SYAZANA ketawa riang melihat telatah Safwan. Umairah yang dikendong sesekali dicuit.
"Ais krim." Safwan tunding jari ke arah kedai sambil bercakap dengan pelat.
"Okey." Syazana tersenyum lalu melangkah masuk ke dalam kedai.
Usai membeli ais krim buat Safwan, Syazana terus membawa mereka pulang ke rumah Ainan.
"Assalamualaikum." Syazana mengetuk pintu. Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi. Mana mungkin Ainan masih lena.
Beberapa minit kemudian kelihatan Ainan yang serabai membuka pintu. Tercengang Syazana melihat keadaan Ainan.
"Ya Allah, kak. Apa kena kau ni?" Geleng kepala Syazana dengan penampilan Ainan. Dia segera masuk ke dalam rumah tanpa menunggu pelawaan Ainan.
Umairah diletakkan di ruang tamu. Safwan berdiri di depan pintu sambil menikmati ais krim Padle Pop yang dibeli oleh Syazana tadi.
Ainan menguap besar memerhati tingkah Syazana. Mata yang masih terasa pedih digosok.
"Nak?" Safwan mempelawa Ainan. Ainan tersenyum seraya menggeleng. Ainan membetulkan rambutnya yang serabai sambil menemani Safwan makan.
"Akak, pergi mandi. Apa teruk sangat akak pagi ni?" bebel Syazana. Ainan yang malas mendengar bebelan Syazana segera masuk ke dalam bilik untuk mengambil tuala mandi.
Syazana segera mencuci tangan dan mulut Safwan sebaik saja Safwan menghulurkan batang ais krim kepadanya.
"Comotnya. Jom tukar baju." Syazana masuk ke bilik Dasuki yang menempatkan almari pakaian Safwan. Berkerut dahi Syazana melihat keadaan katil yang berselerak.
Hatinya mula berasa gundah. Mudahan saja tak ada sebarang masalah antara Ainan dan Aazad. Adakalanya Syazana lelah melihat Ainan. Dia tak tahu bagaimana Ainan menanggung semuanya.
Usai menukar pakaian Safwan, Syazana membawa Safwan ke ruang tamu bersama Umairah.
"Saf duduk sini main sama-sama dengan adik tau." Syazana meluru ke dapur untuk menyediakan sarapan buat Ainan.
Secawan milo beserta 4 keping roti bakar dihidangkan di atas meja makan, lalu Syazana kembali melayan Umairah dan Safwan.
"Pakai baju cepat. Tu Sya dah siapkan sarapan." Ainan sekadar angkat kening mendengar arahan Syazana.
Lima minit kemudian, Ainan keluar dari bilik lalu memeluk anak-anaknya. Rindu pada mereka. Sehari tak berjumpa. Tidur malamnya terasa tak sempurna tanpa mereka di sisi.
"Rindunya anak-anak mama ni. Nakal tak duduk dengan mummy semalam?" Umairah yang berada dipangkunya dicium bertalu-talu. Mengekek kegelian Umairah diperlakukan begitu. Safwan tidak ketinggalan untuk bermesra, segera memanjat belakang badan Ainan.
"Kak, ada nak pergi memana ke hari ni?" Ainan angkat kening. Wajah Syazana ditenung lama. Adalah tu nak merayap.
"Takde. Akak nak buat kek untuk budak-budak ni. Nak kemas rumah. Basuh kain baju, nak masak apa yang patut." Syazana tersengih mendengar jawapan Ainan.
Ainan letak semula Umairah dan mengarahkan Safwan untuk turun. Sempat dia mengucup pipi dan dahi Safwan sebelum berlalu menuju ke meja makan untuk sarapan. Sekeping roti bakar dicapai lalu di sapu peanut butter.
"Sya ingat nak ajak akak teman Sya pergi beli barang sikit dekat Kenanga." Ainan masih ralit mengunyah roti bakar. Tidak mempedulikan kata-kata Syazana.
"Akak! Dengar tak?" Geram pula Syazana dengan tingkah Ainan. Langsung tak beriak.
"Aku nak makan pun tak tenanglah kau ni. Sabar-sabarlah sikit," bidas Ainan lembut.
"Dah tu, kau buat dek je. Mana aku tak geram." Ainan ketawa geli hati melihat mimik muka Syazana.
"Akak boleh teman. Dengan syarat, kau tunggu aku siapkan semua kerja aku ni ha..." Syazana tersenyum puas.
