HARI terakhir percutian mereka, barulah Ainan boleh bergurau mesra dan bermanja dengannya seperti biasa. Aazad rasa bersyukur sangat. Dah lama dia tak melihat senyuman ikhlas yang diberikan untuk dirinya.
"Abang, Ainan nak naik banana boat tu. Boleh tak?" Ainan memaut mesra lengan Aazad.
"Boleh je. Jom." Aazad segera menarik Ainan menghampiri banana boat.
"Bang, berapa?" soal Aazad.
"Lima belas ringgit sorang." Aazad terus menghulurkan tiga keping not sepuluh ringgit. Jaket keselamatan diberikan kepada mereka. Aazad membantu Ainan memakai jaket keselamatan.
"Terima kasih abang." Satu kucupan diberikan pada pipi belah kanan Aazad. Ciuman pertama setelah hampir dua minggu. Aazad tersenyum bahagia.
"Boleh naik tak ni?" Aazad akhirnya membantu Ainan naik ke atas. Ainan tersenyum bahagia. Bahagia dengan sikap romantik yang ditunjukkan suaminya.
Ainan menikmati saat indah itu. Dia cuba untuk mengawal semua emosinya. Biar rasa sakit itu dia terus pendam. Biar apa yang berlaku dia telan sehabisnya kerana dia yakin, Allah SWT takkan menguji jika diluar kemampuannya. Dia tekad. Dia harus kuat. Kuat demi anak-anaknya.
Saat Aazad memberinya kebenaran untuk bekerja, terbuka satu jalan penyelesaian pada masalah yang dia hadapi. Semuanya demi anak-anak.
Ibu mana yang tega melihat anak-anaknya serba kekurangan? Ibu mana yang sanggup? Jika ada sekalipun, pasti ada sebab disebalik kesanggupan itu.
"Seronok tak?" soal Aazad ketika mereka duduk bersantai di tepi pantai. Ainan hanya mengangguk.
"Esok pagi kita balik ye. Abang dah rindu dekat anak-anak." Ainan pandang Aazad. Ada sesuatu yang terbuku di hatinya.
"Rindu ke?" Tanpa sengaja soalan itu meluncur laju di bibir Ainan. Aazad pandang Ainan dengan pelbagai persoalan yang bermain difikirannya.
"Apa maksud Ainan?" Suara Aazad kedengaran tegang.
"Ainan tanya rindu ke? Sebab selama ni abang macam tak peduli je pasal anak-anak." Aazad terkedu. Sungguh tak disangka ayat itu akan keluar dari mulut Ainan. Rasa gembira dan bahagianya tiba-tiba terbang dibawa pergi.
"Sampainya hati Ainan cakap macam tu kat abang. Ainan ingat abang ni apa?" Suara Aazad semakin meninggi. Ainan angkat bahu sambil mencebik. Langsung tidak bersuara. Dia hanya menyuarakan apa yang terbuku di hati.
Aazad menarik kasar tangan Ainan sehingga Ainan jatuh tersungkur. Ainan meringis kesakitan. Air mata mula bertakung ditubir matanya.
"Bangunlah!" jerkah Aazad. Ainan sedikit pun tidak bergerak. Melihat tangan Aazad yang mengawang ke udara, Ainan terus menekup kepalanya.
Aazad tersentak lalu menurunkan tangannya semula. Tindakan di bawah sedar. Aazad tidak pernah naik tangan pada Ainan. Tidak pernah disakiti tubuh badan Ainan. Sikit pun tak pernah. Entah mengapa hari ni, dia naik hantu dengan soalan Ainan.
Ainan angkat kepala apabila dia mampu mengawal emosinya. Jantungnya berdegup laju. Bimbang Aazad memukulnya.
"Sekali abang naik tangan pada Ainan, selamanya Ainan takkan terima abang dalam hidup Ainan. Takkan ada peluang kedua." Ainan terus bangun dan meninggalkan Aazad. Aazad terpana seketika. Sedar akan kekhilafan dirinya.
Ainan menahan air mata sepanjang perjalanan menuju ke bilik penginapan. Sampai saja di dalam bilik, Ainan membuka seluasnya almari baju. Semua pakaiannya direntap lalu disumbat masuk ke dalam beg. Akhirnya dia terjelupuk di tepi katil.
Dadanya berombak laju sehingga tiba-tiba nafasnya seakan tersekat. Dadanya merasa sakit. Dia mula pening. Badannya berpeluh-peluh. Jantungnya berdebar. Ainan cuba bangun untuk mendapatkan air namun, usahanya seakan sukar. Tubuhnya mula menggigil.
Dia diserang panic attack. Antara salah satu sintom anxiety disorder. Nafasnya semakin pendek.
Aazad tiba tepat pada masanya. Terkejut dia melihat keadaan Ainan. Tubuh Ainan dipeluk erat.
"Air..." pinta Ainan. Aazad segera mendapatkan air untuk Ainan. Ainan meneguk perlahan air yang disuapkan oleh Aazad. Nafasnya dikawal sebaik mungkin.
"Ainan nak balik KL hari ni juga." Pinta Ainan dengan nada yang lemah. Sesungguhnya dia amat takut sekiranya Aazad memukulnya.
"Ainan pasti ni? Kita pergi klinik dulu ye?" pujuk Aazad. Tidak betah melihat Ainan begitu.
"Tak nak! Ainan okey." Ainan gagahkan diri untuk bangun. Dia mengemas semua pakaian lalu di masukkan ke dalam beg.
Ainan hanya membatu sepanjang perjalanan pulang. Sesekali Aazad menggenggam erat tangan Ainan.
"Ainan nak tidur." Ainan segera merebahkan kerusi lalu mengiring ke kiri. Dadanya masih terasa sempit namun, dia cuba mengawal. Aazad menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduannya.
??????
"ABANG Aazad call tadi. Kak Ainan kena panic attack. Terus dia minta balik KL. Tu dah dalam perjalananlah agaknya." Syazana mendapatkan kedua ibu bapanya yang sedang santai menonton telemovie. Buntang mata Maimun mendengar kata-kata Syazana.
"Bawa pergi klinik tak tu?" Syazana mengeluh seraya duduk disebelah Maimun.
"Macamlah mak tak tahu akak tu macam mana. Selagi boleh tak nak ke klinik. Abang Aazad ajak ke klinik, dia ajak balik KL. Tu yang balik juga tu. Kan patut esok baru balik." Bahrom hanya memasang telinga. Malas mahu menyampuk.
"Terus balik rumah dia ke macam mana tu?" Maimun menyoal sambil membelai rambut Umairah.
"Entah. Abang Aazad tak bagitahu pula. Dia cuma cakap balik KL hari ni je. Agaknya akak rindu dekat budak-budak ni kot mak. Mana pernah dia berjauhan macam ni dengan anak-anak dia." Syazana membuat spekulasi.
"Ye la tu. Dulu masuk wad nak bersalin pun sampai demam sebab rindukan Dasuki." Maimun malas nak panjangkan kisah Ainan.
Gusar hatinya mengenangkan nasib Ainan. Dulu dah ditegah. Namun, Ainan berkeras. Akhirnya inilah nasib yang diterima Ainan. Bukan dia tidak berkenan pada Aazad. Tetapi status Aazad sebagai suami orang yang buat dia tak berkenan.
Mungkin silapnya juga kerana memulaukan Ainan saat khabar angin mengenai skandal anaknya itu dengan Aazad. Langsung dia tidak beri peluang pada Ainan untuk menjelaskan.
Bila mereka telah buat keputusan untuk bernikah, barulah dia tahu apa sebenarnya yang berlaku. Itu pun apabila dia mendapat tahu Imah bergegas pindah ke kampung halaman.
"Menung apa tu maknya?" Soalan dari Bahrom mengejutkan Maimun.
"Haa... apa dia?" soal Maimun terkulat-kulat.
"Abang tanya, awak menung apa? Dah nak maghrib ni. Pergi siap. Saya nak ke surau." Maimun segera menyerahkan Umairah kepada Syazana. Geleng kepala Syazana dengan telatah emaknya.
"Hello bucuk mummy. Hari ni mama awak balik." Syazana mengagah Umairah yang duduk dipangkuannya.
"Dasuki jaga adik. Mummy nak ambil nasi. Kejap lagi mummy datang balik ye." Dasuki hanya mengangguk mendengar arahan Syazana. Ketawa kecil Syazana melihat reaksi Dasuki.
Syazana segera ke dapur mendapatkan nasi dan juga sup ikan merah. Budak bertiga tu kalau dapat makan sup ikan merah, memang laju.
"Yeay... nasi dah sampai. Meh makan." Syazana menyuakan sesuap nasi ke mulut Dasuki, Safwan kemudian, Umairah. Berselera sekali mereka makan.
Adakalanya Syazana merasa sayu melihat mereka. Betapa tabahnya Ainan membesarkan mereka.
Dulu semasa Ainan masih anak dara, Syazana memang mewah. Apa saja yang diinginkannya pasti akan ditunaikan oleh Ainan. Mintalah apa saja, Ainan tidak pernah menolak melainkan benda tu memang tak mendatangkan faedah.
Setiap minggu pasti Ainan akan membawanya keluar berjalan. Dari lepas Zohor sehinggalah tengah malam.
Kata Ainan, biar dia berpeleseran dengannya dari berpeleseran dengan orang yang tak tentu hala.
Syazana mengeluh. Wajah Dasuki, Safwan dan Umairah direnungnya dalam. Wajah polos mereka sangat mendamaikan.
"Kalau aku pergi dulu, kau pegang amanah aku ni baik-baik. Jaga anak-anak aku ye. Biarlah Abang Aazad kau terus dengan anak-anak dia yang kat sana. Aku tak nak anak-anak aku jadi mangsa. Aku tak nak, anak-anak aku mengemis. Kau ingat tau apa aku cakap ni."
Mengingati itu membuatkan Syazana semakin susah hati. Dia hanya mampu memanjatkan doa agar emosi kakaknya itu stabil.
Share this novel