RIDHWAN tersenyum gembira. Baru sekejap tadi dia dan Ainan bersembang. Mendengar gelak tawa Ainan sudah cukup mengembirakannya.
Sudah hampir dua minggu mereka tidak bersua muka. Hari ini, dia ingin bertemu Ainan. Rindu yang tidak tertanggung lagi.
Kebetulan ada beberapa dokumen yang perlu ditandatangan segera oleh Sir Mat. Jadi, Ridhwan akan bergerak ke cawangan GGW untuk bertemu Sir Mat sekaligus, menghilangkan rasa rindu di hatinya.
Wan, jangan lambat ye. Saya nak ke Damansara lepas ni.
Kiriman Whatsapp dari Sir Mat segera dibalas. Tanpa berlengah lagi, Ridhwan segera menuju ke Kayangan Mall.
Turun saja dari motorsikalnya, Ridhwan sudah tersenyum lebar. Hatinya semakin berbunga-bunga. Tak lama lagi dia akan melihat Ainan. Menghilangkan rasa rindu dan resah di hatinya.
Ainan...
Menyebut namanya saja sudah membuatkan hati Ridhwan bergetar. Apatah lagi apabila berdepan dengan Ainan, hatinya pasti berdegup kencang.
Apabila dengupan jantung mula mengalunkan melodi cinta. Indahnya rasa itu. Kicauan burung seakan menjadi penyedap pada melodi itu.
Ridhwan semakin tidak sabar bertemu Ainan. Segera dia melangkah menuju ke tingkat dua.
Sampai saja di depan kedai, mata Ridhwan mula melilau mencari Ainan. Dia melangkah laju menuju ke stor. Dengan harapan, Ainan berada di sana.
Namun apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Wajah Ainan bukanlah wajah pertama yang menyapa matanya.
"Ha... sampai pun. Saya dah nak gerak dah. Awak lambat sikit je tadi, jawabnya esok lusalah saya sign dokumen tu." Ridhwan tersengih mendengar kata-kata Sir Mat.
"Maaf Sir. Saya termengelamun pula kat bawah tadi." Ketawa besar Ridhwan dengan ayatnya sendiri. Bertaut kening Sir Mat seketika.
Dokumen yang diserahkan segera disemak dan ditandatangan. Dokumen bertukar tangan semula.
"Jangan main dengan api, Wan. Terbakar diri nanti. Jangan ingat saya tak tahu ye." Ridhwan berubah riak. Tersenyum Sir Mat melihatnya.
"Ainan baru je keluar break. Pergilah cari dia dekat tempat dia selalu makan." Bagaikan orang mengantuk yang disorong bantal, Ridhwan segera minta diri.
Ridhwan mendapatkan Ainan yang kelihatan sedang makan bersendirian.
"Hai..." sapa Ridhwan lantas terus duduk di depan Ainan. Buntang mata Ainan melihat Ridhwan di situ.
"Hey... mengular ke?" Soal Ainan bagi mengimbangi perasaan terkejutnya.
"Tak la. I hantar dokumen dekat sir tadi. Dia bagitahu you makan dekat sini." Tersedak Ainan dibuatnya. Segera disedut teh o ais yang berada di depannya. Dada ditepuk lembut. Mujur tak mati tercekik.
"Sampai tersedak kau." Ridhwan ketawa gelihati melihat kelakuan Ainan. Ainan menjeling geram.
"Tak kelakarlah sampai sir cakap macam tu." Ainan menyambung semula suapannya.
Ridhwan diam. Bagaimana agaknya penerimaan Ainan andai dia tahu apa yang dikatakan oleh Sir Mat tadi.
"Nak sikit." Ridhwan memecahkan kesunyian mereka. Ainan kerut dahi.
"Pergilah ambil sana." Ridhwan ketawa lucu. Suka melihat wajah Ainan yang merona merah.
Sesiapa saja yang memandang Ainan pasti tidak akan menyangka bahawa dia telah pun mempunyai tiga orang anak.
"Saja nak manja-manja. I dah makan tadi." Tanpa rasa bersalah, Ridhwan mencapai cawan Ainan lalu menyedut minuman itu.
Terangkat kening Ainan saat melihat minumannya habis disedut oleh Ridhwan. Haus sangat gamaknya. Habis setengah cawan. Ainan segera mengamit pelayan lalu memesan dua gelas teh o ais.
"Rindu tak?" soal Ridhwan sebaik saja Ainan selesai makan.
"Kalau rindu kenapa? Kalau tak rindu kenapa?" Ainan bersahaja. Sengaja mahu menduga hati Ridhwan.
Jelas terpancar ketidak puasan hati Ridhwan dengan soalan Ainan.
"Yela. Siapalah kita ni. Kita boyfriend simpanan je." Ainan ketawa lucu mendengar luahan hati Ridhwan.
"Ada ke orang rindukan I ni?"
Ridhwan mula buat muka menyampah. Ainan sengaja menduga hati dia.
"I rindu you separuh nak mati. Lagi mau tanya. Menyampah." Ainan tersenyum bahagia.
Adakah ini bahagia yang dicari atau hanya sandaran atas segala konflik hidupnya dengan Aazad?
Ainan buntu. Tersepit. Rasa bersalah. Semua rasa menjerut hatinya ketika itu.
Andai saja dia mampu mengubah segalanya. Andai saja dia mampu memutar kembali masa.
Ainan mengeluh. Menyesalkah dia?
"Hei... mengeluh pulak dia. Ada masalah ke?" soal Ridhwan prihatin.
"Eh... tak adalah. Penat je. Ada assigment tak siap lagi tu. Nak kena submit sebelum pukul empat ni." Ridhwan tepuk dahi.
"I tak tengok website hari ni." Geleng kepala Ainan.
"SCB. Copyright issue." Ainan menjelaskan. Faham sangat dengan perangai Ridhwan yang sibuk memanjang.
"I nak pergi bayar kejap." Ainan terus angkat punggung menuju ke kaunter bayaran. Ridhwan hanya memerhati.
"Jom..." Ainan segera melangkah keluar dari kedai.
"I balik dulu. You jaga diri tau. Jangan stress." Ainan hanya mengangguk sebelum melepaskan Ridhwan menuju ke parkir motor.
Share this novel