PEJAM celik, Ainan berjaya melalui tempoh percubaan sebagai pembantu penyelia. Malah dia telah pun disahkan jawatan.
Ainan semakin gembira dengan kehidupannya. Gembira apabila dapat memenuhi keperluan anak-anaknya. Malah gembira apabila dapat membelikan sesuatu untuk anak-anaknya.
Dua bulan lepas, Aazad sekali lagi terpaksa turun naik mahkamah atas satu lagi tuntutan tunggakan nafkah. Ainan malas mahu ambil pusing. Terasa tuntutan yang tak masuk akal. RM67,800 bukanlah satu jumlah yang boleh diterima akal. Apatah lagi Aazad bukanlah seorang yang bergaji besar.
"Laki kau naik mahkamah, kan hari ni?" Liza menyoal apabila melihat Ainan mula merehatkan badannya seketika. Terasa lenguh punggung apabila duduk terlalu lama.
"Haah kak. Entah bila nak habis pun tak tahulah. Jenis tamak haloba kan, macam tu lah. Masa laki tak buat perangai tuduh macam-macam. Tak memasal, saya terpalit sama." Banyak yang Liza tahu mengenai hidup Ainan. Mereka menjadi sangat akrab sejak Ainan dinaikkan pangkat.
"Tapi aku nak gelak pun ada. Macamlah laki kau tu gaji besar. Minta banyak-banyak macam tu." Liza ketawa lucu.
"Tu satu hal kak. Yang satu hal lagi, tuntutan nafkah anak tu. Yang dah kahwin pun dia tuntut. Yang patut jadi bawah tanggungan laki saya, dua orang je kak. Ni dia tuntut untuk enam orang. Memang tepuk dahi saya bila baca saman dia." Ainan mencapai botol air lalu diteguk untuk membasahkan tekak yang sedikit kering.
"Ada juga orang macam tu. Bekas laki aku pun tak bagi nafkah. Dulu masa dengan aku, aku yang tanggung dia. Aku malas nak turun naik mahkamah. Nanti dekat akhirat, jawab sendirilah. Apa yang patut dia tanggung tapi dia abaikan." Liza meluahkan rasa.
Liza mempunyai dua orang anak, yang sulung sudah bekerja. Yang bongsu masih dibangku sekolah.
Telefon bimbit Ainan berbunyi mematikan perbualan antara Ainan dan Liza.
"Kejap ye kak." Ainan terus menjawab panggilan yang diterimanya.
"Hello... ye." Ainan tersenyum. Sejak akhir-akhir ni hubungan mereka semakin akrab. Ridhwan mula tahu serba sedikit mengenai masalah rumahtangga Ainan.
"You, I nak barcode. I dah send gambar dekat whatsapp. Nanti tolong ye," pinta Ridhwan mengharap.
"Okey. I cari dulu. Bye." Ainan terus memutuskan talian. Whatsapp kiriman Ridhwan dibukanya. Meluru Ainan menuju ke bahagian kosmetik mencari barcode barang yang diminta oleh Ridhwan.
Out of stock.
Ringkas kiriman whatsapp yang dihantar kepada Ridhwan setelah dia puas mencari.
"Kak, invoice feedback semua saya dah siapkan. Tinggal nak siapkan assignment je. Nanti akak tolong sambung boleh tak?" Ainan mendapatkan Liza semula.
"Aku dah siapkan dah. Jangan risau." Liza tersenyum. Dia senang bekerja dengan Ainan. Tak perlu disuruh, tau-tau siap je kerja. Melainkan dia tak sempat buat, pasti akan dimaklumkan kepada Liza.
"Saya nak balik dah ni. Jumpa lusa tau." Ainan mencapai beg galasnya sebelum melangkah keluar untuk pulang.
Ainan singgah di pasaraya Giant untuk membeli sedikit barang dapur. Mujur saja masih berbaki gajinya. Selalu hampir hujung bulan begini, Ainan terpaksa ikat perut.
Memandangkan esok dia cuti, Ainan merancang untuk membakar kek marble buat anak-anaknya.
Usai mendapatkan barangan yang diperlukan, Ainan segera menaiki teksi untuk pulang. Aazad tidak dapat menjemputnya kerana terus ke Setia Alam sebaik selesai urusan di mahkamah syariah tadi. Ainan malas untuk bersoal jawab.
