Bab 15

Romance Series 12288

AINAN memandang Aazad yang pulang dalam keadaan tak bersemangat. Tanpa sebarang kata, Ainan ke dapur untuk membancuh secawan nescafe buat Aazad.

"Nah..." Nescafe dihulurkan kepada Aazad. Tersenyum Aazad saat menerimanya dari Ainan.

"Terima kasih sayang." Ainan ketawa kecil mendengar panggilan sayang yang keluar dari mulut Aazad. Sudah lama dia tidak mendengar perkataan itu. Terasa janggal di telinganya.

"Abang okey ke?" Ainan yang penasaran akhirnya menyoal setelah Aazad membasahkan tekaknya.

"Kes tangguh. Hakim pertikaikan kenapa dalam tempoh setahun tu abang tak bagi nafkah. Abang dah tunjuk bukti abang jaga Sharil masa dia koma sampai abang dibuang kerja." Aazad tersandar lesu.

Ainan hanya terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan untuk membuatkan Aazad tenang.

"Banyak yang abang simpan. Masa Sharil koma, abang ni nampak dengan mata kepala abang sendiri ada lelaki raba punggung akak. Ainan tahu tak raya tahun lepas abang bergaduh dengan akak sebab abang tak nak hantar dia pergi rumah Zul." Berkerut seribu dahi Ainan apabila mendengar nama Zul. Semakin Ainan penasaran.

Ainan tersenyum kelat apabila soal raya tahun lepas dibangkitkan. Mengertilah dia kini apa sebenarnya yang berlalu. Sungguh nalurinya tak pernah silap.

"Maaf Ainan. Abang tak dapat balik hari ni. Abang tak cukup duit nak balik KL." Ainan tersentak mendengar jawapan Aazad. Sedangkan mereka sudah berjanji untuk pulang ke kampungnya esok.

"Takkan tak lepas langsung balik KL?" Ainan menyoal tidak puas hati.

"Ainan boleh faham tak? Abang cakap tak cukup, tak cukuplah. Nanti duit dah masuk, abang balik KL." Ainan tahan tangis.

"Tapi abang dah janji dengan Ainan nak bawa Ainan balik kampung esok." Ainan mula hiba. Talian disebelah senyap.

"Sampai hati abang buat Ainan macam ni." Ainan seka air mata yang mula tumpah ke pipinya.

"Ainan ni tak faham bahasa ke? Kalau abang balik sekali pun, Ainan ingat kita lepas ke nak balik kampung?" Suara Aazad mula meninggi.

"Takpelah. Abang duduk la sana selama mana abang nak. Ainan balik kampung sendiri. Kalau Ainan tahu abang nak buat Ainan macam ni, Ainan ikut je ayah balik kampung. Tak payah tunggu abang." Ainan terus menamatkan talian.

Tapi tidak lama selepas itu, Aazad menghubunginya semula. Panas hati dengan sikap Aazad, akhirnya Ainan mematikan telefon bimbitnya setelah tiga panggilan Aazad dibiarkan.

Ainan tersenyum nipis. Betapa sukarnya mengusir kenangan yang menyakitkan. Betapa sukarnya melupakan sekali pun telah memaafkan.

Akhirnya hari ni terbongkar rahsia disebalik keengganan Aazad pulang ke KL dan menunaikan janji untuk membawanya pulang beraya ke kampung.

Satu keluhan berat dilepaskan. Aazad pandang Ainan penuh tanda tanya. Ainan segera menepis kenangan yang menyakitkan itu.

"Zul ni siapa pula?"

"Boyfriend dialah. Tak silap budak tu muda setahun dari Ainan."

"Wah... anak ikan." Ainan seakan menyimbah minyak disebalik api yang mula marak. Wajah Aazad berubah riak.

"Abang mesej budak tu suruh dia sendiri ambil akak. Abang yang penat masa tu, langsung akak tak fikir. Konon kesian dekat budak tu sebab bapak dia tengah sakit. Habis masa arwah abah sakit dulu tak nak pula dia kesian. Abang siap ajak pindah kampung sebab nak jaga arwah abah tapi dia berkeras tak nak. Pindah balik kampung dia boleh pula."

Ainan terdiam. Dia tahu macam mana Aazad berulang alik dari KL ke Johor hampir setiap minggu demi menziarah arwah abahnya.

"Abang pasti tu boyfriend dia?" Ainan tidak mahu Aazad serkap jarang.

"Abang baca semua mesej diorang, Ainan." Jelas terpancar kekecewaan dari raut wajah Aazad.

Suami mana yang tak marah kalau isteri buat onar di belakang. Apatah lagi menduakannya.

Walau semarah mana pun Aazad pada Imah, Ainan masih mampu melihat betapa kecewanya Aazad kerana dikhianati.

Ainan tahu bagai mana rasanya sakit dikhianati, Ainan tahu betapa luka itu memakan masa untuk disembuhkan. Walau luka itu sembuh, parut masih juga meninggalkan bekas.

Ainan menggenggam tangan Aazad erat. Berusaha menyalurkan semangat kepada Aazad.

"Ainan tak nak cakap lebih-lebih. Nanti jadi gaduh. Ainan dah pernah ingatkan abang. Bukan sekali, bukan dua kali tapi dah berkali-kali. Tapi abang tak pernah nak ambil pusing apa yang Ainan suarakan." Ainan telan air liur. Terasa kering tekaknya ketika itu.

"Kalaulah abang dengar cakap Ainan dari dulu, mungkin keadaan tak macam ni. Tapi nak cakap macam mana, semua dah jadi. Allah sebaik-baik perancang. Ainan harap abang kuat." Ainan cuma tersenyum lalu menepuk lembut kekura tangan Aazad. Aazad bungkam tanpa kata.

"Abang dah makan? Kalau nak makan, Ainan panaskan lauk sekejap. Nanti Ainan hidangkan." Aazad menggangguk lemah sebelum melepaskan Ainan ke dapur.

Sepuluh minit kemudian Ainan siap menghidangkan makan tengah hari buat Aazad. Ainan mempelawa Aazad ke meja makan dan menemaninya makan.

Dia sudah kenyang makan bersama anak-anaknya lebih kurang sejam yang lepas. Makan beserta gurau senda yang menceriakan harinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience