"DENGAN ini mahkamah memutuskan agar defendan membayar tunggakan nafkah plantif sebanyak RM7000 dalam masa seminggu." Aazad tertunduk mendengar keputusan hakim mahkamah syariah.
"Puas dah hati kau?" sergah Aazad sebaik saja mereka keluar dari dewan mahkamah.
"Apahal pula? Imah minta hak Imah je." Imah tersenyum bangga melihat Aazad berang.
"Abang nak sangat berbini dua, kan? Sekarang rasakanlah. Baru sikit Imah minta." Mencerlung Aazad memandang Imah.
"Kau tak fikir pula yang aku sampai kena buang kerja sebab jaga Shahril dekat hospital? Kau nak aku bayar nafkah kau celah mana? Kau nak suruh aku merompak?"
Berang sungguh dia sikap Imah. Tak reti bersyukur. Tak pernah rasa bersalah dengan apa yang dilakukannya. Aazad benar-benar berang.
"Berapa kali Imah nak cakap itu bukan masalah Imah." Imah masih dengan pendiriannya.
"Bagus punya manusia kau ni, kan. Bukan masalah kau. Habis Shahril tu bukan anak kau? Bukan keluar dari perut kau?" Habis sudah kesabaran Aazad ketika itu. Jika diikutkan rasa hati yang sedang marah, mahu saja dia mencekik Imah.
"Kau balik sendiri. Takde masa aku nak hantar kau balik." Imah mencengkam lengan Aazad kuat.
"Abang jangan berani nak buat Imah macam ni. Macam mana pun, abang kena hantar juga Imah." Aazad tersengih.
"Kau ingat aku heran ke? Boleh datang sendiri, kan? Pepandailah kau balik sendiri. Banyak sangat duit, kan?" Aazad terus melangkah masuk ke dalam perut kereta dan berlalu meninggalkan Imah.
Dari cermin pandang belakang, Aazad dalam melihat betapa berangnya Imah dengan tingkahnya. Aazad tersenyum puas.
'Rasakan. Sikit pun kau tak pernah nak hormat aku sebagai suami.'
Aazad memecut laju menuju ke tempat kerja. Lima belas minit perjalanan, akhirnya dia tiba di G-Bayu.
"Aazad, baru sampai ke?" Alex menegur sebaik saja Aazad masuk ke dalam control room.
"Baru je sampai. Half day hari ni."
"Oh... lupa. Kau pergi mahkamah. Macam mana? Selesai?" Aazad mengeluh.
"Selesai. Aku kena bayar RM7000 dalam masa seminggu." Bulat mata Alex mendengarnya.
"Gila ke apa? Mana nak cari dalam masa seminggu?" Alex geleng kepala. Terasa tidak munasabah pula.
"Mana lagi, ceti jelah." Terkejut Alex mendengar jawapan Aazad.
"Serius ni Aazad? Takkan sampai nak pinjam ceti." Alex tak puas hati.
Aazad mengeluh. Mana lagi dia nak dapatkan duit sebanyak itu dalam masa seminggu. Nak buat pinjaman bank, belum tentu lulus. Apatah lagi, dia masih mempunyai hutang bank.
"Aku tak ada simpanan. Mana mungkin aku ada duit banyak tu. Kalau nak pinjam dekat orang sekali pun, belum tentu aku akan dapat sebanyak tu." Aazad meraup wajahya.
Sesungguhnya dia benar-benar jatuh terduduk. Dia langsung tidak menyangka Imah akan bertindak sejauh ini.
"Kau tenang dulu. Nanti cuba cari jalan terbaik, okey..." Alex menepuk lembut bahu Aazad sebelum berlalu pergi meninggalkan Aazad.
Aazad menarik keluar telefon bimbitnya. Tiada satu pun panggilan mahupun mesej dari Ainan. Dia tersandar lesu.
Mengenangkan Ainan, hatinya sering dipagut rasa bersalah. Bersalah kerana mengheret sama Ainan ke dalam masalahnya. Bersalah kerana banyak menyusahkan dan mengecewakan Ainan.
??????
IMAH tersenyum puas. Akhirnya dia dapat apa yang dihajati. Petang itu juga dia bertolak pulang ke kampung. Tidak betah dia berlama di rumah Ina.
Ada saja yang ingin dibebelkan. Jauh benar perangai Ina dan Yani. Tapi Ina, tidak pernah sekali pun menolak sekiranya dia meminta duit. Pasti akan diberi walau tidak banyak.
Adakalanya Imah akan mengunakan anak sebagai alasan. Walau pun hakikatnya bukan kerana anak-anak. Mana mungkin Aazad membiarkan anak-anak mereka tanpa makan yang cukup.
Imah cukup arif dengan kelemahan Aazad. Cakap je anak nak duit, pasti akan diusahakan.
Imah menanti Zul menjemputnya di perhentian bas. Hatinya berbunga riang.
'Kau fikir, kau sorang je boleh dapat bini muda? Aku pun boleh dapat yang muda.' Imah tersenyum sendiri.
Sepanjang usia perkahwinan mereka, Imah memang tak pernah mengalah. Malah dia akan buat Aazad tunduk mengikut semua kehendak dan kemahuannya.
Walau pun Aazad adalah suami, tapi dia lebih tua dari Aazad. Maka Aazad perlu ikut telunjukkan.
Imah cukup pantang kalau Aazad tidak mahu ikut telunjuknya. Mulalah dia akan berangin satu badan. Malah dia juga tetapkan syarat jika Aazad ingin bersama. Sekiranya tiada duit yang dihulurkan pada hari itu, maka Aazad tak dibenarkan menyentuhnya.
Walau pun Aazad pernah pertikaikan syarat itu, Imah langsung tak ambil pusing. Aazad perlu akur dengan kata-katanya.
Bunyi hon kereta mematikan ingatan Imah terhadap Aazad. Dia tersenyum manis memandang Zul yang telah tiba.
"Rindu tak?" soal Imah sebaik saja masuk ke dalam perut kereta.
"Mestilah rindu. Mana boleh tak rindu dengan buah hati bie ni. Kita pergi tempat biasa dulu boleh?" Zul bertanya penuh pengharapan.
"Sayang letihlah bie. Kan baru sampai ni." Imah sengaja memancing Zul.
"Tak apa. Nanti bie tolong urutkan ye." Zul senyum menggoda seraya mengenyitkan matanya. Imah tersipu malu dengan kelakuan Aazad.
Share this novel