AAZAD jadi tidak keruan. Pertengkaran dengan Ainan beberapa malam yang lalu benar-benar mengganggu tumpuannya.
"Kalau abang dah tak sayang Ainan. Jangan siksa hidup Ainan. Lepaskan Ainan."
Acap kali kata-kata Ainan bermain dipendengarannya. Sungguh Aazad tidak menyangka Ainan tergamak berkata begitu.
Aazad melihat Whatsapp. Tertera perkataan online pada status chat Ainan namun, tiada satu mesej pun yang diterima Aazad.
Malah kesemua mesej yang dihantar kepada Ainan hanya diberikan bluetick. Ada tak ada pun, Ainan akan menjawab sepatah.
Tiada lagi mesej-mesej manja yang diterima dari Ainan. Aazad mengeluh kecewa. Dia segera bersiap. Dia ingin bertemu Ainan sebelum menuju ke tempat kerja.
Dua minggu dia terpaksa bekerja shif malam. Ini membuatkan dia dan Ainan semakin jarang berjumpa.
Setelah bersiap, Aazad bergegas ke tempat kerja Ainan. Besar harapannya untuk melihat senyuman di wajah Ainan.
Namun ketika dia berada di depan stor, dia terdengar Ainan berbual dengan seseorang.
"Kalau nak jumpa. Hari ni dia kerja malam."
"Ikutlah... kalau tak, I terus balik je."
Senyap sunyi. Tiada lagi kedengaran suara Ainan. Aazad masih menanti di hadapan pintu stor.
Ainan melangkah keluar sambil mengukir senyuman di bibir. Jelas terpancar kebahagiaan di wajah Ainan.
"Happy nampak." Aazad menegur apabila Ainan tidak perasan kehadirannya.
Mati terus senyuman di bibir Ainan. Segera dia menarik lengan Aazad untuk keluar dari kedai.
"Ada apa datang?" soal Ainan. Tiada langsung kemanisan di wajahnya.
"Ai... nak datang jumpa bini sendiri pun tak boleh dah?" Aazad bersuara sinis.
"Tak apalah. Abang pergi kerja dulu." Aazad terus berlalu meninggalkan Ainan.
Hati Aazad terluka.
Siapa?
Siapa dia yang membuatkan Ainan tersenyum bahagia?
Kusut. Itulah perasaan yang bergolak dalam hati Aazad.
Ainan curang ke?
Pelbagai soalan bermain difikirannya.
'Argh....' Hati Aazad menjerit hebat.
'Tak mungkin Ainan curang.'
'Kau yakin?' Satu suara berbisik. Aazad kerut dahi.
Yakinkah dia bahawa Ainan tidak berlaku curang sedangkan selama ini dia sering membayangkan Ainan bersama lelaki lain.
Aazad meraup kasar wajahnya. Perasaannya tidak menentu.
"Abang jangan suka sangat nak tuduh Ainan macam-macam. Jangan sampai Ainan bawa jantan lain depan abang. Lagi Ainan diam, lagi menjadi-jadi abang cakap pasal Ainan. Ingat Ainan takde maruah?"
Itu kata-kata terakhir Ainan beberapa bulan sebelum Ainan bekerja. Sejak dari itu, dia mengunci mulutnya dari mengatakan Ainan punya lelaki lain.
"Engkau dah menyedap. Kiri kanan depan belakang. Sampai lima orang jantan kau layan."
Aazad menghentak tangannya ke stering kereta. Itu ayat yang buat Ainan rasa terhina satu masa dulu.
"Abang ingat Ainan ni apa? Takde maruah? Takde harga diri? Takpe. Ainan akan ingat sampai mati apa yang abang cakap ni. Jangan sentuh Ainan lagi."
Aazad tersandar lesu. Berjauhan dengan Ainan ketika itu benar-benar membuatnya gila. Tapi kerana tanggungjawab terhadap anak yang sedang koma, Aazad terpaksa meninggalkan Ainan buat seketika.
