AINAN dan Ridhwan telah berjanji untuk bertemu di Kedai Makan Char Kueh Teaw berhadapan dengan Kayangan Mall, tempat Ainan bekerja. Telah hampir lima belas minit Ainan menanti Ridhwan di tepi jalan namun, bayang Ridhwan tidak juga kelihatan.
Entah mengapa hati Ainan mula berbelah bahagi. Adakah tindakannya betul. Pertama kali mereka akan bertemu diluar waktu kerja. Ainan serba salah. Telefon bimbit dikeluarkan dari beg. Dia segera membuka aplikasi Whatsapp.
Dah sampai?
~Ainan
Lama Ainan menunggu, namun langsung tiada balasan. Hatinya mula berkira-kira untuk balik saja ke rumah dan menganggap Ridhwan hanya bergurau. Lima minit berlalu, Ainan hampa. Kakinya baru saja melangkah beberapa tapak untuk pulang apabila dia menerima panggilan dari Ridhwan.
"You... I baru nak keluar. You order la dulu." Kedengaran suara Ridhwan ditalian sebelah.
"Tak apalah. I tunggu You."
"Janganlah macam tu. You order dulu. Kejap lagi I sampai."
"Okeylah kalau macam tu."
Usai menyimpan semula handphone ke dalam poket seluarnya, Ainan segera melintas jalan.
Akibat ramai pengunjung yang mengunjungi kedai makan itu, Ainan mengalami sedikit kesukaran untuk mendapatkan meja kosong. Lima minit berlalu, akhirnya kelihatan sekumpulan anak muda beransur dari meja yang terletak berhampiran luar kedai makan itu. Ainan segera mendapatkan meja itu.
Kedai makan itu memang terkenal dengan kesedapan Char Kueh Teawnya. Pada waktu malam begini, memang ramai yang mengunjungi kedai itu. Lebih-lebih lagi kedai itu berdekatan dengan LRT dan apartment.
Ainan memesan Char Kueh Teaw beserta Teh O Ais Limau sementara menunggu Ridhwan tiba. Hatinya tidak keruan kerana sepanjang perkahwinannya belum pernah sekalipun dia membelakangi suaminya, apatah lagi kemana-mana tanpa pengetahuan suaminya.
"Betul ke tindakan kau ni? Walau macam mana pun dia masih suami kau. Kau masih sah isteri dia." Satu suara berbisik di telinga kanan Ainan.
"Aku dah banyak bagi peluang dekat dia. Tapi langsung tak berubah, kalau aku cakap pasti jadi gaduh. Selalunya aku juga yang mengalah. Ada pun serupa tak ada je!" Kata hati Ainan melawan.
"Jangan kau tersalah langkah. Ingat batas kau sebagai isteri orang!" Ainan tekap telinga. Wajahnya ditundukkan ke bawah.
Angkat saja kepala, kelihatan Ridhawan tersenyum kepadanya. Turun saja dari motorsikal, Ridhwan segera mendapatkan Ainan.
"Sarah mana?" soalnya. Dia tahu dia keluar bertemu dengan isteri orang. Jadi tak manis berduaan.
"Kejap lagi dia datang. Dia pergi beli barang sekejap." Ainan tersenyum.
Ridhwan mengamit pelayan lalu memesan makanan dan minumannya.
Tersenyum Ridhwan memandang Ainan di depannya. Satu senyuman yang sukar untuk di ungkapkan. Satu renungan yang sukar ditafsirkan.
"You, okey?" Satu soalan meluncur laju di bibir Ridhwan.
"Okey je. Biasalah staff buat hal. Hari-hari bebel benda sama. Kekadang naik muak. Tapi, pandai pulak tu merungut sebab membebel benda sama." Ainan mengeluh. Penat mengadap kerenah pekerja bawahannya.
Masing-masing dengan perangai dan ragam yang tersendiri. Bukan mudah sebenarnya nak handle tiga belas orang pekerja. Apatah lagi apabila berdepan dengan pekerja Nepal yang jenis keras kepala, suka melawan dan jenis tak faham bahasa.
Memang selama ni, jika mereka berhubung pun hanya berkaitan dengan hal kerja. Ada sesekali berkait hal peribadi tapi lebih kepada Ridhwan kerana runsingkan keadaan keluarganya di Kuala Terengganu.
Hidup hanya tiga beranak. Namun keadaan abangnya yang kurang sihat membuatkan Ridhwan seorang yang mencari nafkah bagi membantu keluarga di kampung. Kerana itu jugalah, dia terpaksa mengenepikan soal dirinya sendiri.
"Anak-anak sihat?" Ainan kulum senyum. Terbayang keletah anak-anaknya.
"Alhamdulillah sihat. Makin cergas dan lasak." Tersenyum Ainan dengan jawapannya sendiri. Namun senyumannya mati tiba-tiba apabila mengenangkan Dasuki. Ridhwan yang perasan akan perubahan riak wajah Ainan dapat menangkap ada masalah yang timbul. Belum sempat Ridhwan ingin buka mulut untuk bertanya, Sarah tiba menyapa mereka.
"Sorry lambat," ujar Sarah sebaik melabuhkan punggungnya di kerusi.
"Takde hal lah. Nak order apa?" Sarah jungkit kening mendengar soalan Ainan.
"Kau belanja eh?" Segera Sarah mengamit pelayan untuk membuat pesanan.
Ridhwan sesekali mencuri pandang ke arah Ainan. Ada satu beban perasaan yang terpendam yang tak mampu diluahkan.
Share this novel