AAZAD hanya memerhati tingkah Ainan. Sudah hampir sejam Ainan berdiri seperti patung di gigi pantai itu. Tidak sedikit pun dia berganjak.
Bayu laut yang menyapa tubuhnya terasa damai sekali. Rasa seperti terbang seketika masalah yang dihadapinya.
Malam tadi Ainan mendakap erat tubuhnya. Tidak sedikit pun mahu dilepaskan. Apabila dia bergerak sedikit, semakin erat pelukan Ainan. Hatinya sedikit lega. Walaupun Ainan masih dingin, sekurang-kurangnya dia tahu Ainan masih menyayanginya seperti dulu.
Aazad menghampiri Ainan. Dipeluknya pinggang Ainan. Tersentak Ainan diperlakukan begitu.
Aazad bukanlah suami yang romantik. Aazad paling tidak suka mempertontonkan kemesraan ditempat awam. Seringkali juga Ainan dimarahi kerana memeluk manja lengannya.
"Ainan menung apa?" Aazad meletakkan dagunya di bahu Ainan.
"Menung masa depan." Aazad tersenyum kelat mendengar jawapan Ainan. Dia memusingkan tubuh Ainan mengadapnya.
"Ainan masih marahkan abang?" Ainan tersenyum sumbing.
"Tak guna pun kalau Ainan marah. Takkan merubah apa-apa. Ainan dah letihlah. Abang buatlah apa pun. Kan Ainan dah cakap Ainan lepaskan abang dari tanggungjawab pada Ainan dan anak-anak." Aazad terpukul. Kata-kata Ainan seperti ingin diceraikan.
"Ainan nak kerja." Akhirnya Ainan menyuarakan hasrat hati yang terpendam lama. Mata Aazad membulat memandang Ainan. Ada satu perasaan aneh menjalar di hatinya ketika itu.
Aazad fikir Ainan tidak maksudkan kata-katanya apabila dia mengatakan ingin bekerja. Tak sangka pula hari ni dibangkitkan semula soal kerja.
"Abang tak galakkan, abang pun tak halang. Abang tahu abang tak mampu nak bagi apa yang Ainan nak." Ainan hanya tersenyum mendengar jawapan Aazad.
"Ainan nak kerja sebab anak-anak. Ainan nak happy kan anak-anak. Nak dorang merasa sama macam anak-anak abang yang lain rasa. Tak apa, abang tak perlu bagi. Ainan akan cari sendiri untuk anak-anak Ainan. Yang penting sekarang, abang izinkan Ainan bekerja." Aazad terdiam mendengar kata-kata Ainan. Sungguh hatinya terusik.
"Anak-anak Ainan tu, anak-anak abang juga. Tu anak kita." Aazad meluahkan apa yang berada di hatinya. Ainan senyum. Sungguh dia kelihatan tenang petang itu.
"Betul. Anak kita. Tapi... abang rasa adil ke bila abang layan dorang macam tu?" Ainan silang tangan di dada. Menanti jawapan Aazad. Aazad membungkam tanpa kata.
"Ainan sayang abang. Ainan tak nak di akhirat nanti, abang dipersoalkan. Ainan tak nak bahu abang berat sebelah. Ainan tahu Ainan ni jahil. Tak macam bini abang tu. Solat tak pernah tinggal. Pandai urus rumahtangga. Tak macam Ainan. Tak apalah Ainan redha. Ini harga yang Ainan perlu bayar kerana berkahwin dengan suami orang." Kekura tangan Aazad diusap lembut. Penuh dengan kasih sayang.
"Ainan tak minta sesuatu diluar kemampuan abang. Ainan cuma minta nak bekerja je. Tapi kalau abang tak izinkan, tak apa. Ainan faham." Ainan terus melepaskan tangan Aazad sebelum berlalu menyusuri pantai.
Dia cuba sedaya upaya untuk menenangkan dirinya. Dia tak mahu dikawal oleh emosi. Sungguh hatinya masih sakit. Makan masa untuk disembuhkan. Dalam masa yang sama, dia berusaha untuk memaafkan suaminya. Berusaha untuk menjernihkan semula rumahtangga mereka.
Panggilan video dari Syazana menghentikan langkah Ainan. Dia segera menjawab panggilan itu. Terubat rasa rindu pada anak-anaknya. Ainan ketawa riang melihat gelagat mereka.
Aazad hanya memerhatikan gelak tawa Ainan menerima panggilan dari Syazana. Dalam hatinya berdoa agar Ainan kembali tersenyum gembira seperti selalu. Dia tidak betah melihat Ainan berdiam diri. Hidupnya terasa sunyi tanpa bebelan Ainan.
"Ainan..." Aazad menyapa sebaik saja Ainan selesai bersembang dengan Syazana. Ainan menoleh memandang Aazad yang berada disebelah kanannya.
"Abang izinkan Ainan kerja. Tapi dengan syarat..." Ainan menanti dengan sabar apa syarat yang ingin dikatakan oleh Aazad.