"Tak apa. Aku tolong. Kau buat kek, aku tolong kemas apa yang patut. Tolong masak pun boleh." Ainan tersenyum.
"Terima kasih, Sya. Tapi bab masak, biar akak yang buat. Kau nak sangat tolong kemas, kan? Pastikan kau mop sekali rumah ni ye." Ainan menghirup milo yang telah suam-suam kuku.
"Pandai akak ambil kesempatan ye." Ainan ketawa. Memang itu rutin harianya apabila cuti. Setiap kali cuti, dia pasti akan mengemop rumah.
Usai makan tengah hari, mereka bersiap untuk ke Kenanga Mall. Umairah dan Safwan ditinggalkan bersama Maimun.
"Tak apalah. Ainan bawa je." Ainan susah hati meninggalkan anak-anak bersama Maimun.
"Leceh nanti nak berjalan. Kena Umairah meragam nak tidur macam mana? Belum Safwan buat perangai lagi. Dasuki ni, kejap lagi tidurlah tu. Dah memang masa tidur dia." Maimun mengharap pengertian Ainan. Sayu Ainan memandang anak-anaknya. Sebenarnya, dia tak mahu menyusahkan Maimun.
"Jangan lama-lama ye Sya." Akhirnya Ainan akur. Geleng kepala Maimun dengan sikap Ainan.
"Dahlah. Jom cepat. Nanti lambat, membebel pulak." Sempat Syazana mengenakan Ainan. Panjang muncung Ainan.
"Kak, kau okey ke ni?" Ainan angkat kening. Otaknya ligat cuba mentafsir makna soalan Syazana. Pintu kereta dibuka sebelum dia meloloskan diri masuk ke dalam perut kereta.
"Yelah. Kau gaduh dengan Abang Aazad eh?" Berkerut dahi Ainan mendengar soalan Syazana. Dari mana pula dia dapat tahu.
"Tak adalah. Bila masa pulalah kitorang gaduh." Ainan cuba berdalih.
"Kau tak payah nak temberanglah kak. Sampai tidur bilik asing-asing dah kenapa?" Ainan semakin pelik.
"Eh, bila masa pula kitorang tidur asing? Memandai je kau ni." Syazana tersengih. Sesekali sempat juga dia menjeling wajah Ainan. Namun, tumpuan pada pemanduan lebih diutamakan.
"Aku bukan budak-budak untuk kau perbodohkan kak. Kita ni adik beradik. Tengok kau serabai semacam pagi tadi pun dah boleh agak. Dah tu katil bilik Dasuki tu bersepah sebab apa? Dasuki tidur situ?" Ainan terdiam. Teliti betul Syazana. Apa pun tak boleh nak sorok.
"Aku kena marah. Salah aku ke balik lambat tak bagitahu? Semalam lepas balik dari mahkamah, dia pergi Setia Alam. Langsung tak ada Whatsapp atau call. Dah tu, nak marah aku pula." Jeda seketika. Ainan menahan rasa.
"Kalau aku call, mesti dia marah. Cakap ganggu masa dia dengan anak bini sana. Takde la aku call semalam. Aku beli barang je pun. Bukan pergi mana. Tu pun terus balik." Syazana mengeluh. Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya masalah yang terlalu rumit sangat dihadapi oleh Ainan.
Adakalanya disebabkan perkara kecil je, Ainan dan Aazad akan bergaduh besar. Ainan ke yang keras kepala atau Aazad yang ego? Syazana tidak punya jawapan.
"Ni kau nak beli apa kat Kenanga?" Tahu benar Ainan yang Syazana selalu ambil stok di sana. Syazana masih lagi meneruskan perniagaan atas talian sambil mengasuh anak-anaknya.
"Biasalah kak. Nak ambil stok lotion, body mist dengan perfume."
"Bukan ke kau baru ambil minggu lepas?" Ainan hairan. Selalu dua minggu sekali Syazana akan keluar mendapatkan stok.
"Alhamdulillah. Rezeki minggu ni lebih. Tu yang kena restock." Ainan tersenyum bangga.
"Kau meniagalah elok-elok. Aku doakan kau berjaya." Syazana tersenyum gembira. Dia tahu walau macam mana pun, Ainan pasti akan memberi sokongan kepadanya. Malah ketika dia baru berjinak dulu, Ainan sanggup keluarkan sama duit simpanan untuk tampung sedikit modal Syazana.
Share this novel