Tapi, apa yang Ainan dapat ketika mereka berjauhan hanyalah kata-kata hinaan darinya.
'Oh tuhan... adakah ini balasan atas segala kata-kataku selama ini? Ya Allah, KAU peliharalah hati isteri ku agar tidak menduakan aku.' Aazad merintih hiba.
* * * * *
AINAN terkedu. Sebaik saja melangkah keluar dari Kayangan Mall, Ridhwan telah sedia menantinya.
"Dah lama sampai?" soal Ainan seraya melabuhkan punggung pada kerusi menunggu yang terdapat di hadapan pusat membeli belah itu.
"Tak lah. Baru je sampai." Ridhwan menghulurkan Ais Krim Magnum kepada Ainan.
Senyum lebar Ainan apabila melihat ais krim kegemarannya.
"Macam tau-tau je." Ridhwan ketawa mendengarnya.
"I kan Nujum Pak Belalang." Ainan pula ketawa.
"You okey?" Ridhwan sedar akan mendung di wajah Ainan. Walau sedaya upaya disembunyikan dengan senyuman.
"Okey je." Ainan tayang sengih.
Ridhwan terdiam. Hanya memerhati Ainan yang berselera menjamah ais krim.
"Nak ke?" soal Ainan. Ridhwan pula dengan spontan mengigit ais krim yang disuakan Ainan. Ainan terkedu.
"Manis... macam you." Ainan jungkit kening.
"Ais krim ni memang manislah. Pickup lines you tak sampai," ujar Ainan selamba.
Laju jantung Ainan berdegup. Dalam kepalanya terbayang Aazad. Bagaimana jika Aazad tahu mengenai kemesraannya dengan Ridhwan?
Bukan ini kemahuannya, tapi dia sendiri tidak mampu mengawal perasaannya. Apatah lagi apabila Ridhwan lebih peka akan keadaan dirinya jika nak dibandingkan dengan Aazad.
Tak banyak yang mereka bualkan. Ridhwan lebih berminat untuk tahu mengenai kehilangan Ainan beberapa hari yang lalu.
Mendengar cerita Ainan, Ridhwan yang panas hati. Apatah lagi Ainan yang melaluinya. Ridhwan terlalu sayangkan Ainan, dia hanya ingin melihat Ainan bahagia walau dengan siapa pun.
"Dia tu suami. Macam mana pun, dia tak boleh abaikan you dengan anak-anak." Ainan mengeluh. Kalaulah semudah berkata-kata, pasti dia tak perlu melalui semua itu.
"You pun janganlah ikut perasaan sangat. Fikir sama anak-anak tu. Jangan fikir diri you je." Ainan tahan air mata.
Bukan dia tidak memikirkan anak-anaknya. Kerana memikirkan merekalah Ainan bertindak menghilangkan diri seketika.
"I ada depression. Kalau I tak fikirkan anak-anak, I takkan keluar malam tu. I takkan menghilangkan diri. Tapi I fikirkan anak-anaklah I buat macam tu. I sendiri tak boleh duga apa tindakan I." Kali ini Ridhwan terdiam. Terkejut mendengar pengakuan Ainan.
"Bersungguh I lawan. I tak nak bergantung pada ubat. Tapi kalau dah selalu sangat macam ni, you rasa macam mana? Agaknya kalau I mati baru semua puas hati." Ainan menunduk.
Buat pertama kalinya orang luar mengetahui masalahnya yang satu itu.
"You tak jumpa kaunseling?" Ainan tersenyum kelat seraya menggeleng.
"Dah jangan fikir. Jom, I hantar you balik." Ainan menggeleng.
"Tak apa. I balik sendiri. Tak jauh pun. Lagi pun, tak elok kalau orang nampak." Ainan cuba menolak cara baik.
"Okey. I balik dulu. Nanti dah sampai rumah bagitahu." Ainan mengangguk sebelum melihat Ridhwan berlalu pergi.
Share this novel