"Sya, nanti tolong hantar budak-budak kat bawah blok boleh tak? Akak beli barang ni. Malas nak berangkut naik atas." Ainan menghubungi Syazana sebaik saja dia masuk ke dalam perut teksi.
"Akak terus balik jelah. Nanti Sya hantar diaorang dekat rumah. Lagi pun, Safwan tidur." Tepuk dahi Ainan dibuatnya.
"Dah magrib ni tidur?" Syazana ketawa mendengar soalan Ainan.
"Dia menangis tadi. Nampak lipas terbang. Puas pujuk, alih-alih terlelap. Tak apalah. Akak balik je. Rehat okey. Nanti Sya hantar diaorang balik."
"Okeylah. Jumpa nanti." Talian terus dimatikan.
Ainan merenung telefon bimbitnya. Whatsapp terakhir yang diterimanya dari Aazad kira-kira pukul satu tengah hari tadi mengatakan dia sudah selesai perbicaraan dan akan ke Setia Alam. Selepas pada itu, tiada langsung kiriman Whatsapp yang diterima dari Aazad.
Usai menjelaskan tambang teksi, Ainan segera menunggu lift. Dia tidak sabar untuk mandi. Bukan selalu dapat mandi dengan aman tanpa gangguan dari anak-anaknya. Ainan hampir menjerit apabila terasa lengannya dipegang oleh seseorang.
"Kenapa tak cakap balik lambat?" Suara Aazad kedengaran dingin.
"Oh.. malas nak kacau. Abang pun senyap je. Ainan tak naklah menyibuk. Tak ada pun cakap nak ambil Ainan ke, dah sampai Setia Alam ke. Ainan bukannya pergi mana. Beli barang dapur sikit. Kat rumah tu apa barang pun dah tak ada," bidas Ainan sakit hati.
"Makin kuat menjawab sekarang, kan?" Ainan mengeluh. Malas mahu terus berbalah. Apatah lagi mereka berada diluar rumah.
Ainan terus meloloskan dirinya masuk ke dalam lift sebaik saja pintu lift terbuka. Hatinya berbuku geram. Tangan yang penuh dengan barang langsung tidak dihiraukan Aazad.
Sampai saja ke tingkat rumahnya, Ainan segera meloloskan diri masuk ke dalam rumah. Barang-barang yang dibelinya tadi diletakkan di atas meja.
"Kenapa tak bagitahu balik lambat? Kan abang boleh ambil kalau bagitahu." Ainan tarik nafas panjang. Semakin tidak faham dengan sikap Aazad.
"Abang ingat Ainan ni Nujum Pak belalang? Boleh tahu abang dekat mana? Cukuplah abang. Ainan penat." Ainan masih cuba untuk mengalah. Dia tidak mahu bertekak dengan Aazad.
"Ainan dah berubah sejak Ainan kerja ni." Aazad tidak mahu beralah. Ainan geleng kepala.
"Ainan masih Ainan yang abang kenal. Cuma mungkin hati Ainan dah semakin tawar. Kalau abang nak ajak berdebat juga pasal isu Ainan balik lambat ni, okeylah. Ainan ikutkan." Ainan berdiri mengadap Aazad. Whatsapp dari Aazad disuakan ke depan muka Aazad.
"Itu whatsapp terakhir yang abang bagi Ainan. Ada bagitahu dah sampai Setia Alam? Tak ada. Ada bagitahu abang dah balik? Tak ada. Ada tanya Ainan balik macam mana? Langsung tak ada! Lepas tu abang nak bising-bising dekat Ainan tak bagitahu abang yang Ainan balik lambat. Abang ingat Ainan ni apa?"
Turun naik dada Ainan menahan marah. Aazad diam membungkam. Dia kehilangan kata-kata.
"Kalau Ainan whatsapp atau call masa abang dengan bini kesayangan abang tu, abang marah Ainan. Ni Ainan langsung tak ganggu. Tak kisah apa pun abang nak buat dengan dia. Ainan juga kena marah. Kalau abang dah bosan dengan Ainan, baliklah dekat bini kesayangan abang tu. Ainan tak hairan! Ainan boleh hidup tanpa abang." Ainan menghamburkan sekali lagi kemarahannya sebelum berlalu masuk ke dalam bilik.
Sakit hatinya dengan sikap Aazad. Serba serbi salah apa yang dibuat. Ainan mencapai tuala lalu melangkah masuk ke dalam bilik air. Ainan menangis semahunya.
Share this novel