Aazad meraih tangan Ainan sebelum dia menyambung.
"Abang nak Ainan jaga diri baik-baik. Kerja elok-elok. Jangan nakal-nakal. Ingat batas diri sebagai isteri orang." Ainan tersenyum kelat. Nampaknya Aazad tidak mempercayai dirinya.
"Terima kasih abang. Ainan niat kerja sebab anak-anak je." Ainan tekankan perkataan anak-anak. Aazad senyum kelat.
'Ya... Aku kerja demi anak-anak je. Aku tak nak anak-anak aku susah. Mungkin sekarang ni susah sebab nak hadap segala macam hutang. Tapi sikit-sikit aku akan senangkan anak-anak aku.' Namun, kata-kata ini hanya mampu terluah dalam hati.
Aazad memeluk erat bahu Ainan. Mengharap Ainan akan kembali ceria seperti selalu.
"Jom makan. Abang laparlah." Aazad mengajak Ainan makan apabila jam dipergelangan tangannya telah menunjukkan pukul 2 petang. Ainan hanya menuruti langkah Aazad tanpa banyak bicara.
??????
"AKAK macam mana?" soal Bahrom pada Syazana.
"Tengah hari tadi Sya call tengok okey je. Nampak dah akak senyum." Bahrom hanya mengangguk.
"Ayah kesiankan akak kau. Macam-macam nak kena hadap," luah Bahrom sayu. Rambut Safwan yang lena di pangkuannya diusap lembut.
"Nak buat macam mana. Pilihan dia sendiri." Tiba-tiba Maimun menyampuk.
"Ikut hati saya ni, memang saya tak terima Aazad tu. Tapi dah Ainan setuju. Saya setuju jelah," sambung Maimun lagi.
"Kau kalau nak cari laki, cari yang semenggah sikit. Jangan gatal nak cari laki orang." Syazana ditembaknya. Buntang mata Syazana mendengar kata-kata emaknya.
"Mak tu, cakap yang elok-eloklah. Apa yang keluar dari mulut mak tu doa. Suka cakap benda tak elok dekat anak-anak. Sebab tu akak tu jadi macam tu. Dah hari-hari duk salak dekat telinga Sya dengan akak tu yang Abang Aazad tu laki tak guna." Geram betul Syazana dengan sikap emaknya. Selalu sebut benda yang tak sepatutnya.
Maimun menjeling tajam Syazana. Semenjak akhir-akhir ni, Syazana suka menjawab apa yang dikatakannya.
"Dah tu. Tak payah nak jeling sangat anak tu. Memang awak suka bercakap sedap mulut je. Berapa kali dah saya pesan. Malulah sikit sampai anak pulak nak kena tegur. Patut awak tu tunjuk contoh yang baik." Bahrom geleng kepala dengan ragam Maimun. Ada je yang tak kena di matanya.
Maimun tayang muka cemberut. Geram bila suaminya tidak menyokong.
"Awak tu memang tak pernah nak sokong saya!" Marah Maimun.
"Bukan tak nak sokong. Tapi mulut awak tu. Dari budak-budak ni kecil lagi awak tu suka cakap benda-benda tak elok. Betul apa yang Sya tu cakap. Kata-kata ibu tu doa. Sebab tu kena jaga setiap tutur kata." Maimun angkat punggung.
"Malas nak cakap apa. Buat cekodok sedap jugak ni." Tersengih Syazana dengan tingkah Maimun. Bukanlah niat untuk menjadi anak kurang ajar, tapi kadang-kadang tu geram dengan tutur kata yang dilemparkan Maimun.
"Macam-macam hal mak kau ni."
"Ala... bini ayah gak." Mereka sama-sama ketawa. Keletah Maimun sentiasa menceriakan hari mereka. Itulah dia, penyeri rumah mereka. Tanpa Maimun, suramlah hari mereka.
"Haa... mengumpat mak la tu kan? Tu galak ketawa," laung Maimun dari dapur.
"Tak mengumpat. Mengata je," balas Bahrom mengundang ketawa Syazana.
"Mak dengan ayah ni, ada-ada jela." Bahrom pandang Syazana dengan pandangan pelik.
"La... kalau kami takde, kamu pun takdelah." Syazana garu kepala. Ada betulnya juga apa yang ayahnya katakan. Melihat senyum di wajah Bahrom, Syazana tahu dia surah terkena.
"Nah ambil ni." Bantal busuk Safwan dibaling ke arah Bahrom. Ketawa mereka meletus.
"Syhhhh..." Maimun letak jari telunjur ke bibir, mengarahkan mereka diam.
"Terjaga budak-budak tu nanti," ujar Maimun. Syazana dan Bahrom hanya menunjukkan simbol okey menggunakan jari mereka sebelum sama-sama ketawa.
Geleng kepala Maimun dengan ragam dua beranak ni. Ada je benda yang nak digelakkan. Itulah kebahagiaannya.
Share this novel