. Jom!"

Mereka menuju ke bilik bacaan. Setelah memastikan tiada yang nampak, mereka menutup pintu. Dengan bantuan cahaya skrin telefon, Syed mencari buku biru dalam mimpinya. Buku itu memang wujud sebagaimana yang ditunjukkan. Dia menekannya.

Sebuah pintu rahsia terbuka di dinding. Ada tangga yang menuju ke bilik bawah tanah. Dengan hati-hati mereka menapak turun.

Sebuah bilik dengan dinding bongkah batu kelihatan seperti terowong di zaman penjajahan British. Tidak banyak perhiasan di situ. Hanya sebuah potret yang tergantung di atas meja tulis antik. Potret seorang lelaki, wanita dan dua orang budak perempuan.

"Kalau tak silap aku, inilah gambar keluarga yang tinggal di rumah ini." Lim teruja.

"Mana kau tahu?" tanya Syed.

"Sekarang baru aku ingat kisah banglo ini. Tuan rumah ini ada anak kembar tapi tak seiras."

Arjun mula mengamati gambar itu. "Memang betul. Rupa budak-budak ni macam sama, tapi lain. Eh..." Arjun merenung seorang budak perempuan dalam gambar.

Tiba-tiba Arjun beremosi. "Budak ini.... budak ini yang aku nampak di tangga!" Seolah-olah perasaan semasa ternampak budak itu kembali.

"Kau pasti?" Syed tidak percaya.

Lim mula memeriksa meja dengan berbekalkan cahaya dari skrin handphone. Sebuah fail kertas tebal yang lusuh sarat dengan keratan akhbar. Pelbagai jenis artikel dikumpulkan dengan tema yang hampir sama.

Majlis Hari Jadi Berdarah
Semua mati, hanya seorang kanak-kanak perempuan terselamat.

Rumah Kejadian Misteri Kembali Berpenghuni
Mawar kembali ke rumah pusaka.

Rumah Misteri Masih Berpuaka?
Suami Mawar hilang tanpa dapat dikesan.

Perkhemahan Membawa Padah
Sekumpulan pelajar hilang di hutan Pahang.

Keluarga Tiga Beranak Hilang
Kehilangan misteri di sempadan hutan Pahang-Johor.

Tragedi Malam Tahun Baru Cina
Pasangan hilang tanpa kesan.

Mata Syed menangkap gambar di dalam salah sebuah artikel yang ada di situ.

Hasrat Nabila Tak Tercapai
Gadis hilang sehari sebelum majlis hari jadi.

"Eh, aku kenal perempuan ni." Dia meneliti untuk memastikan.

"Memang sah. Dialah perempuan yang datang dalam mimpi aku. Dia yang tunjukkan jalan ke bilik rahsia ini. Namanya Nabila."

"Memang betul apa yang aku baca. Rumah ini memang berpuaka." Lim membuat konklusi.

"Tapi banyak lagi yang kita belum tahu pasal rumah ni. Kenapa mereka semua terbunuh? Macam mana tragedi itu boleh berlaku? Apa yang terjadi pada semua orang yang hilang?" Arjun menimbulkan persoalan seperti seorang inspektor polis.

"Itu semua tak penting. Yang penting sekarang kita kena tinggalkan tempat ini sebelum..." Kata-kata Lim terhenti apabila dia terlihat wajah seseorang tercongok dengan lampu pelita di pintu masuk.

…bersambung

Bab akan datang:
Adakah mereka akan membongkar rumah berpuaka itu atau meninggalkan tempat itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience