AAZAD memandang Ainan pelik. Sudah lama dia tidak melihat Ainan bersolek. Tapi hari ini, penampilan Ainan jauh berbeza dari hari-hari biasa.
Kening diukir cantik, kelopak mata disolek smokey, eyeliner tidak ketinggalan, pemerah pipi disapu tipis dan akhir sekali gincu berwarna merah jambu disapu rata di bibirnya.
Tak berkelip mata Aazad melihat Ainan. Jarang-jarang dapat melihat Ainan begitu.
"Amboi, lain macam je hari ni," tegur Aazad lembut. Dia tidak bekerja hari ni. Memang hari cutinya tidak menentu.
"Saja je ambil mood nak melawa hari ni. Orang asyik tegur muka macam mayat hidup je." Ainan menjawab selamba. Entah mengapa dia terasa ingin bersolek.
Dia bukanlah seorang wanita yang gemar bersolek. Bila keinginan itu ada, barulah dia bersolek. Kebiasaannya dia akan bersolek pada hari raya atau ketika menghadiri sebarang majlis.
"Yelah. Selama bekerja ni tak pernah pun nak bersolek. Tetiba je hari ni bersolek." Aazad masih tidak puas hati dengan jawapan Ainan.
"Kan Ainan cakap tetiba rasa nak bersolek. Boleh je Ainan bersolek hari-hari. Tapi malas." Dia segera mencapai beg galas. Botol air di masukkan ke dalam beg.
Safwan dan Umairah pagi-pagi lagi telah dijemput oleh Syazana kerana ingin keluar membeli barang dapur bersama Maimun. Dasuki seperti biasa akan dijemput oleh atuknya pulang dari sekolah.
Ainan dan Aazad sempat makan tengah hari bersama sebelum Ainan bersiap untuk ke tempat kerja.
"Abang nak hantar Ainan ke tak nak ni? Ada setengah jam je lagi. Kang tak pasal-pasal, Ainan lambat lagi." Ainan mula membebel.
Aazad seakan sengaja mahu menghantarnya lewat. Bulan itu saja sudah tiga kali Ainan lewat ke tempat kerja. Walaupun waktu lewatnya tidak melebihi lima minit, ianya bukan sesuatu yang menyenangkan hati Ainan.
Aazad melepaskan nafas berat. Entah mengapa, dia semakin tidak selesa Ainan bekerja. Waktu untuk mereka bersama amat terhad.
Bila dia terpaksa bekerja pada waktu malam, masa untuk mereka bertemu hanya ketika menghantar Ainan bekerja atau dia menemani Ainan pada waktu rehat.
"Yelah. Nak ambil kunci keretalah ni." Akhirnya Aazad akur. Nak atau tak nak, dia terpaksa akur untuk menghantar Ainan ke tempat kerja.
"Hari ni rehat pukul berapa?" soal Aazad sebaik saja mereka masuk ke dalam perut kereta.
Jari Ainan pula lincah menyentuh skrin telefon bimbit sebelum menjawab soalan Aazad. "Ainan rehat pukul lima."
"Okey. Nanti petang abang datang teman." Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang lima belas minit itu dirasakan terlalu singkat bagi Aazad.
Setelah menyalami Aazad, Ainan bergegas turun dari perut kereta. Jam dipergelangan tangan dijerling.
'Janganlah lewat lagi.'
Lima minit baki masa untuk dia masuk kerja. Menunggu lift, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.
Sampai saja ditingkat dua, Ainan terus berlari masuk ke dalam stor. Ainan menarik nafas lega apabila melihat masa yang ditunjukkan pada mesin cap jari.
"Ha... lambat lagi?" Entah dari mana munculnya Liza. Hampir saja botol air yang baru dikeluarkan dari beg galasnya terlepas dari pegangan.
"Akak... terkejut saya tau." Ainan urut dada. Liza tersengih menghampiri Ainan.
"Kau lambat eh?" Liza tak puas hati. Ainan hanya menggeleng. Diteguk perlahan air mineralnya.
"Saya masuk ngam-ngam je." Ainan tayang sengih.
Liza memandang Ainan tak berkelip. Ralit dia menilik wajah Ainan. Ada kelainan di wajah Ainan.
"Akak tengok apa tu?" soal Ainan. Liza tersengih.
"Kau nampak lain hari ni. Lawa," puji Liza. Tersipu malu Ainan dibuatnya.
Ainan segera menyimpan begnya di dalam locker sebelum berlalu menuju ke department.
Puas hati dengan kerja yang dilakukan promoter, Ainan masuk pula ke dalam stor.
Dia membelek satu persatu invois. Mengeluh dia apabila melihat beberapa invois yang masih belum di update oleh bahagian operation.
Ralit dengan segala kerja, sehingga Ainan tidak sedar jam telah menunjukkan ke angka lima petang. Panggilan dari Aazad membuatkan Ainan memberhentikan segala kerjanya.
Jam dipergelangan tangan dijeling sekilas. Lantas tangannya lincah menyusun semula file dan kertas yang berselerakan di atas meja komputer.
Bergegas Ainan mendapatkan Aazad yang sedia menanti di pintu masuk kedai. Ainan tersenyum gembira.
Lengan Aazad dipeluk erat. Satu kucupan hinggap di dahi Ainan. Makin berseri wajah Ainan dengan layanan Aazad. Hatinya berbunga bahagia.
"Makan mana?" soal Aazad. Ainan hanya jungkit bahu. Akhirnya mereka melangkah menuju ke arah kedai mamak yang terletak diluar Kayangan Mall.
Sememangnya Ainan sering makan di situ atau paling tidak, akan dibeli bungkus.
"Ainan, minggu depan abang nak balik kedah." Wajah Ainan sedikit berubah. Nasi Goreng Kampung di depannya mula dikuis-kuis.
"Amin minta abang balik. Ada hal nak bincang katanya." Ainan hanya mendiamkan diri. Bila masuk bab anak-anak sana, Ainan pasti kalah.
"Berapa lama pula kali ni" kedengaran keras sekali soalan Ainan.
"Mungkin seminggu." Ainan tarik nafas dalam. Kes mahkamah belum selesai, nak pula balik kedah.
"Mana ambil duit? Belum gaji lagi, kan?" Ainan pandang tepat ke arah wajah Aazad namun, Aazad cuma mampu menunduk.
"Pinjaman berlesen lagi?" Tembak Ainan. Dia yakin itulah jawapan yang akan Aazad berikan.
"Habis tu nak cari mana lagi? Tu je jalan yang ada." Ainan terdiam. Mati terus seleranya untuk makan.
Entah berapa banyak hutang yang perlu ditanggung. Semua demi anak-anak di sana. Memang dari dulu Aazad sanggup buat apa saja untuk mereka.
Tapi untuk Ainan? Entahlah... hanya Aazad yang punya jawapan.
Share this novel