IMAH jadi tak tentu arah. Ke hulur ke hilir dibuatnya. Sakan berjoli akhirnya dia buat pinjaman. Tanpa sedar, bunga semakin tinggi. Pokok tak juga turun-turun. Imah buntu.
Dia harus langsaikan segera hutang itu. Dalam masa yang sama dia tak mahu kehilangan Zul. Anak muda yang sentiasa menjadi bualan teman-temannya.
Mereka masing-masing bersaing untuk mendapatkan Zul. Nasib menyebelahinya. Dengan sedikit kemewahan yang diperolehi dari Aazad, Imah berjaya menambat hati Zul.
Namun ketika setahun lebih Aazad tidak memberinya nafkah, Imah terpaksa membuat pinjaman pada ceti demi menampung perbelanjaan Zul.
Kereta yang dimiliki Zul juga adalah hasil dari duit pinjaman dan juga nafkah yang diberikan oleh Aazad buat dirinya dan anak-anak.
Kereta Proton Saga BLM itu dibeli atas nama Zul. Namun deposit dan juga bulanan, Imah yang bayar. Zul hanya perlu mengikut kata Imah.
Memberi perhatian dan kasih sayang. Hanya itu yang Imah perlukan. Jiwanya ketandusan kasih sayang. Batinnya mengharapkan belaian.
Imah lupa satu perkara. Dirinya yang masih bergelar isteri orang. Dia langsung tidak rasa bersalah dengan apa yang dilakukan. Bagi Imah, dia juga punya hak untuk bercinta dengan sesiapa saja. Akhirnya cinta itu menjeratnya.
Entah dari mana tiba-tiba muncul satu idea yang dirasakan boleh diterima pakai. Imah tersenyum bangga. Kemenangan pasti berpihak kepadanya lagi.
"Kak, aku nak ke KL lusa. Kau nak ikut sekali tak?" Imah terus menyoal Yani yang sedang ralit menonton drama melayu.
"Budak-budak tak sekolah ke?" Imah angkat kening seraya tersenyum.
"Pontenglah. Bukan selalu." Yani geleng kepala mendengar jawapan Imah.
"Kau pergilah sorang. Aku malas. Nak bawa anak kau yang berderet-deret tu lagi." Mencerlung Imah memandang Yani.
"Tak nak ikut sudah. Aku pergi sendiri. Kau tolong tengokkan budak-budak tu." Imah malas bertelagah. Lagi pun, Yani memang tidak betah meninggalkan rumah itu.
"Kau nak buat apa pergi sana?" Yani menyoal setelah hampir setengah jam masing-masing berdiam kerana ralit melayan drama.
"Aku nak pergi mahkamah." Berkerut dahi Yani mendengarnya. Badannya dipusingkan mengadap Imah.
"Bukan ke dah selesai? Bukan Aazad dah bayar ke semuanya?" Yani penasaran.
Imah tersenyum penuh makna. Dia pasti Yani akan menyokong rancangannya. Bukan hanya Zul yang merasa duit Aazad. Yani juga puas berjoli dengan duit yang Imah terima.
"Aku nak buat tuntutan lagi. Tuntutan nafkah anak semua." Buntang mata Yani mendengarnya.
"Kau biar betul." Imah tersenyum. Kali ini dia yakin dia pasti menang lagi.
Imah sudah mula terbayang duit yang bakal dia terima dalam kepalanya sudah mula mencongak. Dia akan membuat tuntutan sepanjang tempoh Aazad bernikah dengan Ainan.
Yani hanya memandang Imah yang mula berangan. Sesekali jelas kelihatan senyuman kemenangan di bibirnya.
'Lantak kaulah nak buat apa pun. Yang penting, aku dapat bahagian aku.' Yani mengalihkan semula tumpuannya pada drama yang sedang ditayangkan dikaca televisyen.
??????
RIDHWAN termenung. Entah mengapa dia sentiasa terbayangkan Ainan. Semenjak pertemuan pertama mereka, Ridhwan akan mencari pelbagai alasan untuk berinteraksi dengan Ainan. Walau pun, ianya hanya berkaitan dengan kerja mereka.
"Hoi... tersengih-sengih macam kerang busuk. Angau eh?" Sergahan dari Zuraidah melenyapkan bayangan Ainan yang bermain di mata Ridhwan.
"Ish... Miss Zu ni. Buat terkejut saya je. Mujur takde sakit jantung tau. Kalau tak, arwah dah saya ni." Zuraidah ketawa mengekek.
"Dah tu, saya panggil banyak kali tak dengar. Ni nak minta tolong hantar ni ke GGW. Boleh tak? Bagi pada Ainan." Mendengar nama Ainan, Ridhwan terus setuju.
Tanpa berlengah dia segera mengambil kotak kecil yang diberikan oleh Zuraidah.
"Saya gerak dulu." Ridhwan tersenyum gembira. Akhirnya dapat juga jumpa lagi.
Ridhwan terus mendapatkan motornya dan memecut laju menuju ke Kayangan Mall.
Sampai saja di Kayangan Mall, Ridhwan tersenyum lebar. Jelas terpancar sinar kebahagiaan di wajahnya.
"Hai..." Tanpa salam, Ridhwan terus menerjah Ainan yang sedang leka menyusun barang. Maka, terkeluarlah kata-kata yang tidak manis dari mulut Ainan akibat terkejut.
Ridhwan ketawa mengekek melihat reaksi Ainan. Terus berubah masam mencuka wajah Ainan.
"You ni, kan..." Tanpa sedar Ainan menampar bahu Ridhwan. Semakin berbunga hati Ridhwan melihat keletah Ainan.
"Sibuk ke?" soal Ridhwan apabila Ainan menyambung semula kerja.
"Kejaplah. Sikit je lagi ni. Tunggu ye." Ridhwan hanya memerhatikan Ainan melakukan kerja. Lima minit berlalu, akhirnya Ainan tersenyum puas.
"Okey. Dah siap." Ainan tersenyum manis memandang Ridhwan.
"Nah... Miss Zu suruh I bagi ni dekat you." Ainan terus mencapai kotak yang dihulurkan lalu mengucapkan terima kasih.
"Barang apa tu?" Ainan hanya tersengih lantas melangkah menuju ke arah stor.
Tidak puas hati dengan reaksi Ainan, Ridhwan segera mengejar Ainan.
"Sampai hati you tak jawab soalan I." Ridhwan buat-buat merajuk. Ainan memandangnya pelik.
"Ni barang own use. Takkan Miss Zu tak bagi tahu." Ainan melabuhkan punggungnya ke atas bangku di depan meja komputer.
Betisnya yang terasa lenguh dipicit-picit. Ridhwan hanya memerhatikan gerak geri Ainan.
"Nak I tolong ke?" Ainan angkat kepala memandang Ridhwan. Tak berkelip matanya.
"Nak tak?" soal Ridhwan sekali lagi. Ainan segera menggeleng.
"Okeylah. I balik dulu ye. Ada masa jumpa lagi. Take care." Ridhwan segera berlalu. Senyuman tak lekang dari bibirnya.
Share this novel