Bab 19

Romance Series 12288

AAZAD menatap wajah Ainan yang sedang lena tidur. Sayu sekali wajah Ainan. Jelas terpancar keletihan di situ.

Pulang dari bekerja, terpaksa pula menguruskan  anak-anak yang semakin membesar. Mengemas di sini, sebelah sana pula bersepah. Dari ruang tamu sehingga ke dapur, kerjanya tak pernah sudah.

Setiap kali Ainan cuti, bilik air pula dikerjakan. Dicuci segala lumut dan kotoran. Baru kelmarin Ainan jatuh terduduk. Terkejut Aazad bukan kepalang. Walhal, lantai tandas tidak licin. Mungkin saja Ainan tersalah langkah.

Sudah diminta untuk mengambil cuti sakit, namun Ainan bekeras untuk bekerja.

"Tak apa. Sikit je ni. Ainan boleh pergi kerja lagi."

Aazad mengeluh. Ainan memang degil. Dalam lembut Ainan ada kerasnya. Sedikit demi sedikit Ainan berhenti bergantung harap padanya. Ada kegusaran di hati Aazad mengenai perubahan Ainan. Kerana itu jugalah, dia akan memastikan Ainan pergi dan balik kerja dihantar dan dijemput.

Wajah redup Ainan dielus lembut. Dikucup dahi Ainan lama. Tangannya memeluk erat pinggang Ainan. Sedikit pun Ainan tidak terkutik. Lena sungguh tidurnya.

Semenjak Ainan bekerja, hampir saban malam Aazad akan tidur lewat. Apabila Ainan telah lena, Aazad akan mengambil peluang merenung wajah Ainan. Pelukan dieratkan lagi. Akhirnya Ainan terjaga. Terpisat-pisat dia memandang Aazad.

"Kenapa abang tak tidur lagi?" soal Ainan.

"Tak ada apa. Saja tengok Ainan. Lama kita tak sembang sejak Ainan bekerja ni. Tak macam dulu." Ainan meletakkan tapak tangannya di pipi Aazad.

"Maaf. Ainan letih sangat. Satu hari berdiri. Kaki Ainan dah bengkak." Akhirnya Ainan mengadu nasib. Berapa minggu kakinya bengkak. Diam-diam dia meletakkan minyak angin. Bila ditanya, jawapannya hanya lenguh.

Aazad terus berdiri dan membuka lampu bilik. Kain Ainan diselaknya sedikit. Jelas kelihatan kaki Ainan membengkak.

"Kenapa tak bagitahu abang?" Ainan terdiam. Tangannya masih menutupi mata dari silauan lampu.

"Ainan tak nak susahkan abang. Lagipun sikit je tu. Nanti eloklah." Aazad bingkas bangun mendapatkan minyak angin. Kaki Ainan diurut lembut. Menjerit Ainan kesakitan.

"Sakitlah. Janganlah picit kuat-kuat." Aazad menggeleng.

"Abang picit sikit je. Mana ada kuat." Ainan terdiam. Bantal Aazad dicapai lalu menekup wajahnya.

Hampir setengah jam Aazad memicit kaki Ainan. Ainan pula menahan sakit sehingga mengalirkan air mata.

"Okey dah." Aazad menepuk-nepuk kaki Ainan. Terkesima Aazad apabila melihat mata Ainan merah dek air mata sebaik saja Ainan mengalihkan bantal dari wajahnya.

"Ainan..." Aazad terus mendapatkan Ainan. Dipeluk erat Ainan.

"Kenapa ni?" Ainan hanya menggeleng. Tiada kata yang mampu diucapkan ketika itu. Hanya tangisan yang kedengaran. Hati Aazad sakit bagai disiat mendengar tangisan hiba Ainan.

"Ainan sakit balik?" Aazad menduga. Anggukan dari Ainan buat Aazad geram.

"Nanti kita pergi berubat lagi ye?" Ainan geleng kepala. Setiap kali dia berubat, setiap kali itulah sakitnya semakin teruk. Aazad memegang kedua belah pipi Ainan. Dahi mereka bertemu.

"Kalau tak berubat, macam mana nak baik?" Aazad memujuk.

"Abang lupa apa yang Che Man cakap? Kita ubatlah macam mana pun, elok hari ni je. Esok lusa dia hantar lagi. Abang lupa?" Ainan naik angin. Bukan dia tak nak berubat, tapi satu badan akan sakit-sakit. Adakalanya terasa bagai disalai.

"Tapi sampai bila?" Ainan mencerlung. Matanya merah.

"Jangan tanya Ainan. Tanya pada orang yang bertanggungjawab buat Ainan macam ni. Sampai bila dia nak seksa Ainan!" Ainan menangis. Sakit yang adakalanya dia tak mampu nak tanggung.

"Ikut hati Ainan ni, Ainan nak mati je. Biar semua puas hati bila Ainan dah takde. Tapi Ainan lawan, lawan sebab anak-anak." Tangisan Ainan semakin hiba. Semakin mendayu.

Aazad percaya dan yakin, Ainan sudah sampai disatu tahap dimana dia sendiri tak mampu menahan. Hati Aazad sakit. Sakit melihat penderitaan Ainan kerana dirinya.

"Maafkan abang, sayang." Tangan Ainan digenggam erat.

"Susah sangat ke Ainan ni nak rasa bahagia? Ainan ni tak layak ke nak rasa bahagia?" Aazad terdiam. Dia tidak punya jawapan.

"Ainan, rehat dulu ye. Esok Ainan kerja, kan?" Akhirnya Aazad menukar topik. Dia tidak mahu Ainan terbawa-bawa dengan emosi. Ainan kesat air mata, lalu merebahkan dirinya semula.

Aazad mengusap lembut rambut Ainan sehingga Ainan terlena. Anak-anak yang sedang lena di sebelah Ainan ditatap hiba.

Aazad termenung apabila mengingati masalahnya. Masih jelas terpampar dimindanya bagaimana penerimaan Ainan.

Aazad meramas-ramas tengkuknya yang mulai tegang. Melihat Ainan yang telah lena semula, Aazad terus menutup lampu dan cuba untuk melelapkan mata.

Esok pagi dia harus ke mahkamah untuk perbicaraan kes tuntutan dan tunggakan nafkah yang dibuat oleh isteri pertamanya.

Terkebil-kebil mata Aazad dalam kegelapan bilik tidurnya. Tak habis fikir dengan perangai Imah yang tak tahu bersyukur. Entah bagaimana lagi harus dia buat untuk memuaskan hati Imah.

'Kenapalah kau tak pernah berubah? Kenapalah tak pernah bersyukur?' Aazad mengeluh sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience