ZIZAH seronok mencuit pinggang Ainan. Keluarlah latah Ainan secara spontan. Alan turun sama ketawa.
"Tampar dia." Pinggang Ainan dicuit. Tidak semena Ainan terus menampar Alan. Terkesima seketika Alan dengan tindakan Ainan.
Ainan yang tersedar segera memohon maaf. Wajahnya mencuka. Penat jadi berganda. Sah malam ni dia susah nak tidur.
"Dah. Jangan kacau saya. Nanti malam saya tak boleh tidur." Ainan bersuara setelah nafasnya stabil.
"Alah... kacau sikit je pun. Takkan sampai tak boleh tidur." Zizah menembak. Sakit hati Ainan mendengarnya.
"Ish, tak baiklah akak ni. Memang Kak Ainan penatlah lepas melatah." Alan mempertahankan Ainan. Hati Ainan mula sebak.
Geram dengan tingkah Zizah. Berkali dah dia ingatkan Zizah supaya tidak membuatnya melatah. Tapi makin menjadi-jadi pula Zizah mengganggu Ainan. Pernah juga Zizah memarahi Ainan gara-gara dia menegur Zizah, sudahnya Ainan hanya mendiamkan diri.
Ainan pandang Alan sebelum berlalu meninggalkan kaunter. Disebabkan stock take akan diadakan lagi dua hari, Ainan dan rakan-rakan sekerjanya sibuk dengan persiapan.
Ainan duduk di pintu masuk kedai. Hanya melakukan greeting pada pelanggan yang keluar masuk. Senyuman diukir semanis boleh.
"Ainan..." Terkejut Ainan apabila division area, Mr. Law menegurnya.
"Apa macam kerja? Okey tak?" Ainan tersenyum mendengar soalan Mr. Law.
"Okey bos." Mr. Law tersenyum mendengar jawapan Ainan.
"Kalau I promote you, you okey tak?" Ainan terkedu. Dia baru bekerja hampir dua bulan. Terasa macam mimpi pula.
"Saya boleh cuba bos. Tapi kalau saya tak boleh, saya bagitahu." Ainan menyuarakan apa yang dirasakan. Dia tahu bukan mudah mengalas tanggungjawab sebagai pembantu penyelia.
"Bagus. Nanti buat kerja baik-baik ye. I tahu you pekerja yang baik." Ainan tersenyum. Terasa kembang hatinya dipuji begitu.
Zizah yang berada di kaunter menjeling Ainan yang sedang rancak berbual dengan Mr. Law. Entah mengapa hatinya sakit melihat Mr. Law yang kelihatan baik pada Ainan.
"Membodeklah tu." Zizah melepaskan rasa hati. Alan memandang Ainan yang sedang bersembang dengan Mr. Law.
"Tak baik menuduh. Kak Ainan tu bukannya kaki bodek." Marah Alan pada Zizah.
"Ah... kau apa tahu. Sok lusa kau tak naik, dia yang naik. Kau tak percaya cakap aku tengoklah." Zizah meninggalkan Alan sendirian.
"Ish, orang tua ni. Hangin tak tentu pasal." Alan mendengus. Sakit pula hatinya dengan sikap Zizah.
Usai melalukan greeting, Ainan menyambung semula tugasnya mengira stok di department kosmetik.
"Ainan sini kejap." Liza memanggil Ainan.
"Kejap..." Ainan segera menghabiskan kiranya sebelum mendapatkan Liza.
"Kenapa kak?" Liza tersengih.
"Kau salah kira ni. Cuba kira balik." Berkerut dahi Ainan. Ligat tangannya mencapai hook dan mengira kuantiti barang yang terdapat di hook itu.
"Ada dua belas kak." Liza tersengih. Sampai menyuakan kertas kepada Ainan. Ketawa Ainan apabila melihat kesilapannya.
"Maaf, kak."
"Takpe. Kira betul-betul tau." Ainan angguk faham sebelum berlalu menyambung kerjanya.
Ainan ralit mengira stok sehinggalah dia ditegur oleh Alan.
"Kak, kau tak nak balik ke?" Dahi Ainan berkerut. Jam dipergelangan tangan dijeling.
"Akak tak habis kira lagi ni." Liza segera menghampiri Ainan.
"Tinggalkan je. Nanti adalah yang sambung kira. Kau pergi balik dulu." Ainan bangkit dari duduknya.
"Okeylah kak. Saya balik dulu. Jumpa esok." Ainan segera berlalu masuk ke dalam stor untuk thump out dan mengambil barangnya.
Dia tak sabar untuk pulang ke rumah. Rindunya dia pada anak-anaknya. Aazad telah sedia menanti di depan kedai. Tangan Ainan diraih masuk ke dalam genggamannya.
"Kita pergi makan dulu boleh? Abang lapar." Ainan hanya mengikut. Dia menyandarkan kepalanya di lengan Aazad.
"Macam mana kerja hari ni?" Aazad menyoal. Ainan tersenyum. Teringat perbualan dia dengan Mr. Law.
"Abang... tadikan, Mr. Law cakap nak promote Ainan. Tapi, Ainan takut Ainan tak boleh galas tanggungjawab tu." Aazad angkat kening mendengar kata-kata Ainan.
"Jangan mengalah sebelum mencuba. Mesti Ainan kerja bagus sebab tu orang percayakan Ainan." Aazad memberi kata semangat.
"Tapi, kalau Ainan tak boleh juga macam mana?" Langkah kaki Aazad terhenti. Wajah Ainan ditenungnya.
"Kalau tak boleh, Ainan cakaplah tak boleh. Tapi abang yakin, Ainan mesti boleh." Aazad tersenyum sebelum meneruskan langkahnya menuju ke kereta.
??????
RIDHWAN tiba dihalaman rumah ibunya dengan senyuman yang terukir. Boleh dibayangkan reaksi ibunya sebentar nanti. Salam dilaung dari luar. Beberapa ketika kemudian, muncul seorang wanita melebihi separuh abad dimuka pintu.
"Ya Allah, Wan... kenapa balik tak bagitahu." Wajah anak muda itu dikucupnya bertalu. Melepaskan segala kerinduan yang bersarang dihati. Ridhwan tersenyum bahagia melihat wajah ibunya.
"Wan balik nak jenguk mak. Tak boleh ke?" Ridhwan berseloroh. Tubuh tua itu dipeluk erat. Rindu yang teramat pada keramat hidupnya.
"Mak masak apa?" soal Ridhwan apabila mereka melangkah masuk ke dalam rumah.
"Mak makan roti je hari ni. Tak masak pun." Sayu sekali suara Fatimah. Ridhwan dapat mengesan sesuatu. Dia terus meluru ke dapur.
"Kenapa mak tak bagitahu barang dapur dah habis?" Ridhwan segera menyoal. Fatimah kelihatan serba salah. Melihat wajah mendung ibunya, Ridhwan segera memeluk Fatimah.
"Mak siap ye. Kita makan dekat luar. Lepas tu kita pergi beli barang dapur." Fatimah menggeleng.
"Mak tak nak. Wan rehatlah ye." Ridhwan tersenyum. Faham benar apa yang berada difikiran Fatimah.
"Okey. Wan rehat dulu. Nanti lepas Wan rehat, kita keluar ye mak?" Ridhwan masih memujuk. Fatimah tersenyum.
"Mak bancuh air. Kejap lagi Wan minum ye." Fatimah terus mencapai mug, lalu membancuh air buat Ridhwan.
"Nah, minum dulu. Nanti Wan dah rehat, baru mak ikut Wan keluar ye. Mak nak solat dulu." Fatimah berlalu meninggalkan Ridhwan dimeja makan.
Ridhwan termenung memikirkan ibunya. Entah berapa lama ibunya tidak menjamah nasi. Akhirnya Ridhwan nekad. Dia perlu buat sesuatu supaya kebajikan ibunya tetap terjaga walaupun dia jauh ditempat orang.
Bukan dia tidak pernah mendapatkan pekerjaan di sini. Namun, pendapatan yang tidak seberapa akhirnya membuatkan dia kembali semula ke Kuala Lumpur.
Dia juga tahu bagaimana saudara mara mengata tentang dirinyatetapi dia yakin satu perkara, Allah SWT tahu niatnya. Dia bukan sengaja meninggalkan ibu yang telah tua dikampung.
Dia bukan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak. Tidak! Dia tidak mengabaikan tanggungjawab pada ibunya. Kerana itu, hari ini dia di sini. Melawat ibunya walau tidak mampu dilakukan setiap bulan. Dia akan memastikan dia pulang ke kampung dua atau tiga bulan sekali.
Ridhwan menjengah Fatimah di bilik. Fatimah masih lagi kusyuk di atas sejadah. Ridhwan tahu, Fatimah akan menghabiskan masa berteleku di atas sejadah sekurang-kurangnya setengah jam.
Beg baju yang diletak di ruang tamu, dicapai lantas dia masuk ke biliknya untuk beristirehat. Tanpa diduga, Ridhwan terlena.
Share this novel