Bab 18

Romance Series 12288

HARI ini Ainan gembira sekali. Gaji pertama diterima. Matanya terbayang wajah kegembiraan anak-anak. Kebetulan Ainan shift pagi. Sebelum pulang ke rumah, dia singgah ke pasar raya untuk membeli susu dan lampin pakai buang anaknya serta sedikit barang dapur.

Usai membeli belah, Ainan singgah ke KFC. Dia membeli bucket KFC untuk dimakan bersama dirumah orang tuanya. Hati Ainan berbunga riang. Gaji pertama sepanjang hampir tiga tahun dia tidak bekerja.

Tidak dapat digambarkan betapa dia bahagia ketika itu. Ada duit sendiri. Tidak perlu terlalu bergantung harap kepada Aazad untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Ainan belajar untuk redha.

Ya Allah... KAU permudahkan urusan suamiku. KAU luaskan rezekinya, Ya Allah. Sayangi dia, berkati hidupnya. Aamiin aamiin aamiin.

Itulah doa yang sering dipanjatkan Ainan buat suami tercinta. Walau sakit yang diterima, namun kesakitan itu masih belum mampu untuk menghakis segala rasa sayang dan cintanya buat Aazad.

Betapa istimewanya Aazad dihati Ainan hanya Allah SWT yang tahu. Walau saban hari Ainan ditemani air mata, ia belum mampu menerbitkan rasa benci di hati Ainan.

Ainan setia menanti Aazad. Tangannya penuh dengan barangan yang dibelinya tadi. Penat berdiri, dia duduk pula di hentian teksi yang terletak di hadapan KFC.

Setengah jam berlalu, Aazad masih belum muncul. Maghrib telah pun melabuhkan tirai. Malam semakin gelap. Akhirnya Ainan buat keputusan untuk pulang sendiri.

Telefon bimbit dicapai dari poket seluar. Didail nombor Aazad. Tiga kali percubaan barulah Aazad menjawab panggilannya.

"Abang on the way ni. Ainan tunggu kejap ye. Jalan jammed. Lagi lima minit abang sampai." Aazad mematikan panggilan sebelum sempat Ainan berkata apa-apa. Ainan jungkit bahu dan setia menanti Aazad.

Hampir lima minit, kedengaran bunyi hon. Ainan segera menoleh. Bergegas dia masuk ke dalam perut kereta. Wajah Aazad kelihatan tegang. Ainan sedikit pun tidak bertanya. Gusar dimarahi oleh Aazad.

Ainan ralit melayari Fac apabila Aazad memberhentikan kereta di depan Blok Mawar. Segera Ainan turun dan mendapatkan beberapa pek susu dan satu bag lampin pakai buang untuk ditinggalkan dirumah ayahnya.

Aazad segera membantu apabila melihat Ainan ingin mencapai bungkusan KFC.

"Meh sini abang bawa susu dengan pampes tu." Ainan segera menghulurkan kepada Aazad. Lega sedikit hatinya apabila melihat senyuman terukir di wajah Aazad.

"Kita makan dulu dekat rumah ayah boleh? Ainan ada beli KFC. Tadi nak cakap, abang dah letak telefon." Ainan bersuara penuh mengharap.

"Boleh sayang." Aazad mengusap lembut pipi Ainan. Ainan tersenyum bahagia.

"Macam mana kerja hari ni?" soal Aazad ketika mereka beriringan menuju ke lift.

"Okey je. Macam biasa. Takde yang istimewa pun. Rutin yang sama hari-hari. Ragam customer je yang lain-lain." Ainan tayang sengih. Aazad memeluk erat bahu Ainan lalu melepaskan satu kucupan di dahi Ainan.

Bukan satu kebiasaan yang selalu dilakukan oleh Aazad. Aazad bukan sejenis yang mempamerkan kemesraan ditempat umum. Ainan cubit pinggang Aazad.

