RIDHWAN berdansa riang di ruang tamu. Kucing kesayangannya diawang-awangan dikerjakan. Nak buat macam mana, dah itu je teman berdansa yang dia ada.
Mengiaw-ngiaw kucing itu minta dilepaskan. Ridhwan meletakkan semula kucingnya ke lantai sambil membelai lembut bulu Si Comel.
"Hai la Comel. Mujurlah ada kau. Takde lah aku sunyi sangat. Kau mesti dah lapar, kan? Jom pergi dapur, kita makan." Ridhwan melangkah ke dapur.
Ikan kembung yang direbus tadi dicedok masuk ke dalam pinggan. Segala tulang belulang dileraikan dari isi sebelum disuakan kepada Si Comel.
Mengiaw Si Comel melihat ikan rebus yang terhidang di depan mata. Ridhwan mengusap lembut bulu Si Comel yang sedang makan.
"Makan kenyang-kenyang. Tak cukup, aku tambah lagi." Begitulah kasihnya Ridhwan kepada Si Comel. Sudahnya badan Si Comel semakin menggebu.
"Encik kena control diet Comel. Berat badan dia dah melebihi yang sepatutnya. Obesiti nanti." Ketawa Ridhwan mendengar nasihat doktor ketika membawa Si Comel mendapatkan Vaksin.
"Doktor, seriuslah. Kucing pun boleh obesiti ke?" Ridhwan menyoal Doktor Suzy yang sedang membelai lembut Si Comel selepas memberi vaksin.
"Ye. Haiwan pun boleh obesiti. Pernah tengok kucing yang duduk je. Makan tidur. Makan tidur. Itu sebab obesitilah. Macam manusia juga. Silap-silap nak berjalan pun tak larat nanti." Terdiam Ridhwan mendengar penjelasan Doktor Suzy.
Tapi macam mana pun, dia tak mampu nak sekat nafsu makan Si Comel. Tak diberi makan, Si Comel akan meleseh dan mengiaw tak henti-henti.
"Aku nak siap pergi kerja. Kau duduk rumah. Jangan merayap pula ye." Sempat lagi Ridhwan berpesan sebelum melangkah masuk ke biliknya untuk bersiap.
"Comel..." laung Ridhwan ketika dia duduk untuk memakai stokin. Terkedek-kedeklah Si Comel datang menghampirinya.
"Aku pergi kerja dulu ye. Biskut ada dalam bekas kat depan TV. Aku balik kerja nanti, aku bagi kau ikan lagi. Kau jangan nakal tau." Ridhwan sempat membelai Si Comel sebelum melangkah keluar demi mencari rezeki.
Setengah jam perjalanan, akhirnya dia sampai ke Jentayu Mall. Jam menunjukkan pukul 9:20 pagi. Masih berbaki lima belas minit lagi untuk dia buka kedai.
Sebatang rokok dikeluarkan lalu dibakar. Terkenang ibu dan abangnya yang berada dikampung. Sehari pasti dia akan menghubungi ibunya dua atau tiga kali. Memang itu rutin yang dilakukannya. Dia akan mencuri sedikit waktu rehatnya dan juga ketika habis waktu kerja.
"Hei, Wan. Jauhnya kau menung." Ridhwan tersengih mendengar sapaan Encik Mat.
"Tak menunglah. Saya nampak Encik Mat park motor tadi." Encik Mat tersengih. Macamlah dia tak perasan yang Ridhwan termenung jauh.
"Ada masalah ke?" soal Encik Mat. Prihatin dengan pekerja bawahannya.
"Takde la. Cuma teringat mak dekat kampung." Ridhwan tersenyum kelat.
"Nanti ambillah cuti. Balik jenguk. Sementara ada ni. Jangan sia-siakan. Submit je borang cuti. Nanti saya luluskan." Kembang hati Ridhwan mendengarnya.
"Jomlah masuk." Ridhwan beriringan dengan Encik Mat masuk ke dalam Jentayu Mall.
Ridhwan segera membuka kunci kedai sebelum meloloskan diri masuk ke dalam kedai.
SELESAI saja perbicaraan di Mahkamah Syariah Jalan Duta, Aazad menghantar Imah ke Setia Alam. Kalau di ikutkan hatinya jangan haraplah dia nak hantar.
"Abang jangan nak mengada-ngada tak nak hantar Imah ke rumah Kak Ina ye. Kalau abang tak gatal sangat cari betina lain, benda ni takkan jadi. Abang ingat Imah datang sini free ke? Semua perlukan duit." Panas telinga Aazad mendengar omelan Imah.
"Kalau kau dah tau semua perlukan duit, yang kau gatal sangat filekan tuntutan kenapa? Otak takde? Setahun aku tak kerja. Makan minum aku pun harapkan Ainan. Perbelanjaan Thirah pun Ainan yang tanggung lagi kau nak tuntut?"
"Aku tak bekerja setahun sebab jaga Sharil yang tengah koma. Itu pun kau tak boleh fikir, kan? Kau jangan ingat aku tak nampak apa yang jadi dekat hospital. Bagus punya bini kau ni, kan? Sedap bagi jantan lain raba punggung kau. Jangan ingat aku tak nampak."
Berubah pucat wajah Imah ketika itu. Tergagap-gagap dia cuba untuk menafikan tuduhan Aazad. Namun sepatah perkataan pun tak mampu keluar dari mulutnya.
"Kenapa? Terkedu? Terkejut aku nampak semua tu." Aazad memandang Imah dengan pandangan yang menyinga.
Selama ni terlampau banyak yang dia pendam mengenai perangai Imah. Tapi Imah selalu mencanang keburukan yang tak pernah wujud mengenai diri Aazad.
Aazad mengeluh mengingati pertengkaran dengan Imah. Sampai saja di depan rumah Ina, Aazad langsung tidak bersuara. Memandang juga tidak. Dia tidak sabar untuk beredar.
"Amboi, tak nak pandang langsung. Teruk sangat ke Imah ni? Imah masih isteri abang tau!" Imah melepaskan rasa geramnya dengan tingkahlaku Aazad.
"Kau nak apa lagi? Jumpa dekat mahkamah lagi bulan depan. Kepala otak kau tu ingat duit je. Kau ingat ke laki kau? Tahu macam mana nak hormat laki sendiri? Tak tahu, kan? Jangan harap apa-apa lagi dari aku lepas apa yang kau buat ni." Aazad melepaskan rasa geram dia.
Imah yang bengang mendengar kata-kata Aazad, terus melangkah keluar dari kereta. Pintu kereta dihempas kuat. Aazad terus memecut laju meninggalkan Imah.
Sakit kepalanya memikirkan perangai Imah. Entah apa yang tak cukup pun dia tak tahu. Selama ni semua kehendak Imah dia ikut. Kalau tak ada, dia usahakan juga supaya ada. Tapi siapa sangka, ini balasan yang dia dapat dari Imah. Balasan seorang isteri kepada suami.
Share this novel