SEMINGGU telah berlalu sejak peristiwa di Teluk Kemang. Ainan semakin tenang. Aazad pula mula menunjukkan sikap positif.
"Ainan, abang nak cakap sikit ni." Aazad menghampiri Ainan yang sedang leka menonton drama jam tujuh. Ainan angkat kening. Menanti Aazad untuk terus bersuara.
"Akak saman abang. Dia tuntut tunggakkan nafkah sepanjang setahun abang tak kerja dulu. Lepas tu dia tuntut giliran bermalam." Ainan menghela nafas berat. Dia memang dapat rasakan perkara ini akan berlaku.
Tapi apa boleh buat. Cakapnya langsung tak didengari oleh Aazad. Sekarang sendiri yang susah.
"Ainan dah cakap dulu. Tapi apa abang cakap? Nak biar dia terjerat sendiri dengan kesilapan dia. Sekarang ni siapa sebenarnya yang terjerat?" Aazad terdiam mendengar kata-kata Ainan. Jelas Ainan kecewa dengan apa yang berlaku.
"Abang tak sangka pula akan jadi macam ni." Aazad mempertahankan dirinya.
"Ainan dah cakap. Tapi abang tak nak dengar. Mana laku cakap Ainan ni. Selama ni, apa pun Ainan cakap abang tak pernah nak dengar. Bila jadi macam ni, siapa yang susah? Bukan Ainan anak beranak?" Aazad terkedu. Terkejut mendengar luahan Ainan.
"Kenapa Ainan cakap macam ni?" Aazad mula tak selesa. Ainan tersengih.
"Sepanjang abang dah bekerja ni, Ainan nak tanya berapa banyak nafkah Ainan dan anak-anak yang abang bagi?" Aazad terdiam.
"Bila timbul tuntutan ni, agak-agak apa yang Ainan dan anak-anak dapat? Takde! Yang dapat cuma sisa-sisa je. Itu pun kalau ada sisa-sisa tu. Sedangkan tanpa sebarang tuntutan pun kami cuma dapat sisa. Apatah lagi bila jadi macam ni." Ainan melepaskan apa yang terbuku dihati.
Memang dia dapat agak perkara ni akan berlaku. Selama ni nalurinya tak pernah salah. Setiap apa yang terdetik, pasti akan berlaku. Sampaikan dia takut dengan nalurinya sendiri. Tapi dalam masa yang sama, perkara itu yang buat dia lebih berhati-hati.
"Bila naik mahkamah?" soal Ainan. Matanya masih memandang kaca TV.
"Esok pukul 9 pagi." Aazad tertunduk.
"All the best. Esok ceritalah apa yang berlaku dalam mahkamah." Aazad memandang wajah Ainan yang langsung tak beriak.
"Ainan tak nak teman abang?" Aazad menyoal penuh pengharapan.
"Maaf. Ainan takde masa nak hadap drama abang laki bini. Ainan letih." Ainan bingkas bangun meninggalkan Aazad sendirian.
Ainan menjenguk Dasuki yang sedang mewarna di dalam bilik. Tersenyum manis Ainan duduk disebelah Dasuki.
"Warna apa tu?" soal Ainan lembut. Dasuki memang sering menyendiri apabila Aazad berada di rumah.
"Upin Ipin. Cantik tak?" Dasuki menunjukkan hasil kerjanya pada Ainan. Ainan mencapai buku warna yang berada di tangan Dasuki.
"Cuba ikut mama warna macam ni." Ainan mengambil sebatang pensil warna lalu menunjukkan cara mewarna yang betul.
"Bila kita warna satu arah, akan jadi lagi cantik. Lepas tu, kalau ada putih-putih ni lagi, warna sampai hilang putih tu. Barulah nampak cantik," terang Ainan seraya menunjukkan kepada Dasuki.
Dasuki tersenyum bahagia melihat Upin Ipin yang diwarnanya melihat lagi cantik selepas mendapat sentuhan dari Ainan. Pipi Ainan dicium bertalu-talu.
"Thank you, mama. Cantik sangat." Ainan memeluk erat Dasuki.
"Okey. Sekarang ni, mama nak Suki pergi mandi. Dah lewat ni," pujuk Ainan lagi. Dari selepas Asar tadi dia menyuruh Dasuki mandi namun, ditolak mentah-mentah.
"Okey mama. Suki pergi mandi sekarang." Ainan senyum melihat keletah Dasuki.
"Mandi bersih-bersih. Gosok gigi, okey?" Dasuki mencantumkan hujung jari telunjuk dan ibu jarinya sebagai tanda okey. Ainan tersenyum lantas berlalu keluar dari bilik Dasuki.
Safwan dan Umairah leka dengan dunia mereka. Mainan bersepah sana sini. Tapi Ainan tidak peduli kerana dia tahu anak-anaknya akan turut sama membantunya kemas.
"Abang nak minum tak?" soalan Ainan mematikan lamunan Aazad.
"Boleh juga." Suara Aazad kedengaran lemah sekali di telinga Ainan.
Usai membancuh nescafe buat Aazad, Ainan melabuhkan punggungnya disebelah Aazad. Tangan kiri Aazad diraih, lalu diusap lembut.
"Abang fikir apa?" soal Ainan. Kasihan pula melihat wajah sungul suaminya itu.
"Entahlah Ainan. Abang pun tak tahu nak cakap macam mana. Entah apa silap abang." Aazad melepaskan keluhan berat.
Kepalanya sakit memikirkan tindakan Imah. Padahal sekarang ni, apa je dia buat untuk penuhi keinginan Imah sehinggakan Ainan anak beranak terpaksa dijadikan korban.
"Abang jangan fikir sangat. Benda dah jadi. Nak tak nak, abang kena hadap juga. Abang jangan mengalah." Ainan memberi kata semangat.
"Macam manalah abang tak fikir. Benda ni bukan sikit. Bayangkan berapa banyak abang bagi setiap bulan tapi masih tak cukup pada dia." Aazad mula mengeluh.
"Ainan kalau cakap nanti, abang tak nak terima. Tapi dulu lagikan Ainan dah suruh abang buat keputusan tapi abang tak nak. Abang cakap tak nak sebab dapat yang baru, buang yang lama. Abang tak fikir jauh. Sekarang inilah natijahnya. Nak tak nak abang kena hadap juga. Abang nak mengeluh pun tak guna. Benda dah jadi," bebel Ainan. Sebal betul dia dengan sikap Aazad.
Dalam diam, Aazad mengakui kata-kata Ainan. Ye dia yang salah. Kalaulah dia fikirkan apa yang Ainan cakap dulu, kemungkinan perkara macam ni tak berlaku.
Sekurang-kurangnya, Ainan anak beranak tak perlu menjadi mangsa keadaan.
Aazad memandang Ainan yang kembali menonton TV. Sedikit pun tidak bersuara.
Share this novel