"Abang ni gatal eh." Ainan ketawa. Aazad tersenyum. Terasa bahagia melihat senyuman di wajah Ainan. Wajah yang sering dirindui tak kira waktu.

Mengapa sukar mengungkap rasa sayang dan cinta di hati? Mengapa sukar untuk digambarkan betapa dia bahagia dan bertuah memiliki Ainan sebagai isteri? Mengapa terasa sukar untuk dia sentiasa melihat senyuman Ainan?

Aazad menghela nafas berat. Segala persoalan yang dia sendiri tidak punyai jawapan. Adakah kerana faktor usia? Atau sememangnya dia tidak reti menzahirkan rasa hatinya buat Ainan sehinggakan, Ainan sering tidur bertemankan air mata.

"Abang." Teguran lembut Ainan mematikan lamunan Aazad. Lift sudah pun berhenti ditingkat dua belas.

"Abang tak nak keluar ke?" soal Ainan apabila melihat Aazad masih lagi berdiri di dalam lift.

"Eh... naklah." Aazad segera keluar. Ainan tersenyum sendiri melihat telatah Aazad.

"Assalamualaikum." Aazad memberi salam sebelum melangkah masuk ke dalam rumah mertuanya. Plastik ditangan diletakkan di atas meja makan sebelum dia mendapatkan Safwan yang melompat-lompat minta didukung.

"Anak ayah nakal tak hari ni?" Pipi Safwan diciumnya bertubi-tubi. Sedap bau masam peluh Safwan. Bau masam itulah yang membuatkannya ketagih untuk mengomol Safwan.

"Mairah." Safwan menunding jari kearah Umairah.

"Oh... Umairah nakal ye? Safwan baik?" Aazad menyoal lagi. Safwan ketawa mengekek. Ibu jarinya diangkat.

Aazad meletakkan semula Safwan ke bawah, lalu mendapatkan ibu dan ayah mertuanya.

Dasuki memeluk erat Ainan sebelum mengikut Ainan ke dapur menyediakan pinggan untuk mereka sama-sama menjamah KFC yang dibelinya tadi.

"Meh makan." Ainan mempelawa mereka semua untuk makan. Apabila mereka semua sudah tiba dimeja makan dan mengambil bahagian masing-masing, Ainan bangun bersama kentang putar.

Terhenti suapan Maimun, Bahrom dan Syazana. Tapi tidak Aazad. Dia menjamah ayam goreng itu dengan berselera sekali.

"Kak tak makan?" Syazana bertanya. Hatinya sedikit tersentuh dengan cara Ainan.

"Makan dulu. Akak nak bagi Umairah makan kentang putar ni. Dia suka." Ainan tersenyum sambil memyuap Umairah. Safwan tidak mahu ketinggalan. Mulutnya juga terbuka luas minta disuapkan. Seketul peha ayam digenggam kemas.

"Dap." Safwan ketawa riang. Bukan selalu mereka dapat makan KFC. Sebulan sekali juga belum tentu.

Aazad mengambil alih tugas Ainan sebaik saja dia selesai makan.

"Ainan pergi makan. Biar abang suapkan anak." Ainan terkedu. Ini bukanlah sesuatu yang biasa dilakukan oleh Aazad.

Ainan menyerahkan kentang putar dan sudu kepada Aazad sebelum melangkah menuju ke meja makan.

"Terima kasih mama." Dasuki memeluk erat Ainan. Seronok dapat menjamah ayam goreng KFC.

"Suki nak lagi?" Dasuki menggeleng.

"Mama makan pula. Suki dah kenyang. Tadi mummy suap sup ikan. Sedap." Dasuki tersenyum gembira. Ainan mengusap lembut kepala Dasuki. Ainan melepaskan kucupan lembut di dahi Dasuki. Sebak rasa hatinya bila memandang Dasuki.

'Maafkan mama, sayang.' Ainan merintih dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience