AAZAD tahu adanya seorang insan yang membuatkan Ainan tersenyum bahagia. Namun, dia tak tahu siapa orangnya.
Aazad mengeluh. Sukar untuknya menerima semua itu. Ainan tak pernah buat onar di belakangnya selama ini, walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan.
Aazad meraup kasar rambutnya. Dia perlu cari tahu siapa orangnya. Dia perlu tahu sejauh mana hubungan mereka.
"Argh..." Aazad menjerit melepaskan tekanan yang bersarang dalam dirinya. Jatuh juga air mata kelakiannya.
Hanya kerana seorang Ainan. Seorang Ainan yang membuatnya tersenyum, yang membuatnya bahagia, yang membuatnya rasa dihargai. Tapi kini, semuanya seakan berubah
Ainan semakin jauh. Ainan semakin dingin. Aazad benar-benar terasa hati dengan perubahan Ainan.
"Zad, okey ke?" soal Alex apabila melihat Aazad seakan tidak peka dengan apa yang berlaku dikelilingnya.
Baru sekejap tadi kontraktor terlanggar pasu bunga berhampiran kolam ikan di pintu utama aparment itu.
Aazad berada tidak jauh dari situ. Tapi, dia sendiri tidak bertindak seperti yang sepatutnya.
"Sorry Alex. Aku serabut sangat. Kenapa?" Aazad serta salah. Dia tahu dia tidak sepatutnya terbawa-bawa masalah peribadi ke tempat kerja.
"Tu... kontraktor langgar pasu besar dekat kolam ikan tu. Habis pecah. Aku dah bawa pergi office untuk bayar ganti rugi. Report nanti aku buat ye. Aku nak pergi rehat dulu. Tolong ganti tempat aku ye." Alex terus berlalu meninggalkan Aazad.
Aazad memerhati Alex sehingga hilang dari pandangannya sebelum berlalu menggantikan tempat Alex.
Telefon bimbitnya dicapai. Jam telah pun menunjukkan hampir pukul 11:00 malam. Masih tiada sebarang Whatsapp dari Ainan.
Dah sampai rumah?
Aazad sabar menanti. Namun, tiada tanda Ainan online. Sepuluh minit berlalu sepi.
Tak balik lagi ke?
Masih juga sepi. Akhirnya Aazad mengambil keputusan untuk menghubungi Ainan.
Namun panggilannya tidak juga berjawab. Aazad menyimpan kembali telefon bimbitnya.
Lima minit berlalu, telefon Aazad berbunyi menandakan dia menerima kiriman Whatsapp.
Dah lama sampai. Ainan baru lepas mandi. Tadi tidurkan anak. Handphone silent tak perasan abang call.
Aazad tersenyum. Moga saja rajuk Ainan telah reda.
Dah makan ke?
Aazad berharap perbualan mereka dapat dilanjutkan. Rindu benar dia pada Ainan.
Dah. Ainan nak tidur. Esok Ainan masuk morning. Selamat malam.
Aazad mengeluh. Hampa lagi. Aazad membuka gallery telefonnya. Satu persatu gambar Ainan dilihatnya semula.
Dari wajah yang sentiasa dihiasi senyuman sehinggalah ke wajah yang semakin hilang serinya. Lama Aazad perhatikan gambar terbaru Ainan yang berada dalam koleksinya.
Ya... gambar yang tiada lagi senyum. Aazad terasa betapa dirinya telah gagal. Gagal dalam menjalankan tanggungjawab untuk membahagiakan Ainan.
'Adakah aku seorang lelaki yang gagal?' Aazad merintih di dalam hati.
Sesungguhnya dia merasa terbeban dengan situasi sekarang. Dia rasa tidak berdaya. Apatah lagi apabila teringat kembali peristiwa beberapa hari lalu.
Senyuman kebahagiaan yang jelas terpancar di wajah Ainan. Namun, bukan dia insan yang membuatkan Ainan tersenyum bahagia.
'Ainan... masihkah ada abang di hati Ainan?' Aazad meraup kasar rambutnya.
Terasa ingin sekali dia memeluk Ainan ketika itu. Andai saja dia mampu pulang ke rumah.
"Zad..." Nyaring sekali suara Alex mengejutkan Aazad dari menung yang panjang.
"Kau baliklah. Kerja dengan keadaan macam ni pun susah tau. Esok tak payah datang. Cuti sehari dua." Aazad menggeleng. Mana mungkin dia cuti.
"Baliklah. Jangan risau. Bos pun suruh aku halau kau balik. Kesian dia tengok kau macam ni. Apa pun masalah kau, selesaikan elok-elok." Alex menepuk lembut bahu Aazad.
Akhirnya Aazad akur setelah berulang kali Alex memujuknya. Terus saja Aazad pulang ke rumah.
Sampai saja di rumah, Aazad merenung wajah Ainan. Jelas hanya kesedihan yang menghuni wajah Ainan ketika itu. Aazad terduduk lesu. Ainan langsung tidak menyedari kepulangannya.
Usai membersihkan diri, Aazad terus baring disebelah Ainan. Tangan kirinya kemas melingkar ke pinggang Ainan.
Ainan yang terkejut dengan tindakan Aazad dengan secara spontan telah menyiku Aazad. Tidak cukup dengan itu, satu tumbukan dilepaskan tepat ke arah perut Aazad sebelum dia melompat turun dari katil.
Merengkot tubuh Aazad menahan senak di perutnya. Ainan segera menekan suiz lampu untuk melihat siapakah gerangan yang berani menceroboh masuk ke rumahnya.
Ainan tutup mulut dengan kedua tapak tangan apabila melihat Aazad yang berada dikatil. Kelam kabut Ainan mendapatkan Aazad.
"Abang, Ainan minta maaf. Ainan tak tahu abang dah balik. Ainan ingat orang ceroboh masuk rumah." Ainan cuba membela diri namun, Aazad masih lagi menahan senak tanpa berkata sepatah pun.
Ainan serba salah. Diraihnya Aazad ke dalam pelukanya.
"Ainan minta maaf. Ainan betul-betul tak sengaja." Menitik air matanya melihat Aazad menahan sakit.
Aazad terkedu melihat air mata Ainan. Mendengar esakkan Ainan buat hati Aazad dipalu resah. Sedaya upaya dilawan rasa senak yang menyerang.
"Ainan... jangan nangis. Bukan salah Ainan. Ainan cuma terkejut je." Aazad memujuk bagi meredakan tangisan Ainan. Namun pelukan Ainan pula semakin erat.
Share this novel