AAZAD berang apabila dia pulang, tiada siapa di rumah. Kebiasaannya Ainan pasti akan memaklumkan kepadanya jika ingin ke mana-mana. Tapi hari ni, dia langsung tidak dimaklumkan.
Usai membersihkan diri, Aazad segera ke dapur. Lauk dipanaskan, lalu nescafe dibancuh.
'Cuti pun tak duduk rumah. Merayau entah kemana, langsung tak minta izin.' Sebal hati Aazad dengan sikap Ainan.
Aazad menyenduk nasi dan lauk ke dalam pinggan, lalu di bawa ke meja makan.
"Assalamualaikum." Salam diberi. Ainan yang sedang mengendong Safwan dan Umairah kelihatan kemengahan. Mana tidaknya terpaksa mendukung kedua-duanya naik tangga kerana lift rosak.
"Merayap ke mana?" soal Aazad tanpa menjawab salam Ainan. Ainan pula hanya membiarkan sambil lalu soalan Aazad.
Mengah naik tangga belum lagi hilang. Dah nak kena hadap kepala angin Aazad yang tak tentu hala. Dasuki berlari masuk ke dalam bilik apabila melihat wajah berang Aazad.
"Ainan penat. Naik tangga dukung anak-anak. Nak bersoal jawab sekali pun, habiskan makan tu dulu. Kesian sikit dekat Ainan. Ainan bukannya robot," bidas Ainan geram dalam kemengahan. Aazad menghadiahkan jelingan tajam buat Ainan.
Ainan tarik nafas panjang. Bayangkan naik tangga ke tingkat dua belas. Mana tak mencungap. Safwan duduk menonton TV, manakala Umairah telah lena diulit mimpi.
"Ainan ke mana? Keluar tak bagi tahu?" soal Aazad sebaik saja meletakkan punggung disebelah Ainan. Bahu Ainan diusap lembut. Timbul rasa simpati apabila melihat wajah Ainan yang kemerahan dan nafas yang mencungap.
"Ainan pergi rumah mak, siang tadi teman Sya pergi Kenanga. Ainan dah call abang berpuluh kali tak ada satu pun yang lepas. Siap Whatsapp lagi bagitahu," terang Ainan tanpa sebarang rasa. Dari semalam asyik kena marah membabi buta je.
"Ainan jangan nak tipu abang. Mana ada Ainan call ke Whatsapp ke. Tak ada pun. Abang bukannya off handphone!" Marah Aazad.
Ainan menghelakan nafas berat. Telefon bimbit dicapai. Lalu dibukanya log panggilan.
"Ni bukti Ainan call abang. Semua masuk voicemail. Nampak tak?" Ainan buka pula aplikasi Whatsapp.
"Ni bukti Ainan Whatsapp abang. Bila keluar, bila sampai. Detail. Tak miss satu pun. Siap pesan tolong ambil Ainan bawah blok rumah ayah lagi. Tapi satu pun tak lepas kat abang. Sekarang ni cuba abang cakap masih salah Ainan lagi ke?" Nada suara Ainan mula sebak.
Dari semalam Aazad tak sudah mencari salahnya. Dia sendiri tak tahu apa sepatutnya dilakukan. Serba serbi salah dan tak kena di mata Aazad.
Aazad tidak puas hati, dicapai pula telefon bimbit yang terletak di atas meja makan. Memang seharian telefonnya tidak berbunyi. Jangankan panggilan, apa mesej pun tak masuk.
"Nampak? Tak ada masuk pun." Aazad menunjukkan telefon bimbitnya pada Ainan. Ainan mencapai telefon Aazad lalu memeriksanya.
"Abang ni, kan..." Ainan menepuk lembut bahu Aazad seraya menggeleng kepala.
"Salah sendiri, lepas tu nak meroyan marahkan Ainan." Ainan segera menutup mood penerbangan pada telefon Aazad.
"Kot ye pun nak boikot Ainan, offlah balik flight mood ni." Ainan menghulurkan semula telefon kepada Aazad sebelum dia melangkah ke dapur.
Aazad mengusap belakang lehernya. Berdesup-desup bunyi notifikasi Whatsapp dan SMS masuk. Aazad melangkah ke dapur. Ainan yang sedang meneguk air sejuk memandang muka Aazad penuh kehairanan.
"Esok kerja bila?" soal Aazad lembut.
"Esok Ainan masuk tengah hari. Kenapa?"
"Takde apa. Saja tanya." Aazad meninggalkan Ainan di dapur lalu menuju bilik.
Safwan segera bangun mengekor Aazad masuk ke dalam bilik. Ainan sekadar mengintai dari dapur.
"Saf pergilah depan. Ayah nak rehatlah. Ayah penat baru balik kerja." Ainan mengeluh mendengar kata-kata Aazad pada Safwan.
Terkedek-kedeklah Safwan berjalan mendapatkan Ainan.
"Ma, ucuk." Safwan menunjuk ke arah punggung seraya menutup hidup. Faham benarlah apa yang ingin Safwan sampaikan.
Usai menguruskan Safwan ke bilik air. Ainan segera membancuh sebotol susu buat Safwan.
"Nah, pergi masuk bilik." Tekedek-kedek Safwan berlari masuk ke dalam bilik.
Ainan menjengah Dasuki di dalam bilik. Entah apa yang dibuatnya.
"Suki buat apa?" Ainan berdiri di belakang Dasuki.
"Lukis ni." Ainan mencapai kertas lukisan yang dihulurkan oleh Dasuki. Lukisan keluarga. Hati Ainan sedikit tersentuh.
"Suki lukis gambar siapa ni?" Ainan sengaja menduga.
"Ni mama, mummy, Safwan dengan Umairah." Dasuki menerangkan sambil tersenyum.
"Cantik. Tapi ni dah malam. Suki tidur dulu. Esok nak sekolah." Aina mengusap lembut rambut Dasuki.
Dasuki segera mengemas alat menulis dan mewarnanya sebelum menyalami Ainan.
"Selamat malam, mama." Satu kucupan dihadiahkan dikedua-dua pipi Ainan.
Sebaik saja Dasuki naik ke atas katil, Ainan segera menyelimutkan badan Dasuki lalu mengucup dahinya sebelum berlalu keluar.
Ainan leka menonton telemovie ketika Safwan duduk dipangkunya.
"Aik, tak tidur lagi?" soal Ainan seraya mengusap rambut Safwan. Safwan diam membatu. Tak sampai setengah jam, akhirnya Safwan lena dipangkuan Ainan. Ainan tersenyum bahagia melihat Safwan.
Suiz TV dimatikan, lalu dia mengangkat Safwan masuk ke dalam bilik. Aazad masih leka dengan telefon bimbit. Tanpa sebarang kata, Ainan terus melelapkan matanya.
??????
RIDHWAN merenung telefon bimbitnya. Seharian tanpa suara Ainan, hidupnya terasa tidak lengkap. Whatsappnya juga tidak dibaca oleh Ainan. Terasa tersiksa jiwa raganya.
'Tak apalah. Esok boleh call dia.' Ridhwan memujuk dirinya sendiri.
Ridhwan segera ke dapur untuk memanaskan lauk yang telah dimasak oleh rakan serumahnya pagi tadi.
Mujurlah ada yang sudi tolong masak. Jika tidak, jawabnya makan di kedai jelah.
Usai menjamu selera, Ridhwan terus masuk ke dalam bilik. Perkara yang paling disukainya apabila dapat berbual dengan kucing kesayangannya.
Sedang ralit melayan Si Comel, pintu biliknya diketuk kuat.
"Hoi, sabarlah. Macam nak roboh ketuk pintu tu," marah Ridhwan. Bingit telinganya.
"Ha... apa hal?" soal Ridhwan kasar.
Figura di depannya tersengih macam kerang busuk.
"Nak minta tolong sikit boleh?" soal Karim. Ridhwan hanya mendiamkan diri.
"Tolong belikan burger. Aku laparlah."
Pap!
Ridhwan menepuk dahi Karim yang jendul lagi luas itu. Dah macam padang golf dah rupa kepala Karim.
"Engkau kalau nak makan burger, pergi beli sendiri. Pemalas! Nasi aku dah masak, lauk pun aku dah panaskan. Dari kau melantak burger tu, baik kau pergi makan nasi kat dapur. Dah, jangan kacau aku."
Karim mencebik sebaik saja Ridhwan menutup pintu biliknya.
'Ala... nak manja-manja sikit pun tak boleh. Menyampah'
Karim terus berlalu ke dapur. Sebenarnya dia tak nak pun makan burger. Sedap lagi makanan yang dimasaknya.
Tapi entah mengapa sejak kebelakangan ini, Ridhwan seakan suka menyendiri. Lama dah mereka tak berbual bersama. Jika ada hal penting sekali pun, hanya Whatsapp yang menjadi penghubung mereka.
'Buat nama je duduk serumah. Tapi serupa duduk jauh. Buang tabiat gamaknya Wan ni.'
Karim masih lagi melepaskan rasa geram yang terbuku di hatinya. Dahi yang terasa perit, diusapnya perlahan.
'Tak guna kau, Wan. Takpe, ada ubi ada batas, ada lori ada bas, ada hari aku balas. Siaplah kau.'
Share this novel